YangSaya Nampak

Posts Tagged ‘PBB’

PRU 13: Senarai nama calon BN Sarawak.

In Barisan Nasional, Pilihan Raya Umum, Politik on April 16, 2013 at 9:18 pm

Barisan Nasional (BN) Sarawak mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 di Kuching, petang tadi.

Berikut ialah senarainya :-

1) mas gading – nogeh gumbek (muka baru) (spdp)

2) santubong – datuk wan junaidi tuanku jaafar (penyandang) (pbb)

3) petra jaya – datuk fadillah yusof (penyandang) (pbb)

4) bandar kuching – tan kai (muka baru) (supp)

5) stampin – datuk yong khoon seng (penyandang) (supp)

6) kota samarahan – rabiah Wang (muka baru) (pbb)

7) mambong – datuk seri dr james dawos mamit (penyandang) (pbb)

8) serian – datuk richard riot (penyandang) (supp)

9) batang sadong – nancy shukri (penyandang) (pbb)

10) batang lupar – datuk rohani abdul karim (penyandang) (pbb)

11) sri aman – masir kujat (penyandang) (prs)

12) lubok antu – william nyalau badak (penyandang) (prs)

13) betong – dato sri douglas uggah embas (penyandang) (pbb)

14) saratok – tan sri william mawan ikom (juga adun pakan) (spdp)

15) tanjung manis – datuk norah abdul rahman (penyandang) (pbb)

16) igan – datuk wahab dollah (penyandang) (pbb)

17) sarikei – ding kuong hiing (penyandang) (supp)

18) julau – datuk joseph salang gandum (penyandang) (prs)

19) kanowit – datuk aaron ago dagang (penyandang) (prs)

20) lanang – datuk tiong thai king (penyandang) (supp)

21) sibu – temenggung vincent lau (muka baru) (supp)

22) mukah – dato sri dr muhammad leo michael toyad (penyandang) (pbb)

23) selangau – datuk joseph entulu belaun (penyandang) (prs)

24) kapit – datuk alexander nanta linggi (penyandang) (pbb)

25) hulu rajang – ugak kumbong (penyandang) (prs)

26) bintulu – datuk tiong king sing (penyandang) (spdp)

27) sibuti – ahmad lai bujang (penyandang) (pbb)

28) miri – datuk sebastian ting (muka baru) (supp)

29) baram – anyi ngau (muka baru) (spdp)

30) limbang – hasbi habibollah (penyandang) (pbb)

31) lawas – henry sum agong (penyandang) (pbb)

pecahan kerusi mengikut parti:-

PBB (14)
SUPP (7)
PRS (6)
SPDP (4)

Advertisements

Gugurnya seorang wira negara dari Sarawak.

In Patriotisme, Sosial on February 14, 2012 at 10:47 pm

TAKZIAH … takziah dan takziah kepada keluarga mendiang Inspektor Benet Pawun yang meninggal dunia di Manlueuna, Comoro, Dili.

Wira negara, wira Sarawak. Mendiang Inspektor Benet Pawun.

Mendiang, 52, berasal dari Serian merupakan pegawai polis yang menyertai Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste (UNMIT) mulai 14 Oktober 2011.

Meninggal dunia kira-kira pada pukul 10.15 pagi pada 7 Februari 2012, wira negara itu meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Menurut laman Facebook PDRM, hasil bedah siasat sepasukan pegawai perubatan diketuai Dr. Maria Biceida Aguero Ramos (Supervisor Forensic Pathology) dibantu oleh Dr. Nurul Islam di Dili National Hospital Guido Valadares tidak dapat mengesahkan sebab kematian setakat ini kerana sampel-sampel yang diambil perlu dihantar ke Darwin, Australia untuk tujuan analisa.

Mendiang meninggal dunia di kediamannya dan disedari oleh rakannya apabila tidak memberi jawapan apabila pintu biliknya diketuk beberapa kali dan panggilan telefon tidak berjawab.

Ketika hayatnya, mendiang telah ditempatkan di Border Patrol Unit, Lapangan Terbang Dili sebagai Pegawai Peronda Polis PBB.

Menurut laporan berita Borneo Post Online pada 13 Februari 2012, usaha untuk membawa balik mayat Mendiang Inspektor Benet Pawun dari Darwin, Australia ditangguhkan selama 10 hari lagi kerana pihak berkuasa Australia perlu menjalankan bedah siasat kedua.

Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot berkata, penangguhan itu menyebabkan tekanan kepada keluarga mendiang kerana mereka menjangkakan mayat tiba semalam (12 Februari).

“Mayat hanya akan tiba dalam tempoh lima hingga 10 hari lagi,” kata Richard.

Utama dan sensasi politik Sarawak 2011.

In Barisan Nasional, Krisis SPDP, Pilihan Raya Umum, Politik, Sarawak, SUPP on December 25, 2011 at 6:24 am

TUMPUAN utama politik Sarawak pada tahun 2011 ialah Pilihan Raya Negeri ke-10 yang boleh dikatakan sebagai memberi debaran cukup hebat kepada pemimpin Barisan Nasional dan pakatan pembangkang.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 diadakan pada 16 April, 2011.
 
Sekali lagi seperti dijangka walaupun banyak tohmahan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Barisan Nasional berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga. Malahan lebih!

Syabas dan tahniah dituju kepada Pehin Sri Abdul Taib kerana terus mendapat kepercayaan majoriti rakyat Bumi Kenyalang untuk terus mengepalai badan eksekutif negeri.

Cuma bezanya kali ini, Barisan Nasional sebagaimana berlaku di Semenanjung Malaysia menerima tentangan sengit khasnya di kawasan pengundi Cina.

Barisan Nasional menang 55 kerusi daripada 71 kerusi yang sebahagian besar disumbang oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). PBB pimpinan Abdul Taib menyapu bersih 35 kerusi yang ditandinginya di kawasan majoriti Melayu/ Melanau dan Dayak.

Di Sarawak, DAP melakar kejayaan terbesar dengan menawan hampir keseluruhan kawasan majoriti pengundi Cina apabila menang di 12 kerusi.

Parti Keadilan Rakyat pula hanya berjaya menawan tiga kerusi iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba’ Kelalan, manakala Parti Islam SeMalaysia sekadar berputih mata. Begitu juga Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), tidak meraih sebarang kerusi.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menunjukkan prestasi semakin buruk. Parti itu mula susut sokongan menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak kesembilan pada tahun 2006.

Ramai yang mendakwa kemerosotan itu tercetus apabila mendapati parti berkenaan gagal melaksanakan peranan menyuarakan masalah orang Cina kepada kerajaan.

Apa pun itu sudah menjadi sejarah. Kini kita sedang menanti bilakah Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan. Cuma kini yang pasti petunjuk-petunjuk semakin ada. Ramai juga yang meneka ia diadakan pada suku pertama tahun 2012.

Sensasi sebenar politik Sarawak tahun 2011 ialah pemecatan Menteri Muda Bekalan Air Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada 25 November 2011. Sebelum dipecat, beliau merupakan Naib Presiden SPDP – parti pimpinan Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom.

Entri merupakan seorang daripada lima wakil rakyat SPDP bergelar SPDP 5 yang dikatakan menentang kepemimpinan Tan Sri William Mawan.

Majlis Tertinggi SPDP juga melucutkan jawatan empat orang wakil rakyat Datuk Peter Nansian Ngusie (bekas Naib Presiden Kanan), Datuk Dr Tiki Lafe (bekas Naib Presiden), Paulus Palu Gumbang (bekas Ketua Penerangan) dan Rosey Yunus (bekas Ahli Majlis Tertinggi).

Dr Tiki turut tidak akan dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusinya di Parlimen Mas Gading (Bau).

Krisis SPDP masih berterusan sehingga kini dan diharapkan ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Tidak kurang sensasi ialah kemelut Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) SUPP pada 11 Disember 2011.

Meskipun menyaksikan peralihan pucuk pimpinan daripada Tan Sri Dr George Chan Hong Nam kepada Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menerusi TDC itu, ia sebenarnya memburukkan lagi kemelut dalaman parti itu sejak 2004.

Ya, Peter Chin boleh dikatakan menang tanpa bertanding apabila Datuk Seri Wong Soon Koh bersama para pengikutnya yang majoriti wakil rakyat Bumiputera memboikot TDC itu.

Sebelum TDC, Peter Chin merupakan Setiausaha Penganjur SUPP manakala Wong Soon Koh ialah Timbalan Setiausaha Agung SUPP. Peter Chin ialah menteri dalam kabinet persekutuan dan Wong Soon Koh berada dalam kabinet negeri Sarawak.

Ramai yakin TDC itu tidak akan berakhir begitu sahaja. Ada lagi babak cerita SUPP kelak.

Kini pun pegawai-pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sedang menyiasat laporan penyelewengan proses pemilihan beberapa cawangan parti.

Dakwaan penyelewengan itu merupakan punca pemulauan oleh Wong Soon Koh.

Sama juga harapan dengan SPDP, kita mendoakan agar SUPP berupaya bangkit daripada kemelut dalaman dan sekali gus memberi tumpuan terhadap kebajikan rakyat. Seterusnya ia mampu membantu parti meraih semula sokongan pengundi Cina di bandar.

DAP, awal-awal dah kecewa …

In Politik on October 10, 2011 at 3:49 pm

JIKA kita tahu seseorang telah menolak cinta, adakah kita akan terus berharap dan memaksa untuk si dia menerima cinta? Bagi mereka yang mementingkan maruah, elok undur diri sebelum lebih kecewa.

Begitulah situasi dihadapi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak sekarang yang (kononnya) mahu berjuang demi Dayak, terutama di kawasan Bidayuh. Difahamkan ‘cinta’ yang ingin dipersembahkan tidak diterima apabila seminar anjuran Majlis Perundingan Dayak (DCC) tidak dihadiri seorang pun peserta.

DAP menggunakan DCC sebagai jentera politik mereka untuk memasuki kawasan Dayak atau pinggir bandar seperti Bau dan Serian. DCC dipengerusikan oleh orang kuat penentang Barisan Nasional (BN), Dr John Brian Anthony yang tewas beberapa kali dalam beberapa pilihan raya lepas.

Seorang lelaki dalam usia pertengahan ketika bersembang di kedai kopi dalam nada sinis mengatakan DAP tidak akan dapat menguasai kawasan pinggir bandar di kawasan Bidayuh. Ujarnya, BN kini amat prihatian dengan tuntutan kaum Bidayuh. Kerajaan mudah diajak berbincang dalam menyelesaikan apa jua masalah – itu katanya sambil membelek-belek surat khabar Cina (cuma tahu tengok gambar) yang memaparkan gambar Wong Ho Leng, pengerusi DAP Sarawak.

Dia ketawa apabila rakan yang duduk semeja sanggup bertaruh DAP akan tidak memenangi mana-mana kerusi parlimen pada pilihan raya umum kelak yang boleh diadakan bila-bila masa sebelum April 2013. “Mana mungkin,” katanya. “Sebab pemikiran Dayak Bidayuh tidak serupa dengan pemikiran Cina di bandar”.

Dia tidak mengulas lanjut mengapa nada suaranya begitu yakin dalam membandingkan corak undian dua kaum tersebut. Banyak andaian tentang puncanya. Tidak perlu bincang dalam artikel ini kerana ia topik yang ‘klise’.

Berbalik dengan seminar ‘kosong’, ia diadakan di sebuah restoran di Siburan, kira-kira 17 batu dari Bandar Raya Kuching, pada pukul 1.30 tengah hari.

Tentu Ho Leng dan Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen kecewa apabila melihat tempat seminar itu masih kosong sehingga pukul 2.30 petang. Akhirnya, penganjur membatalkan seminar.

Seminar itu bertujuan mengatur langkah permulaan untuk DAP memasuki kawasan Bumiputera terutama menjelang pilihan raya umum kelak.

Ho Leng kemudiannya dalam sidang akhbarnya yang dipetik menerusi akhbar tempatan memberitahu, wujud cabaran hebat dalam usaha DAP memasuki kawasan luar bandar Sarawak.

Ini mungkin pengajaran awal bagi DAP yang kini mempunyai impian tinggi selepas menang beberapa lagi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April 2011.

Kawasan majoriti Bumiputera di Sarawak merupakan kubu kuat BN dan ia dijaga baik oleh parti-parti komponen BN terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan SPDP. Agak mustahil jika majoriti Bumiputera tidak menghargai jasa BN terhadap mereka dalam membangunkan kawasan masing-masing.

Tidak bermaksud kaum Cina tidak mengenang budi kerajaan yang selama ini telah membangunkan Sarawak. Undi protes mereka yang diterjemahkan dalam bentuk undian terhadap DAP mungkin disebabkan ada perkara terselindung di sanubari majoriti pengundi Cina.

Ia kini terpulang kepada SUPP untuk merungkaikannya dan kembali memenangi hati pengundi kaum Cina.

Semua salah teka (Timb. Ketua Menteri)

In Politik on September 30, 2011 at 2:15 am

Seronok sedikit pagi Khamis lepas apabila hampir semua akhbar meletakkan berita pengumuman kabinet negeri Sarawak yang baru di muka depan. Sekurang-kurangnya ada juga perkara hendak diulas dan dibincang di kedai kopi.

Inilah saat yang dinantikan oleh pemerhati politik kedai kopi di Sarawak. Mereka hendak tengok sama ada ramalan atau desas-desus yang didengar selama ini betul atau tidak. Ya, tidak semua betul seperti diramal.

Ramai yang berminat dan tertunggu-tunggu dengan penuh rasa teruja untuk mengetahui siapakah Timbalan Ketua Menteri yang baru selepas Tan Sri Dr George Chan yang tewas di DUN Piasau pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, 16 April lepas.

Ada yang meneka Dato Sri Wong Soon Koh, ada juga menyebut nama Tan Sri Dr James Masing. Masing-masing dari SUPP dan PRS.

Soon Koh dikaitkan namanya atas dasar dia merupakan wakil rakyat paling senior dari SUPP dalam kabinet sekarang. James Masing kerana dia ialah Presiden PRS, sebuah parti yang kedua terbanyak memiliki kerusi DUN dalam BN di belakang PBB selepas pilihan raya lalu.

Akhbar The Star keluaran 29 September 2011 dipetik berkata Soon Koh sedih berikutan SUPP tidak diberi jawatan tersebut meskipun beliau maklum lantikan dalam kabinet ialah kuasa budibicara Ketua Menteri.

Timbalan Setiausaha Agung SUPP merangkap ADUN Bawang Assan itu sebenarnya bukan sedih beliau tidak menjadi Timbalan Ketua Menteri. Sebenarnya beliau sedih kerana kaum Cina hilang jawatan kedua tertinggi dalam cabang eksekutif. Sejak turun temurun, jawatan Timbalan Ketua Menteri I diwarisi SUPP.

Ini pula petikan akhbar Utusan Borneo bertarikh 30 September 2011.

[Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan percaya jawatan Timbalan Ketua Menteri I akan menjadi milik parti itu semula.

Dr Chan yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri berkata tidak ada makna SUPP dan kaum Cina sedih berikutan mereka ‘kehilangan’ jawatan berkenaan dalam kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kelmarin.

“Keputusan itu merupakan budi bicara Ketua Menteri. Sudah tentu tidak semua pihak puas hati, jika ini berlaku sudah pasti kita sekarang berada di syuarga,” katanya.

Dr Chan yang tewas dalam mempertahankan kerusi DUN Piasau menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April lepas berkata lagi, tanpa jawatan itu wakil rakyat dan pemimpin SUPP masih boleh berkhidmat untuk rakyat.

Katanya, keikhlasan dan kesungguhan berkhidmat menyelesaikan masalah rakyat adalah lebih mustahak berbanding menduduki apa jua jawatan dalam kabinet.

Menurut beliau, SUPP perlu bangkit dan memulihkan semula sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap parti.

“Tidak semestinya jika ada jawatan (Timbalan Ketua Menteri) ia akan memberi lebih kesan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“SUPP perlu lebih kuat, tidak boleh tewas dengan pembangkang dalam mencari penyelesaian dengan kerajaan,” katanya.]

Yang Saya Nampak berpendapat SUPP tidak wajar mengenang kembali kisah lama. Mereka perlu memikirkan mengapa sokongan orang Cina semakin berkurangan. Tidak semua masalah ini berpunca dari dalaman SUPP.

Ini ialah lumrah masyarakat yang bergerak ke arah kemajuan. Apabila sesebuah masyarakat mula mencapai tahap kemajuan, tahap pemikiran mereka turut berubah.

Dahulu mungkin orang Cina sekadar menerima apa yang diberi, tetapi sekarang mereka mula meminta dan mengkritik. Mungkin kritikan itu ada baiknya dalam memperbetulkan kepincangan.

Tetapi jika semua benda hendak dikritik dan dipolitikkan, ia akan menjejaskan proses pembangunan. Jika kerajaan asyik diganggu dalam melaksanakan amanah rakyat, sampai bila agaknya pembangunan dapat dilaksanakan.

Sementara itu, James Masing dikaitkan dengan jawatan Timbalan Ketua Menteri berikutan beliau menerajui PRS yang memiliki kerusi kedua terbanyak selepas PBB.

Sejurus keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, ada pihak yang mengatakan Masing akan naik pangkat menjadi Timbalan Ketua Menteri berdasarkan kedudukan ketika itu.

Semua pihak bebas meneka dan memberi hujah bagi menyokong pendapat mereka, tetapi yang pasti pelantikan dalam kabinet negeri adalah terletak di tangan Ketua Menteri. Beliau mempunyai kuasa sepenuhnya dalam menentukan barisan pentadbiran negeri.

Ada yang menganggap pengumuman Abdul Taib itu sebagai antiklimaks apabila apa yang diteka mereka tidak menjadi. Ketua Menteri mengekalkan Tan Sri Alfred Jabu Numpang sebagai timbalannya. Tidak ada timbalan satu atau dua dalam kabinet kali ini. Cuma yang ada, Masing, Soon Koh dan Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dilantik sebagai Menteri Kanan.

 

Kabinet Sarawak dirombak.

In Politik on September 27, 2011 at 3:19 pm

Rombakan kabinet negeri Sarawak dijangka diumumkan Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Rabu, 28 September 2011, iaitu kira-kira lima bulan lebih Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas menang Pilihan Raya Negeri ke-10 pada 16 April.

Sumber mengatakan Abdul Taib akan mengadakan sidang media khas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, Kuching, kira-kira pada jam 3 petang selepas pada minggu lalu beliau memberitahu media rombakan kabinet akan diumumkan dalam minggu ini.

Ramai pemerhati politik tertunggu-tunggu apakah bentuk kabinet yang akan diumumkan ketua menteri. Adakah ia membabitkan banyak rombakan meskipun beberapa kali Abdul Taib sebelum ini menafikan wujud perubahan drastik? Siapa anggota baru?

Abdul Taib merupakan Ketua Menteri yang berpandangan jauh, dan segala perancangannya dilakukan dengan teliti agar ia selari dengan perancangan pembangunan ekonomi yang dirangkanya.

Beliau pada minggu lepas turut memberitahu rombakan itu akan menyaksikan perbezaan pendekatan dalam melaksanakan pembangunan.

Apakah bentuk keanggotaan dan struktur kabinet, itu masih menjadi rahsia ketua menteri.

Kabinet sekarang dianggotai 10 menteri dan 12 menteri muda. Kebanyakan anggota ialah sama dengan kabinet sebelum ini susulan Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 16 April 2011.

Bagaimanapun, jawatan timbalan ketua menteri satu kosong berikutan Presiden SUPP Datuk Patinggi Dr George Chan tewas kerusi DUN Piasau pada pilihan raya tersebut.

Susulan itu, wujud khabar angin mengatakan sama ada Timbalan Setiausaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh atau Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing mungkin dilantik menggantikan Dr Chan.

Soon Koh kini merupakan Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam. Masing pula Menteri Kemajuan Tanah.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri selama ini dipegang oleh SUPP, tetapi susulan prestasi pilihan raya negeri yang jatuh merudum kebelakangan ini memungkinkan ia beralih tangan kepada PRS.

Beberapa orang pemimpin SUPP tidak setuju agar SUPP terus diberi kepercayaan memegang jawatan kedua tertinggi kedudukannya dalam kabinet negeri Sarawak.

Akhbar The Star baru-baru ini dipetik berkata Soon Koh merupakan calon yang digemari Abdul Taib jika SUPP kekal memegang jawatan tersebut. Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan dan ADUN Senadin Lee Kim Shin merupakan dua wakil rakyat SUPP yang menang dalam pilihan raya April lepas di kawasan majoriti pengundi Cina.

Selepas pilihan raya berkenaan, juga terdapat enam kekosongan jawatan menteri muda susulan kekalahan tiga bekas menteri muda, dan juga berikutan tiga orang tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi masing-masing.

Tidak berapa lama selepas pilihan raya, Abdul Taib melakukan perubahan sedikit terhadap kabinetnya dengan mengumumkan beliau mengambilalih portfolio Pembangunan Perindustrian, manakala Datuk Amar Abang Johari Tun Openg diberi portfolio Pelancongan dan Warisan. Dua portfolio itu sebelum ini dipegang oleh Dr Chan.

Kabinet itu turut menyaksikan Tan Sri Adenan Satem dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas khas pada Julai. Beliau sebelum ini bertindak sebagai Penasihat di Pejabat Ketua Menteri.

BN negeri Sarawak dibentuk oleh empat parti komponen, yakni PBB, SUPP, SPDP dan PRS.