YangSaya Nampak

Posts Tagged ‘loteri’

Kemalangan jalan raya, pengguna lain berpesta.

In Masalah masyarakat, Sosial on November 8, 2011 at 5:06 pm

SUDAH menjadi lumrah di Malaysia, malah juga demikian perihalnya di Kuching, jika berlakunya kemalangan jalan raya. Jalan akan jadi sesak, sama ada kemalangan itu besar atau kecil.

Adakah itu prihatin atau menyibuk? Sukar hendak membezakan dua sikap tersebut yang menyebabkan kesusahan kepada pengguna jalan raya lain. Apatah lagi jika jalan berkenaan sempit dan waktu kemuncak seperti awal pagi dan lewat petang pada hari-hari bekerja. 

Meletihkan kaki jika anda memandu kereta jenis ‘gear manual’ kerana perlu kerap menukar gear dan menekan ‘clutch’. Mereka yang duduk dalam kereta gear automatik mungkin masih boleh senyum sambil menekan minyak dan memegang steering.

Bukan kita tidak menggalakkan orang ramai membantu mereka yang jadi mangsa kemalangan, tetapi kadang-kadang disebabkan kemalangan kecil dan tidak mendatangkan halangan kepada lalu lintas pun boleh mendatangkan kesesakan.

Pada minggu lepas, dua buah kereta terbabit dalam kemalangan kecil akibat pemandu belakang terlanggar belakang kereta lain. Kes ini berlaku di Jalan Matang, sekitar di Batu 5. Lebih merumitkan ia berlaku pada petang hujung minggu, yakni ketika orang ramai ingin keluar shopping. Mujur bukan masa hujan.

Bayangkan sebab dua buah kereta itu diletak di bahu jalan (tidak menghalang lalu lintas dan tidak ada orang cedera), kesesakan jalan membabitkan kira-kira dua kilometer. Pergerakan lalu lintas perlahan disebabkan pemandu lain ingin menjenguk ke luar tingkap untuk mengetahui apa yang berlaku. Mungkin juga ada yang ingin tahu nombor pendaftaran kereta itu sesuai untuk dibeli tiket loteri.

Itu yang amat dikesali dengan sikap pengguna jalan raya di negara kita. Terlalu suka menyusahkan orang di belakangnya. Prinsip pemandu sebegitu mungkin sesuai dikatakan begini “aku dah lepas dan tadi aku sengsara, apa salahnya aku melihat dan memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan ini”. Sikap sebegini sungguh menyakitkan.

Selain itu, ada juga sikap pemandu yang sungguh menjengkelkan. Golongan ini kerap meletakkan kenderaan berlapis-lapis di bahu-bahu jalan. Jika semua pemandu memiliki sikap sebegini, jalan raya yang dibina empat lorong pun boleh jadi satu lorong sahaja jadinya.

Cuba perhatikan kawasan di Kuching seperti depan Sarawak Plaza, depan Open Air, depan Hotel Merdeka Palace dan banyak lagi. Jalan yang besar jadi sempit disebabkan sikap buruk golongan terbabit.

Jalan sesak mengundang kesukaran