YangSaya Nampak

Posts Tagged ‘BN’

Manifesto BN Sarawak dilancarkan.

In Uncategorized on April 17, 2013 at 11:20 pm

Pengerusi BN Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud petang tadi melancarkan manifesto BN Sarawak di Kuching.

Ia merupakan tambahan kepada manifesto BN peringkat pusat, yang dicetak dalam empat bahasa – melayu, inggeris, iban dan mandarin.

Taib yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata manifesto itu cuba menjelaskan kepada rakyat tentang perancangan dan polisi BN.

Ia bertujuan membangunkan Sarawak sebagai sebuah negeri maju.

Antara lain, manifesto itu menyentuh tentang kebangkitan ekonomi yang bakal dikecapi rakyat dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Kandungan manifesto tersebut wajar dijadikan panduan oleh pengundi dalam menilai parti yang berwawasan.

Krisis SUPP: Jangan sampai DAP suka hati!

In Barisan Nasional, Politik, SUPP on December 8, 2011 at 3:12 pm

APAKAH ini menampakkan kematangan pemimpin SUPP dalam berpolitik terutama dalam pemilihan jawatan presiden parti pada Ahad ini?

Matangkah kita apabila musuh sedang mengukuhkan kedudukan di luar sana, sedangkan kita sesama kita dalam rumah bertelagah tentang kuasa dan saling dakwa mendakwa “akulah yang paling layak jadi ketua”.

Perebutan kuasa dalam politik memang lumrah, sebab politik ialah kuasa dan sebaliknya kuasa adalah politik. Tetapi biarlah masanya sesuai dan bukannya, dalam kes SUPP, ketika parti memerlukan kebangkitan dalam meraih sokongan pengundi.

Sudahlah teruk prestasi dalam pilihan raya negeri yang diadakan pada April 2011, dan kini lebih teruk bertelagah sesama sendiri. Tidak adakah jalan kompromi untuk menyelesaikan keadaan dan meletakkan parti tersusun semula?

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sim Kheng Hui baru-baru ini memberi kenyataan kepada akhbar bahawa SUPP memerlukan transformasi. Proses itu wajar dimulai dengan pertandingan bagi memilih presiden baru.

Tan Sri Dr George Chan akan mengundur diri dari jawatan presiden berikutan kekalahan teruk parti itu pada April 2011.

Kini Timbalan Setiausaha Agung Dato Sri Wong Soon Koh dan grup saingan menuju jawatan presiden, Setiausaha Kerja Datuk Seri Peter Chin Fah Kui telah mewujudkan dua puak dalam parti komponen BN negeri Sarawak itu.

Mula-mula Bendahari Datuk David Teng mengemukakan hasrat bertanding jawatan nombor satu SUPP itu, tetapi mungkin, setelah melakukan ulangkaji sedikit bahawa akan tewas di tangan Wong Soon Koh, dia membentuk kumpulan bersama Peter Chin yang didakwa berpotensi tinggi dalam mencapai matlamat.

Dan setakat artikel ini ditulis, SUPP kecoh apabila grup Wong Soon Koh enggan menyertai perhimpunan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) yang bermula 8 Disember 2011 dengan perhimpunan Pemuda dan Wanitanya.

Mereka memulaukan (boikot) TDC yang akan menyaksikan kemuncaknya pada Ahad (11 Disember 2011).

Grup yang dianggotai wakil rakyat SUPP, selain Wong Soon Koh, terdiri daripada Datuk Richard Riot Jaem, Datuk Lee Kim Shin, Datuk Tiong Thai King, Datuk Francis Harden Hollis, Dr Jerip Susil, Johnical Rayong Ngipa dan Ranum Mina.

Grup Peter Chin cuma menyaksikan pembabitan pemimpin kanan dalam parti tetapi majoriti tewas dalam pilihan raya. Berikutan penguasaan grup Peter Chin dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), grup Wong  Soon Koh mendakwa wujud penyelewengan dalam proses pengundian bagi memilih barisan kepimpinan di peringkat cawangan pada November 2011.

Lantaran itu beberapa cawangan mengemukakan aduan terhadap salah laku itu dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan tujuan CWC akan mengadakan pengundian semula bagi memperbetulkan keadaan.

Dr Chan yang dipetik menerusi akhbar baru-baru ini berkata, apa yang didakwa sebagai penyelewengan sebenarnya salah faham. Dan ia lumrah dalam pertandingan apabila ada pihak tidak puas hati mengadu dengan pihak lain.

Justeru, tidak ada keperluan untuk CWC mengadakan pemilihan semula di beberapa cawangan yang terbabit.

Grup Wong Soon Koh masih tidak puas hati dan selanjutnya mereka mendapatkan nasihat daripada ROS berhubung dakwaan cawangan-cawangan tersebut. Bagaimanapun setakat ini ROS tidak mengumumkan apa-apa keputusan berhubung aduan itu. Cuma mereka menghantar surat nasihat kepada Sim Kheng Hui sebagai setiausaha agung parti agar menjalankan pemilihan berpandukan perlembagaan parti.

Apabila perasaan tidak puas hati itu meluap-luap, pada Khamis (8 Disember 2011) mengumumkan untuk memboikot TDC itu.

Apa kesudahan? Jika Peter Chin menang pun, tidak semestinya dia mampu melakukan proses pemulihan dalam SUPP dengan sempurna tanpa sokongan grup Wong Soon Koh. Begitu jua Wong Soon Koh jika menang hanya akan menambah sakit hati di kalangan grup Peter Chin. Itukah klimaks drama politik ini?

Bukan itu yang kita ingin saksikan. Kita ingin menyaksikan puak bertelagah dalam SUPP berdamai dengan menghulurkan tangan sebagai tanda untuk mengukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

BN negeri Sarawak wajar mempertahankan kredibilitinya sebagai penyumbang terbesar terhadap kemenangan BN di peringkat Parlimen. Jika SUPP begini rupanya, parti majoriti Cina itu hanya akan terus hisap jari melihat DAP menyapu semua kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum kelak.

Adakah SUPP suka dijadikan bahan lelucon oleh DAP yang kian hari semakin riak bahawa rakyat kian suka akan corak politik dimainkan mereka?

 

DAP terperangkap dalam ‘game’ sendiri.

In Barisan Nasional, Pilihan Raya Umum, Politik on November 10, 2011 at 4:16 am

DALAM keghairahan meraih sokongan rakyat terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang masih belum menunjukkan tanda-tanda konkrit ke arah itu dalam masa terdekat, Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah tersilap langkah.

Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlanjur kata tubuh binasa”. Mungkin DAP cuba menunjuk-nunjuk kepada rakyat yang pengecilan saiz anggota perkhidmatan awam dapat menjimatkan kos operasi kerajaan.

Pemimpin DAP sekadar melihat ia dari satu sudut, iaitu menjimatkan wang kerajaan. Tetapi mereka tidak sedar hakikatnya setiap penjawat awam yang dilantik mempunyai tugas dan peranan masing-masing.

Malahan secara tidak langsung kerajaan membantu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Harus diingat bahawa mentaliti lepasan sekolah pada masa kini masih terikat dengan mencari pekerjaan dalam sektor awam.

Tidak ramai Bumiputera berfikiran seperti Cina yang lepas habis pengajian akan membuka perniagaan sendiri dan tidak berminat dengan sektor kerajaan.

Ada dakwaan mengatakan DAP sering melabelkan kakitangan awam sebagai hanya membazir wang rakyat kerana tidak di pejabat kerajaan tidak banyak tugasan hendak dilakukan.

Terlalu ghairah berpolitik, DAP kini sengasara untuk menebus balik kenyataan mereka yang boleh diibaratkan umpama “meludah ke langit, air liur terkena muka sendiri”.

Lantaran itu, ada di segelintir pihak menyifatkan DAP sebagai tidak patut apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kakitangan awam yang ada sekarang pun tidak cukup untuk memenuhi kehendak rakyat, kenapa pula perlu dikurangkan jumlah kakitangan awam.

“Saya langsung tidak setuju dengan perkara ini kerana ia akan menjejaskan mata pencarian ramai kakitangan awam di negara ini,” kata seorang kakitangan kerajaan.

Ada juga yang risau jika syor itu diterima dan digunapakai akan menimbulkan peningkatan kadar pengangguran negara.

“Cadangan DAP ini tidak masuk akal. Mengapa baru sekarang mahu bangkitkan isu ini sedangkan kita sedia maklum penjawat awam sebenarnya banyak membantu membangunkan negara,” kata seorang lagi penjawat awam.

Di Sarawak, terutama selepas dua Pilihan Raya Negeri – 2006 dan 2011 – DAP beranggapan mereka merupakan parti pembangkang yang mempunyai masa depan cerah dalam arena politik. Justeru, mereka kini turut memberi tumpuan terhadap kerusi-kerusi Dayak di pinggir bandar. Dan ini seolah-olah mengatakan PKR dan PAS tidak berupaya berbuat seperti mereka.

Berikut ialah laporan akhbar Utusan Borneo. www.theborneopost.com

8 November 2011

Pengurangan kakitangan awam boleh jejas kualiti penyampaian: Fadillah

KUCHING: Pendekatan yang mahu diambil oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk mengurangkan kakitangan awam bagi mengurangkan perbelanjaan negara disifatkan sebagai tidak wajar kerana boleh menjejaskan kualiti penyampaian dalam sektor tersebut.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata, parti tersebut sepatutnya menjalankan kajian secara terperinci sebelum mengemukakan sesuatu perkara.

“Bercakap memang senang. Kalau dikurangkan adakah ia baik kepada negara? Apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk menambah baik perkhidmatan kerana mengurangkannya tidak semestinya akan menambah baik walaupun dari segi perbelanjaan, kita (perlu berbelanja) besar.

“Dalam kerajaan kalau nak mengadakan sesuatu program, kita buat secara menyeluruh, sebab itulah kita laksanakan program transformasi… jadi bagi saya, pendekatan (DAP) itu mungkin tidak tepat kerana mereka tidak menyelidik dulu perkara yang sepatutnya diketahui mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program ibadah korban di Surau Darul Ibadat, Kampung Astana Lot, Petra Jaya, di sini semalam.

Laporan akhbar menyebut, sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum akan datang dan berjaya memegang tampuk pemerintahan, perkara pertama yang akan dilakukan mereka ialah mengurangkan bilangan kakitangan awam.

Setiausaha DAP Tony Pua Kiam Wee yang dipetik berkata, perkara itu merupakan langkah pertama yang akan dibuat pakatan pembangkang dalam usaha mengurangkan perbelanjaan negara.

Fadillah yang juga ketua Pemuda Barisan Nasional berkata, pendapat pelbagai pihak juga perlu diambil kira dalam melaksanakan sesuatu perkara.

“Komitmen BN adalah melihat kepada pendekatan rancangan transformasi yang dibuat secara terperinci dan mengambil pendapat pelbagai pihak seperti swasta, kakitangan awam dan masyarakat kita sepenuhnya,” katanya.

 

Itukah salam damai dari Mawan untuk SPDP 5?

In Politik on October 24, 2011 at 4:37 pm

SEWAJARNYA anggota SPDP 5 merenung kembali perjuangan mereka dalam BN yang menuntut para pemimpin bersatu padu dan berbincang. Dari situlah mereka mungkin akan sedar bahawa mereka hampir tersasar dari landasan perjuangan.

Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom pada 24 Oktober 2011 membayangkan kesediaannya untuk berdamai dan sekali gus mengelakkan konflik dalaman parti tersebut daripada berlarutan dan semakin teruk, lantas membawa kepada pembubaran parti.

Di sebalik konflik, Mawan cuba ‘memujuk’ Datuk Peter Nansian (DUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri Muran (DUN Marudi), Datuk Dr Tiki Lafe (Parlimen Mas Gading), Rosey Yunus (DUN Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (DUN Batu Danau) dengan menaruh keyakinan terhadap mereka.

Salam damai itu seharusnya diberi renungan mendalam oleh SPDP 5. Demi kepentingan parti dan demi perjuangan BN yang membela rakyat. Jika konflik berterusan, dikhuatiri tanggungjawab utama mereka berkhidmat kepada rakyat akan terjejas.

Situasi ini jika berlaku akan menggugat sokongan rakyat terhadap BN. Apatah lagi Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan pada bila-bila masa. Sudah pasti sokongan yang merudum bakal membawa kekalahan BN.

Pada hari-hari berikutnya, kita suka mendengar salam damai itu disambut dengan baik oleh SPDP 5.

Berikut ialah laporan Bernama.

MIRI, 24 Okt – Walaupun lima wakil rakyat SPDP mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan presiden Tan Sri William Mawan Ikom, namun beliau tetap menaruh keyakinan terhadap mereka.

Beliau berkata Datuk Peter Nansian (DUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri Muran (DUN Marudi), Datuk Dr Tiki Lafe (Parlimen Mas Gading), Rosey Yunus (DUN Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (DUN Batu Danau) adalah antara pemimpin yang beliau rasakan boleh menggantikan beliau menerajui parti pada masa depan.

“Saya berkeyakinan penuh terhadap mereka, mempunyai banyak harapan pada diri mereka, yang boleh menggantikan saya pada masa akan datang. Lagipun, saya yang menaikkan mereka.

“Saya tidak mengatakan mereka tidak baik. Saya tidak menyatakan mereka salah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sesi pemimpin bertemu dengan rakyat di Rumah Panjang Henry Gomes di Ulu Teru, Baram, kira-kira lapan jam perjalanan dari sini, Ahad malam.

Nansian yang juga merupakan Naib Presiden Kanan SPDP bersama dengan Naib Presiden Entri, Dr Tiki,  Rosey dan Ketua Penerangan Paulus, bertelingkah dengan Mawan berikutan keengganan mereka menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi parti sejak dua tahun lepas.

Kumpulan berkenaan yang digelar SPDP Five mendakwa Mawan gagal mengotakan janjinya untuk mengekalkan status quo dalam kepimpinan parti apabila menggantikan Entri dengan bekas ADUN Ba’Kelalan Nelson Balang Rining sebagai Setiausaha Agung.

Ini telah menyebabkan Entri dan empat yang lain keluar dari mesyuarat Majlis Tertinggi. Sejak itu mereka tidak pernah menghadiri mesyuarat tersebut.

Berhubung surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadap Entri bulan lepas, Mawan berkata ia hanyalah sebahagian daripada proses siasatan yang dilaksanakan oleh jawatankuasa disiplin parti dan tidak harus dianggap sebagai satu hukuman.

“Malah sehingga kini pintu saya masih terbuka tetapi pada masa yang sama anda tidak boleh bertolak ansur dengan mekanisme parti. Kami mempunyai sistem. Saya tidak boleh (sewenang-wenangnya) ketepikan ini (peraturan dan undang-undang parti) begitu sahaja,” katanya.

*** Juga baca …

Keratan akhbar The Borneo Post bertarikh 25 Okt 2011

SPDP dan SUPP diambang perpecahan?

In Politik on October 17, 2011 at 4:24 pm

DUA parti komponen BN Sarawak ini menjadi tumpuan pemerhati politik tempatan pada masa ini.

SUPP dan SPDP masing-masing merupakan parti-parti yang tewas banyak kerusi di tangan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, 16 April 2011, berbanding PBB dan PRS.

Menjadi tumpuan kerana mereka ada cerita hangat pada masa ini.

SPDP mendapat perhatian apabila lima wakil rakyat atau dikenali SPDP 5 kini terang-terang menyatakan ketidakpercayaan mereka terhadap Presiden Tan Sri William Mawan Ikom. SPDP 5 dianggotai Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entri Muran, Datuk Dr Tiki Lafe, Rosey Yunus dan Paulus Palu Ngumbang.

SUPP pula menyaksikan persaingan awal dalam usaha merebut jawatan presiden menjelang perhimpunan perwakilan pada Disember 2011. Semalam Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mengesahkan bakal bertanding merebut jawatan yang bakal dikosongkan Tan Sr Dr George Chan. Peter Chin akan bertemu Dato Sri Wong Soon Koh.

Perkembangan politik Sarawak pada masa ini menjadi menarik kembali apabila hal dalaman dua parti ini menghiasi dada akhbar harian di Bumi Kenyalang.

Persamaan hal dalaman dihadapi dua parti itu sekarang ialah ia dikhuatiri bakal membawa perpecahan lebih teruk dan menutup peluang untuk menyatupadukan puak-puak di dalamnya.

Apatah lagi konflik Mawan vs SPDP 5 kini kian menyerlah apabila masing-masing mula mempamerkan kumpulan penyokong dari segenap penjuru negeri. Mula ingin menunjukkan kekuatan kumpulan.

Wajar juga dinyatakan di sini apabila Mawan kelihatan ‘cool’ ketika berhadapan konflik dengan SPDP 5.

Menteri Pembangunan Sosial itu tidak melenting dan berbalas-balas kenyataan menerusi akhbar. Mungkin dia yakin mengeruhkan keadaan dengan memberi kenyataan balas di akhbar akan hanya memburukkan keadaan. Tiada penyelesaian menerusi akhbar.

SPDP 5 yang mempunyai Nansian sebagai jurucakap lebih gemar membuka pekung di dada. Adakah boleh disimpulkan tindakan mereka mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan wujud rasa tidak percaya terhadap Mawan berpunca kerana tidak ada saluran untuk meluahkannya dalam parti?

Benarkah SPDP 5, bertindak memulaukan kepemimpinan Mawan, kerana tidak mengekalkan status quo barisan pimpinan parti yang dijanjikannya sebelum perhimpunan perwakilan pada 2009, termasuk menggantikan Sylvester Entri dengan Nelson Balang Rining sebagai Setiausaha Agung? Atau SPDP 5 mengetahui sesuatu yang sukar didedahkan kepada umum kerana ia sesuatu yang rumit?

SUPP, sebuah parti politik tertua di Sarawak, sejak Pilihan Raya Negeri Sarawak kesembilan pada 2006 terumbang-ambing dalam mencari haluan agar dapat memulihkan semula sokongan rakyat terutama di kalangan pengundi Cina.

Sejak itu, acapkali para pemimpin atasan SUPP melaungkan gerakan memperbaharui parti. Pembaharuan itu pula tidak semestinya membabitkan proses menukar pemimpin senior dengan pemimpin junior secara total.

Pembaharuan dimaksudkan mereka ialah mengubah cara pemikiran agar parti mempunyai corak perjuangan  yang sejajar dengan perjuangan zaman.

Akibatnya, mereka hampir tersungkur sepenuhnya pada Pilihan Raya Negeri ke-10 setelah menyaksikan ramai calon mereka tewas di tangan DAP. George Chan turut menerima nasib malang apabila ditumpaskan pendatang baru politik di DUN Piasau.

Justeru, bekas Timbalan Ketua Menteri itu enggan mempertahankan jawatannya menerusi pemilihan parti pada perhimpunan perwakilan Disember 2011 kelak. Susulannya, kini wujud persaingan antara puak-puak dalam parti bagi merebut jawatan presiden.

Sebelum ini ia hanya membabitkan Datuk David Teng dan Wong Soon Koh. Kini nama Peter Chin telah muncul dan ura-ura tersebut nyata sahih apabila Peter Chin mengakuinya.

Bagaimanakah dua parti komponen BN ini mengakhiri situasi masing-masing, ia satu perkembangan menarik untuk diikuti. Meskipun dua parti ini merupakan pemegang kerusi paling sedikit dalam BN Sarawak, para pemimpinnya masih menduduki jawatan dalam kabinet Sarawak. Maknanya, mereka masih merupakan pembuat polisi pembangunan.

Oleh itu wajar juga bagi mereka memberi tumpuan terhadap tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dan mengelakkan berpolitik sepanjang masa.

DAP, awal-awal dah kecewa …

In Politik on October 10, 2011 at 3:49 pm

JIKA kita tahu seseorang telah menolak cinta, adakah kita akan terus berharap dan memaksa untuk si dia menerima cinta? Bagi mereka yang mementingkan maruah, elok undur diri sebelum lebih kecewa.

Begitulah situasi dihadapi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak sekarang yang (kononnya) mahu berjuang demi Dayak, terutama di kawasan Bidayuh. Difahamkan ‘cinta’ yang ingin dipersembahkan tidak diterima apabila seminar anjuran Majlis Perundingan Dayak (DCC) tidak dihadiri seorang pun peserta.

DAP menggunakan DCC sebagai jentera politik mereka untuk memasuki kawasan Dayak atau pinggir bandar seperti Bau dan Serian. DCC dipengerusikan oleh orang kuat penentang Barisan Nasional (BN), Dr John Brian Anthony yang tewas beberapa kali dalam beberapa pilihan raya lepas.

Seorang lelaki dalam usia pertengahan ketika bersembang di kedai kopi dalam nada sinis mengatakan DAP tidak akan dapat menguasai kawasan pinggir bandar di kawasan Bidayuh. Ujarnya, BN kini amat prihatian dengan tuntutan kaum Bidayuh. Kerajaan mudah diajak berbincang dalam menyelesaikan apa jua masalah – itu katanya sambil membelek-belek surat khabar Cina (cuma tahu tengok gambar) yang memaparkan gambar Wong Ho Leng, pengerusi DAP Sarawak.

Dia ketawa apabila rakan yang duduk semeja sanggup bertaruh DAP akan tidak memenangi mana-mana kerusi parlimen pada pilihan raya umum kelak yang boleh diadakan bila-bila masa sebelum April 2013. “Mana mungkin,” katanya. “Sebab pemikiran Dayak Bidayuh tidak serupa dengan pemikiran Cina di bandar”.

Dia tidak mengulas lanjut mengapa nada suaranya begitu yakin dalam membandingkan corak undian dua kaum tersebut. Banyak andaian tentang puncanya. Tidak perlu bincang dalam artikel ini kerana ia topik yang ‘klise’.

Berbalik dengan seminar ‘kosong’, ia diadakan di sebuah restoran di Siburan, kira-kira 17 batu dari Bandar Raya Kuching, pada pukul 1.30 tengah hari.

Tentu Ho Leng dan Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen kecewa apabila melihat tempat seminar itu masih kosong sehingga pukul 2.30 petang. Akhirnya, penganjur membatalkan seminar.

Seminar itu bertujuan mengatur langkah permulaan untuk DAP memasuki kawasan Bumiputera terutama menjelang pilihan raya umum kelak.

Ho Leng kemudiannya dalam sidang akhbarnya yang dipetik menerusi akhbar tempatan memberitahu, wujud cabaran hebat dalam usaha DAP memasuki kawasan luar bandar Sarawak.

Ini mungkin pengajaran awal bagi DAP yang kini mempunyai impian tinggi selepas menang beberapa lagi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April 2011.

Kawasan majoriti Bumiputera di Sarawak merupakan kubu kuat BN dan ia dijaga baik oleh parti-parti komponen BN terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan SPDP. Agak mustahil jika majoriti Bumiputera tidak menghargai jasa BN terhadap mereka dalam membangunkan kawasan masing-masing.

Tidak bermaksud kaum Cina tidak mengenang budi kerajaan yang selama ini telah membangunkan Sarawak. Undi protes mereka yang diterjemahkan dalam bentuk undian terhadap DAP mungkin disebabkan ada perkara terselindung di sanubari majoriti pengundi Cina.

Ia kini terpulang kepada SUPP untuk merungkaikannya dan kembali memenangi hati pengundi kaum Cina.

SUPP diambang kegelapan.

In Politik on August 31, 2011 at 3:43 pm

Hakikatnya, apabila membincangkan politik di Sarawak, seakan-akan tidak lengkap jika tidak memperkatakan tentang pretasi dan potensi SUPP yang kini semakin suram.

SUPP, sebuah parti komponen BN yang mewakili kaum Cina dalam kerajaan negeri Sarawak, kini dikatakan dalam ambang kemalapan – meskipun beberapa pemimpin SUPP malu mengakui realiti ketika berdepan pengamal media.

Macam-macam usaha untuk mengatasi kemungkinan masa depan SUPP yang gelap. Disember 2011, parti tersebut akan mengadakan Perhimpunan Perwakilan Tri-tahunan (TDC). Ia dikatakan akan membawa SUPP ke era baru apabila ramai beberapa pemimpin lama akan meletak jawatan.

Adakah SUPP hilang semakin banyak sokongan hanya kerana Tan Sri Dr George Chan, presidennya, sudah tua? Jawapannya, tidak! Apa yang sebenar tersemat dalam sanubari para pengundi Cina di bandar, cuma mereka tahu.

SUPP wajar mencari formula terbaik bagi mengekang kemerosotan sokongan. Kemerosotan prestasi SUPP semakin dirasai pada Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak 2006 yang menyaksikan mereka tewas di enam kerusi berbanding 19 kerusi dipertandingkan. Selepas itu, Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, parti tersebut juga kecundang di tangan DAP yang dikatakan kian mekar berkembang ideologi politiknya di kalangan kaum Cina.

Adakah pengundi Cina sekadar suka dengan pemimpin DAP yang petah membantah dan mengkritik apa jua program dan polisi diperkenalkan BN?

Hari ini, Rabu bersamaan 31 Ogos 2011, Bernama melaporkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud SUPP perlu tahu apa yang dikehendaki orang Cina.

Malahan beliau menolak dakwaan beberapa pihak yang mengatakan BN Negeri Sarawak akan menubuhkan satu parti politik baru bagi menggantikan SUPP, dengan harapan ia bakal memperbaiki tahap sokongan orang Cina.

Penganalisis politik Sarawak Dr Jeniri Amir pernah mempersoalkan adakah SUPP dapat dipulihkan dalam waktu terdekat? SUPP yang sakit tenat tidak boleh sekadar diberi pil panadol. Lebih sesuai jika parti tertua Sarawak itu dibedah dan darah yang mengalir di dalam tubuhnya disuntik dengan darah baharu.

Dalam keadaan sekarang, memang tidak mudah bagi para pemimpin SUPP untuk memulihkan parti yang pernah mendapat sokongan padu daripada masyarakat Cina. SUPP kalah teruk dalam pilihan raya April 2011.

Berdasarkan prestasi dalam pilihan raya 16 April 2011, bagai tidak ada sinar di hujung terowong untuk SUPP. Dijangka SUPP akan kalah di enam kerusi bandar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Hakikatnya, dalam keadaan sekarang, terlalu sukar untuk parti itu meyakinkan masyarakat Cina bahawa ia merupakan wadah terbaik untuk menyalurkan masalah dan aspirasi mereka.

Jeniri percaya SUPP perlu menukar pemimpin yang tidak lagi relevan atau sudah tidak lagi diterima oleh pengundi. SUPP juga perlu mendapatkan suntikan idea daripada pelbagai peringkat masyarakat Cina, termasuk NGO-nya bagi memastikan dasar dan tindakannya serasi dengan kehendak rakyat. Usaha sebegini sebenarnya tidak memadai.

Hakikatnya, SUPP pada masa ini berdepan dengan mentaliti para pengundi generasi akan datang – generasi negara maju.

Pada masa ini, SUPP banyak tewas di kawasan bandar – kawasan yang mempunyai lengkap kemudahan, hampir menyamai negara maju.

Mentaliti pengundi di kalangan penduduk bandar adalah amat berbeza dengan mentaliti pengundi di luar bandar yang sekadar berpuashati dengan ‘asal ada makan’. Dalam minda mereka, terutama pengundi yang sudah lanjut usia, kerajaan adalah ejen pembangunan, manakala pembangkang cuba memusnahkan usaha kerajaan.

Tetapi memang benar, pembangkang umpama DAP sekadar bijak memanupulasi keadaan dan media. Mereka seolah-olah bekerja demi rakyat, sebenarnya yang buat kerja ialah parti pemerintah BN.

Bagaimanapun, masa depan SUPP terletak sepenuhnya di tangan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini kelak.

Wajar diingat SUPP mempunyai peranan dan sumbangan besar dalam pembangunan negeri Sarawak. SUPP bukan parti yang bakal mati tanpa sumbangan terhadap negara.

Pembangkang congak menang, PRU menjelang

In Pilihan Raya Umum on August 17, 2011 at 2:43 pm

Siapa yang paling gembira apabila sudah ada kedengaran khabar angin mengatakan pilihan raya umum (PRU) bakal diadakan paling lewat awal tahun depan? Jawapannya parti-parti pembangkang.

Mengapa? Sebabnya, mereka tidak ada kerja lain melainkan berpolitik untuk menguji tahap sokongan rakyat yang sering diragui kerana mereka tidak memiliki pencapaian (pembangunan) boleh dipersembahkan.

Apa yang ada cuma kritikan demi kritikan terhadap usaha kerajaan BN. Tetapi, hakikatnya itu ialah kerja pembangkang memang membantah sahaja.

Siapa kata kerja sebagai pembangkang payah? Panggil wartawan untuk sidang media atau melawat mana-mana tempat yang bermasalah, kemudian cakap apa sahaja asalkan pandai menyalahkan kerajaan dan bergambar menunjuk, misalnya, parit tersumbat.

Kemudian esok hari, muka ada keluar akhbar – itu makna ada buat kerja di mata rakyat. Percayalah, strategi sebegini telah menjadikan DAP, terutama di bandar semakin popular.

Apa sebab? Mereka adalah pelakon handalan, bijak berpura-pura. Konon berjuang demi rakyat, sedangkan matlamat ialah isi poket sendiri. Mereka memperoleh gaji dengan mengkritik dan meletakkan kesalahan di bahu kerajaan semata-mata.

Di Sarawak, dua parti politik pembangkang yang aktif ialah DAP dan PKR. DAP diketuai Wong Ho Leng yang merupakan Ahli Parlimen Sibu dan ADUN Bukit Assek, manakala Baru Bian, ADUN Ba’Kelalan merupakan ketua PKR.

Aktif maksudnya di sini ialah kerap mengadakan sidang media dan muncul di akhbar meskipun ia langsung tidak mempunyai nilai berita bagi mereka yang benar-benar mendukung semangat kewartawanan.

Keaktifan itu membolehkan DAP, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, merampas sehingga lima kerusi Parlimen di Sarawak di dalam PRU nanti.
Hampir pasti, DAP boleh merampas kerusi Parlimen Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri dengan majoriti besar dan mudah tetapi mampu merampas Parlimen Bintulu dengan majoriti kecil. Bagi Parlimen Stampin, pembangkang menang besar di DUN Batu Kawah dan Kota Sentosa melalui DAP dan DUN Batu Lintang melalui PKR.

Di Parlimen Sarikei, kedua-dua kerusi DUNnya iaitu Repok dan Maradong dimiliki melalui DAP manakala di Parlimen Lanang, DAP menguasai kedua-dua DUN Bukit Assek dan menang tipis di DUN Dudong. Lonjakan penguasaan di Lanang adalah disebabkan populariti penyandangnya, Wong Ho Leng yang memperolehi majoriti melebihi 8,000 undi di DUN Bukit Assek.

Di Parlimen Miri pula, satu kerusi DUN iaitu Piasau yang menyaksikan kekalahan Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan kepada calon muda DAP Ling Sie Kiong. Dua DUN lagi, Pujut dan Senadin masing-masing dimenangi oleh DAP dan BN. Di DUN Senadin, PKR hanya kalah tipis 58 undi kepada calon BN.

Sementara itu, kedudukan ‘kelabu’ bagi DAP untuk menang mampu dicapai di Parlimen Bintulu meskipun dua daripada tiga DUN dimenangi oleh BN di Jepak dan Kemena. DAP berjaya mengekalkan kerusi DUN Kidurong dengan menambah majoriti sehingga 7,000 undi jika dibandingkan dengan majoriti sebanyak 1,664 pada PRN 2006.

Yang menarik di Bintulu ialah, DUN Jepak adalah penempatan Melayu/ Melanau dan DUN Kemena lebih ke pedalaman dihuni oleh pengundi Bumiputera bukan Islam. Jumlah pengundi berdaftar di Jepak dan Kemena jika dicampurkan adalah menyamai jumlah pengundi berdaftar di Kidurong sendiri yang kebanyakannya kaum Cina yang tinggal di bandar Bintulu sendiri.

Sementara itu, PKR boleh tambah empat kerusi Parlimen. Denngan meningkatkan penguasaan mereka di tiga kerusi DUN dan pertambahan undi di banyak kerusi DUN yang mempunyai komposisi pengundi Cina dan di kawasan bandar juga membolehkan mereka memberi cabaran kepada BN Sarawak dalam PRU akan datang.

Tentangan yang boleh dikatakan boleh mencabar BN ialah di Parlimen Saratok di mana salah satu DUNnya dimenangi oleh PKR di DUN Krian dan satu lagi DUN Kelaka yang dimenangi oleh BN.

Namun begitu, keadaan nampak lebih mudah di Parlimen Selangau dengan pengundi berjumlah hampir 22,000 orang yang menempatkan DUN Tamin dan Kakus.

Meskipun PKR tewas di kedua-dua kerusi itu yang dimenangi oleh PRS yang penduduknya bermajoriti bumiputera bukan Islam, fakta menarik ialah kemampuan PKR mengurangkan majoriti BN di kedua-dua DUN tersebut jika dicampur dari 5,229 undi pada PRN 2006 kepada hanya 1,894 undi pada kali ini.

Lagi menarik ialah ketika PRU 2008, Parlimen Selangau ini dimenangi BN tanpa bertanding melalui calonnya Joseph Entulu Belaun. Melihat situasi ini, PKR berkemampuan bertanding di sini di dalam PRU 13 nanti.

Tetapi itu sekadar perkiraan atas kertas. Hakikatnya, BN mempunyai banyak kelebihan berbanding parti pembangkang. Pembangunan dan pencapaian ekonomi yang diusahakan BN sejak zaman merdeka lagi agak sukar untuk dinafikan pembangkang.