YangSaya Nampak

Archive for the ‘Sarawak’ Category

Keajaiban alam di Mulu.

In Alam Sekitar, Pelancongan, Sarawak on May 13, 2012 at 9:19 pm

CUBA diam seketika dalam ruang yang gelap hakiki. Padamkan juga semua sumber cahaya lampu suluh, kamera mahupun gajet komunikasi. Di dalam perut gua, ternyata segalanya nampak hitam pekat. Tiada guna membuntangkan mata untuk cuba melihat atau meneka ‘siapa’ dan ‘apa’ yang berada dekat dengan tubuh sendiri.

Dalam situasi seumpama hilang nikmat penglihatan itu, kepekaan deria pendengaran mengambil alih.

Titisan air dari rekahan lelangit gua dan hujung stalaktit ke atas tanah, bongkah batu atau takungan air pun jadi jelas serta bergema.

Sesekali, angin yang berhembus dingin adakalanya kedengaran seperti bunyi lolongan makhluk yang tidak ingin dibayangkan. Mungkin juga bunyi itu menambah kencangnya cungapan nafas mereka yang akluofobia.

“Rasakan apa yang dirasai oleh penghuni-penghuni gua ini. Bukan sekadar anda mengenal habitat ular, kelawar, serangga dan mamalia kecil lain. Bayangkan pada suatu masa dahulu, manusia juga pernah menjadikan tempat ini sebagai pelindung mereka,” terlantun suara seorang wanita yang dalam nadanya, bagaikan sengaja mencetus mood seram.

Usai lima minit disuruh bergelap sebegitu, arahan diberi kepada para peserta untuk menghidupkan semula lampu suluh masing-masing. Arahan itu sebenarnya datang daripada Syria Lejau, seorang jurupandu gua berpengalaman di Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak.

“Itu hanya secebis daripada nilai kehidupan di dalam gua. Semakin jauh anda masuk ke dalam, makin banyak cerita yang anda akan ketahui,” ujarnya sebagai mukadimah ekspedisi.

Eksplorasi gua yang disertai kumpulan Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia (SKUM) itu adalah sebahagian daripada pengisian memperkenalkan program galakan akademik, NatCom: Reaching The Grassroots di Bumi Kenyalang.

FORMASI berbentuk obor-obor ini menjadi tumpuan ramai di Gua Lang.

Kosmo! yang secara eksklusif dijemput menyertai program tersebut dibawa menyusuri rangkaian gua hidup yang kompleks di situ.

Aktiviti ilmiah di Tapak Warisan Dunia UNESCO itu dibahagikan kepada dua hari. Para peserta berkesempatan melawat ke beberapa buah gua seperti Gua Rusa, Gua Lang, Gua Lagang, Gua Angin dan Gua Clearwater.

Sejarah gua hidup

Bermula dengan rasa kagum terhadap formasi unik jutaan kelawar yang terbang keluar dari pintu gua pada lewat petang, Syria mempesonakan kami dengan sejarah geologi Borneo sewaktu membawa kami menyusuri Gua Lagang.

“Pulau Borneo pada mulanya tidak wujud. Puluhan juta tahun lalu, plat bumi bergerak dan bergeser di dasar laut lalu menghasilkan lapisan batu pasir. Seiring peredaran masa, lapisan tersebut semakin meninggi lantas membentuk perairan cetek yang mencetus evolusi pelbagai hidupan.

“Tindak balas mineral di perairan cetek seperti pembentukan kalsium karbonat terus terjadi,” ujarnya.

Syria turut bercerita panjang lebar tentang aturan semula jadi yang akhirnya mewujudkan lapisan batu kapur, batu lumpur dan batu syal. Lapisan-lapisan itu lama-kelamaan tertolak ke permukaan laut lalu membentuk daratan.

Gua juga, menurut Syria, menyimpan pelbagai rekod kejadian alam. Sebagai contoh, kehadiran fosil cangkerang marin yang terenap pada batu dinding Gua Lagang membuktikan teori bahawa Borneo suatu ketika dahulu merupakan lantai samudera.

Di gua yang sama juga, terdapat bongkah batu yang mempunyai pelbagai lapisan berbeza warna, tekstur dan kepadatan. Syria mencuri tumpuan peserta dengan menunjukkan lapisan berwarna kelabu setebal dua ruas jari pada segmen tengah bongkah itu.

“Lapisan ini dipercayai debu daripada letusan gunung berapi Krakatau, Indonesia pada tahun 1883. Selain laharnya yang mendap di laut, debunya turut dibawa arus air bawah tanah lantas membentuk sebahagian daripada fizikal gua ini,” terangnya yang dibalas riak wajah takjub para peserta.

Jangan sentuh

Setiap gua mempunyai tarikan tersendiri. Bagaikan masuk ke sebuah alam ajaib, suasana remang dan mistik itu dilatari landskap jurang, tebing, rongga, juntaian stalaktit, stalagmit yang tumbuh bercerancang, menara (apabila stalaktit bercantum dengan stalagmit) serta heliktit yang tumbuh mengufuk.

Pengerasan mineral yang membentuk pelbagai dimensi begitu mempesonakan. Cuma awas kalau Syria ternampak ada tangan-tangan yang ‘gatal’ mahu menyentuhnya!

“Saya boleh menjerit, memarahi atau menghalau seseorang itu keluar dari gua jika larangan itu tidak diendahkan. Tahukah, anda sebenarnya boleh ‘membunuh’ gua ini sekiranya menyentuhnya?” katanya.

Jelasnya, jari manusia mempunyai minyak atau bahan kimia yang boleh menghalang unsur mineral daripada melekat, misalnya yang dibawa dalam titisan air dari stalaktit ke atas stalagmit.

“Di banyak lokasi gua lain di Malaysia, saya dapati formasi hidup itu menjadi warna hitam dan ‘mati’. Ia gara-gara disentuh, apatah lagi kalau dirosakkan dengan sengaja.

WALAU disambut bau amonia kuat daripada najis kelawar, eksplorasi gua nyata meninggalkan banyak kenangan istimewa.

“Di Taman Negara Gunung Mulu ini, hal seperti itu tidak dibenarkan berlaku sewenang-wenangnya,” tegas Syria.

Susur laluan

Selain menghargai landskap gua yang mencetus rasa ajaib dan mistik, ada seperkara lagi yang mengundang kagum serta tanda tanya. Bagaimanakah agaknya kerja-kerja pemasangan susur laluan dijalankan di dalam gua-gua itu?

Kesemua platform tempat berpijak dibina dengan kukuh namun perlu diadaptasi mengikut rupa fizikal sesuatu zon yang hendak direntasi. Dengan cabaran tebing curam, batu licin, lorong berliku, ruang sempit dan pola kedudukan batuan hidup yang berselerak, ia bukan kerja mudah.

“Menarik bukan? Kontraktor yang bertanggungjawab membuatnya perlu mengikuti kursus etika dan tanggungjawab pemuliharaan serta keselamatan.

“Bukan sekadar memasak kayu dan besi tanpa menjejaskan struktur gua, mereka juga bekerja dengan ketelitian maksimum agar kerosakan serta pencemaran dapat dielakkan.

“Pihak konsultansi taman negara juga memantau penuh sewaktu kerja-kerja pemasangan dijalankan,” jelas seorang lagi jurupandu eksplorasi, Jenny Malang, yang menunjuk arah dalam ekspedisi Gua Rusa.

Sungai bawah tanah

Lawatan terakhir kami adalah ke lokasi gua paling hujung dalam kompleks gua di taman negara tersebut iaitu Clearwater Cave. Mendengar namanya sahaja sudah mencetuskan bayangan tentang sebuah tempat takungan air yang indah. Namun, ganjaran pemandangan sebegitu tidak mudah dikecapi.

Menurut salah seorang peserta eksplorasi yang juga mantan Setiausaha Eksekutif SKUM, Mohd. Zulkifli Hashim, 32, dia amat teruja mengikuti aktiviti treking ke gua berkenaan walaupun menempuh jerih payah di laluan yang jauh, tinggi dan curam.


BENTUK batu yang dikatakan mirip profil sisi wajah Presiden ke-16 Amerika Syarikat, Abraham Lincoln, di dinding Gua Rusa.

“Treking ke Clearwater Cave tidak akan lengkap jika tidak mandi di kolam yang jernih airnya. Rasa letih serta-merta hilang sejurus tiba di situ,” ujarnya yang tidak melepaskan peluang beraksi di dalam air untuk lensa kamera.

Menarik mengenai kolam yang juga kepala sungai itu ialah sifat lembut airnya yang membias warna hijau firus. Air kolam itu sebenarnya muncul dari sistem air bawah tanah yang mengalir melalui celah-celah batu dari kaki bukit.

Di sebalik bukit batu itu pula tersembunyi sebuah terowong gua dengan sistem aliran sungai bawah tanah. Dengan penemuan laluan air yang bersambung dengan sistem gua lain, ia merupakan sungai bawah tanah yang terpanjang di bahagian Asia Selatan iaitu melebihi 150 kilometer!

Segala yang ditemukan di dalam kompleks gua di Taman Negara Gunung Mulu adalah warisan negara yang tidak tertanding kehebatannya. Sememangnya tanggungjawab mengekalkan khazanah itu terletak pada bahu setiap daripada kita yang menghargai kejadian ciptaan Tuhan.

Plat bumi akan terus bergerak. Air akan terus mengalir dan menitis di atas batu. Hujan asid dan bencana gempa di rantau ini juga akan terus meninggalkan kesan terhadap nasib fizikal gua-gua di Mulu. Semua itu tidak seharusnya mengubah apresiasi kita terhadapnya.

Bak kata Syria: “Andainya saya ditakdirkan mati di dalam gua dan sukar untuk ditemui atau dikeluarkan, tinggalkan saja saya. Biarkan mayat saya bersemadi di sini kerana inilah dunia saya”.

Peniaga Pasar Minggu Satok rela tidur di kaki lima.

In Sarawak, Sosial on May 13, 2012 at 8:53 pm

SEBAIK sahaja langkah kaki menghampiri pekarangan Pasar Minggu Satok di persimpangan Jalan Satok dan Jalan Palm di Kuching, pandangan mata semakin meliar tatkala melihat pacakan deretan khemah niaga yang memayungi pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan.

Sedang mata asyik membelek keunikan kuih tumpik, cincin, bakar labu dan apam Sarawak, peniaga di situ tidak putus-putus mempelawa pengunjung yang lalu lalang untuk membeli kuih-muih tradisi Melayu Sarawak itu.

“Datang dari Malayakah? Mahu dicuba dulu kuih-kuihnya? Kalau berkenan beli, kalau tidak, tak mengapa,” ujar peniaga kuih, Noralisa Aceh, 24.

Dia yang ditemani sepupunya, Saleha Ramli, 22, menawarkan sepotong kuih yang masih dibaluti sejenis daun.

“Cuba rasa kuih celorot ini, sedap rasanya,” pelawa Noralisa.

Diperbuat daripada tepung beras dan gula merah, adunan kuih yang teksturnya sedikit kenyal dan manis itu kemudian dibalut dengan pucuk daun nipah sebelum dikukus sehingga masak.

Selain itu, gadis Melayu Melanau ini turut menjual tapai madu yang ramuannya beras pulut, gula dan ragi.

Kata Noralisa, tapai yang dibungkus menggunakan daun nipah lebih enak dan lemak.

“Tapai madu ini dijual pada harga 25 sen sebungkus. Kalau nak tahu, tapai ini cukup popular di Sarawak pada bulan puasa sebagai juadah pencuci mulut.

“Ketika itu, kalau sediakan 4,000 bungkus tapai sehari pun belum tentu cukup untuk penuhi permintaan pelanggan,” ujarnya yang membantu menjual hasil air tangan ibunya itu, Sabariah Ali, 48.

Tidak jauh dari gerai kuih-muih, pandangan mata beralih ke arah deretan gerai yang menjadi tumpuan ramai pengunjung.

SELAIN ikan terubuk masin, ikan terubuk bakar turut dijual di pasar ini dengan harga berpatutan bermula daripada RM10 hingga RM30 seekor.

Penulis tidak pasti apa yang dijual di sana namun kepulan asap nipis yang menyebarkan aroma harum masakan panggang seakan-akan magnet yang menarik sesiapa sahaja ke situ.

Dari celahan orang ramai, kelihatan deretan kepak ayam, ikan terubuk dan ayam pansuh di panggang di atas tungku mudah alih yang sama.

Di belakang gerai tersebut, tersedia beberapa buah meja lipat dan kerusi yang secara tidak langsung memberi pilihan kepada pembeli sama ada ingin menikmati juadah panas-panas di situ atau dibawa pulang.

Bagi pengunjung setia Pasar Minggu Satok, pemandangan seperti itu sudah menjadi kebiasaan kepada mereka.

Malah, pasar yang dipacak di atas jalan raya ini sudah berpuh-puluh tahun menjadi destinasi penduduk kampung dari serata daerah untuk menjual hasil tanaman, sayuran kampung serta buah-buahan yang tidak boleh didapati tempat lain.

“Inilah keunikan Pasar Minggu Satok. Pengunjung boleh membeli pelbagai jenis hasil tanaman dengan harga yang sangat berpatutan.

“Selain itu, mereka berpeluang mengenali pelbagai jenis herba, buah-buahan, tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang digunakan oleh penduduk Sarawak dalam masakan dan perubatan tradisional mereka,” ujar pemandu pelancong, Lenjoe Nigo, 30.

Kata-katanya itu disokong oleh Mohammad Jo, 60, yang sudah lama berniaga buah asam paya di pasar minggu itu.

“Bukan mudah untuk ambil buah ini. Pokoknya tumbuh di dalam hutan tebal dan hanya boleh ditemui ketika musim menuai iaitu antara Mac dan Mei.

“Buah ini menjadi ramuan penting untuk masakan kukus dan dibuat jeruk. Bagi yang mahu elak ulser mulut, cubalah makan asam ini dua biji seminggu,” katanya.

Bagi Helen Wee, 50-an, pula, kepelbagaian jenis nanas yang dijual di gerainya menjadi daya penarik.

“Selain buah nanas, saya juga menjual bunganya. Orang Cina suka beli bunga nanas untuk dijadikan perhiasan topekong,” katanya.

Selain melihat rentak peniaga dan pembeli tawar-menawar, pelbagai hasil hutan yang jarang ditemui ada di sini. Antaranya batang tepus, kechala, kepayang, binjai, jambu ara dan belimbing hutan.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh membeli bermacam-macam jenis kraf tangan dan cenderamata seperti pua kumbu, sumpit dan manik

“Pasar ini beroperasi pada hari Sabtu bermula pukul 3 petang hingga 10 malam. Manakala keesokannya, ia dibuka semula seawal pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari,” kata seorang guru yang berasal dari Samarahan, Norliza Tinggal, 29.

Bercerita tentang keunikan Pasar Minggu Satok, Norliza memberitahu, di sini sahaja pengunjung boleh melihat peniaga memasang kelambu dan tidur di pasar terutamanya yang datang dari Serian dan Serikin yang terletak di sempadan Kalimantan, Indonesia.

Tatkala gelap malam mula menyelubungi Satok, suasana hingar-bingar dengan jerit-pekik suara peniaga yang menjadi nadi pasar itu beransur sepi apatah lagi jalan masih basah dek timpahan hujan lebat petang tadi.

Menjelang pukul 10 malam, tapak pasar itu benar-benar sunyi. Ada tinggal sebahagian kecil peniaga yang masih ada di gerai dan mengemas hasil jualan.

Sementara sekumpulan peniaga lain sudah bersiap sedia untuk merehatkan badan di sebalik tirai kelambu yang dipasang di kaki-kaki lima berhadapan gerai jualan mereka.

TIDUR di tapak pasar sudah menjadi kebiasaan peniaga Bidayuh di Pasar Minggu Satok.

Biarpun hanya beralaskan kanvas yang dilapisi kepingan kotak, tidur mereka cukup nyenyak lantaran keletihan.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Justin, 49, berkata bermalam di situ merupakan rutin mingguan dia bersama isteri dan anaknya yang berniaga hasil hutan dan sayuran.

“Keluarga mertua saya sudah berniaga di sini sejak 30 tahun lalu dan kini isteri saya mewarisinya.

“Kami tidak ada masalah untuk tidur dalam keadaan serba kekurangan. Apa yang penting, perlu ada kelambu kerana banyak nyamuk di sini,” katanya.

Sementara itu, bagi Maria Mayo, 65, dia terpaksa tidur di pasar walaupun kediamannya hanya terletak kira-kira 45 kilometer dari Kuching.

“Walaupun mengambil masa cuma sejam, ketiadaan kenderaan sendiri menyukarkan kami untuk berulang-alik.

“Lagipun kebanyakan peniaga di sini ialah orang Bidayuh yang datang dari kawasan luar bandar seperti Kampung Annah Rais dan Kampung Benuk di Padawan.

“Dari rumah panjang ke sini, kami terpaksa menumpang lori dengan bayaran RM17 seorang tidak termasuk barang jualan yang dicaj sebanyak RM3 setiap satu bakul.

“Bayaran tersebut sudah cukup mahal bagi kami sedangkan hasil daripada jualan tidak seberapa.

“Dek kerana itu, kami memilih untuk bermalam di pasar sahaja. Pendek kata, pasar Satok ini sudah menjadi hotel buat kami.

“Lagipun, jika bermalam di sini, kami mudah untuk menyambung perniagaan awal pagi esok,” katanya yang menjual umbut dan rebung. – Sumber: Kosmo!

Sarawak mahu tarik pelancong perubatan.

In kesihatan, Pelancongan, Sarawak on May 13, 2012 at 8:09 am

image

PRU-13: BN Sarawak kekal gabung muka lama, baru: Taib

In Barisan Nasional, Pilihan Raya Umum, Politik, Sarawak, Sosial on May 7, 2012 at 6:27 pm

BARISAN NASIONAL (BN) Sarawak akan tetap berpegang kepada strategi yang telah terbukti kejayaannya iaitu dengan meletakkan calon muka lama dan baharu atau penyandang bagi sesuatu kerusi bagi pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, muka lama atau penyandang diperlukan kerana mereka berpengalaman dan telah diuji walaupun mereka mungkin kurang aktif.

“Kita perlu muka baharu supaya kita dapat melatih mereka dengan pengalaman kita untuk menjadi pemimpin masa depan. Yang baru juga lebih aktif,” katanya pada sesi bertemu orang ramai di Oya dekat Mukah, pada Isnin.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata parti beliau akan meletakkan satu atau dua muka baharu pada pilihan raya akan datang.

“Semuanya terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pengerusi BN untuk membuat keputusan dan menyokongnya.

“Sudah pasti kita masih memerlukan pemimpin muda yang mahu melihat Sarawak dan negara ini kekal teguh, stabil, bersatu dan progresif,” katanya.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dengan 14 daripadanya dipegang oleh PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (tujuh), enam oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan empat dipegang Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Taib berkata pada pilihan raya negeri lepas, PBB juga meletakkan 10 muka baharu manakala enam daripada 14 Ahli Parlimennya merupakan mereka yang pernah berkhidmat satu penggal.

Beliau juga berkata tiga anggota wanitanya merupakan Ahli Parlimen dan ada kemungkinan mereka akan meletakkan lebih ramai calon wanita dalam pilihan raya pada masa depan. – BERNAMA.

Perbezaan kadar gaji minimum berdasar kajian Bank Dunia.

In ekonomi, Sarawak on May 6, 2012 at 11:13 pm

PENETAPAN gaji mimimum, yang menunjukkan perbezaan kadar antara Semenanjung dan Sarawak, Sabah dan Labuan, adalah berdasarkan kajian terperinci, termasuk oleh Bank Dunia.

Pengiraan kadar berkenaan, yang berdasarkan fakta ekonomi dan statistik, bepandukan kepada lima kriteria iaitu pendapatan garis kemiskinan, gaji penengah, indeks harga pengguna, perubahan produktiviti buruh dan kadar pengangguran yang dirumuskan mengikut formula – RM956.70 bagi Semenanjung manakala Sabah dan Labuan (RM771.58) dan Sarawak (RM781.21).

Selepas menimbang syor oleh Majlis Perundingan Gaji Negara, kerajaan memutuskan bahawa kadar bagi Sarawak, Sabah dan Labuan tidak wajar kurang daripada RM800, iaitu selaras pendapatan garis kemiskinan kebangsaan pada RM800.

Memandangkan gaji penengah untuk Semenanjung ialah RM1,134 berbanding RM738 (Sarawak) dan RM577 (Sabah dan Labuan), kenyataan itu berkata adalah tidak wajar menyatakan bahawa kerajaan menganaktirikan pekerja di negeri-negeri terbabit.

Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya gaji minimum yang ditetapkan itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

Kementerian berkenaan berkata kerajaan seboleh mungkin ingin merapatkan jurang perbezaan antara wilayah, namun perkara itu tidak boleh dilakukan secara drastik memandangkan ia boleh memberi kesan negatif kepada guna tenaga dan ekonomi negara.
Bagaimanapun, penetapan gaji mimimum yang berbeza itu adalah untuk permulaan sahaja dengan kadarnya dikaji semula setiap dua tahun, dan kerajaan berharap dapat diselaraskan kepada satu kadar untuk seluruh negara pada masa akan datang.

Gaji minimum terbabit meliputi semua pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara kecuali perkhidmat domestik, pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya.

Pelaksanaan ia bermula enam bulan dari tarikh perintah gaji mimimum diwartakan dan 12 bulan bagi majikan kecil untuk membuat persediaan sepenuhnya agar perniagaan mereka tidak terjejas. – BERNAMA

Bandar 1Malaysia bakal dibina di Kuching: Abang Johari

In Pembangunan, Sarawak, Sosial on May 6, 2012 at 11:09 pm

KEMENTERIAN Perumahan Sarawak melalui Perbadangan Pembangunan Perumahan (HDC) merancang untuk membina sebuah bandar 1Malaysia di Kuching, kata Menterinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, bandar tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan seperti kedai 1Malaysia, klinik 1Malaysia selain harga rumah yang lebih berpatutan sesuai dengan konsep 1Malaysia.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud tentang lokasi yang sesuai untuk projek terbabit yang sudah pun mendapat sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Projek terbabit akan menjadi contoh kepada pembangunan perumahan di kawasan bandar selari dengan peningkatan gaya hidup di bandar yang moden dan maju dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian karnival ulang tahun ke-40 HDC di Wisma Sultan Tengah di KUCHING pada Ahad.

Mengenai masalah pinjaman perumahan yang sering dihadapi pekerja swasta yang berpendapatan rendah, beliau berkata, satu jawatankuasa telah dibentuk berhubung usaha untuk menubuhkan sebuah agensi pinjaman khas di bawah Kementerian Perumahan.

Katanya, ketika ini jawatankuasa terbabit yang dipengerusikan oleh timbalannya Abdul Karim Rahman Hamzah sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

“Jika penubuhan agensi ini diluluskan, pembeli rumah akan lebih mudah mendapat pinjaman berbanding permohonan di bank yang terlalu rumit serta perlu mendapat kelulusan dari ibu pejabat di Kuala Lumpur yang kurang kurang arif tentang projek perumahan di Sarawak,” katanya.

Menurutnya selain untuk projek perumahan di bawah pihak HDC, Syarikat Perumahan Negara Berhad dan Perumahan Rakyat 1Malaysia, agensi terbabit juga boleh memberikan pinjaman untuk projek rumah panjang di bawah HDC. – BERNAMA

Kerjasama SUPP dan MCA untuk raih kejayaan pilihan raya umum.

In Barisan Nasional, Pilihan Raya Umum, Politik, Sarawak, SUPP on May 6, 2012 at 11:00 pm

SUPP meluaskan kerjasama dengan MCA untuk meningkatkan peluang mereka mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang, kata presidennya Datuk Seri Peter Chin.

Beliau berkata kepimpinan pelbagai peringkat kedua-dua parti itu juga akan meningkatkan komunikasi dan perkongsian maklumat sesama mereka dalam menghadapi pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR-DAP-PAS pada pilihan raya itu.

“MCA mempunyai pengalaman dan kekuatan tersendiri. Kami akan lihat bagaimana kami boleh saling membantu, terutama pada pilihan raya akan datang. Sebelum ini, kerjasama yang dijalin begitu minima, tapi sekarang, ia akan ditingkatkan,” katanya kepada Bernama.

Chin berkata demikian bagi mengulas perjumpaan antara barisan kepimpinan tertinggi SUPP yang beliau ketuai dengan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Kuching pada Khamis.

Bagi memenuhi undangan SUPP, Dr Chua berkunjung ke Sarawak di mana berlangsungnya perbincangan antara kepimpinan kedua-dua parti tentang langkah untuk mengukuhkan kerjasama antara parti komponen Barisan Nasional.

MCA bertanding di kawasan majoriti kaum Cina dan kawasan bandar di Semenanjung Malaysia, manakala SUPP, sebuah parti pelbagai kaum dari Sarawak, memberi tumpuan terhadap kerusi di kawasan bandar dan kawasan bumiputera di negeri itu.

### Semoga SUPP dan MCA mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum kelak.

Sarawak Forestry umum nama orang utan termuda di Semenggoh.

In Alam Sekitar, Sarawak on May 6, 2012 at 9:49 am

Lela, ibu orang utan yang diberi nama Kidding di Pusat Hidupan Liar Semenggok, Kuching.

SARAWAK Forestry Corporation baru-baru ini menamakan seekor orang utan yang berusia dua bulan dengan gelaran Kidding bagi mengingati seorang bekas pekerja mereka, Hillary Kiding Jugah.

Pengarah Urusan SFC, Ali Yusop berkata kelahiran Kidding menjadikan jumlah orang utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh meningkat kepada 25 ekor.

“Kami berbesar hati menamakan orang utan ini sempena nama Hillary Kiding Jugah yang meninggal dunia sewaktu bertugas di Pusat Hidupan Liar Matang.

“Beliau banyak memberi sumbangan dalam pemuliharaan hidupan liar selain mesra dengan semua haiwan di pusat tersebut,” katanya di KUCHING.

Pusat Hidupan Liar Semenggoh ditubuhkan pada 1975 bertujuan memelihara hidupan liar sama ada yang cedera dalam hutan, kehilangan ibu-bapa atau pernah dibela secara haram.

Dalam pada itu, Ali berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan Kidding dan ibunya, Lela bagi memastikan kedua-duanya sentiasa sihat.

“Kami turut mengadakan Program Anak Angkat Orang Utan dan Hati ke Hati bersama Orang Utan bagi menggalakkan orang ramai terlibat sama dalam usaha memelihara hidupan liar,” katanya.

Bina lorong memotong, kurang risiko kemalangan.

In Masalah masyarakat, Sarawak on May 6, 2012 at 9:39 am

KERAJAAN negeri Sarawak merancang membina sebanyak 95 lorong memotong di sepanjang laluan Serian-Bintulu bagi membolehkan pemandu kenderaan memotong dengan selamat, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri itu.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata rancangan tersebut bagaimanapun hanya dapat dilaksanakan secara berperingkat kerana membabitkan kos yang mahal.

“Kos keseluruhan projek ini dianggarkan mencecah RM400 juta namun, kita tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk melaksanakannya sekali gus.

“Sebagai permulaan, kita akan menggunakan peruntukan sebanyak RM50 juta yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan di beberapa lokasi terlebih dahulu,” katanya di Kuching, baru-baru ini.

RM800 gaji minimum di Sarawak dan Sabah sesuai dengan perkembangan ekonomi.

In ekonomi, Masalah masyarakat, Sarawak on May 5, 2012 at 11:53 pm

GAJI minimum RM800 di Sarawak dan Sabah yang rendah RM100 berbanding di Semenanjung Malaysia mencerminkan pertumbuhan ekonomi Sarawak pada ketika ini.

Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom berkata situasi ekonomi negeri itu yang masih dalam proses berkembang menyebabkan gaji minimum lebih tinggi atau sama dengan di Semenanjung Malaysia akan membawa masalah kepada majikan.

“Walaupun pada peringkat tertentu kita setanding dengan Semenanjung, dalam peringkat lain khususnya pertumbuhan ekonomi kita masih ketinggalan kerana kita dalam proses transformasi sebagai negeri maju.

“Jika gaji minimum lebih tinggi daripada RM800, saya percaya majikan akan mengurangkan jumlah pekerja dan ini secara langsung akan mengurangkan peluang pekerjaan,” katanya di KUCHING pada Khamis.

Apabila Sarawak mencapai status negeri maju, rakyat di negeri ini juga wajar menikmati ganjaran setimpal

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman gaji minimum diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini dan kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak yang menyifatkan gaji itu tidak adil.

“MTUC seharusnya memantau pekerja di luar bandar yang sering dimanipulasi oleh majikan yang memberi gaji lebih rendah daripada gaji minimum,” katanya.