YangSaya Nampak

Archive for the ‘Agama’ Category

RASIONAL DIBALIK LARANGAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH GOLONGAN BUKAN ISLAM DI MALAYSIA

In Agama, Sosial on August 23, 2013 at 11:18 am

[Sumber FB page Saya Sayang Tun Dr Mahathir]
Oleh: Mohammad Fedorov

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyayang.

Umum maklum baru-baru ini telah berlaku perbicaraan berhubung cubaan The Herald untuk memfailkan bantahan terhadap rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi penerbitan majalah itu.

Tulisan ini tidaklah berhasrat mengulas panjang berkenaan perbicaraan tersebut tetapi ingin difokuskan di sini berkenaan rasional di sebalik larangan penggunaan tersebut,dan apakah kesannya dalam jangka masa panjang sekiranya ia diteruskan.

Hukum asal di dalam Islam,tidaklah terlarang di dalam Islam sekiranya golongan bukan Islam ingin menggunakan kalimah atau lafaz kata nama ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan atau sembahan mereka.

Ia berdasarkan berberapa nas umum seperti berikut:

1.Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? [1]

2.Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)[ 2 ]

Juga dari sejak zaman sebelum diutuskan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam lagi, masyarakat Kristian di semenanjung Arab juga telah menggunakan lafaz “Allah” sebagai kata ganti kepada “Ilah” atau “Rabb” yang membawa maksud Tuhan.

Namun jika diteliti dan dikaji secara mendalam, terdapat juga nas lain yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah .Antaranya:

1.Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [3]

2.Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa Ibni Mariam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Mariam dan (dia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). [4]

Selain daripada adanya nas-nas, kaedah-kaedah dalam usul fiqh juga terpakai dalam menetapkan tidak boleh bagi orang bukan Islam dalam konteks di Malaysia untuk menggunakan kalimah Allah, antaranya kaedah yang disebut sebagai Sadd Al-Dzara’i.Secara ringkas, kaedah ini bermaksud, mencegah atau menutup pintu-pintu kerosakan.

Atas faktor bimbangnya berlaku manipulasi dalam penggunaan kalimah Allah untuk tujuan menyebarkan dakyah terhadap umat Islam,maka kaedah Sadd Al-Dzara’iy terpakai bagi mengelakkan sangkaan tersebut terjadi sekiranya penggunaan kalimah Allah dibenarkan bagi orang bukan Islam dalam tulisan dan ucapan harian mereka.

Selain dari kaedah yang disebutkan sebelumnya,larangan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam juga membawa maksud untuk mentanzihkan Allah subhanahu wa ta’ala dari sebarang bentuk Tasybih (penyerupaan) mahupun Tajsim (menjisimkan) terhadap Dzat dan Sifatnya yang mana ia merupakan asas-asas yang terkandung di dalam bahagaian Tauhid Rububiyyah

Selain itu,kita juga perlu melihat berberapa kesan yang mungkin dihadapi sekiranya ia masih diteruskan.Kesan yang paling ketara ialah berlakunya usha-usaha memurtadkan umat Islam secara halus.

Selain itu, ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang lemah ilmu agamanya,atau kepada golongan muda yang masih baru bertatih memahami agama.Cuba anda bayangkan situasi dialog seperti ini:

Anak: “Abah, si Ramu itu menyembah Allah juga, tetapi kenapa Allah yang dia sembah itu ada di Kuil?
Abah:Oh, Allah dia dan Allah kita tidak sama nak.
Anak:Oh,maksudnya Allah ada banyak ke abah? Yang mana satu yang kita patut sembah?

Kesan lain dari penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia ialah kebimbangan akan berlaku pluralisma dalam agama.’Perkongsian’ kalimah Allah merupakan salah satu pintu ke arah Pluralisma agama di mana semua agama dianggap sama dan setaraf.Natijahnya tidak mustahil akan ada pihak yang akan memperjuangkan perkahwian intra-agama kerana semua agama telah dipandang sebagai setaraf dan ini yang telah berlaku di Indonesia.

Juga yang paling dibimbangi jika dibiarkan secara terus menerus, ia menjadikan kita seolah-ol;ah bersetuju dengan kekufuran dan mensyirikkan Allah subhanahu wa ta’ala pada Tawhid Uluhiyyah dan juga Tawhid Al-Asma’ wa Al-Sifat di mana apabila Allah digambarkan dengan gambaran yang tidak layak dengan kesempurnaan dan kemuliaan yang layak bagi-Nya.

Justeru,semua umat Islam harus membuka mata dan bersungguh dalam mempertahankan larangan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam, demi memastikan survivaliti ‘Aqidah umat Islam di masa akan datang.

Kepada Allah kita pohonkan petunjuk dan hidayah.

[1]Al-Qur’anul Karim , 48:61
[2]Al-Qur’anul Karim, 31:25
[3] Al-Qur’anul Karim 5:73
[4] Al-Qur’anul Karim 4:171

Advertisements

Pensijilan halal bukan sekadar bebas alkohol dan khinzir.

In Agama, ekonomi, Masalah masyarakat, Sarawak on March 21, 2012 at 12:06 am

HANYA 400 pengusaha kedai makanan orang Islam di negeri Sarawak mempunyai sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), demikian menurut laporan Bernama pada Selasa.

Tidak ada paksaan dalam mendapatkan pensijilan halal kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam tetapi menegaskan mereka tidak boleh mempamerkan logo halal di premis masing-masing jika tiada sijil sah.

Premis yang memperoleh pensijilan halal merupakan kedai yang benar-benar mengikut syarat ditetapkan berpandukan garis panduan dalam agama Islam.

Kita bukan hendak merendah-rendahkan pengusaha kedai makanan Islam yang tidak memiliki sijil halal, tetapi demi pelanggan, mereka disarankan berbuat demikian.

Mana tahu selepas perniagaan mempunyai sijil halal semakin melimpah ruah rezeki diberikan Allah sebagai balasan menjaga kebersihan makan dan minum para pelanggan.

Bila menyebut halal, ia bukan sekadar terikat dengan terma “bebas alkohol dan daging khinzir”, tetapi merangkumi aspek-aspek kebersihan misalnya di ruang penyediaan makanan dan kebersihan pengendali makanan.

Menurut portal rasmi Halal Malaysia, takrif halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975 adalah seperti berikut:

Apabila digunakan berhubung dengan makanan dalam apa-apa juga bentuk dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan sebagai suatu perihal dagangan atau sebagai sebahagian daripada suatu perihal dagangan yang dipakai bagi makanan itu, perbahasaan-perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’ atau ‘Makanan Islam’ atau apa-apa perbahasaan lain yang menunjukkan atau mungkin difahamkan sebagai menunjukkan bahawa orang-orang Islam adalah dibenarkan oleh agama mereka memakan makanan itu maka perbahasaan itu hendaklah mempunyai erti yang berikut, iaitu makanan yang berhubung dengan perbahasaan atau perbahasaan-perbahasaan itu digunakan:

  • bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;
  • tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak;
  • tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut   Hukum Syarak; dan
  • tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang   tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum  Syarak.

Menunjukkan ketegasan kerajaan dalam pensijilan halal ini ialah apabila pihak yang mempamerkan sijil halal yang tidak sah akan dikenakan tindakan undang-undang.

Banyak hotel dan restoran di Sarawak sudah memiliki sijil halal. Mereka menyedari tentang betapa mustahaknya memelihara tahap kebersihan yang disarankan dan diwajibkan dalam mendapatkan sijil halal.

Ada pengakuan para pengusaha restoran yang bukan Islam mengatakan perniagaan mereka semakin laris jualannya apabila memperolehi sijil halal berikutan keyakinan pelanggan Islam apabila melihat sijil halal dipamerkan.

Jadi mengapa pengusaha kedai makanan dan minuman beragama Islam kurang berminat untuk mendapatkan sijil halal? Persoalan itu wajar diselidiki – mana tahu ada cacat cela dalam pelaksanaanya. Kita bukan hendak menghukum golongan seperti itu, tetapi wajar menghulurkan bantuan dalam membolehkan mereka mendapat sijil halal.

Perkembangan industri halal yang dikatakan semakin mendapat sambutan di kalangan penduduk dunia turut digambarkan apabila kerajaan negeri Sarawak membangunkan Tanjung Manis sebagai hab halal dalam lingkungan kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Itu bermakna industri makanan halal semakin mendapat tempat di serata dunia terutama di mata penganut Islam.

Justeru, pengusaha kedai makanan dan minuman Islam yang belum mendapatkan sijil halal, elok rasanya mereka berbuat demikian.

Semoga segala usaha dalam mendapatkan sijil halal diberkati Allah s.w.t.

Isu Henry Ng (Asian Beacon) dan Erykah Badu (The Star) – buang yang keruh dan usah dipanjangkan.

In Agama, Sarawak, Sosial on February 29, 2012 at 11:36 pm

PERSAMAAN antara dua nama di atas ialah (1) menyinggung perasaan sesebuah kumpulan dan (2) ia membabitkan organisasi percetakan umum.

Henry Ng menerusi artikel dalam majalah Asian Beacon yang berjudul ‘Of Skulls and Sago Worms’ telah menyinggung perasaan dan menimbulkan kemarahan di kalangan orang Iban.

Orang Iban dalam artikel majalah terbitan enam kali setahun yang diterbitkan oleh pertubuhan Kristian dikenali sebagai Persaudaraan Asian Beacon Malaysia sejak tahun 1969 antara lain mengandaikan orang Iban sebagai rendah moral.

Kaum majoriti di Bumi Kenyalang itu dibayangkan dengan aktiviti suka meminum arak dan seks.

Utusan Borneo, akhbar di Sarawak dipetik menerusi terjemahan artikel asal berbunyi begini:-

“Iban menikmati rokok dan minum minuman keras, dan mereka sering mabuk semasa musim perayaan atau majlis-majlis khas seperti perkahwinan.

“Mereka juga cenderung untuk menjadi tidak bermoral. Saya telah melihat lelaki dari rumah panjang lain memasuki sebuah rumah panjang yang berbeza untuk mencari wanita.

“Selepas minum tuak mereka akan mengadakan aktiviti seksual dan itu adalah perkara biasa. Para Ibu yang didapati telah menawarkan anak perempuan mereka untuk seks kepada lelaki dengan harapan untuk berkahwin dengan anak perempuan mereka”. 

Majoriti orang Iban menuntut permohonan maaf dan akur dengan desakan itu, pihak Asian Beacon muncul dengan kenyataan menerusi Facebooknya seperti berikut:

APOLOGY FOR ARTICLE TITLED “OF SKULLS AND SAGO WORMS” IN ASIAN BEACON FEBRUARY-MARCH 2012 VOLUME 44 NO: 1

An article titled “Of Skulls and Sago Worms” in our Asian Beacon February-March 2012 bimonthly issue has offended the Iban community.

We deeply regret this incident and sincerely apologise to all our Iban friends and seek your forgiveness.

We are deeply grieved that it has caused ill feelings among the Iban community and again, we wish to convey our unreserved apologies to them.

In the midst of this Lent season and in the spirit of forgiveness, we humbly seek forgiveness and kindness from the Iban community. “Therefore as God’s chosen people, holy and dearly loved, clothe yourselves with compassion, kindness, humility, gentleness and patience. Bear with each other and forgive one another if any of you has a grievance against someone. Forgive as the Lord forgave you.” Colossian 3:12-13

Asian Beacon Magazine [PP2007/10/2012(031036)]

An inter-denominational Christian magazine, published six times a year by a non-profit Christian society Persaudaraan Asian Beacon Malaysia since 1969.

Erykah Badu

Sementara itu, isu membabitkan The Star, ialah apabila akhbar bahasa Inggeris itu menyiarkan gambar penyanyi Amerika Syarikat Erykah Badu yang mempunyai tulisan kalimah Allah di badannya.

Ia dikatakan telah menyinggung perasaan umat Islam terutamanya di negara ini kerana perbuatan penyanyi tersebut disifatkan sebagai menghina kesucian agama Islam.

Dan kerajaan semalam mengarahkan konsert Erykah yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sepatutnya hari ini (29 Feb 2012) dibatalkan serta merta.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menerusi Twitter miliknya menggesa kerajaan supaya pandangannya diambil kira mengenai isu konsert penyanyi itu.

“Konsert Erykah Badu dibatalkan kerana melanggar Garis Panduan Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) iaitu menyentuh sensitiviti agama dan nilai-nilai budaya Malaysia,” kata Rais dalam laporan berita mStar Online.

Bagaimanapun, Rais tidak menyatakan dengan lebih lanjut sama ada pembatalan itu disebabkan penyiaran gambar kontroversi penyanyi tersebut dengan tatu kalimah Allah pada dadanya menerusi sisipan Star Two, akhbar The Star, Isnin lalu.

Dua hari sebelum itu, The Star menerusi laman sesawangnya menyiarkan permohonan maaf berhubung insiden tersebut. Di bawah ialah kenyataan permohonan maaf berkenaan.

Monday February 27, 2012

Apology for Erykah Badu photo

A photograph of American singer Erykah Badu with tattoos of various symbols, including the Arabic word for Allah, was inadvertently published in Star2 today. We sincerely apologise to Muslim readers for this oversight.

Justeru, ada dua pengajaran dalam hal ini.

(1) Berhati-hati setiap kali menyiarkan bahan bacaan untuk umum, jangan sekali-kali terlepas pandang. Memang manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan tetapi ia wajar diminimumkan.

(2) Maafkan mereka yang meminta maaf agar keadaan negara terus harmoni tanpa wujud prasangka yang menjurus terhadap kekacauan.

 

Sarawak tingkatkan penerimaan dan persefahaman kelainan agama.

In Agama, Sosial on February 4, 2012 at 11:30 pm

SERING terdengar ada pihak mengatakan Sarawak merupakan model terbaik dijadikan teladan untuk mencapai suasana harmoni meskipun dihuni oleh lebih 20 suku kaum.

Bukan sahaja kaum berbeza, tetapi kepercayaan dan pegangan agama turut lain-lain. Ada yang Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Bahai dan mengamalkan animisme – itu hak masing-masing untuk memilih.

Lantas, ini kerap menjadi persoalan di benak fikiran orang asing yang datang ke Bumi Kenyalang. Malah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak melabelkan Sarawak sebagai contoh 1Malaysia.

Meskipun demikian, rakyat Sarawak yang menyedari betapa pentingnya perihal perpaduan dan kesatuan dalam membangunkan negeri atau dalam konteks lebih luas, negara Malaysia, tidak sekadar puas hati di takat itu. Mereka mahu kelainan dalam kepercayaan menjadikan mereka lebih kukuh perpaduannya.

Justeru, banyak usaha dilakukan dalam mencapai matlamat mengekalkan keharmonian antara agama. Antaranya baru-baru ini, menerusi sebuah akhbar tempatan The Borneo Post, jawatankuasa antara agama menyiarkan artikel khas mengenai keagamaan setiap minggu.

Presiden Jaringan Antara Agama Malaysia, Dr John Fozdar berkata, biarpun terdiri daripada latar belakang, bahasa dan agama yang berbeza, namun persefahaman dan keharmonian masih dapat dipertahankan.

Perpaduan dalam kepelbagaian agama.

“Perkara inilah yang menjadikan kita sebagai sebuah negara yang unik,” katanya dipetik dalam akhbar, baru-baru ini.

Ya benar, isu agama agak sensitif untuk dibincangkan tetapi dengan minda yang terbuka serta tidak mengekang perkembangan agama lain asal tidak melanggar undang-undang dan tahu batasannya, ia bagi rakyat Sarawak adalah ‘okay’.

Terlalu ekstremis dalam amalan agama turut mengundang malapetaka terhadap sesebuah negara. Tidak salah untuk menjadi seorang yang alim dalam agama masing-masing, tetapi wajar menghormati amalan agama orang lain juga – itulah kunci terhadap kejayaan Sarawak selama ini yang amat wajar dikekalkan.

Dalam mencapai tahap hormat-menghormati agama lain, dialog antara agama merupakan pendekatan terbaik untuk memupuk hubungan baik dan meningkatkan kefahaman di kalangan pelbagai kaum.

Penubuhan Pusat Penerangan Islam di Jalan Ong Tiang Swee di Kuching yang dibuka pada Ogos 2008 merupakan satu lagi bukti amalan agama di Sarawak tidak terhad dalam menyebarkan agama.

Tetapi ia adalah untuk memberi penjelasan kepada penganut agama lain tentang ajaran agama Islam agar orang ramai tidak memandang serong terhadap agama yang disebarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Pusat Penerangan Islam (IIC) dibina dengan menampilkan ciri-ciri kebudayaan pelbagai kaum antara Cina dan Bidayuh. Ia menggambarkan betapa mustahaknya menerapkan sikap hormat-menghormati kaum-kaum lain dalam menegakkan syiar Islam.

Di Malaysia, walaupun Islam dinamakan sebagai agama bagi persekutuan dan Islam satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, agama lain bebas diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan keharmonian.

Sudah pasti perbezaan antara agama itu wujud tetapi yang lebih penting bagi kita sekarang ini bukanlah memperbesar-besarkan perbezaan berkenaan tetapi mencari kesamaan antara agama bagi menjadi nukleus kepada perpaduan kaum serta tidak sampai mempertikaikan ajaran sesuatu agama itu sendiri.

Dialog antara agama dianjurkan bagi memahami dengan lebih mendalam agama lain dan pada masa sama kita hendaklah berhati-hati agar dalam keghairahan berdialog itu, kita tidak terlalu emosi sehingga mempersoalkan ajaran ‘intra agama’ itu yang boleh mengguris hati penganut agama lain.

Seperti kita tidak mahu melihat agama kita diherdik, kita juga sepatutnya tidak menghina agama lain dan bersikap toleran dengan penganut agama lain. Malah ini juga menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.

Bersama kita menjadikan Sarawak kekal sebagai sebuah negeri yang menjadi teladan orang luar dalam merujuk keharmonian antara penganut agama berbeza.

Pembangunan ummah menerusi zakat – Sarawak sasar kutip RM65 juta tahun ini.

In Agama, Sosial on February 3, 2012 at 7:31 pm

ZAKAT sebenarnya adalah salah satu sumber pendapatan masyarakat Islam yang boleh disalurkan kepada usaha memajukan ummah. Jika dilihat pada sejarah kita akan akan dapati bahawa zakat suatu masa dahulu merupakan antara sumber utama ekonomi sebuah negara Islam.

Ada di kalangan umat Islam yang menganggap bahawa zakat yang wajib hanyalah zakat fitrah sahaja maka setiap tahun apabila ia mengeluarkan zakat fitrah ia merasakan bahawa ia telah menunaikan zakat walaupun hartanya banyak dan telah melebihi nisab zakat.

Pengetahuan mengenai hukum-hukum zakat masih berada di tahap yang di bawah minima.

Ramai di kalangan ahli masyarakat yang tidak mengetahui harta-harta yang diwajibkan zakat, pengertian nisab dan haul, kaedah pengiraan wang yang wajib dikeluarkan zakat dan lain-lain sedangkan pengetahuan-pengetahuan ini adalah persoalan asas dan kejahilan terhadapnya menyebabkan wujud sikap ‘ignorant’ untuk menunaikan kewajiban zakat.

Rata-rata didapati wujud ‘double standard’ dalam sikap masyarakat Islam dalam mengamalkan rukun-rukun Islam mereka. Hari ini kita melihat sekelompok masyarakat Islam yang begitu mengambil berat terhadap pengamalan solat, puasa dan haji tetapi penghayatan mereka terhadap pengamalan zakat tidak sama dan sehebat pengamalan ketiga-tiga ibadat tadi.

Didapati di kalangan masyarakat Islam ada golongan yang begitu bersungguh mengumpul wang agar dapat menunaikan haji tapi tidak begitu ramai di kalangan ahli masyarakat Islam yang bersungguh-sungguh mengumpul wang agar ia dapat menunaikan kewajiban zakat harta setiap tahun.

Sedangkan haji dan zakat kedua-duanya adalah rukun Islam dan kedua-duanya adalah kewajiban yang bertangguh (wajib muwassa’). Bahkan jika kita lihat nas-nas hadis dan al Quran kita akan dapati bahawa zakat sentiasa disebut dahulu dari haji.

Di Sarawak, zakat pendapatan dikutip oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).

Alhamdulillah, tahap kesedaran di kalangan umat Islam terhadap tanggungjawab mereka membayar zakat pendapatan semakin memberangsangkan.

Justeru, TBS yakin dapat mengumpul pendapatan keseluruhan sekitar RM65 juta tahun ini berdasarkan pencapaian cemerlangnya semenjak beberapa tahun lalu.

Sasaran itu ditetapkan selepas TBS berjaya memperoleh pendapatan keseluruhan berjumlah RM60 juta tahun lepas. Ini menunjukkan pendapatan Baitulmal sentiasa meningkat berikutan kesedaran umat Islam.

“Kalau mula-mula dulu pendapatan keseluruhan Baitulmal hanya sekitar RM5 juta setahun. Kini sudah mencapai RM60 juta. Syukur dengan peningkatan ini kita akan dapat membantu lebih ramai lagi golongan memerlukan,” kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman dipetik menerusi akhbar, baru-baru ini.

Peningkatan pendapatan TBS  dari tahun ke setahun adalah disebabkan kepercayaan sepenuhnya diberikan oleh masyarakat Islam di negeri ini menerusi kesanggupan mereka membayar zakat terutamanya menerusi potongan gaji.

Ketika ini jelasnya pembayaran zakat menerusi potongan gaji sudah mencapai lebih kurang RM25 juta setahun berbanding hanya sekitar RM2 juta setahun sebelum ini.

Kewajipan zakat merupakan suatu tanggungjawab yang membawa berkat dan memberi kesan yang berterusan bukan sahaja kepada mereka yang mengeluarkannya, tetapi juga mereka yang menerimanya.

Pelaksanaan zakat memberi kesan bukan sahaja kepada individu, juga memberi kesan kepada seluruh lapisan masyarakat. Zakat turut berperanan dalam mempertingkatkan kebajikan masyarkat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi.

Allah S.W.T telah mewajibkan zakat sebagai salah satu jaminan sosial kepada masyarakat terutama kepada golongan yang amat memerlukan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat dan sebagai satu bentuk penyucian dan pembangunan rohani setiap Muslim.

Masalah membasmi kemiskinan merupakan tujuan utama sistem zakat dalam Islam melalui penyediaan saraan hidup dan modal yang mencukupi bagi golongan yang berhajat. Saraan hidup daripada zakat ini diperuntukkan kepada golongan yang tidak mampu bekerja dengan sebab-sebab cacat anggota atau sebagainya.

Kelab Taat Suami lancar kempen ‘Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam’

In Agama, Masalah masyarakat on January 27, 2012 at 12:51 am

SELEPAS isu kontroversi buku panduan seks reda, Kelab Taat Suami pada 26 Januari 2011 melancarkan kempen “Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam” sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.

Kempen selama 12 hari itu (bermula hari ini) adalah untuk meraikan kelahiran  Nabi Muhammad pada 5 Februari depan atau 12 Rabiul Awal mengikut kalendar Islam.

Menurut Presiden Kelab Taat Suami Malaysia Fauziah Ariffin, kempen itu diadakan bagi mengajak umat Islam terutamanya pasangan suami isteri untuk mengamalkan kehidupan Rasulullah.

Beliau berkata ramai “umat Islam sudah terlalu jauh dengan Rasulullah.”

“Sudah tentu ikutan (Rasulullah) menjadi panduan dan ia termasuk aspek ibadah keluarga bahkan termasuk dalam kehidupan seks. Tentu bila sebut tentang hal seks suci ramai yang terlupa tentang hal yang terangkum dalam hal suami isteri, sesuatu yang kita lakukan hari-hari.

“Dalam kehidupan biasa ia bukan sesuatu yang kontroversi tapi kita sudah terlalu jauh dengan Rasulullah, jadi kita mahu mengajak umat Islam mendokong melaksanakan kehidupan Islam yang sebenar tambahan kalau kita lihat banyak gejala tidak sihat yang berlaku sekarang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kempen “Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam” di Pusat Perdagangan Pelangi, Damansara.

Jelas Fauziah, sekiranya umat Islam melaksanakan kehidupan dengan berlandasakan prinsip Islam segala gejala homoseksual dapat dielakkan.

“Kalau kita lihat sekarang secara terang-terangan lelaki berkahwin sesama lelaki dan wanita berkahwin sesama wanita,” jawabnya.

Terlebih dahulu dalam ucapan perasmiannya, Fauziah berkata Islam membenarkan hubungan seks dilakukan namun ia mesti “seks suci” antara suami isteri.

“Seks dibenarkan asal ada batasnya, bukan seperti gay yang memaparkan seks yang tidak sepatutnya dan melanggar batas norma, juga tidak melakukan seks bebas yang melanggar perintah Tuhan.

“Kami berasa tanggungjawab untuk mengajak umat Islam melaksanakan kehidupan Islam, suami adalah pemimpin dan isteri adalah pengikut tapi nampaknya umat kita sudah gagal,” katanya.

Sebelum ini Kelab Taat Suami menerbitkan buku panduan seks bertajuk  “Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia.”

Namun Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku panduan seks itu. Buku itu dilaporkan mengulas mengenai seks suami isteri secara terperinci. Buku 115 muka surat yang dikatakan panduan kepada isteri dan pengantin baru untuk melayan suami di ranjang.

(Sumber Malaysian Insider)