YangSaya Nampak

RASIONAL DIBALIK LARANGAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH GOLONGAN BUKAN ISLAM DI MALAYSIA

In Agama, Sosial on August 23, 2013 at 11:18 am

[Sumber FB page Saya Sayang Tun Dr Mahathir]
Oleh: Mohammad Fedorov

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyayang.

Umum maklum baru-baru ini telah berlaku perbicaraan berhubung cubaan The Herald untuk memfailkan bantahan terhadap rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi penerbitan majalah itu.

Tulisan ini tidaklah berhasrat mengulas panjang berkenaan perbicaraan tersebut tetapi ingin difokuskan di sini berkenaan rasional di sebalik larangan penggunaan tersebut,dan apakah kesannya dalam jangka masa panjang sekiranya ia diteruskan.

Hukum asal di dalam Islam,tidaklah terlarang di dalam Islam sekiranya golongan bukan Islam ingin menggunakan kalimah atau lafaz kata nama ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan atau sembahan mereka.

Ia berdasarkan berberapa nas umum seperti berikut:

1.Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? [1]

2.Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)[ 2 ]

Juga dari sejak zaman sebelum diutuskan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam lagi, masyarakat Kristian di semenanjung Arab juga telah menggunakan lafaz “Allah” sebagai kata ganti kepada “Ilah” atau “Rabb” yang membawa maksud Tuhan.

Namun jika diteliti dan dikaji secara mendalam, terdapat juga nas lain yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah .Antaranya:

1.Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [3]

2.Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa Ibni Mariam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Mariam dan (dia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). [4]

Selain daripada adanya nas-nas, kaedah-kaedah dalam usul fiqh juga terpakai dalam menetapkan tidak boleh bagi orang bukan Islam dalam konteks di Malaysia untuk menggunakan kalimah Allah, antaranya kaedah yang disebut sebagai Sadd Al-Dzara’i.Secara ringkas, kaedah ini bermaksud, mencegah atau menutup pintu-pintu kerosakan.

Atas faktor bimbangnya berlaku manipulasi dalam penggunaan kalimah Allah untuk tujuan menyebarkan dakyah terhadap umat Islam,maka kaedah Sadd Al-Dzara’iy terpakai bagi mengelakkan sangkaan tersebut terjadi sekiranya penggunaan kalimah Allah dibenarkan bagi orang bukan Islam dalam tulisan dan ucapan harian mereka.

Selain dari kaedah yang disebutkan sebelumnya,larangan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam juga membawa maksud untuk mentanzihkan Allah subhanahu wa ta’ala dari sebarang bentuk Tasybih (penyerupaan) mahupun Tajsim (menjisimkan) terhadap Dzat dan Sifatnya yang mana ia merupakan asas-asas yang terkandung di dalam bahagaian Tauhid Rububiyyah

Selain itu,kita juga perlu melihat berberapa kesan yang mungkin dihadapi sekiranya ia masih diteruskan.Kesan yang paling ketara ialah berlakunya usha-usaha memurtadkan umat Islam secara halus.

Selain itu, ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang lemah ilmu agamanya,atau kepada golongan muda yang masih baru bertatih memahami agama.Cuba anda bayangkan situasi dialog seperti ini:

Anak: “Abah, si Ramu itu menyembah Allah juga, tetapi kenapa Allah yang dia sembah itu ada di Kuil?
Abah:Oh, Allah dia dan Allah kita tidak sama nak.
Anak:Oh,maksudnya Allah ada banyak ke abah? Yang mana satu yang kita patut sembah?

Kesan lain dari penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia ialah kebimbangan akan berlaku pluralisma dalam agama.’Perkongsian’ kalimah Allah merupakan salah satu pintu ke arah Pluralisma agama di mana semua agama dianggap sama dan setaraf.Natijahnya tidak mustahil akan ada pihak yang akan memperjuangkan perkahwian intra-agama kerana semua agama telah dipandang sebagai setaraf dan ini yang telah berlaku di Indonesia.

Juga yang paling dibimbangi jika dibiarkan secara terus menerus, ia menjadikan kita seolah-ol;ah bersetuju dengan kekufuran dan mensyirikkan Allah subhanahu wa ta’ala pada Tawhid Uluhiyyah dan juga Tawhid Al-Asma’ wa Al-Sifat di mana apabila Allah digambarkan dengan gambaran yang tidak layak dengan kesempurnaan dan kemuliaan yang layak bagi-Nya.

Justeru,semua umat Islam harus membuka mata dan bersungguh dalam mempertahankan larangan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam, demi memastikan survivaliti ‘Aqidah umat Islam di masa akan datang.

Kepada Allah kita pohonkan petunjuk dan hidayah.

[1]Al-Qur’anul Karim , 48:61
[2]Al-Qur’anul Karim, 31:25
[3] Al-Qur’anul Karim 5:73
[4] Al-Qur’anul Karim 4:171

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: