YangSaya Nampak

Keajaiban alam di Mulu.

In Alam Sekitar, Pelancongan, Sarawak on May 13, 2012 at 9:19 pm

CUBA diam seketika dalam ruang yang gelap hakiki. Padamkan juga semua sumber cahaya lampu suluh, kamera mahupun gajet komunikasi. Di dalam perut gua, ternyata segalanya nampak hitam pekat. Tiada guna membuntangkan mata untuk cuba melihat atau meneka ‘siapa’ dan ‘apa’ yang berada dekat dengan tubuh sendiri.

Dalam situasi seumpama hilang nikmat penglihatan itu, kepekaan deria pendengaran mengambil alih.

Titisan air dari rekahan lelangit gua dan hujung stalaktit ke atas tanah, bongkah batu atau takungan air pun jadi jelas serta bergema.

Sesekali, angin yang berhembus dingin adakalanya kedengaran seperti bunyi lolongan makhluk yang tidak ingin dibayangkan. Mungkin juga bunyi itu menambah kencangnya cungapan nafas mereka yang akluofobia.

“Rasakan apa yang dirasai oleh penghuni-penghuni gua ini. Bukan sekadar anda mengenal habitat ular, kelawar, serangga dan mamalia kecil lain. Bayangkan pada suatu masa dahulu, manusia juga pernah menjadikan tempat ini sebagai pelindung mereka,” terlantun suara seorang wanita yang dalam nadanya, bagaikan sengaja mencetus mood seram.

Usai lima minit disuruh bergelap sebegitu, arahan diberi kepada para peserta untuk menghidupkan semula lampu suluh masing-masing. Arahan itu sebenarnya datang daripada Syria Lejau, seorang jurupandu gua berpengalaman di Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak.

“Itu hanya secebis daripada nilai kehidupan di dalam gua. Semakin jauh anda masuk ke dalam, makin banyak cerita yang anda akan ketahui,” ujarnya sebagai mukadimah ekspedisi.

Eksplorasi gua yang disertai kumpulan Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia (SKUM) itu adalah sebahagian daripada pengisian memperkenalkan program galakan akademik, NatCom: Reaching The Grassroots di Bumi Kenyalang.

FORMASI berbentuk obor-obor ini menjadi tumpuan ramai di Gua Lang.

Kosmo! yang secara eksklusif dijemput menyertai program tersebut dibawa menyusuri rangkaian gua hidup yang kompleks di situ.

Aktiviti ilmiah di Tapak Warisan Dunia UNESCO itu dibahagikan kepada dua hari. Para peserta berkesempatan melawat ke beberapa buah gua seperti Gua Rusa, Gua Lang, Gua Lagang, Gua Angin dan Gua Clearwater.

Sejarah gua hidup

Bermula dengan rasa kagum terhadap formasi unik jutaan kelawar yang terbang keluar dari pintu gua pada lewat petang, Syria mempesonakan kami dengan sejarah geologi Borneo sewaktu membawa kami menyusuri Gua Lagang.

“Pulau Borneo pada mulanya tidak wujud. Puluhan juta tahun lalu, plat bumi bergerak dan bergeser di dasar laut lalu menghasilkan lapisan batu pasir. Seiring peredaran masa, lapisan tersebut semakin meninggi lantas membentuk perairan cetek yang mencetus evolusi pelbagai hidupan.

“Tindak balas mineral di perairan cetek seperti pembentukan kalsium karbonat terus terjadi,” ujarnya.

Syria turut bercerita panjang lebar tentang aturan semula jadi yang akhirnya mewujudkan lapisan batu kapur, batu lumpur dan batu syal. Lapisan-lapisan itu lama-kelamaan tertolak ke permukaan laut lalu membentuk daratan.

Gua juga, menurut Syria, menyimpan pelbagai rekod kejadian alam. Sebagai contoh, kehadiran fosil cangkerang marin yang terenap pada batu dinding Gua Lagang membuktikan teori bahawa Borneo suatu ketika dahulu merupakan lantai samudera.

Di gua yang sama juga, terdapat bongkah batu yang mempunyai pelbagai lapisan berbeza warna, tekstur dan kepadatan. Syria mencuri tumpuan peserta dengan menunjukkan lapisan berwarna kelabu setebal dua ruas jari pada segmen tengah bongkah itu.

“Lapisan ini dipercayai debu daripada letusan gunung berapi Krakatau, Indonesia pada tahun 1883. Selain laharnya yang mendap di laut, debunya turut dibawa arus air bawah tanah lantas membentuk sebahagian daripada fizikal gua ini,” terangnya yang dibalas riak wajah takjub para peserta.

Jangan sentuh

Setiap gua mempunyai tarikan tersendiri. Bagaikan masuk ke sebuah alam ajaib, suasana remang dan mistik itu dilatari landskap jurang, tebing, rongga, juntaian stalaktit, stalagmit yang tumbuh bercerancang, menara (apabila stalaktit bercantum dengan stalagmit) serta heliktit yang tumbuh mengufuk.

Pengerasan mineral yang membentuk pelbagai dimensi begitu mempesonakan. Cuma awas kalau Syria ternampak ada tangan-tangan yang ‘gatal’ mahu menyentuhnya!

“Saya boleh menjerit, memarahi atau menghalau seseorang itu keluar dari gua jika larangan itu tidak diendahkan. Tahukah, anda sebenarnya boleh ‘membunuh’ gua ini sekiranya menyentuhnya?” katanya.

Jelasnya, jari manusia mempunyai minyak atau bahan kimia yang boleh menghalang unsur mineral daripada melekat, misalnya yang dibawa dalam titisan air dari stalaktit ke atas stalagmit.

“Di banyak lokasi gua lain di Malaysia, saya dapati formasi hidup itu menjadi warna hitam dan ‘mati’. Ia gara-gara disentuh, apatah lagi kalau dirosakkan dengan sengaja.

WALAU disambut bau amonia kuat daripada najis kelawar, eksplorasi gua nyata meninggalkan banyak kenangan istimewa.

“Di Taman Negara Gunung Mulu ini, hal seperti itu tidak dibenarkan berlaku sewenang-wenangnya,” tegas Syria.

Susur laluan

Selain menghargai landskap gua yang mencetus rasa ajaib dan mistik, ada seperkara lagi yang mengundang kagum serta tanda tanya. Bagaimanakah agaknya kerja-kerja pemasangan susur laluan dijalankan di dalam gua-gua itu?

Kesemua platform tempat berpijak dibina dengan kukuh namun perlu diadaptasi mengikut rupa fizikal sesuatu zon yang hendak direntasi. Dengan cabaran tebing curam, batu licin, lorong berliku, ruang sempit dan pola kedudukan batuan hidup yang berselerak, ia bukan kerja mudah.

“Menarik bukan? Kontraktor yang bertanggungjawab membuatnya perlu mengikuti kursus etika dan tanggungjawab pemuliharaan serta keselamatan.

“Bukan sekadar memasak kayu dan besi tanpa menjejaskan struktur gua, mereka juga bekerja dengan ketelitian maksimum agar kerosakan serta pencemaran dapat dielakkan.

“Pihak konsultansi taman negara juga memantau penuh sewaktu kerja-kerja pemasangan dijalankan,” jelas seorang lagi jurupandu eksplorasi, Jenny Malang, yang menunjuk arah dalam ekspedisi Gua Rusa.

Sungai bawah tanah

Lawatan terakhir kami adalah ke lokasi gua paling hujung dalam kompleks gua di taman negara tersebut iaitu Clearwater Cave. Mendengar namanya sahaja sudah mencetuskan bayangan tentang sebuah tempat takungan air yang indah. Namun, ganjaran pemandangan sebegitu tidak mudah dikecapi.

Menurut salah seorang peserta eksplorasi yang juga mantan Setiausaha Eksekutif SKUM, Mohd. Zulkifli Hashim, 32, dia amat teruja mengikuti aktiviti treking ke gua berkenaan walaupun menempuh jerih payah di laluan yang jauh, tinggi dan curam.


BENTUK batu yang dikatakan mirip profil sisi wajah Presiden ke-16 Amerika Syarikat, Abraham Lincoln, di dinding Gua Rusa.

“Treking ke Clearwater Cave tidak akan lengkap jika tidak mandi di kolam yang jernih airnya. Rasa letih serta-merta hilang sejurus tiba di situ,” ujarnya yang tidak melepaskan peluang beraksi di dalam air untuk lensa kamera.

Menarik mengenai kolam yang juga kepala sungai itu ialah sifat lembut airnya yang membias warna hijau firus. Air kolam itu sebenarnya muncul dari sistem air bawah tanah yang mengalir melalui celah-celah batu dari kaki bukit.

Di sebalik bukit batu itu pula tersembunyi sebuah terowong gua dengan sistem aliran sungai bawah tanah. Dengan penemuan laluan air yang bersambung dengan sistem gua lain, ia merupakan sungai bawah tanah yang terpanjang di bahagian Asia Selatan iaitu melebihi 150 kilometer!

Segala yang ditemukan di dalam kompleks gua di Taman Negara Gunung Mulu adalah warisan negara yang tidak tertanding kehebatannya. Sememangnya tanggungjawab mengekalkan khazanah itu terletak pada bahu setiap daripada kita yang menghargai kejadian ciptaan Tuhan.

Plat bumi akan terus bergerak. Air akan terus mengalir dan menitis di atas batu. Hujan asid dan bencana gempa di rantau ini juga akan terus meninggalkan kesan terhadap nasib fizikal gua-gua di Mulu. Semua itu tidak seharusnya mengubah apresiasi kita terhadapnya.

Bak kata Syria: “Andainya saya ditakdirkan mati di dalam gua dan sukar untuk ditemui atau dikeluarkan, tinggalkan saja saya. Biarkan mayat saya bersemadi di sini kerana inilah dunia saya”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: