YangSaya Nampak

Barisan Nasional ada peluang cerah menang di Parlimen Sibu.

In Barisan Nasional, Pilihan Raya Umum, Politik, Sarawak, SUPP on April 26, 2012 at 11:17 pm

KETUA Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan keyakinannya terhadap keupayaan Barisan Nasional memenangi semula kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Beliau yang dipetik menerusi Bernama berkata petunjuk positif itu dapat disaksikan menerusi sokongan besar daripada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Nangka dan Bawang Assan.

“BN telah memperoleh sokongan yang lebih besar daripada rakyat yang boleh dilihat dari calon-calon memenangi kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri Nangka dan Bawang Assan pada pilihan raya negeri yang lepas,” katanya dalam majlis makan malam di Sibu pada Khamis sempena kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Sarawak mulai Khamis.

Barisan Nasional menang kerusi Dewan Undangan Negeri Bawang Assan dengan 1,808 undi dan Nangka dengan 5,302 undi tetapi kalah di Pelawan dengan 6,391 undi, iaitu memperoleh lebih 719 berbanding pembangkang.

Kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu pada 16 Mei 2010 tidak wajar dijadikan ukuran dan Barisan Nasional perlu melihat ke depan dalam berusaha merampas semula kerusi itu daripada DAP.

SUPP dijangka akan mengetengahkan muka baru bagi memikul tanggungjawab tersebut. Orang berkenaan ialah Temenggung Vincent Lau yang sekian lama memiliki hubungan di peringkat akar umbi.

Ahli Parlimen Sibu pada masa ini ialah Pengerusi DAP negeri Sarawak, Wong Ho Leng. Beliau juga ADUN Bukit Assek.

Pada pilihan raya kecil itu, Wong Ho Leng menang dengan majoriti 398 undi dalam perlawanan tiga penjuru yang turut membabitkan calon Bebas.

Barisan Nasional gagal mempertahankan kerusi yang dimenangi mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew dalam Pilihan Raya Umum 2008. Pada masa itu, calon Barisan Nasional, Robert Lau Hui Yew mendapat 18,447 undi kurang daripada 18, 845 yang diperoleh Wong Ho Leng. Calon Bebas Narawi Haron mendapat 232 undi.

Malah, dalam tulisan terdahulu di blog ini, Wong Ho Leng dikatakan mengakui sukar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sibu memandangkan kemenangan tipis yang diperolehinya pada masa lampau.

Analisis Bernama turut menyatakan Barisan Nasional boleh menang dengan dua syarat iaitu calon yang betul dan strategi yang berkesan.

“BN harus memilih calon yang sesuai dan melaksanakan strategi yang betul, seperti memainkan isu Wong, yang merupakan Pengerusi DAP Sarawak, yang memikul banyak tanggungjawab, ia mungkin berjaya menyebelahi BN,” kata laporan Bernama itu yang memetik anggota majlis tempatan Dr Gregory Hii.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Sarawak, diberi sambutan meriah sebaik tiba di lapangan terbang di sini petang Khamis.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, timbalannya Tan Sri Alfred Jabu, menteri Kabinet negeri dan persekutuan, ketua jabatan-jabatan kerajaan, orang kenamaan setempat dan kira-kira 2,000 rakyat.

Dari lapangan terbang, Perdana Menteri dan rombongan beliau terus ke Hotel Kingwood Hotel di sini untuk menghadiri majlis makan malam komuniti.

Pagi esok, Najib akan melawat Pasar Besar Sibu, dikatakan yang terbesar di negara ini dengan mempunyai 1,100 gerai tetap dan antara 200 hingga 250 “Tamu” atau gerai pribumi yang diusahakan peniaga Iban, Melayu, Melanau dan kaum etnik lain.

Najib dijadual menikmati sarapan pagi roti canai di sebuah daripada gerai di tingkat satu pasar itu bersama-sama beberapa wakil peniaga sebelum melawat gerai makanan yang menjual menu 1Malaysia di situ.

Ini merupakan lawatan kali ketiga beliau ke pasar itu selepas lawatan pada Februari dan Mei 2010.

Najib kemudiannya akan melawat dan merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan (C)Thai Kwong berharga RM12 juta di Upper Lanang Road dan diikuti dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid An Nur dan kemudiannya menyertai jamuan tengah hari di perkarangan masjid itu.

Perdana Menteri kemudiannya akan menaiki pesawat untuk ke Kabong, sebuah kampung di Bahagian Betong untuk sesi bertemu rakyat dan melakukan tinjauan mesra.

Beliau kemudiannya akan kembali ke Kuching untuk menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan Taib di kediamannya di Demak Jaya.

Pada Sabtu, Najib akan melakukan tinjauan mesra di Pasar Tani Matang Jaya sebelum menghadiri program “Jelajah Janji Ditepati” di tempat letak kereta di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya.

Selepas itu, beliau akan melawat hari terbuka Makmal Koridor dan Bandaraya di bangunan Dewan Undangan Negeri dan disusuli dengan majlis perjumpaan dengan pemimpin Barisan Nasional negeri sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: