YangSaya Nampak

Tentang ‘Indon’ dan tenaga kerja asing.

In ekonomi, Masalah masyarakat, Sarawak, Sosial on March 25, 2012 at 5:19 pm

TENAGA kerja asing terutama dalam buruh atau kerja lapangan masih mustahak untuk negara kita Malaysia, juga di negeri Sarawak.

Warga asing yang bekerja di negara kita sebagai pekerja binaan bangunan, perladangan, perkilangan dan pembantu rumah majoriti ialah dari negara jiran serumpun – Indonesia.

Apabila membaca laporan akhbar The Borneo Post (www.theborneopost.com) baru-baru ini yang memaparkan berita mengenai panggilan ‘Indon’ terhadap warga Indonesia.

Berita itu adalah mengenai Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Djoko Harjanto yang cuba memaklumkan “hentikan memanggil pekerja Indonesia dengan panggilan Indon”.

Lantas dalam hati saya berkata “mengapa Pak Djoko terguris”? Dan saya mendapat tahu ini bukan kali pertama berita seumpama itu disiarkan di dada akhbar.

Ada orang mengatakan bahawa perkataan ‘Indon’ itu dianggap oleh pekerja warga Indonesia di Malaysia sebagai penghinaan.

Tetapi apakah perkataan ‘Indon’ membawa pengertian yang buruk dan menghina? Jawapannya tidak sama sekali, kata seorang pekerja bapa saya yang merupakan warga Indonesia.

Dia sudah lima tahun bekerja dengan keluarga kami sebagai pekerja di kolam ternakan udang.

Lantas saya bertanya lagi kepada dia. “Jadi mengapa kamu terguris perasaan bila dipanggil Indon?”

Dia diam dan tidak menjawab kerana mungkin takut kerana berada di perantauan perlu hormat tuan rumah.

Pada hari berikutnya saya terbaca lagi berita mengenai panggilan ‘Indon’. Jika tidak silap saya, kali ini memaparkan pendapat seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia di Sarikei.

Kata pegawai tersebut, panggilan Indon datang dari pekerja Indonesia sendiri. Apabila ditanya dari mana asal, warga Indonesia sering menjawab ‘Indon’.

Jawapan yang ringkas dan di dalam minda kita rakyat Malaysia yang menggaji mereka ia tidak membawa pengertian menghina.

Tetapi jika mereka enggan dipanggil demikian, maka kita wajar akur dan menghormati mereka atas dasar kemanusiaan dan serumpun.

Kita wajar memikirkan kesan yang lebih besar iaitu perhubungan antara negara. Kita perlu sedar bahawa Sarawak masih memerlukan tenaga kerja asing untuk menggerakkan aktiviti ekonomi.

Bukan bermakna kita malas, tetapi tenaga kerja yang ramai diperlukan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi.

Tetapi dalam masa yang sama kedengaran rungutan orang ramai yang mempunyai kaitan dengan pembantu rumah warga asing.

Mereka merungut apabila akan membayar gaji RM700 sebulan untuk melaksanakan satu tugas sahaja – misalnya pengasuh anak kecil.

Kerajaan Indonesia tegas dengan keputusan itu kerana menurut satu sumber ia mampu mengekang insiden penderaan di kalangan amah.

Penderaan menurut sumber berlaku kerana amah berkenaan tidak mampu melakukan sesuatu tugas kerana bukannya malas, tetapi akibat tidak ada kemahiran misalnya memasak.

Justeru, di bawah perjanjian baru itu kelak, majikan yang ingin menggunakan khidmat pembantu rumah perlu menyatakan apakah tugasan akan dilakukan.

Berpandukan maklumat itu, pihak Indonesia akan menghantar pembantu yang secocok kemahirannya dengan apa yang diminta majikan terbabit.

Ya, pada asasnya saya setuju dengan kenyataan itu dan gaji yang diminta. Ia berpatutan kerana jika tidak mampu kewangan, usahlah berangan-angan hendak memiliki orang gaji.

Amah juga memainkan peranan tersendiri dalam menyokong majikannya yang bekerja untuk menyara keluarga dan sekali gus menyumbang terhadap aktiviti ekonomi.

Segalanya berkisar tentang ekonomi dan oleh itu setiap pihak wajar berpandangan positif dalam isu Indon dan amah.

Maksud saya kita di Sarawak jangan mengguris perasaan pekerja warga Indonesia dan juga usah dera amah. Merekalah yang membantu kita sedikit sebanyak dalam membangunkan negara.

Jangan yang jahat dibalas jahat kerana ia adalah hukum karma yang tidak wajar dipraktikkan oleh kita bangsa bertamadun.

Salam sejahtera warga Indonesia di Bumi Kenyalang!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: