YangSaya Nampak

Replika kucing di Bandar Raya Kuching yang sejahtera.

In ekonomi, Pelancongan, Sarawak on March 25, 2012 at 9:49 pm

TIAP kali melalui replika kucing di kawasan segitiga emas di Bandar Raya Kuching, ada sahaja yang sedang mengambil gambar berlatarbelakangkan patung tersebut.

Kecuali jika hujan dan subuh barulah kucing-kucing ini dapat ‘berehat’ dari bergambar dengan mereka yang sudi berbuat demikian.

Sesuai dengan nama bandar raya itu Kuching, maka ada tiga replika kucing dibina di kawasan tersebut. Dua replika di Jalan Padungan dan satu lagi, yang paling popular, di Jalan Tunku Abdul Rahman, berdepan dengan Hotel Riverside Majestic dan Hotel Grand Margherita.

Replika kucing paling popular di Kuching.

Yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman boleh dianggap sebagai paling popular kerana ia menjadi laluan orang ramai di tengah pusat bandar raya.

Justeru, mereka yang datang sebagai pelawat ke bandar raya ini tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar sebagai kenangan sepanjang lawatan ke Kuching. Malah, penduduk Kuching sendiri rasanya tidak lengkap kalau tidak bergambar berlatarbelakangkan replika berkenaan.

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sentiasa memastikan rupa patung-patung itu tidak pudar dan comot. Baru-baru ini ia dicat baru agar kelihatan cantik lantas mencerminkan imej bandar raya itu sebagai kawasan yang sejahtera untuk didiami.

Tidak semua mereka yang bergelar pelancong gemar masuk hutan, melihat budaya orang di rumah panjang, atau melawat tempat-tempat bersejarah.

Ada yang sekadar gemar berjalan-jalan dan membeli-belah di kawasan pusat bandar. Mungkin pelawat golongan itu ialah mereka yang datang untuk berkursus atau urusan kerja. Jadi mereka sekadar meluangkan masa seketika dengan bergambar di kawasan sekitar pusat bandar raya sahaja.

Malah, kewujudan patung-patung itu simbolik kepada Bandar Raya Kuching yang merupakan pusat pentadbiran negeri Sarawak.

Replika kucing di hujung Jalan Padungan.

Satu lagi replika kucing terletak di hujung Jalan Padungan, iaitu berhampiran dengan Balai Bomba Padungan.

Ia terletak dalam kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Kuching merupakan bandar raya yang mempunyai dua pihak berkuasa tempatan – DBKU dan MBKS.

Ia dikatakan dapat memastikan pentadbiran Bandar Raya Kuching dilaksanakan dengan lebih cekap. Dan sebab itu kita nampak Kuching membangun dengan penuh terancang, juga berkonsepkan bandar dalam taman.

Patung kucing seekor di hujung Jalan Padungan itu mengangkat tangan kiri, seolah-olah menyapa orang yang lalu lalang di jalan tersebut.

Ia juga sering dijadikan kawasan bergambar oleh para pelancong meskipun tidak setanding terkenalnya dengan replika di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Pada hujung minggu, jika cuaca baik, pasti ada pelawat berkumpulan yang memanfaatkan sedikit masa untuk berhenti dan turun dari bas persiaran mereka untuk bergambar dengan si kucing putih itu.

Apa yang menarik, patung itu dipakaikan pakaian tradisional Cina apabila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina. Ia menambah keceriaan pada perayaan kaum Tiong Hua.

MBKS menjaga patung ini dengan baik.

Replika kucing yang kurang menonjol.

Di kawasan permulaan Jalan Padungan iaitu terletak di depan Everrise, juga terdapat patung-patung kucing.

Tetapi patung ini kurang popular berbanding dua replika kucing di dua tempat itu tadi. Mungkin sebab lokasinya yang agak tersorok di belakang deretan kedai.

Tiga replika kucing itu merupakan mercu tanda keamanan dan kedamaian Bandar Raya Kuching.

Kuching yang sejahtera.

Tidak seperti bandar raya di Malaysia yang sinonim dengan kesesakan jalan raya dan hiruk-pikuk penduduknya, Kuching selayaknya diberi jolokan baru sebagai kota santai kerana kedamaian, ketenangan, keunikan dan kepelbagaian budaya dimilikinya berbanding bandar besar lain.Kuching mengalami pembangunan pesat terutama bandar raya Kuching sejak empat dekad lalu.

Bandar yang dinaikkan taraf sebagai bandar raya pada 1 Ogos 1988 itu memiliki kelainan tersendiri kerana mempunyai dua Datuk Bandar dek terpisah oleh Sungai Sarawak yang terletak antara pusat bandar raya dengan kawasan penempatan dan pentadbiran negeri.

Kuching amat sesuai menjadi pusat riadah keluarga dengan beberapa aktiviti yang boleh dilakukan tidak kira secara individu atau berkeluarga di sekitar pusat bandar raya terbabit.

Semoga Bandar Raya Kuching terus terkenal dengan sifat kesejahteraannya yang sesuai dihuni oleh mereka yang mencintai ketenangan dan kedamaian hidup dalam bandar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: