YangSaya Nampak

Pensijilan halal bukan sekadar bebas alkohol dan khinzir.

In Agama, ekonomi, Masalah masyarakat, Sarawak on March 21, 2012 at 12:06 am

HANYA 400 pengusaha kedai makanan orang Islam di negeri Sarawak mempunyai sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), demikian menurut laporan Bernama pada Selasa.

Tidak ada paksaan dalam mendapatkan pensijilan halal kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam tetapi menegaskan mereka tidak boleh mempamerkan logo halal di premis masing-masing jika tiada sijil sah.

Premis yang memperoleh pensijilan halal merupakan kedai yang benar-benar mengikut syarat ditetapkan berpandukan garis panduan dalam agama Islam.

Kita bukan hendak merendah-rendahkan pengusaha kedai makanan Islam yang tidak memiliki sijil halal, tetapi demi pelanggan, mereka disarankan berbuat demikian.

Mana tahu selepas perniagaan mempunyai sijil halal semakin melimpah ruah rezeki diberikan Allah sebagai balasan menjaga kebersihan makan dan minum para pelanggan.

Bila menyebut halal, ia bukan sekadar terikat dengan terma “bebas alkohol dan daging khinzir”, tetapi merangkumi aspek-aspek kebersihan misalnya di ruang penyediaan makanan dan kebersihan pengendali makanan.

Menurut portal rasmi Halal Malaysia, takrif halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975 adalah seperti berikut:

Apabila digunakan berhubung dengan makanan dalam apa-apa juga bentuk dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan sebagai suatu perihal dagangan atau sebagai sebahagian daripada suatu perihal dagangan yang dipakai bagi makanan itu, perbahasaan-perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’ atau ‘Makanan Islam’ atau apa-apa perbahasaan lain yang menunjukkan atau mungkin difahamkan sebagai menunjukkan bahawa orang-orang Islam adalah dibenarkan oleh agama mereka memakan makanan itu maka perbahasaan itu hendaklah mempunyai erti yang berikut, iaitu makanan yang berhubung dengan perbahasaan atau perbahasaan-perbahasaan itu digunakan:

  • bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;
  • tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak;
  • tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut   Hukum Syarak; dan
  • tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang   tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum  Syarak.

Menunjukkan ketegasan kerajaan dalam pensijilan halal ini ialah apabila pihak yang mempamerkan sijil halal yang tidak sah akan dikenakan tindakan undang-undang.

Banyak hotel dan restoran di Sarawak sudah memiliki sijil halal. Mereka menyedari tentang betapa mustahaknya memelihara tahap kebersihan yang disarankan dan diwajibkan dalam mendapatkan sijil halal.

Ada pengakuan para pengusaha restoran yang bukan Islam mengatakan perniagaan mereka semakin laris jualannya apabila memperolehi sijil halal berikutan keyakinan pelanggan Islam apabila melihat sijil halal dipamerkan.

Jadi mengapa pengusaha kedai makanan dan minuman beragama Islam kurang berminat untuk mendapatkan sijil halal? Persoalan itu wajar diselidiki – mana tahu ada cacat cela dalam pelaksanaanya. Kita bukan hendak menghukum golongan seperti itu, tetapi wajar menghulurkan bantuan dalam membolehkan mereka mendapat sijil halal.

Perkembangan industri halal yang dikatakan semakin mendapat sambutan di kalangan penduduk dunia turut digambarkan apabila kerajaan negeri Sarawak membangunkan Tanjung Manis sebagai hab halal dalam lingkungan kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Itu bermakna industri makanan halal semakin mendapat tempat di serata dunia terutama di mata penganut Islam.

Justeru, pengusaha kedai makanan dan minuman Islam yang belum mendapatkan sijil halal, elok rasanya mereka berbuat demikian.

Semoga segala usaha dalam mendapatkan sijil halal diberkati Allah s.w.t.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: