YangSaya Nampak

Mukah kini boleh bermegah.

In ekonomi, Pembangunan, Sarawak, Sosial on March 8, 2012 at 8:31 pm

MAC ialah bulan yang menggenapkan Mukah meraikan 10 tahun sebagai sebuah daripada 11 bahagian di Sarawak.

Untuk pengetahuan, Bahagian Betong juga demikian – kedua-duanya dinaik taraf menjadi bahagian bagi memudahkan pelaksanaan kerja-kerja pentadbiran agar urusan pembangunan lebih lancar.

Tarikh bersejarah itu ialah 1 Mac 2002.

Peta menunjukkan sebahagian dari Bahagian Mukah.

Dahulu, Mukah cuma sebuah daerah yang diletakkan dalam Bahagian Sibu. Ya, ada yang menggelar Mukah sebagai lembah Melanau kerana majoriti penduduknya ialah kaum tersebut.

Setelah persempadanan semula, keluasan pentadbiran Bahagian Mukah seluas 6,997.61 kilometer persegi yang terdiri daripada empat daerah iaitu Mukah, Dalat, Matu dan Daro. Daerah Mukah merupakan pusat pentadbiran di peringkat Bahagian.

Pengiktirafan Bahagian Mukah sebagai bahagian telah membuka lembaran baru dalam jentera pentadbiran negeri Sarawak apabila ia merangkumi seluruh kawasan pesisir pantai di bahagian tengah negeri Sarawak yang menghadap Laut China Selatan iaitu menganjur dari Balingian di sebelah Timur sehingga Belawai di sebelah Barat dengan pantai sepanjang 200 kilometer dan mempunyai kawasan bertanah gambut yang rata.

Itu serba sedikit tentang sejarah kewujudan Bahagian Mukah seperti yang dinyatakan dalam buku “Mukah: Dari Taman Rumbia ke Kota Bestari”.

Makanan tradisi Melanau - umai.

Dari kaca mata orang luar tetapi kerap berulang alik ke Mukah atas urusan kerja, saya menyaksikan perubahan ketara dalam tempoh 10 tahun.

Tempoh 10 tahun bukannya lama sangat. Dalam tempoh itu saya menyaksikan kemudahan infrastruktur telah bertambah.

Jalan raya menghubungkan setiap kawasan penempatan dalam bahagian tersebut sudah ada. Dahulu tidak ada jalan ke Daro dari Mukah, jalan ke Dalat berlubang-lubang dan jalan ke Sibu teruk.

Dahulu Mukah cuma pekan kecil yang membosankan. Kedai-kedai di pasar Mukah jarang dapat bertemu dengan muka orang asing – maksud saya orang Bangladesh, China dan Indonesia. Kini berikutan keperluan tenaga kerja, muka orang asing banyak didapati terutama pada hujung minggu.

Tenaga kerja asing diperlukan untuk melakukan kerja-kerja di ladang kelapa sawit, sektor pembinaan, pembantu rumah dan pembantu kedai.

Bukankah itu melambangkan berlakunya pembangunan?

Mukah dan Dalat merupakan pengeluar utama tepung sagu. Ini merupakan pekerjaan tradisi penduduk di situ dan kini ia masih diusahakan menerusi pekebun-pekebun kecil. Harga sekerat batang sagu agak tinggi sekarang – antara RM7 dan RM10.

Kepelbagaian sumber ekonomi menerusi pembukaan ladang kelapa sawit.

Kini kesuburan dan keluasan tanah di Bahagian Mukah diusahakan dengan tanaman kelapa sawit. Saudara-mara saya di Dalat memberitahu tanah mereka disewa oleh syarikat perladangan sawit. Dia dan pemilik tanah yang lain kini menerima bayaran sewa tanah bergantung dengan keluasan yang ditanam pokok kelapa sawit.

Katanya, sebulan dia menerima antara RM1,000 dan RM1,500 – tetapi tidak pula dia beritahu bayaran tersebut untuk berapa luas tanah. Yang penting dia nampak gembira kerana menerima bayaran atas tanah yang sebelum ini tidak mendatangkan hasil sangat kerana tidak diusahakan sepenuhnya.

Dari aspek taraf hidup penduduk di situ, ya, ia turut berubah dan meningkat. Dahulu mana ada ramai yang berjawatan tinggi atau bekerja dengan kerajaan sebagai guru, doktor, polis, kastam dan lain-lain. Kebanyakan anak-anak muda dahulu sekadar menjadi nelayan tradisional, pembalak dan petani. Kini ramai yang sudah memegang jawatan utama dalam sektor swasta. Hasilnya, kereta pun sudah banyak di kampung-kampung.

Sebahagian dari kawasan komersial di Bandar Mukah.

Yang penting, Bahagian Mukah merupakan antara kawasan yang terbabit dalam pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) – satu projek pembangunan ekonomi yang menggambarkan betapa jauhnya pemikiran Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Bukankah itu hasil perancangan dan pelaksanaan yang berteras daripada politik pembangunan?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: