YangSaya Nampak

Hal SUPP, SPDP dan 25 kerusi selamat untuk BN.

In Barisan Nasional, Krisis SPDP, Pilihan Raya Umum, Politik, SUPP on February 19, 2012 at 4:35 pm

SUPP dan SPDP perlu menyelesaikan segera masalah dalaman masing-masing dan berhenti bertelagah bagi menjamin kemenangan besar Barisan Nasional di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Biar pun menganggap masalah di Sarawak masih terkawal, Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional, Datuk Ahmad Maslan memberitahu, masalah itu tidak wajar dibiarkan berlarutan sehingga memberi imej kurang baik di mata rakyat.

Mereka perlu meletakkan kepentingan Barisan sebagai keutamaan, apatah lagi pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.

Masalah wajar diselesaikan segera demi kepentingan parti kerana Barisan Nasional bukan setakat mahu menang, tetapi mahu menang besar dalam pilihan raya kelak.

SUPP dilanda masalah apabila kumpulan bekas Timbalan Setiausaha Agung, Dato Sri Wong Soon Koh memulaukan persidangan perwakilan tiga tahun sekali parti tersebut pada Disember 2011. Sehingga kini, tidak ada tanda-tanda perdamaian akan berlaku antara Wong dan Presiden, Datuk Seri Peter Chin.

SPDP pula semakin ketara masalah mereka selepas pemecatan bekas Naib Presiden, Datuk Sylvester Entri Muran pada November 2011 dan disusuli dengan pengisytiharan keluar parti empat wakil rakyatnya – Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Dr Tikie Lafe, Paulus Palu Gumbang dan Rosey Yunus. Mereka kini bergerak dalam kumpulan yang dinamakan Kelab Barisan Nasional Sarawak.

Sarawak yang mempunyai 31 kerusi Parlimen kini dikuasai oleh Barisan Nasional sebanyak 29 kerusi. Kerusi Parlimen Bandar Kuching dimenangi Chong Chieng Jen (DAP) menerusi Pilihan Raya Umum 2008, manakala satu lagi dimenangi pada Mei 2010 menerusi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu – Wong Ho Leng (DAP) menang.

Sehubungan itu, 25 kerusi diramal benar-benar selamat bagi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Naib Presiden PBB, Datuk Daud Abdul Rahman memberitahu, ramalan itu adalah bersandarkan penelitian serta kajian beberapa pihak yang menjangka peluang Barisan Nasional untuk menguasai baki enam lagi kerusi sebagai 50-50.

“Tidak bermakna kita mengaku lemah apabila menganggap hanya 25 daripada 31 kawasan benar-benar selamat.

“Daripada 25 kerusi itu, 14 yang diwakili PBB tidak akan berhadapan masalah besar, tetapi saya percaya parti komponen Barisan Nasional yang lain mampu mengubah ramalam dengan berusaha keras menambah kawasan selamat,” katanya dipetik menerusi akhbar hari ini (19 Feb. 2012).

Menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 yang diadakan pada April 2011, Barisan Nasional Sarawak berjaya memperoleh mandat baru daripada rakyat untuk memerintah semula negeri ini.

Selain PBB, SUPP dan SPDP, Barisan Nasional Sarawak turut dibentuk oleh PRS.

SUPP terpaksa akur dengan kekalahan besar calon-calon mereka, termasuk kekalahan bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau.

Parti politik tertua di negeri Sarawak itu, kurang mendapat sokongan di kalangan pengundi Cina di kawasan-kawasan bandar.

Sentimen ‘semakin gemar’ terhadap DAP di kalangan pengundi Cina di bandar wajar diberi perhatian serius oleh pemimpin-pemimpin SUPP agar ia tidak menular ke dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: