YangSaya Nampak

Archive for February 14th, 2012|Daily archive page

Gugurnya seorang wira negara dari Sarawak.

In Patriotisme, Sosial on February 14, 2012 at 10:47 pm

TAKZIAH … takziah dan takziah kepada keluarga mendiang Inspektor Benet Pawun yang meninggal dunia di Manlueuna, Comoro, Dili.

Wira negara, wira Sarawak. Mendiang Inspektor Benet Pawun.

Mendiang, 52, berasal dari Serian merupakan pegawai polis yang menyertai Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste (UNMIT) mulai 14 Oktober 2011.

Meninggal dunia kira-kira pada pukul 10.15 pagi pada 7 Februari 2012, wira negara itu meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Menurut laman Facebook PDRM, hasil bedah siasat sepasukan pegawai perubatan diketuai Dr. Maria Biceida Aguero Ramos (Supervisor Forensic Pathology) dibantu oleh Dr. Nurul Islam di Dili National Hospital Guido Valadares tidak dapat mengesahkan sebab kematian setakat ini kerana sampel-sampel yang diambil perlu dihantar ke Darwin, Australia untuk tujuan analisa.

Mendiang meninggal dunia di kediamannya dan disedari oleh rakannya apabila tidak memberi jawapan apabila pintu biliknya diketuk beberapa kali dan panggilan telefon tidak berjawab.

Ketika hayatnya, mendiang telah ditempatkan di Border Patrol Unit, Lapangan Terbang Dili sebagai Pegawai Peronda Polis PBB.

Menurut laporan berita Borneo Post Online pada 13 Februari 2012, usaha untuk membawa balik mayat Mendiang Inspektor Benet Pawun dari Darwin, Australia ditangguhkan selama 10 hari lagi kerana pihak berkuasa Australia perlu menjalankan bedah siasat kedua.

Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot berkata, penangguhan itu menyebabkan tekanan kepada keluarga mendiang kerana mereka menjangkakan mayat tiba semalam (12 Februari).

“Mayat hanya akan tiba dalam tempoh lima hingga 10 hari lagi,” kata Richard.

BR1M: Cuma kembalikan duit rakyat.

In Barisan Nasional, Pilihan Raya Umum, Politik, Sarawak, Sosial on February 14, 2012 at 10:22 pm

Kembalikan duit rakyat.

BANYAK tuduhan dan tohmahan diperkatakan, terutama di saluran Internet, mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia, malah bukan juga kali pertama isu berkenaan dibincangkan dalam blog ini!

Sengaja mahu mengulangi topik BR1M, kerana di Sarawak ia menjadi isu hangat yang diperkatakan oleh mak bapa, pakcik makcik dan datuk nenek di kampung dan pedalaman, begitu juga di bandar dan pekan.

Mereka yang duduk di kedai kopi juga bersembang bertanyakan adakah mereka bernasib baik menerima wang RM500 yang diberikan kepada mereka yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Menteri Muda Pembangunan Belia Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah menyerahkan baucar BR1M kepada seorang penerima.

Tujuan agihan BR1M itu mudah dan nyata – untuk membantu meringankan beban kewangan mereka yang disasar. Puas sudah wakil-wakil rakyat dan pak menteri menjelaskan kepada rakyat jelata. Ia bukan rasuah.

Dan hari ini, ada terdengar seorang pemimpin negara menerusi berita TV3 memberitahu, BR1M ialah antara cara kerajaan mengembalikan duit rakyat.

Lantas dengan kenyataan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, menafikan dakwaan beberapa pihak yang wang itu ialah sogokan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Memang benar kadang-kadang ia nampak seolah-olah segala tindakan kerajaan dikaitkan dengan cuba memenangi hati rakyat. Biarlah pihak-pihak berkenaan melemparkan tuduhan yang sukar hendak dipercayai.

Ada pihak, seperti di bandar Sibu baru-baru ini, ketika proses agihan baucar BR1M, suka menangguk di air yang keruh. Mereka cuba melaga-lagakan rakyat dengan pemimpin kerajaan kerana timbul sedikit kekecohan.

Pihak berkenaan mengatakan proses agihan baucar tidak sistematik dan menyusahkan penerima. Terpulanglah untuk mentafsirkan bagaimana, tetapi yang jelas kerajaan cuba membantu golongan rakyat berpendapatan rendah.

Tetapi secara amnya seluruh negeri Sarawak tidak wujud kekecohan.

Anggota Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Abdul Rahman menyampaikan baucar BR1M kepada penerima di kawasannya.

Apa yang menariknya, wakil rakyat daripada DAP turut menggesa rakyat agar memohon bantuan itu. Sukar dimengerti apabila ada di kalangan mereka mendakwa duit itu sogokan pilihan raya, tetapi dalam masa yang sama mereka seolah-olah menyokong BR1M.

Misalnya, awal Februari 2012, ADUN Pending, Violet Yong memberitahu pihaknya akan membantu mengemukakan rayuan bagi mereka yang ditolak permohonan. Mungkin ini yang dimaksudkan menyokong dalam diam.

Atau mereka cuba mengambil peluang untuk menonjolkan imej gemar membantu mereka di kalangan umum.

Populariti DAP pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, April 2011, diakui meningkat apabila berupaya menumbangkan ramai calon SUPP.

Diharapkan momentum ini tidak akan berterusan di Sarawak pada pilihan raya umum kelak.

Penan dapat jambatan dan Hassan Sui jutawan Penan.

In ekonomi, Sarawak, Sosial on February 14, 2012 at 1:46 pm

MEDIA dan NGO Barat sering mengaitkan Penan dengan penindasan. Suku kaum nomad di Sarawak itu juga sering dikaitkan dengan Bruno Manser.

Penan juga satu topik menarik bagi media – sebut sahaja Penan, media akan pasang telinga dan kalau ia sensasi dan terkini, mereka akan tulis dan disiarkan di akhbar-akhbar atau televisyen dan radio atau blog.

Jarang disedari Penan sebenarnya anak emas kerajaan. Mereka sering mendapat perhatian dalam apa jua keperluan. Kerajaan tidak mahu kaum ini ketinggalan dari segenap aspek.

Jambatan itu adalah untuk memudahkan mereka berhubung antara penempatan-penempatan lain. Jambatan itu dibina di Lepo Bunga, Ulu Limbang.

Jambatan gantung 77 meter membabitkan kos RM180,000 itu memberi kemudahan perhubungan kepada 11 penempatan kaum Penan.

Ia sebenarnya satu bukti kebajikan Penan tidak dipinggirkan.

Jambatan itu memudahkan pelajar Penan menyeberangi sungai ke sekolah dan menjamin sungai ke sekolah.

Laporan media sebelum ini mengatakan RM1.2 juta dibelanjakan bagi membiayai pengangkutan pelajar Penan di Marudi, Belaga dan Limbang sejak 2008.

Tan Sri Alfred Jabu yang dipetik menerusi laporan akhbar itu memberitahu, jumlah itu memberi manfaat kepada 5,084 pelajar Penan di sekolah rendah dan menengah dari 61 kampung.

Dalam bidang pendidikan, setakat 2011, Jabu memberitahu terdapat 26 siswazah daripada kaum Penan dan jumlah ini semakin meningkat setiap tahun berikutan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan di kalangan belia suku kaum tersebut.

Pembangunan sosio-ekonomi di kalangan kaum Penan juga tidak diabaikan apabila pelbagai usaha diadakan, antaranya estet mini pekebun kecil getah bermutu.

Sebagai pendorong semangat untuk mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi, Penan wajar menjadikan Datuk Hasan Sui sebagai idola.

Datuk Hasan Sui

Dia merupakan jutawan pertama di kalangan kaum Penan berikutan kegigihannya dalam perladangan kelapa sawit.

Dari hanya 300 batang pokok kelapa sawit, kini dia mempunyai hampir 100,000 batang pokok.

“Terus terang saya katakan setiap bulan saya mampu memperoleh sekitar RM70,000 keuntungan bersih hasil semua jualan kelapa sawit,” katanya dipetik menerusi akhbar, baru-baru ini.

Tetapi, tidak mudah untuk membangkitkan kesedaran dan menyuntik motivasi di kalangan mana-mana kaum, bukan sahaja Penan.

Apa yang perlu ialah kecekalan dalam memberi penjelasan tentang pentingnya mereka membantu diri sendiri agar keluar dari kepompong kehidupan mereka yang selama ini banyak bergantung dengan hasil hutan sahaja.