YangSaya Nampak

PLKN pentas terbaik jelaskan SCORE kepada remaja.

In ekonomi, Sarawak, SCORE on February 6, 2012 at 11:43 pm

KAJIAN menunjukkan remaja sekarang kurang gemar membaca akhbar atau menghadiri majlis-majlis yang diadakan di kawasan kediaman mereka. Puncanya tidak menjadi persoalan penting dalam artikel ini.

Apa yang penting ialah bagaimana hendak menyebarkan maklumat tentang Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) kepada remaja dan belia, sedangkan mereka liat untuk membelek-belek akhbar. Bagi mereka membaca akhbar cuma hobi orang tua yang sudah pencen – tidak ada apa-apa yang hendak dilakukan bagi mengisi masa lapang, maka mereka membaca akhbar.

Dalam akhbar – terutama akhbar tempatan Sarawak – banyak memuatkan artikel rencana dan berita yang mengisahkan tentang SCORE, satu inisiatif kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Sejak ia dilancarkan pada Februari 2008 oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (dahulunya Datuk Seri, bekas Perdana Menteri), publisiti meluas telah diberi akhbar-akhbar hampir setiap apa yang berkaitan koridor tersebut.

SCORE merupakan antara koridor wilayah yang diilhamkan oleh Abdullah dan ia sejajar dengan hasrat Abdul Taib dalam usaha kerajaan membangunkan wilayah tengah Bumi Kenyalang yang memerlukan sentuhan pembangunan. Ia merupakan projek raksasa kerajaan dalam meningkatkan pendapatan negeri dan rakyat, berteraskan industri berintensifkan tenaga.

Ruginya seandainya remaja dan belia tidak menyedari atau lebih teruk lagi enggan ambil tahu tentang apa yang dirancang kerajaan untuk mereka. SCORE bukan untuk orang lain, ia diilhamkan Ketua Menteri untuk menyediakan pekerjaan yang mencukupi.

REMAJA ... Modal insan negara yang diperlukan SCORE.

Justeru, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah menyarankan agar peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diberi penjelasan mengenai SCORE menerusi Modul Khidmat Komuniti.

“Penjelasan SCORE ini penting untuk menerangkan kepada pelatih PLKN di negeri ini sebagai generasi muda tentang kepentingan pelaksanaan SCORE yang akan merealisasikan matlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi,” jelas Fatimah, dipetik menerusi akhbar.

Keperluan melahirkan modal insan yang berdaya saing serta memiliki kemahiran tinggi dalam industri berteknologi tinggi penting bagi menampung keperluan tenaga kerja SCORE kelak.

Industri-industri yang wujud di bawah SCORE dianggarkan menyediakan 1.3 juta peluang pekerjaan dan merangkumi pelbagai bidang serta tahap kemahiran. Untuk itu, pusat kemahiran dan universiti di Sarawak digerakkan bagi membantu usaha melengkapkan belia dengan kemahiran diperlukan.

Industri-industri utama SCORE ialah industri berasaskan besi, kaca, perikanan dan akuakultur, makanan halal, perkayuan, aluminium, minyak dan gas serta kelapa sawit.

SCORE ... Pemacu pertumbuhan ekonomi Sarawak.

SCORE merupakan teras dan landasan utama bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak ke tahap optimum selari dengan hasrat kerajaan persekutuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Sarawak mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada transformasi pendapatan tinggi Malaysia memandangkan ia merupakan negeri kedua terkaya daripada segi pendapatan per kapita dan ketiga terbesar dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Itu kata seorang penganalisis ekonomi dipetik menerusi sebuah majalah ekonomi.

Dengan kurnian kekayaan sumber asli yang luas dalam tanah, perhutanan, pelancongan serta sumber tenaga diperbaharui dan tidak boleh diperbaharui, Sarawak berada dalam kedudukan baik untuk menerajui pertumbuhan mampan dan seimbang di semua sektor, khususnya pertanian, perlombongan, pembuatan dan perkhidmatan.

Pada 2009, Sarawak adalah negeri ketiga dalam KDNK pada 9.9 peratus selepas Selangor (23.3 peratus) dan Kuala Lumpur (15.6 peratus). Saiz KDNK Sarawak juga lebih tinggi dari Johor (9.7 peratus), Pulau Pinang (8.5 peratus) dan Kelantan (1.9 peratus).

Daripada segi pendapatan per kapita, Sarawak menjadi negeri kedua terkaya iaitu RM30,318 selepas Kuala Lumpur (RM51,197). Bumi Kenyalang juga mendahului Pulau Pinang (RM29,569) dan Selangor (RM27,609).

SCORE yang akan direalisasikan sepenuhnya pada 2030, dijangka dapat mempertingkatkan KDNK Sarawak lima kali ganda dan diunjurkan berkembang daripada RM23 bilion pada 2006 kepada RM118 bilion pada 2030.

Sebagai tambahan, pendapatan per kapita KDNK akan meningkat daripada RM23,193 kepada RM84,077 manakala bilangan peluang pekerjaan bertambah daripada 900,000 kepada 2.5 juta bagi tempoh sama.

Selain pertumbuhan ekonomi, Sarawak akan menyaksikan pembangunan pesat dalam infrastruktur seperti jalan raya dan prasarana awam, tambahan pula pelaksanaan SCORE akan menarik pelaburan ke Bumi Kenyalang selepas menerima jaminan pelaburan RM13 bilion.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: