YangSaya Nampak

Sarawak tingkatkan penerimaan dan persefahaman kelainan agama.

In Agama, Sosial on February 4, 2012 at 11:30 pm

SERING terdengar ada pihak mengatakan Sarawak merupakan model terbaik dijadikan teladan untuk mencapai suasana harmoni meskipun dihuni oleh lebih 20 suku kaum.

Bukan sahaja kaum berbeza, tetapi kepercayaan dan pegangan agama turut lain-lain. Ada yang Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Bahai dan mengamalkan animisme – itu hak masing-masing untuk memilih.

Lantas, ini kerap menjadi persoalan di benak fikiran orang asing yang datang ke Bumi Kenyalang. Malah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak melabelkan Sarawak sebagai contoh 1Malaysia.

Meskipun demikian, rakyat Sarawak yang menyedari betapa pentingnya perihal perpaduan dan kesatuan dalam membangunkan negeri atau dalam konteks lebih luas, negara Malaysia, tidak sekadar puas hati di takat itu. Mereka mahu kelainan dalam kepercayaan menjadikan mereka lebih kukuh perpaduannya.

Justeru, banyak usaha dilakukan dalam mencapai matlamat mengekalkan keharmonian antara agama. Antaranya baru-baru ini, menerusi sebuah akhbar tempatan The Borneo Post, jawatankuasa antara agama menyiarkan artikel khas mengenai keagamaan setiap minggu.

Presiden Jaringan Antara Agama Malaysia, Dr John Fozdar berkata, biarpun terdiri daripada latar belakang, bahasa dan agama yang berbeza, namun persefahaman dan keharmonian masih dapat dipertahankan.

Perpaduan dalam kepelbagaian agama.

“Perkara inilah yang menjadikan kita sebagai sebuah negara yang unik,” katanya dipetik dalam akhbar, baru-baru ini.

Ya benar, isu agama agak sensitif untuk dibincangkan tetapi dengan minda yang terbuka serta tidak mengekang perkembangan agama lain asal tidak melanggar undang-undang dan tahu batasannya, ia bagi rakyat Sarawak adalah ‘okay’.

Terlalu ekstremis dalam amalan agama turut mengundang malapetaka terhadap sesebuah negara. Tidak salah untuk menjadi seorang yang alim dalam agama masing-masing, tetapi wajar menghormati amalan agama orang lain juga – itulah kunci terhadap kejayaan Sarawak selama ini yang amat wajar dikekalkan.

Dalam mencapai tahap hormat-menghormati agama lain, dialog antara agama merupakan pendekatan terbaik untuk memupuk hubungan baik dan meningkatkan kefahaman di kalangan pelbagai kaum.

Penubuhan Pusat Penerangan Islam di Jalan Ong Tiang Swee di Kuching yang dibuka pada Ogos 2008 merupakan satu lagi bukti amalan agama di Sarawak tidak terhad dalam menyebarkan agama.

Tetapi ia adalah untuk memberi penjelasan kepada penganut agama lain tentang ajaran agama Islam agar orang ramai tidak memandang serong terhadap agama yang disebarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Pusat Penerangan Islam (IIC) dibina dengan menampilkan ciri-ciri kebudayaan pelbagai kaum antara Cina dan Bidayuh. Ia menggambarkan betapa mustahaknya menerapkan sikap hormat-menghormati kaum-kaum lain dalam menegakkan syiar Islam.

Di Malaysia, walaupun Islam dinamakan sebagai agama bagi persekutuan dan Islam satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, agama lain bebas diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan keharmonian.

Sudah pasti perbezaan antara agama itu wujud tetapi yang lebih penting bagi kita sekarang ini bukanlah memperbesar-besarkan perbezaan berkenaan tetapi mencari kesamaan antara agama bagi menjadi nukleus kepada perpaduan kaum serta tidak sampai mempertikaikan ajaran sesuatu agama itu sendiri.

Dialog antara agama dianjurkan bagi memahami dengan lebih mendalam agama lain dan pada masa sama kita hendaklah berhati-hati agar dalam keghairahan berdialog itu, kita tidak terlalu emosi sehingga mempersoalkan ajaran ‘intra agama’ itu yang boleh mengguris hati penganut agama lain.

Seperti kita tidak mahu melihat agama kita diherdik, kita juga sepatutnya tidak menghina agama lain dan bersikap toleran dengan penganut agama lain. Malah ini juga menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.

Bersama kita menjadikan Sarawak kekal sebagai sebuah negeri yang menjadi teladan orang luar dalam merujuk keharmonian antara penganut agama berbeza.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: