YangSaya Nampak

Archive for February, 2012|Monthly archive page

Isu Henry Ng (Asian Beacon) dan Erykah Badu (The Star) – buang yang keruh dan usah dipanjangkan.

In Agama, Sarawak, Sosial on February 29, 2012 at 11:36 pm

PERSAMAAN antara dua nama di atas ialah (1) menyinggung perasaan sesebuah kumpulan dan (2) ia membabitkan organisasi percetakan umum.

Henry Ng menerusi artikel dalam majalah Asian Beacon yang berjudul ‘Of Skulls and Sago Worms’ telah menyinggung perasaan dan menimbulkan kemarahan di kalangan orang Iban.

Orang Iban dalam artikel majalah terbitan enam kali setahun yang diterbitkan oleh pertubuhan Kristian dikenali sebagai Persaudaraan Asian Beacon Malaysia sejak tahun 1969 antara lain mengandaikan orang Iban sebagai rendah moral.

Kaum majoriti di Bumi Kenyalang itu dibayangkan dengan aktiviti suka meminum arak dan seks.

Utusan Borneo, akhbar di Sarawak dipetik menerusi terjemahan artikel asal berbunyi begini:-

“Iban menikmati rokok dan minum minuman keras, dan mereka sering mabuk semasa musim perayaan atau majlis-majlis khas seperti perkahwinan.

“Mereka juga cenderung untuk menjadi tidak bermoral. Saya telah melihat lelaki dari rumah panjang lain memasuki sebuah rumah panjang yang berbeza untuk mencari wanita.

“Selepas minum tuak mereka akan mengadakan aktiviti seksual dan itu adalah perkara biasa. Para Ibu yang didapati telah menawarkan anak perempuan mereka untuk seks kepada lelaki dengan harapan untuk berkahwin dengan anak perempuan mereka”. 

Majoriti orang Iban menuntut permohonan maaf dan akur dengan desakan itu, pihak Asian Beacon muncul dengan kenyataan menerusi Facebooknya seperti berikut:

APOLOGY FOR ARTICLE TITLED “OF SKULLS AND SAGO WORMS” IN ASIAN BEACON FEBRUARY-MARCH 2012 VOLUME 44 NO: 1

An article titled “Of Skulls and Sago Worms” in our Asian Beacon February-March 2012 bimonthly issue has offended the Iban community.

We deeply regret this incident and sincerely apologise to all our Iban friends and seek your forgiveness.

We are deeply grieved that it has caused ill feelings among the Iban community and again, we wish to convey our unreserved apologies to them.

In the midst of this Lent season and in the spirit of forgiveness, we humbly seek forgiveness and kindness from the Iban community. “Therefore as God’s chosen people, holy and dearly loved, clothe yourselves with compassion, kindness, humility, gentleness and patience. Bear with each other and forgive one another if any of you has a grievance against someone. Forgive as the Lord forgave you.” Colossian 3:12-13

Asian Beacon Magazine [PP2007/10/2012(031036)]

An inter-denominational Christian magazine, published six times a year by a non-profit Christian society Persaudaraan Asian Beacon Malaysia since 1969.

Erykah Badu

Sementara itu, isu membabitkan The Star, ialah apabila akhbar bahasa Inggeris itu menyiarkan gambar penyanyi Amerika Syarikat Erykah Badu yang mempunyai tulisan kalimah Allah di badannya.

Ia dikatakan telah menyinggung perasaan umat Islam terutamanya di negara ini kerana perbuatan penyanyi tersebut disifatkan sebagai menghina kesucian agama Islam.

Dan kerajaan semalam mengarahkan konsert Erykah yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sepatutnya hari ini (29 Feb 2012) dibatalkan serta merta.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menerusi Twitter miliknya menggesa kerajaan supaya pandangannya diambil kira mengenai isu konsert penyanyi itu.

“Konsert Erykah Badu dibatalkan kerana melanggar Garis Panduan Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) iaitu menyentuh sensitiviti agama dan nilai-nilai budaya Malaysia,” kata Rais dalam laporan berita mStar Online.

Bagaimanapun, Rais tidak menyatakan dengan lebih lanjut sama ada pembatalan itu disebabkan penyiaran gambar kontroversi penyanyi tersebut dengan tatu kalimah Allah pada dadanya menerusi sisipan Star Two, akhbar The Star, Isnin lalu.

Dua hari sebelum itu, The Star menerusi laman sesawangnya menyiarkan permohonan maaf berhubung insiden tersebut. Di bawah ialah kenyataan permohonan maaf berkenaan.

Monday February 27, 2012

Apology for Erykah Badu photo

A photograph of American singer Erykah Badu with tattoos of various symbols, including the Arabic word for Allah, was inadvertently published in Star2 today. We sincerely apologise to Muslim readers for this oversight.

Justeru, ada dua pengajaran dalam hal ini.

(1) Berhati-hati setiap kali menyiarkan bahan bacaan untuk umum, jangan sekali-kali terlepas pandang. Memang manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan tetapi ia wajar diminimumkan.

(2) Maafkan mereka yang meminta maaf agar keadaan negara terus harmoni tanpa wujud prasangka yang menjurus terhadap kekacauan.

 

TEGAS lahir anak tempatan rebut peluang kerja teknikal dalam SCORE.

In ekonomi, Sarawak, SCORE on February 29, 2012 at 10:56 pm

Tabung Gagasan Ekonomi Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) diwujudkan khusus bagi membantu anak tempatan merebut peluang pekerjaan dalam bidang teknikal yang dijamin menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Ia diwujudkan bagi mengisi permintaan tenaga kerja di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang kini dalam proses menarik lebih ramai pelabur dan penyediaan kemudahan infrastruktur di kawasan terbabit, terutama Samalaju di Bintulu.

SCORE yang diilhamkan hasil pandangan jauh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan mula menampakkan hasil ketara pada 2030 apabila ia berjalan sepenuhnya.

Menerusi pelancaran TEGAS oleh Pehin Sri Abdul Taib pada 28 Feb. 2012 di Kuching, kerajaan negeri yakin sasaran melahirkan 50,000 tenaga kerja berkelulusan ijazah sarjana muda, 50,000 lulusan diploma dan 250,000 lagi memiliki sijil kemahiran mampu dicapai dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis pelancaran TEGAS di Kuching.

TEGAS merupakan antara inisiatif kerajaan bagi melahirkan seramai mungkin tenaga mahir bagi mengisi peluang pekerjaan di koridor pembangunan wilayah di tengah Sarawak.

RM5 juta diperuntukkan kepada TEGAS untuk memulakan kerja-kerja publisiti.

Menerusi TEGAS, kerajaan negeri berusaha membentuk golongan yang dianggap terpinggir untuk menjadi modal insan berkualiti, seterusnya dimanfaatkan bagi menggerakkan SCORE yang memerlukan 226,493 tenaga kerja kategori profesional, separa profesional, kumpulan sokongan dan pekerja am dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pehin Sri Abdul Taib memberitahu, TEGAS merupakan satu langkah terbaik dalam usaha membangunkan pendidikan teknikal.

Dipetik menerusi akhbar, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datu Len Talif Salleh memberitahu golongan sasar promosi TEGAS ialah mereka yang memiliki tahap literasi dan numerasi yang minimum dari 16 hingga 45 tahun.

Golongan tersebut:-

1. Mereka yang tercicir daripada sistem persekolahan atau mereka yang tidak tahu apa yang mereka buat pada masa depan.

2. Lepasan sekolah yang merupakan sumber manusia yang perlu ditransformasikan sebagai modal insan yang berkemahiran.

Justeru, dengan adanya inisiatif sedemikian rupa, anak-anak muda tidak sekadar menyaksikan industri-industri besar mendirikan kilangnya di Sarawak, tetapi turut menyumbang terhadap tenaga kerja dan sekali gus memakmurkan ekonomi.

Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Orang Utan.

In Alam Sekitar, Pelancongan on February 29, 2012 at 12:15 am

PUSAT Hidupan Liar Semenggoh (PHLS) yang terletak kira-kira 24 kilometer dari pusat bandar raya Kuching terkenal dengan kehidupan liar terutama Orang Utan yang menjadi daya tarikan pengunjung dan pelancong asing ke negeri ini.

Ia merupakan simbolik terhadap usaha kerajaan menerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) memelihara flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan Sarawak.

Pusat berkenaan telah dibuka sejak tahun 1975. Kini terdapat 28 ekor orang utan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

Sejarah pemuliharaan orang hutan di situ bermula dari tahun 1996 apabila dua ekor orang utan, jantan dan betina telah dilahirkan dipusat tersebut.

Sejak itu, semakin banyak orang utan dilahirkan di pusat tersebut. Apabila dewasa ia dibebaskan ke hutan belantara.

Asas penubuhan pusat berkenaan untuk menjaga dan melindungi haiwan yang cedera, yatim piatu dan yang dirampas daripada orang ramai sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.

Selain itu, mereka juga menjalankan kajian terhadap hidupan liar dan melaksanakan program pemuliharaan spesies haiwan yang terancam.

Sama seperti mana-mana pusat pemuliharaan hidupan liar, ia juga dibuka kepada orang ramai untuk tujuan pendidikan dan penjelasan berkenaan kepentingan melindungi hidupan liar.

Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh turut dihuni hampir 1, 000 hidupan liar terancam terdiri daripada mamalia, burung dan reptilia.

Namun, ia menjadi popular apabila pusat berkenaan menjalankan Program Rehabilisasi Orang Utan dan telah berjaya melepaskan semula orang utan ke habitat asal mereka.

Justeru itu, ia telah berubah menjadi salah sebuah pusat kajian biologi dan kelakuan khusus untuk orang utan.

Orang utan atau nama saintifiknya Pongo pygmaeus hanya boleh dijumpai dalam hutan tropika di Kepulauan Borneo Malaysia (Sarawak dan Sabah) dan Kepulauan Borneo Indonesia (Kalimantan dan Utara Sumatera).

Ia merupakan salah satu primat terbesar di dunia dan sepanjang hayatnya ia hidup di atas pokok.

Jangka hayat orang utan di habitat liar mampu mencecah sehingga 45 tahun dan jika dipelihara di dalam pusat pemuliharaan ia mampu menjangkau sehingga usia 60 tahun.

Anak orang utan, ia akan bergantung kepada ibunya untuk menyusu dan mendapatkan perlindungan selama satu hingga dua tahun sebelum bergerak bebas secara sendirian.

Berat seekor orang utan mampu mencecah sehingga 110 kilogram (kg) dan mencapai ketinggian hampir 150 sentimeter (sm).

Makanan utama orang utan adalah pucuk muda, serangga, kulit kayu, bunga, telur burung dan cicak kecil.

Di Malaysia dan Indonesia, orang utan dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan sebagai spesies terancam.

Kini dianggarkan terdapat hampir 20,000 hingga 27,000 ekor orang utan yang masih wujud secara bebas di dalam hutan belantara.

Di PHLS orang utan akan diberi makan sebanyak dua kali sehari iaitu dari pukul 9 hingga 10 pagi dan pukul 3 hingga 4 petang.

Bagi orang utan yang baru diterima mereka akan dikurung dahulu untuk dirawat dan diperiksa.

Orang utan yang muda pula akan dibawa oleh renjer untuk belajar memanjat pokok, bergayutan antara dahan dan mencari makanan.

Selepas mencecah usia dua hingga empat tahun, orang utan yang dilihat mampu berdikari akan dilepaskan ke hutan simpan di sekeliling pusat tersebut.

Pada peringkat awal pelepasan, orang utan kadang-kala kembali ke pusat untuk mendapatkan makanan dan akan meninggalkan pusat setelah beberapa tahun membiasakan diri dengan hutan di sekelilingnya.

Lebih ketara adalah pada musim buah-buahan, kadang-kala orang utan yang telah dibebaskan tidak akan datang langsung ke pusat tersebut menandakan mereka telah dapat menyesuaikan diri dengan sepenuhnya.

Peringkat terakhir adalah orang utan yang telah dikenal pasti benar-benar mampu berdikari akan terus dilepaskan ke Taman Negara Sarawak atau mana-mana kawasan perlindungan hidupan liar sekitar Sarawak.

Tahniah! YB Semop, Abdullah Saidol dilantik Ketua Setiausaha Politik KM.

In Politik, Sarawak on February 27, 2012 at 10:01 pm

YB Abdullah Saidol

DIA kerap turun padang senyap-senyap tanpa membawa wartawan bersamanya kerana cuma ingin berjumpa dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya – DUN Semop yang baru dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada April 2011.

YB Abdullah Saidol, 45, akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2012 di depan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Itu maklumat diterima daripada seorang rakan yang bertugas di Wisma Bapa Malaysia hari ini, 27 Februari 2012.

Dia menggantikan YB Abdul Karim Rahman Hamzah yang kini merupakan Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Belia.

Pada November 2011, YB Abdullah dipilih menjadi Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Sarawak (BNBBC).

YB Abdullah, , merupakan wakil rakyat yang baru memasuki penggal pertama pada tahun ini selepas ‘mewarisi’ kerusi tersebut daripada Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April 2011.

Kedudukan tersebut sudah pasti akan dimanfaatkan oleh YB Abdullah, yang sebelum menjadi wakil rakyat merupakan peguam, untuk membawa pembangunan di seluruh Sarawak secara tidak langsung.

Seorang yang berada di kedudukan itu wajar memiliki ciri-ciri kelantangan dan berani mempertahankan tindakan kerajaan terutama ketika Dewan Undangan Negeri bersidang.

Pan Borneo akan dinaik taraf.

In Masalah masyarakat, Sarawak on February 26, 2012 at 11:08 pm

DALAM Facebook satu ketika dahulu ada sebuah kumpulan ditubuhkan oleh sekumpulan mereka yang kebanyakannya kerap menggunakan jalan Selangau – Mukah kerana marah dan geram dengan jalan tersebut yang amat teruk.

Mereka kecewa sebab sudah lama – sejak mereka dari kecil – jalan sepanjang kira-kira 80 kilometer itu berlubang sana dan berlubang sini. Bukan sekadar melambatkan perjalanan, tetapi mendatangkan kerosakan pada kenderaan.

Ada juga kedengaran mereka yang lalu jalan penghubung orang Mukah, Oya, Dalat, Igan, Daro, Balingian dan Matu itu, pecah tangki minyak pelincir sebab gagal mengelak lubang lantas bahagian bawah kereta terkena.

TERPUTUS ... jalan Pan Borneo di Serian yang mendap satu ketika dahulu.

Siapa yang tidak kecewa dan geram apabila perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam menjadi tiga jam atau dua jam lebih.

Tetapi kini kumpulan Facebook dinamakan “We hate Mukah – Selangau road” itu dibubarkan selepas jalan Mukah – Selangau sudah siap kira-kira setahun yang lalu.

Dan pagi tadi sewaktu membaca surat khabar The Borneo Post saya terlihat tajuk utama “Federal pledge to upgrade highway”.

Komen ringkas teman saya ketika kami menikmati kopi dan roti kahwin, “baguslah, memang patut jalan kita dinaiktaraf”.

Ya, saya yakin begitu juga harapan penduduk Sarawak yang kerap menggunakan Jalan Pan Borneo dari Sematan ke Lawas. Jalan itu bukan sahaja lubang sana lubang sini, tampal sana tampal sini, tetapi juga mengundang risiko kemalangan. Ingat, kemalangan juga ada berpunca disebabkan keadaan jalan yang teruk dan bukan sekadar kecuaian.

KEMALANGAN ... faktor jalan raya turut menyumbang.

Saya juga yakin ramai yang setuju apabila dikatakan jalan Miri – Bintulu – Sibu amat perlu diperbaiki dengan kadar segera. Apatah lagi jalan Bintulu – Tatau yang mengundang bahaya, jalan di situ amat teruk – lubang kebanyakannya besar dan dalam. Bukan sahaja boleh menyumbang berlakunya kemalangan, tetapi poket pun boleh nipis kerana membaiki kereta rosak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik dalam artikel berita tersebut memberitahu, beliau akan menyokong syor untuk menaiktaraf jalan Pan Borneo.

Jalan lebih 1,800 kilometer itu amat perlu dinaiktaraf terutama di 95 kawasan yang telah dikenalpasti Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai penyumbang kemalangan.

Muhyiddin memberitahu, mungkin sukar bagi kerajaan persekutuan memperuntukkan RM10 bilion bagi menaik taraf keseluruhan laluan itu dari Sematan hingga Lawas sebagai laluan berkembar, tetapi boleh mempertimbang melebar 95 kawasan dengan membina laluan memotong.

“Ia akan menelan kos RM400 juta tetapi pelaksanaannya boleh dibuat secara berperingkat dengan RM400 juta diperuntukkan setiap tahun atau dalam tempoh Rancangan Malaysia sekarang,” kata Muhyiddin.

Sarawak terus harmoni – dua kampung budaya.

In Sarawak, Sosial on February 26, 2012 at 2:49 pm

SARAWAK mengorak langkah setapak lagi maju ke depan dalam aspek mengekalkan tradisi dan gaya hidup menerusi usaha pihak swasta dengan pembinaan Kampung Budaya 1Malaysia.

Terletak bersebelahan dengan Bukit Aup di Sibu, ia seolah-olah sama konsep dengan Kampung Budaya Sarawak di Santubong, Kuching.

Kampung Budaya Sarawak di Santubong, Kuching.

Kampung Budaya Sarawak memang sudah terkenal di kalangan pelancong tempatan dan asing kerana keunikan yang dilabel sebagai muzium hidup.

Ia diusahakan oleh tauke Cina, Ying Tieng Chai menerusi syarikat Zoo Bee Enterprise, dengan matlamat mempersembahkan keharmonian kaum yang pelbagai di Sarawak.

Bila sebut 1Malaysia, memang Sarawak sering dijadikan contoh terbaik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin lain negara.

Kampung Budaya 1Malaysia di Sibu. (Gambar dari Borneo Post Online).

Itu antara kunci terhadap pembangunan pesat dialami Bumi Kenyalang pada masa sekarang, dan ia wajar diperturunkan kepada generasi baru.

Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan perpaduan di negeri itu umpama pertembungan anak-anak sungai di sungai lebih besar.

Pertembungan itu mempelbagaikan ‘kebudayaan’ dan jika dimanfaatkan ia memberi suasana harmoni yang seterusnya menyumbang besar terhadap usaha pembangunan.

Kampung Budaya 1Malaysia wajar menjadi teladan terhadap usaha-usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Sarawak dan Malaysia amnya.

Umpama Kampung Budaya Sarawak, ia juga mempunyai rumah kaum-kaum di Sarawak antaranya, Melayu, Iban, Cina, Orang Ulu dan Melanau.

Usaha ini juga wajar dilihat positif dari perspektif pelancongan negeri itu.

Para pengunjung akan berpeluang menikmati masakan terkenal suku-suku kaum di Sarawak, antaranya umai, ayam pansoh, linut dan masakan Foochow. 

Selain itu, sebuah pentas persembahan tarian kebudayaan dibina di dalamnya. Idea di sebaliknya ialah mengetengahkan tarian kebudayaan penduduk tempatan.

Sarawak memang terkenal dengan kepelbagaian suku kaum. Tidak kurang 20 suku kaum tinggal di Sarawak.

Lebih unik dan melambangkan perpaduan utuh ialah apabila sebuah keluarga mempunyai ahli yang berlainan agama. Malah ada yang tinggal sebumbung tanpa wujud syak wasangka buruk terhadap penganut agama lain.

Pehin Sri Abdul Taib semestinya bangga dan tersenyum lebar apabila memperkatakan tentang keharmonian kaum di Sarawak.

Pentadbirannya menerusi konsep perkongsian kuasa di dalam Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan perpaduan antara kaum yang diwarisi sejak turun temurun.

Harapan semua ialah perpaduan ini terus kekal sampai bila-bila dan didokong sebagai satu prinsip hidup.

GLC kerajaan negeri Sarawak sedia pinjaman perumahan.

In Masalah masyarakat, Sarawak on February 26, 2012 at 12:09 am

RUMAHKU syurgaku – itulah ungkapan yang terbaik bagi menggambarkan alangkah indah dan bagusnya memiliki rumah sendiri. Rumah yang kecil tetapi selesa pun sudah memadai untuk berlindung dari panas dan hujan.

Rumah juga tempat kita menguruskan rumahtangga dan mendidik anak-anak dengan ilmu-ilmu berguna untuk dunia dan akhirat. Begitu pentingnya rumah dalam kehidupan kita seharian.

Rumah impian - gambar hiasan.

Menyedari hakikat itu, berbagai cara kerajaan cuba laksanakan agar rakyat dari golongan berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri. Bukan menyewa dan bukan juga mendirikan rumah setinggan.

Rakyat Sarawak yang berpendapatan rendah akan lebih mudah memiliki rumah sendiri apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dibenarkan memberi pinjaman kepada mereka tidak lama lagi.

Ketika ini Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) membina rumah untuk golongan terbabit, namun tidak menyediakan kemudahan pinjaman.

Bagi merealisasikan sasaran itu, Kementerian Perumahan Sarawak sedang mengkaji dasar baru itu dan berbincang dengan Bank Negara bagi membenarkan GLC Sarawak memberi pinjaman bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Rancangan itu dimaklumkan oleh Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abg Johari Abg Openg kepada media baru-baru ini.

Langkah itu menurutnya diambil berikutan ramai golongan berkenaan gagal dalam permohonan pinjaman daripada institusi kewangan kerana disenari hitam oleh CTOS dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

“Pinjaman perumahan ini dijamin sepenuhnya oleh kerajaan dan ia akan membantu ramai kakitangan awam di negeri ini yang berpendapatan rendah untuk membeli rumah,” kata Abg Johari dipetik menerusi Berita Harian.

Sarawak setinggan sifar 2020.

Sarawak turut merancang untuk mencapai status negeri setinggan sifar menjelang 2020. Justeru, HDC menyasarkan membina 18,000 unit rumah pelbagai kategori untuk menempatkan kira-kira 9,000 keluarga setinggan di negeri ini dalam tempoh tersebut.

Kepesatan pembangunan dan peluang pekerjaan di kawasan bandar utama di Sarawak khasnya Kuching, Bintulu dan Miri, mendorong kepada migrasi penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar.

Jumlah setinggan tertinggi dicatatkan di kawasan Bandar Raya Miri dan Bandar Bintulu iaitu sekitar 3,000 buah rumah selain 1,400 setinggan di Bandar Raya Kuching pada ketika ini.

Kerajaan merancang beberapa pendekatan untuk memastikan golongan tidak mampu dapat tinggal di rumah yang lebih selesa seperti membina flat untuk disewa pada kadar yang lebih rendah selain membina rumah mampu milik dan rumah mesra rakyat.

Bekalan elektrik antara agenda utama.

In Masalah masyarakat, Sarawak on February 25, 2012 at 11:18 pm

EMPANGAN Bakun dan Empangan Murum di pedalaman bahagian utara Sarawak dibina agar menyalurkan tenaga elektrik yang kompetitif sebagai tunjang utama menarik kemasukan pelaburan asing di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Dan usaha itu kini menampakkan hasil apabila berbilion ringgit nilai pelaburan dalam pelbagai jurusan industri telah dijanjikan di kawasan SCORE oleh syarikat-syarikat asing.

Itu menunjukkan kepentingan elektrik dalam pelbagai aspek di zaman moden. Tengok tv perlu ada elektrik, komputer pun begitu, apatah lagi industri-industri berat yang menggerakkan mesin dan jentera untuk operasi.

EMPANGAN BAKUN ... Bekal tenaga untuk industri dan domestik.

Orang duduk di rumah panjang dan kampung-kampung pun memerlukan bekalan tenaga elektrik 24 jam dan bukannya bergantung dengan generator.
 
Justeru, usaha membekalkan tenaga elektrik di Sarawak tidak pernah berhenti. Sebab kawasan yang luas dan penempatan berselerak, ia merupakan faktor lewat menerima bekalan elektrik 24 jam.

Sebanyak 95 peratus daripada 2.5 juta rakyat Sarawak dijangka menerima bekalan elektrik menjelang penghujung tahun ini hingga awal tahun depan.
 
Pada masa ini kira-kira 70 peratus daripada populasi di Sarawak sudah menerima kemudahan itu menerusi beberapa kaedah termasuk penggunaan bekalan elektrik alternatif menerusi sistem solar dan hidro mini.

Menteri Kemudahan Awan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dipetik menerusi akhbar baru-baru ini memberitahu, Sarawak diperuntukkan RM1.7 bilion dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk melaksanakan projek penyediaan kemudahan bekalan elektrik. Sehingga kini sebanyak RM1.2 bilion sudah diterima.

Ia adalah untuk meluaskan liputan bekalan elektrik menerusi program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Dalam menjayakan sasaran 95 peratus itu, BELB wajar mendapat kerjasama daripada semua penduduk kampung agar projek yang dirancang tidak tergendala.

Sarawak mempunyai kira-kira 6,000 buah kampung dan ia menjadi cabaran dalam aspek pelaksanaan pembangunan memandangkan setiap penempatan berselerak dan tidak semua projek itu dapat dilaksanakan dalam tempoh sama.

Menurut laman sesawang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, program BELB dilaksanakan bertujuan untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik ke rumah-rumah di kampung-kampung tradisional di luar kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara termasuklah rumah-rumah panjang di kawasan pedalaman negeri Sabah dan Sarawak.

Program BELB dilaksanakan melalui 2 kaedah: pertama melalui kaedah sambungan talian grid dari punca-punca bekalan Pihak Berkuasa Elektrik Negeri (PBEN) iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi Semenanjung Malaysia, Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) bagi negeri Sabah dan Sarawak Electricity Supply Corporation (SESCo) bagi negeri Sarawak.

Bagi kawasan-kawasan pedalaman yang tidak kesampaian serta tidak ekonomik untuk disambung menggunakan talian grid akan diberi bekalan elektrik menggunakan kaedah alternatif seperti solar, set generator, solar hibrid dan sebagainya.

PATI wujud kerana ada kerja di Sarawak.

In ekonomi, Sosial on February 23, 2012 at 10:52 pm

RAMAI yang setuju dengan kenyataan warga asing sanggup masuk ke negara ini kerana di sini ada banyak kerja dan nilai wang lebih tinggi jika ditukar ke negara mereka seperti Indonesia dan Bangladesh.

Mereka bukan sahaja menyelinap masuk tanpa dokumen perjalanan yang sah, malah sanggup berada lebih masa seperti ditetapkan kerana ingin mencari rezeki dengan harapan wang yang diraih kelak dapat menjadikan mereka hidup mewah di negara mereka.

Biarpun mereka kerja berat untuk beberapa tahun, mereka tidak ambil kisah sangat. Bak kata pepatah “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.

Mereka datang ke sini untuk bekerja di ladang-ladang kelapa sawit, pembantu rumah, pekerja binaan dan pekerja kilang. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka turut menyumbang terhadap pembangunan negara kita.

Cuba lihat masalah kedatangan warga asing ke negara ini secara positif.

Mereka datang sebab di sini ada banyak kerja dalam pelbagai sektor. Suka hati mereka pilih sesuai dengan kudrat dan kemahiran mereka.

Sektor pembinaan wujud disebabkan adanya kegiatan pembangunan. Bangunan-bangunan yang dibina turut merangkumi premis komersial dan pejabat kerajaan.

Makin banyak pusat komersial didirikan ia bermakna wujud aktiviti jual-beli di kawasan tersebut berpunca dari penduduknya memiliki wang hasil kedudukan ekonomi kian berkembang.

Ladang kelapa sawit semakin banyak memerlukan tenaga kerja buruh adalah berikutan harga di pasaran antarabangsa terhadap komoditi itu kian meningkat, juga permintaan yang tinggi. Justeru, tauke-tauke atau syarikat perladangan membuka dan memperbesarkan lagi kawasan penanaman mereka bagi menampung permintaan.

Tidak hairan jika kes-kes penangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak pernah habis.

Pada 23 Februari 2012, Utusan Sarawak melaporkan 85 orang PATI warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen. Mereka bekerja di sebuah tapak pembinaan di Kota Samarahan.

 

Belia enggan undi, puas hati atau pulau proses demokrasi?

In Masalah masyarakat, Politik, Sarawak on February 23, 2012 at 10:20 pm

MINGGU lepas saya terbaca satu artikel berita di sebuah akhbar tentang faktor mengapa ada segelintir warga negara ini enggan berdaftar sebagai pengundi.

Dalam artikel berkenaan, Menteri Muda Pembangunan Belia Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu satu punca yang logik dan boleh diterima akal mengapa ramai masih enggan berdaftar sebagai pemilih meskipun mereka layak berbuat demikian.

Ini bukan berlaku di Sarawak sahaja – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan seramai 3.7 juta orang yang layak mengundi belum berdaftar sebagai pemilih di Malaysia.

Abdul Karim dipetik berkata, golongan tersebut mungkin selesa dengan kerajaan sekarang (Barisan Nasional).

Mereka tidak ada benda yang hendak tidak dirungutkan – jika ada pun terlalu remeh untuk dibantah dengan menukar pemerintah.

Apabila mereka puas hati dengan corak pemerintahan Barisan Nasional, Abdul Karim memberitahu, golongan terbabit enggan berbuat apa-apa termasuk menggunakan kuasa mereka untuk mengundi dengan harapan undi mereka dapat menukar pemerintah.

“Jika mereka tidak puas hati sudah pasti mereka mengundi parti selain Barisan Nasional,” katanya.

Memang ada benar dan logik kata-kata Abdul Karim yang juga pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Logik kerana: –

* Di Sarawak mana ada orang kebuluran sebab tidak makan.
* Kereta bertambah banyak bilangan di atas jalan raya – tanda kemampuan untuk membeli kenderaan sendiri.
* Jalan raya sudah dibina dengan banyak.
* Di bandar-bandar, restoran makanan segera semakin banyak dan penuh dengan pelanggan setiap masa.
* Aktiviti perniagaan rancak.
* Bantuan kerajaan dalam pelbagai bentuk sentiasa diterima rakyat yang kurang upaya.
* Tidak ada larangan untuk menganuti mana-mana agama asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan.
* Projek gergasi ekonomi seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dirancang sebagai rancangan mencapai matlamat negeri maju.

Itu pendapat Abdul Karim dan wajar diterima kerana memang ada betul apa yang diperkatakannya.

Berkaitan isu yang sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini memberitahu Sarawak mencatatkan jumlah pengundi belia paling sedikit di negara ini.

Justeru, beliau berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kempenterian Pembangunan Sosial Sarawak bagi mencari jalan untuk menarik lebih ramai golongan belia supaya mendaftar sebagai pengundi.

Kajian mendapati daripada 2.5 juta penduduk Sarawak, kira-kira 400,000 atau 16 peratus daripada penduduk negeri ini adalah belia berusia antara 20 ke 29 tahun, manakala 345,000 atau 14 peratus lagi belia berusia antara 30 hingga 39 tahun.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir mengulas perkara yang sama berkata:

“Mereka perlu sedar amat penting untuk menreka mendaftar sebagai pengundi, mereka tidak harus bersikap individualistik dan harus memainkan peranan berkesan dalam sistem demokrasi di negara ini”.