YangSaya Nampak

Archive for January, 2012|Monthly archive page

Berita Harian edisi Sarawak/ Sabah: Tunjuk penting dua negeri terhadap Barisan.

In Pilihan Raya Umum, Politik on January 11, 2012 at 7:47 am

8 Januari 2012, satu tarikh bersejarah bagi New Straits Times Press (NSTP) berikutan pelancaran Berita Harian edisi Sabah dan edisi Sarawak.

Menjanjikan kandungan berita yang lebih banyak dan memberi tumpuan terhadap dua negeri itu, ia sebenarnya mengikut jejak langkah The Star, akhbar harian Bahasa Inggeris dan Harian Metro mengembangkan sayap ke negeri Sarawak.

Harga RM2 senaskhah, dan lebih awal berada di pasaran berbanding sebelum ini iaitu tengah hari.

Di Sarawak ada lima akhbar Bahasa Malaysia – Utusan Sarawak (tempatan), Utusan Borneo (tempatan), Berita Harian, Harian Metro dan Utusan Malaysia.  

Harian Metro (juga akhbar kumpulan NSTP), akhbar saiz kompak menampilkan berita-berita sensasi, mendakwa mereka kini semakin meningkat jualan di Sarawak.

Begitu juga Berita Harian ketika memasuki hari kedua memperkenalkan Edisi Sarawak, memaparkan berita tentang sambutan hangat masyarakat di Kuching bagaikan pisang goreng!

Tinggalkan persoalan tentang prestasi jualan dua akhbar NSTP Bahasa Malaysia itu, ia bukan topik utama artikel ini.

Politik. Keperluan politik ialah faktor utama Berita Harian melancarkan edisi Sarawak dan Sabah. Itu ura-ura yang diperkatakan di kalangan orang akhbar.

Mengapa? Sebab dua negeri ini, pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008, merupakan penyumbang besar terhadap kemenang Barisan Nasional, meskipun kali ini tidak mampu mencapai dua pertiga majoriti kerusi Parlimen.

Justeru, pelancaran akhbar Berita Harian di Sarawak dan Sabah merupakan antara usaha menyebarkan maklumat-maklumat kepada rakyat dengan kawalan lebih terus dari peringkat Barisan Nasional pusat.

Maklumat yang tepat dan gambaran yang jelas mengenai kerajaan pusat menerusi akhbar dirasai amat mustahak dalam mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional.

Penduduk Sarawak dan Sabah dikatakan masih kurang terdedah dengan berita-berita internet yang didakwa banyak memihak dengan pembangkang.

Maka situasi demikian wajar digunakan kerajaan dalam memberi penjelasan kepada rakyat agar tidak terpedaya dengan pembangkang.

Rakyat berhak mengetahui apa yang diusahakan kerajaan ke arah memperbaiki mutu hidup. Akhbar adalah antara medium yang utama dalam menyiarkan maklumat kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam majlis perasmian persidangan perwakilan Parti Rakyat Bersatu Sarawak pada 10 Disember 2011, berkata Sarawak dan Sabah mendapat perhatian khusus kerajaan pusat.

Jelasnya, pembangunan di dua negeri tersebut sentiasa diberi keutamaan.

Dan malam ini pada 10 Januari 2012, menerusi Buletin Utama TV3, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata peruntukan RM400 juta juga akan diagihkan ke Sarawak serta Sabah.

Peruntukan itu adalah untuk memperbaiki mutu pengangkutan darat di seluruh negara, katanya.
 
Meskipun SPAD hanya berkuasa di Semenanjung Malaysia, ia tetap tidak mengabaikan dua wilayah tersebut demi manfaat rakyat.

Begitulah contoh sedikit sebanyak yang membuktikan Sarawak dan Sabah amat penting dalam PRU kali ini kelak.

Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen. Dua daripadanya dimenangi Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Menjelang PRU 13: Ke mana sokongan pengundi Cina?

In Politik, Sarawak, SUPP on January 10, 2012 at 7:32 am

INI bukan pendapat eksklusif memandangkan ia kerap dan sering dibincangkan di kalangan orang ramai atau lebih-lebih lagi pemerhati politik – ia tentang hala tuju sokongan pengundi-pengundi Cina.

Adakah majoriti memihak BN, atau parti-parti pembangkang?

Barisan Nasional

Pakatan Rakyat

Ia hanya dapat disahkan apabila peti-peti undi dibuka pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang dikatakan akan diadakan dalam tahun ini, dan ramai yang menyebut akan diadakan pada Mac 2012.

Tepat atau tidak ramalan itu, ia kini bukan soal penting kerana lebih mustahak ialah meninjau peluang kemenangan sama ada Barisan Nasional atau permuafakatan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Penilaian terhadap sokongan pengundi Cina bukan sekadar bertumpu di Semenanjung Malaysia, tetapi ia kali ini merangkumi negeri Sarawak dan Sabah.

Jika dilihat trend pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada April 2011, pengundi Cina bagaikan menolak sama sekali Barisan Nasional yang diwakili Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Hampir semua lapan kerusi Parlimen yang pernah menjadi kubu kuat SUPP di Sarawak sebelum ini, kali ini umpama nyawa-nyawa ikan, kebanyakannya di kawasan bandar.

Pada pilihan raya negeri lalu, kerusi dimenangi SUPP adalah kawasan yang mempunyai jumlah undi Bumiputera yang ramai.

Kali ini, cuma kerusi Parlimen Serian yang diwakili Timbalan Presiden SUPP Datuk Richard Riot Jaem, mempunyai majoriti pengundi Bumiputera iaitu 72 peratus.

Ini bermakna tujuh lagi kerusi Parlimen SUPP berada dalam senarai kawasan hitam dengan ancaman DAP.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, 2008, Parti Gerakan hilang 80 peratus kerusi Parlimen dan MCA 51.6 peratus – dua parti tersebut merupakan parti majoriti Cina di Semenanjung Malaysia.

Berbalik dengan situasi di Bumi Kenyalang, DAP yang dipimpin oleh Wong Ho Leng sebagai pengerusi negeri, dilihat semakin mendapat keyakinan di kalangan kaum Tiong Hua terutama di kerusi-kerusi bandar.

DAP berjaya meningkatkan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri mereka di Sarawak menerusi pilihan raya negeri April 2011. Mereka masih berbangga sehingga kini berikutan kemenangan itu.

Kebanggaan itu dilihat apabila DAP semakin berusaha memperluaskan pengaruh di kawasan luar bandar atau lebih khusus di kalangan majoriti pengundi Iban dan Bidayuh atau Dayak. Mereka buka cawangan di kawasan-kawasan tersebut.

Ada yang mengatakan sokongan beralih arah daripada majoriti BN (SUPP) kepada DAP bukan sebab mereka gemar dengan parti itu, tetapi hanya kerana melepas perasaan marah terhadap SUPP.

SUPP dikatakan gagal mengetengahkan masalah mereka ke perhatian kerajaan. Malahan kegagalan itu dikaitkan dengan perbalahan di kalangan pemimpin SUPP sendiri sejak tahun 2004.

Berbanding memberi tumpuan terhadap masalah rakyat, mereka dikatakan banyak menghabiskan masa dengan politik kepartian.

Kini SUPP masih bergelut dalam menyelesaikan masalah kepimpinan meskipun sudah memiliki presiden baru – Datuk Seri Peter Chin – selepas mengadakan persidangan perwakilan pada 11 Disember 2011.

Bekas Timbalan Setiausaha Agung (sebelum persidangan) Dato Sri Wong Soon Koh dan para pengikutnya tidak mengiktiraf pemilihan Peter Chin kerana dikatakan terdapat penyelewengan dalam proses pemilihan di peringkat beberapa cawangan.

Apa pun jua kemelut dalam parti, SUPP kini wajar bangkit menghadapi cabaran PRU 13, meskipun kesannya tidak dapat dilihat dalam sekelip mata dari aspek pemulihan parti, setidak-tidaknya ia satu permulaan usaha untuk bangkit semula.

SUPP ialah parti yang banyak jasa terhadap pembangunan negeri Sarawak jika dinilai dari aspek usia penubuhannya. Ia menyusuri zaman pembangunan Sarawak dan bekerjasama rapat dengan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain.

Sayang seribu kali sayang jika SUPP hanya terkubur begitu sahaja sedangkan peranannya amat diperlukan dalam melaksanakan agenda pembangunan di Bumi Kenyalang.

Apabila tukang urut bercakap tentang pelancongan.

In Pelancongan, Sarawak on January 9, 2012 at 8:36 am

SAYA bukan pelanggan pertama dia untuk hari tersebut – mungkin saya yang kesembilan atau kelapan (saya suka angka sembilan dan lapan).

Dia mula mengurut bahagian belakang badan dalam posisi saya meniarap dan bertanyakan saya tentang soalan yang rimas untuk dijawab – dia tanya saya orang mana dan kerap atau tidak berurut?

Saya jarang menjawab dengan khusus dan tepat bila ditanyakan oleh orang baru dikenali. Segera saya menukar topik perbualan. Saya bertanya dengan dia sudah berapa lama pusat urut tersebut beroperasi? Mengapa di pusat bandar raya? Ramai atau tidak orang datang berurut di kawasan pusat bandar raya seperti itu?

Ini Bandar Raya Kuching, pusat pentadbiran negeri Sarawak.

Maksud saya, tidak elok jika pusat bandar raya dipenuhi dengan pusat urut – kerana lazimnya premis sedemikian dipandang serong oleh umum. Premis demikian majoriti pekerjanya ialah perempuan dari China, Filipina dan Indonesia – tidak ketinggalan juga wanita tempatan!

“Pusat urut menawarkan perkhidmatan seks dan bersembunyi di sebalik papan tanda pusat urutan kaki atau pusat refleksologi” – itu yang secara automatik berlegar dalam minda kebanyakan kita apabila terlihat premis sebegitu.

Wanita yang mengurut saya, dari raut wajahnya mungkin dalam lingkungan 45 tahun ke atas – tidak muda dari itu.

Dia menjawab soalan-soalan saya. Katanya, kebanyakan pusat urut berada dalam lingkungan pusat bandar menggunakan khidmat tukang urut yang benar-benar boleh melakukan kerja tersebut dan bukan sekadar memperagakan bentuk tubuh dan raut muka untuk menarik pelanggan.

Justeru, apabila pelancong yang benar-benar ingin melepaskan letih setelah seharian berjalan-jalan, mereka tidak hampa dengan khidmat diberikan.

Menurut tukang urut berkenaan, pekerja dari China, Filipina dan Indonesia, ramai di kalangan mereka tidak tahu langsung kemahiran mengurut. Apa yang mereka buat ialah sekadar picit sana, picit sini dan selepas itu menawarkan khidmat seks.

Lantaran itu, pusat urut di kawasan bandar raya ini banyak menggunakan khidmat tukang urut profesional. Alasannya, tidak mendatangkan cemar terhadap imej Kuching di kalangan pelancong asing atau dengan kata lain tidak dilabelkan sebagai bandar raya pelacuran.

Sarawak ingin membangunkan industri pelancongan dengan memasarkan produk berteraskan alam semulajadi, kebudayaan dan aktiviti lasak. Justeru, unsur-unsur seks di rumah urut wajar diketepikan.

Pada tahun ini, kerajaan menyasarkan ketibaan 3.6 juta pelancong berbanding 3.2 juta pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan dalam laporan akhbar baru-baru ini berkata setakat Oktober 2011, majoriti pelancong yang datang ke sini adalah dari negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia, China, India, Australia dan dari Semenanjung.

Menurutnya: “Ini merupakan petanda baik dalam meningkatkan pasaran produk tradisi di sini memandangkan sekarang kita sedang berhadapan dengan kedudukan ekonomi yang agak lembap”.

Beliau berharap agar syarikat-syarikat penerbangan utama seperti MAS dan AirAsia terus menyediakan penerbangan ke Sarawak agar sasaran tersebut berupaya dicapai.

Rashid juga memberitahu pertumbuhan dalam sektor pelancongan telah meningkat sebanyak 16 peratus tahun lepas berbanding 2010.

Keldai dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne.

In Masalah masyarakat, Sosial on January 7, 2012 at 8:09 am

7 Januari 2012

SEORANG jururawat dari Sarawak, yang dituduh cuba membawa masuk sejumlah dadah dipercayai untuk dijual pada 6 November 2011, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne, Australia pada Isnin depan.

Beatrice Laus Johie, dari Kuching, diberkas ketika didapati membawa heroin 1.5kg dalam begnya oleh pegawai kastam Australia.

Ibu tunggal berusia 28 tahun itu didakwa pada hari berikutnya dan diletakkan dalam tahanan.

Dia memberitahu Duta Malaysia di Melbourne, Dr Mohd Rameez Yahaya yang mengunjunginya di penjara wanita di Deer Park, kira-kira 30km di barat dari Melbourne pada Khamis, dia tidak tahu bahawa dia membawa dadah.

Peguam dari Biro Bantuan Guaman memberitahunya cap jari dia tidak dijumpai pada bungkusan yang mengandungi dadah.

Beatrice dipetik menerusi Bernama berkata dia mengembara bersama beg milik teman lelaki warga Nigeria.

Menurutnya, dia mengambil cuti dari hospital tempat dia bekerja di Kuching selepas lelaki berusia 21 tahun itu, pelajar Kolej Stamford, memintanya datang ke Kuala Lumpur untuk beberapa hari.

Setibanya di Kuala Lumpur, dia diberitahu mereka berdua akan ke Australia untuk bercuti.

Beatrice berkata pada hari mereka dijadualkan bertolak, lelaki terbabit mendakwa mempunyai masalah dengan visa dan tidak dapat bersamanya ke Melbourne dan memintanya meneruskan percutian.

Jururawat tersebut berkata dia terkejut apabila diberitahu kastam Melbourne dia membawa heroin.

*** Juga baca artikel terdahulu berkaitan Beatrice.

http://yangsayanampak.com/2011/11/12/keldai-dadah-cinta-buta-penyebabnya/

Krisis SPDP: Cubit paha kiri, paha kanan terasa.

In Barisan Nasional, Krisis SPDP, Politik, Sarawak on January 7, 2012 at 12:01 am

Empat wakil rakyat SPDP, Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Dr Tiki Lafe, YB Rosey Yunus dan YB Paulus Palu Gumbang keluar daripada parti, berkuat kuasa 7 Januari 2012. Itu yang terpampang di akhbar hari ini.

Apa yang saya faham dan saya simpulkan berdasarkan bacaan akhbar ialah: –

  • Keputusan itu adalah berpegang pada prinsip “susah senang dihadapi bersama” dengan Datuk Sylvester Entri Muran. Entri, bekas Naib Presiden, dibuang daripada SPDP pada 25 November 2011. 

Datuk Sylvester Entri Muran

“Kami perlu kekal dengan prinsip bersama seperti yang dicapai sejak awal lagi, jika mereka (pucuk pimpinan parti) menyentuh seorang daripada kami, ini bermakna mereka menyentuh kami semua,” kata kenyataan bersama empat mereka yang terbabit.

Mereka ialah kumpulan yang digelar SPDP 5. Mereka dikatakan menentang kepimpinan Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom.

Tan Sri William Mawan Ikom

Empat wakil rakyat daripada SPDP itu keluar parti berkuat kuasa 7 Januari 2012.

Nansian, ADUN Tasik Biru, sebelum dilucut jawatan serentak dengan hari Entri dibuang parti, merupakan Naib Presiden Kanan, Dr Tiki (Anggota Parlimen Mas Gading) ialah bekas Naib Presiden, Rosey (ADUN Bekenu) ialah bekas ahli Majlis Tertinggi, dan Paulus (ADUN Batu Danau) ialah bekas Ketua Penerangan.

  • Keputusan keluar parti juga dilakukan selepas mengambil kira ingin membuktikan mereka bukan pencetus huru hara dalam SPDP.

Datuk Peter Nansian Ngusie

Ia diharap membantu menepis segala dakwaan bahawa mereka merupakan ancaman terhadap pucuk pimpinan parti.

“Memandangkan kita tidak nampak prospek untuk penyatuan semula dalam parti adalah tidak bermakna bagi kami terus berada dalam parti,” kata kenyataan itu yang ditandatangani mereka berempat.

  • Rentetan keputusan tersebut, mereka yang terbabit akan membentuk Kelab Barisan Nasional Sarawak.

Itu adalah untuk dijadikan platform untuk terus berkhidmat kepada orang ramai di kawasan masing-masing.

“Kami cuma mahu memberi tumpuan berkhidmat kepada rakyat,” kata mereka yang juga, kecuali Dr Tiki dan Paulus, merupakan anggota kabinet negeri Sarawak.

Datuk Dr Tiki Lafe

Sebelum ini, Majlis Tertinggi SPDP mengambil keputusan memecat Entri yang juga ADUN Marudi daripada parti atas alasan menentang Mawan.

Dr Tiki turut diumumkan tidak akan dicalonkan semula mewakili parti pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Permulaan pendedahan krisis SPDP, satu daripada parti komponen Barisan Nasional Sarawak, ialah apabila lima wakil rakyat terbabit keluar meninggalkan mesyuat Majlis Tertinggi parti pada Januari 2010.

Entri, pada mesyuarat itu dikatakan tidak setuju dengan Mawan yang melantik beliau sebagai Naib Presiden berbanding sebelumnya akan dilantik sebagai Setiausaha Agung – jawatan yang kini dipegang oleh bekas ADUN Ba’ Kelalan, Nelson Balang Rining.

Mesyuarat Majlis Tertinggi itu diadakan selepas SPDP mengadakan pemilihan jawatan-jawatan dalam parti menerusi mesyuarat agung tiga tahun sekali parti pada Disember 2009.

Krisis itu nampak reda pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada April 2011.

Kuching dilanda banjir kilat!

In Masalah masyarakat, Sarawak, Sosial on January 5, 2012 at 4:16 am

BEBERAPA kawasan di sekitar Bandar Raya Kuching, pagi ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak awal pagi ini.

Bencana alam itu turut membabitkan insiden seorang pelajar tingkatan enam dan seorang pekerja stesen minyak Shell di kawasan kejadian, di Batu Lintang, dihanyutkan arus deras dan sehingga kini (11 pagi) belum dijumpai.

Hujan lebat yang turun sejak tengah malam tadi turut menyebabkan kesesakan teruk di laluan keluar masuk menuju pusat bandar.

Jalan yang terjejas ialah Jalan Green, Jalan Batu Kawa, Jalan Badarudin, Jalan Matang, Jalan Tabuan dan Jalan Sultan Tengah.

Beberapa sekolah di pusat bandar turut dikatakan ditutup akibat kelas dimasuki air.

Banjir yang melanda pagi ini dijangka hanya sementara kerana ketika ini paras air Sungai Sarawak masih lagi pada paras rendah.

Gambar-gambar menunjukkan suasana banjir kilat di Kuching.

Mereka (anak-anak) bak permata negara ….

In Pendidikan, Sarawak, Sosial on January 4, 2012 at 4:59 pm

Aset utama negara.

 ASET negara yang sebenar bukan wang ringgit dan pelaburan industri, tetapi apa yang lebih dari segala itu ialah kanak-kanak.

Disebabkan mereka merupakan aset negara, ibu bapa sanggup berbelanja besar untuk menyekolahkan anak masing-masing bermula dengan Tahun Satu di sekolah rendah, dan disusuli sekolah menengah, seterusnya meneruskan pengajian di peringkat universiti.

Hari ini, 4 Januari 2012, ia mungkin sejarah bagi setiap anak-anak yang memasuki Tahun Satu dan prasekolah. Mereka mula melangkah ke dunia luar. Luar dari rumah maksudnya, di luar jagaan ibu bapa masing-masing untuk tempoh seketika dan mula mengenali rakan-rakan sebaya dalam satu kelompok besar di sekolah.

Pendidikan amat dititikberatkan kerajaan dalam aspek pembangunan negara. Tanpa sumber manusia yang berpendidikan dan kemahiran, musnahlah tamadun atau tidaklah membangun sesebuah tamadun itu.

Tidak ada tenaga kerja yang boleh dicari untuk menggerakkan industri-industri berat jika belia tempatan tidak mempunyai kemahiran dan pelajaran. Tenaga buruh dari luar tidak selama-lamanya mampu menyokong pembangunan ekonomi kita. Apabila mereka selesai tempoh, mereka akan kembali ke negara asal.

Contoh paling relevan pada masa ini jika ingin mengaitkan dengan kepentingan sumber manusia dalam pembangunan ekonomi ialah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Koridor itu, menurut Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, amat memerlukan pekerja berkemahiran. SCORE merupakan projek gergasi bagi membingkaskan pembangunan di Bumi Kenyalang.

Taib sebelum ini sering dalam ucapannya di majlis-majlis rasmi, kerap berpesan agar generasi muda di Sarawak melengkapkan diri dengan kemahiran yang sesuai dengan SCORE.

Justeru, keprihatinan kerajaan dalam membangunkan sumber manusia dari peringkat awal lagi terbukti apabila menyediakan bantuan persekolahan RM100 untuk setiap orang murid/ pelajar bagi membantu meringankan beban ibu bapa. Meskipun ada yang kedengaran bersungut kerana jumlah itu dikatakan tidak mencukupi, tetapi mereka terbabit wajar bersyukur dengan bantuan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Alam persekolahan - Gambar hiasan.

Di Sarawak Jabatan Pelajaran Negeri dilaporkan berkata seramai 44,682 orang kanak-kanak memasuki Tahun 1 pada sesi persekolahan 2012.

Sebanyak 1,264 sekolah rendah juga dibuka di seluruh negeri membabitkan 1,039 merupakan Sekolah Kebangsaan, 221 Sekolah Jenis Kebangsaan, manakala empat lagi Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas.

Bagi prasekolah, seramai 34,375 orang kanak-kanak dilaporkan memasuki di 1,375 prasekolah.

Di sekolah menengah, seramai 216,694 orang pelajar dilaporkan mendaftar bagi sekolah kebangsaan.