YangSaya Nampak

Puteri SPDP tambah ahli.

In Barisan Nasional, Politik, Sarawak on January 30, 2012 at 11:46 am

DI SEBALIK tirai kemelut Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang berakhir dengan penamatan keahlian lima orang wakil rakyatnya, parti itu mengorak langkah baru.

Langkah yang berpandangan jauh apabila mendaftar masuk keahlian hampir 8,000 orang ahli baru menerusi sayapnya, Puteri SPDP yang diketuai Barbara Mawan.

Sesebuah parti politik itu dikatakan ‘hidup’ apabila keanggotaan baru menunjukkan majoritinya terdiri daripada golongan belia. Ini menunjukkan SPDP di bawah pimpinan Tan Sri William Mawan Ikom sedang mengorak langkah ke depan.

Barbara dalam sidang media di Kuching baru-baru ini memberitahu, keahlian baru Puteri SPDP diterima daripada mereka yang berumur antara 18 dan 35 tahun. Lebih membanggakan apabila mereka turut menerima ahli dari kalangan pelajar universiti dan kolej.

AHLI PUTERI ... Barbara (berbaju hijau) bersama sebahagian ahli-ahli baru Puteri SPDP.

“Sebagai orang yang berumur 21 tahun dan ke atas ia menjadikan anda layak mengundi jadi jika kita dapat meyakinkan mereka bahawa kita ada landasan sihat bagi mereka mengutarakan pandangan dan kita memberi maklumbalas yang adil kepada mereka, saya pasti mereka akan menukar pandangan terhadap parti,” kata Barbara dipetik menerusi akhbar.

Langkah tersebut dilihat merupakan antara cara terbaik bagi ‘mengikat’ golongan pengundi muda dan pada masa yang sama mendaftarkan mereka sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam landasan yang sama, parti komponen Barisan Nasional (BN) dapat memberi penjelasan kepada golongan belia mengenai dasar dan perancangan pembangunan kerajaan. Ini merupakan pelaburan jangka sederhana yang boleh dilihat menerusi keputusan sesebuah pilihan raya.

Tetapi tidak mudah untuk menarik kemasukan ahli dari kalangan belia ke dalam parti politik. Beberapa kajian mudah mendapati mereka enggan terikat dengan mana-mana parti politik. Mereka gemar mengambil pendirian tidak memihak parti kerana ingin bebas mengutarakan perkara yang tidak betul dilakukan oleh parti pemerintah dan parti pembangkang.

“Dan kita (Puteri SPDP) akan menjadikan kita lebih menarik mulai hari ini,” kata Barbara merujuk mengenai usaha untuk menarik lebih ramai golongan belia menyertai pergerakan tersebut.

Sesebuah pergerakan juga wajar memainkan peranan penting dalam pembangunan belia – ertinya bukan sekadar memerlukan golongan tersebut untuk memangkah kertas undi apabila tiba pilihan raya. Itu kurang betul.

Pergerakan politik tidak semestinya 24 jam berpolitik, sebaliknya bertindak sebagai ‘pejuang’ golongan belia. Misalnya, menganjurkan latihan pembangunan belia dan menyarankan peluang-peluang kerja. Itu yang sewajarnya.

Penganalisis politik yang membincangkan zaman kegelapan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memberitahu parti tersebut berhadapan masalah apabila mereka gagal bertindak sedemikian di kalangan belia Cina terutama di bandar.

Justeru, parti-parti komponen BN wajar menjadikan SUPP sebagai teladan agar tidak berlaku pada masa depan. Gerakan menambah keahlian perlu dilengkapi dengan usaha memperkasakan ekonomi ahli-ahli muda.

BN di Sarawak mempunyai empat parti komponen. Selain SPDP dan SUPP, ia dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Sarawak sering dikatakan sebagai kubu kuat BN dan deposit tetapnya apabila memberi sumbangan dari segi jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum yang lepas-lepas.

SPDP dan SUPP dikatakan oleh orang ramai sebagai parti yang berhadapan masalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. Sejauh mana kesan berikutan masalah dalaman dua parti itu terhadap pilihan raya, cuma keputusannya sahaja yang dapat membuktikan kelak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: