YangSaya Nampak

Barisan kepimpinan baru, mampukah SNAP bangkit?

In Politik, Sarawak, SNAP on January 15, 2012 at 10:12 pm

PARTI Kebangsaan Sarawak atau Sarawak National Party (SNAP), parti yang dianggap oleh ramai pemerhati politik sebagai hilang sengat apabila gagal meraih sebarang kerusi pada Pilihan Negeri Sarawak April 2011, kini dikemudi barisan kepimpinan baru.

Barisan baru itu terdiri daripada Edmund Stanley Jugol yang kini menjadi presiden menggantikan Edwin Dundang Bugak menerusi satu pemilihan pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) di Kuching, 14 Januari 2012.

Stanley Jugol - Presiden baru SNAP.

TGA yang diadakan pada Ahad dan di ibu pejabat parti di Jalan Nenas, adalah menggantikan TGA yang sepatutnya diadakan pada 25 September 2011.

Selain Jugol, barisan kepimpinan SNAP merangkumi Kebing Wan (timbalan presiden), Johnny Wong Sie (naib presiden kanan) dan tujuh naib presiden iaitu Frankie Jurem Nyombui (juga dilantik sebagai setiausaha agung), Dayrell Walter Entyrie, Anthony Liman Sujang, Dan Giang, Rolan Teo, Malachie Dennis Ningkan dan Melissa Anne Inddu.

Dua dilantik naib presiden ialah Augustine Liom dan Abang Othman Abang Gom, manakala Datuk

Seri Dennis Chang Foh Onn dilantik sebagai bendahari agung.

SNAP ialah parti yang keahliannya majoriti Iban.

Ia bukan lagi parti komponen Barisan Nasional negeri Sarawak apabila dibatalkan pendaftarannya pada 5 November 2002 oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Satu puak, bertelagah dengan presiden SNAP Datuk Amar James Wong, diketuai Tan Sri (dahulu Datuk) William Mawan Ikom menubuhkan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) empat hari kemudian yang diluluskan pendaftarannya oleh ROS pada 9 November 2002 dan menyertai Barisan Nasional.

SNAP merayu dengan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 September 2006 yang mengekalkan keputusan ROS pada 5 November 2002 membatalkan pendaftaran SNAP.

Dan berjaya mendapat pelepasan dari Mahkamah Rayuan untuk beroperasi seperti biasa dengan menangguhkan penguatkuasaan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu sehingga keputusan mahkamah dibuat berhubung semakan semula mengenai pembatalan pendaftarannya dan sementara prosedur rayuan perundangan berjalan.

Mahkamah Rayuan akhirnya telah memutuskan pada 23 Jun 2010 untuk membatalkan keputusan pembatalan pendaftarannya oleh ROS.

Lantaran itu, SNAP pada pilihan raya negeri Sarawak yang lepas, tidak ketinggalan meletakkan calon-calon di beberapa kerusi. Tetapi mereka hampa apabila tidak menang satu pun kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dalam sidang media selepas TGA pada 14 Januari 2012, Jugol berkata SNAP kini berusaha mengukuhkan parti itu.

Justeru, SNAP setakat ini tidak akan menyertai Barisan Nasional atau pakatan pembangkang.

“Buat masa ini, kami lebih suka SNAP berdiri sendiri. Tidak dinafikan pada satu masa kelak, kita mungkin berada di dalam kerajaan juga,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: