YangSaya Nampak

Menjelang PRU 13: Ke mana sokongan pengundi Cina?

In Politik, Sarawak, SUPP on January 10, 2012 at 7:32 am

INI bukan pendapat eksklusif memandangkan ia kerap dan sering dibincangkan di kalangan orang ramai atau lebih-lebih lagi pemerhati politik – ia tentang hala tuju sokongan pengundi-pengundi Cina.

Adakah majoriti memihak BN, atau parti-parti pembangkang?

Barisan Nasional

Pakatan Rakyat

Ia hanya dapat disahkan apabila peti-peti undi dibuka pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang dikatakan akan diadakan dalam tahun ini, dan ramai yang menyebut akan diadakan pada Mac 2012.

Tepat atau tidak ramalan itu, ia kini bukan soal penting kerana lebih mustahak ialah meninjau peluang kemenangan sama ada Barisan Nasional atau permuafakatan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Penilaian terhadap sokongan pengundi Cina bukan sekadar bertumpu di Semenanjung Malaysia, tetapi ia kali ini merangkumi negeri Sarawak dan Sabah.

Jika dilihat trend pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada April 2011, pengundi Cina bagaikan menolak sama sekali Barisan Nasional yang diwakili Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Hampir semua lapan kerusi Parlimen yang pernah menjadi kubu kuat SUPP di Sarawak sebelum ini, kali ini umpama nyawa-nyawa ikan, kebanyakannya di kawasan bandar.

Pada pilihan raya negeri lalu, kerusi dimenangi SUPP adalah kawasan yang mempunyai jumlah undi Bumiputera yang ramai.

Kali ini, cuma kerusi Parlimen Serian yang diwakili Timbalan Presiden SUPP Datuk Richard Riot Jaem, mempunyai majoriti pengundi Bumiputera iaitu 72 peratus.

Ini bermakna tujuh lagi kerusi Parlimen SUPP berada dalam senarai kawasan hitam dengan ancaman DAP.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, 2008, Parti Gerakan hilang 80 peratus kerusi Parlimen dan MCA 51.6 peratus – dua parti tersebut merupakan parti majoriti Cina di Semenanjung Malaysia.

Berbalik dengan situasi di Bumi Kenyalang, DAP yang dipimpin oleh Wong Ho Leng sebagai pengerusi negeri, dilihat semakin mendapat keyakinan di kalangan kaum Tiong Hua terutama di kerusi-kerusi bandar.

DAP berjaya meningkatkan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri mereka di Sarawak menerusi pilihan raya negeri April 2011. Mereka masih berbangga sehingga kini berikutan kemenangan itu.

Kebanggaan itu dilihat apabila DAP semakin berusaha memperluaskan pengaruh di kawasan luar bandar atau lebih khusus di kalangan majoriti pengundi Iban dan Bidayuh atau Dayak. Mereka buka cawangan di kawasan-kawasan tersebut.

Ada yang mengatakan sokongan beralih arah daripada majoriti BN (SUPP) kepada DAP bukan sebab mereka gemar dengan parti itu, tetapi hanya kerana melepas perasaan marah terhadap SUPP.

SUPP dikatakan gagal mengetengahkan masalah mereka ke perhatian kerajaan. Malahan kegagalan itu dikaitkan dengan perbalahan di kalangan pemimpin SUPP sendiri sejak tahun 2004.

Berbanding memberi tumpuan terhadap masalah rakyat, mereka dikatakan banyak menghabiskan masa dengan politik kepartian.

Kini SUPP masih bergelut dalam menyelesaikan masalah kepimpinan meskipun sudah memiliki presiden baru – Datuk Seri Peter Chin – selepas mengadakan persidangan perwakilan pada 11 Disember 2011.

Bekas Timbalan Setiausaha Agung (sebelum persidangan) Dato Sri Wong Soon Koh dan para pengikutnya tidak mengiktiraf pemilihan Peter Chin kerana dikatakan terdapat penyelewengan dalam proses pemilihan di peringkat beberapa cawangan.

Apa pun jua kemelut dalam parti, SUPP kini wajar bangkit menghadapi cabaran PRU 13, meskipun kesannya tidak dapat dilihat dalam sekelip mata dari aspek pemulihan parti, setidak-tidaknya ia satu permulaan usaha untuk bangkit semula.

SUPP ialah parti yang banyak jasa terhadap pembangunan negeri Sarawak jika dinilai dari aspek usia penubuhannya. Ia menyusuri zaman pembangunan Sarawak dan bekerjasama rapat dengan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain.

Sayang seribu kali sayang jika SUPP hanya terkubur begitu sahaja sedangkan peranannya amat diperlukan dalam melaksanakan agenda pembangunan di Bumi Kenyalang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: