YangSaya Nampak

Archive for January, 2012|Monthly archive page

Mengundi, sumbangan kepada negara yang terselindung.

In Politik, Sosial on January 31, 2012 at 11:17 pm

Mengundi umpama menunaikan tanggungjawab kepada negara.

ADA yang mendakwa mereka enggan mengundi sebab tidak minat dengan politik. Itu jawapan kurang bernas jika seseorang warga negara ingin menyaksikan negara terus membangun.

Mengundi ialah hak dalam sesebuah negara demokrasi yang seolah-olah enggan dimanfaatkan oleh golongan yang tidak berdaftar sebagai pengundi.

Di Malaysia, setakat ini dianggarkan seramai kira-kira 4 juta orang yang layak berdaftar sebagai pemilih belum berbuat demikian.

Ada di kalangan mereka kecewa dengan tingkah ahli politik yang didakwa sekadar ingin menjadi wakil rakyat atas kepentingan peribadi, tetapi selepas menang rakyat diabaikan.

Golongan seperti ini tidak sedar bahawa undi mereka mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Malahan keputusan itu boleh menjadi penentu parti mana yang akan memerintah negara atau negeri. Tidakkah rugi jika sesebuah parti yang memiliki daya upaya untuk melaksanakan tadbir urus negara dengan cemerlang akhirnya tumbang begitu sahaja semata-mata kerana kalah satu undi.

Maka terbantutlah kerja-kerja pembangunan yang direncanakan oleh sesebuah parti politik jika ia tumbang di tangan parti lain. Satu kerugian.

Pembangunan di bawah parti pemerintah negara sekarang amat memberangsangkan. Malaysia terkenal di persada dunia dalam pelbagai bidang. Sebuah negara kecil di Asia Tenggara, tetapi punyai potensi ekonomi yang boleh berkembang lebih maju.

Di Sarawak misalnya, jika Barisan Nasional tidak lagu memerintah negeri itu, sudah pasti rancangan ekonomi seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) tidak diteruskan oleh parti lawan.

SCORE merupakan satu projek gergasi agar Sarawak menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi serta penduduknya hidup makmur dengan peluang kerja memadai.

Mustahaknya menjadi pemilih berdaftar juga kerana generasi baru berperanan sebagai penyambung generasi lama. Generasi lama akan pergi meninggalkan kita – ia kepastian dan lumrah bagi manusia dan semua benda hidup.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof sering menyeru golongan yang tidak berdaftar agar berbuat demikian demi kepentingan negara.

Menurutnya baru-baru ini, proses pendaftaran sebagai pemilih amat mudah – “cuma bawa kad pengenalan ke mana-mana pejabat yang menyediakan khidmat pendaftaran, tunjuk kad pengenalan, semua yang lain kerani akan isikan borang”.

Belia-belia yang belum berdaftar sebagai pemilih, renungkan sejenak apa sumbangan anda terhadap negara yang mahu menjadi sebuah negara maju.

Daftarlah sebagai pemilih demi kemakmuran Sarawak!
 

 

 

Advertisements

Puteri SPDP tambah ahli.

In Barisan Nasional, Politik, Sarawak on January 30, 2012 at 11:46 am

DI SEBALIK tirai kemelut Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang berakhir dengan penamatan keahlian lima orang wakil rakyatnya, parti itu mengorak langkah baru.

Langkah yang berpandangan jauh apabila mendaftar masuk keahlian hampir 8,000 orang ahli baru menerusi sayapnya, Puteri SPDP yang diketuai Barbara Mawan.

Sesebuah parti politik itu dikatakan ‘hidup’ apabila keanggotaan baru menunjukkan majoritinya terdiri daripada golongan belia. Ini menunjukkan SPDP di bawah pimpinan Tan Sri William Mawan Ikom sedang mengorak langkah ke depan.

Barbara dalam sidang media di Kuching baru-baru ini memberitahu, keahlian baru Puteri SPDP diterima daripada mereka yang berumur antara 18 dan 35 tahun. Lebih membanggakan apabila mereka turut menerima ahli dari kalangan pelajar universiti dan kolej.

AHLI PUTERI ... Barbara (berbaju hijau) bersama sebahagian ahli-ahli baru Puteri SPDP.

“Sebagai orang yang berumur 21 tahun dan ke atas ia menjadikan anda layak mengundi jadi jika kita dapat meyakinkan mereka bahawa kita ada landasan sihat bagi mereka mengutarakan pandangan dan kita memberi maklumbalas yang adil kepada mereka, saya pasti mereka akan menukar pandangan terhadap parti,” kata Barbara dipetik menerusi akhbar.

Langkah tersebut dilihat merupakan antara cara terbaik bagi ‘mengikat’ golongan pengundi muda dan pada masa yang sama mendaftarkan mereka sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam landasan yang sama, parti komponen Barisan Nasional (BN) dapat memberi penjelasan kepada golongan belia mengenai dasar dan perancangan pembangunan kerajaan. Ini merupakan pelaburan jangka sederhana yang boleh dilihat menerusi keputusan sesebuah pilihan raya.

Tetapi tidak mudah untuk menarik kemasukan ahli dari kalangan belia ke dalam parti politik. Beberapa kajian mudah mendapati mereka enggan terikat dengan mana-mana parti politik. Mereka gemar mengambil pendirian tidak memihak parti kerana ingin bebas mengutarakan perkara yang tidak betul dilakukan oleh parti pemerintah dan parti pembangkang.

“Dan kita (Puteri SPDP) akan menjadikan kita lebih menarik mulai hari ini,” kata Barbara merujuk mengenai usaha untuk menarik lebih ramai golongan belia menyertai pergerakan tersebut.

Sesebuah pergerakan juga wajar memainkan peranan penting dalam pembangunan belia – ertinya bukan sekadar memerlukan golongan tersebut untuk memangkah kertas undi apabila tiba pilihan raya. Itu kurang betul.

Pergerakan politik tidak semestinya 24 jam berpolitik, sebaliknya bertindak sebagai ‘pejuang’ golongan belia. Misalnya, menganjurkan latihan pembangunan belia dan menyarankan peluang-peluang kerja. Itu yang sewajarnya.

Penganalisis politik yang membincangkan zaman kegelapan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memberitahu parti tersebut berhadapan masalah apabila mereka gagal bertindak sedemikian di kalangan belia Cina terutama di bandar.

Justeru, parti-parti komponen BN wajar menjadikan SUPP sebagai teladan agar tidak berlaku pada masa depan. Gerakan menambah keahlian perlu dilengkapi dengan usaha memperkasakan ekonomi ahli-ahli muda.

BN di Sarawak mempunyai empat parti komponen. Selain SPDP dan SUPP, ia dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Sarawak sering dikatakan sebagai kubu kuat BN dan deposit tetapnya apabila memberi sumbangan dari segi jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum yang lepas-lepas.

SPDP dan SUPP dikatakan oleh orang ramai sebagai parti yang berhadapan masalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. Sejauh mana kesan berikutan masalah dalaman dua parti itu terhadap pilihan raya, cuma keputusannya sahaja yang dapat membuktikan kelak.

Jalan sesak tanda makmur? Jejambat diperlukan.

In Masalah masyarakat, Sarawak, Sosial on January 30, 2012 at 9:51 am

RAMAI pengguna jalan raya di bandar raya Kuching mengeluh apabila sering terperangkap dalam kesesakan jalan terutama ketika melalui Jalan Tun Jugah.

Itu keluhan positif yang menunjukkan pembangunan ekonomi berlaku pesat di Sarawak terutama di kalangan penduduk di bandar raya Kuching. Maknanya, Kuching semakin banyak kenderaan.

SESAK ... situasi di bandar raya Kuching.

Ramai orang beli kereta – tidak kira yang murah atau mahal – kerana mampu dari segi kewangan hasil perancangan bijak dalam bidang ekonomi.

Peningkatan yang ketara dalam jumlah kenderaan baru dibeli oleh warga Kuching juga dapat dilihat menerusi nombor pendaftaran kenderaan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kini nombor pendaftaran kenderaan untuk bahagian Kuching ialah QAA****A. Bilangan kenderaan yang banyak di Kuching memang bersesuaian memandangkan ia merupakan pusat pentadbiran negeri Sarawak.

Pertambahan kenderaan juga memerlukan pihak berkuasa meningkatkan kualiti kemudahan jalan raya. Kemudahan jalan raya yang dimaksudkan ialah jejambat, jejantas, lampu isyarat, lorong yang banyak dan lain-lain.

Ini bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya – meskipun tidak dapat diatasi sepenuhnya seperti di Kuala Lumpur.
 
Berbalik kembali kepada isu kesesakan di Jalan Tun Jugah – ia dijangka selesai dalam tempoh setahun setengah lagi apabila projek pembinaan jejambat RM50 juta siap.

Kesesakan di persimpangan Jalan Tun Jugah, Jalan Laksamana Cheng Ho dan Jalan Song lebih dirasai pada pagi, tengah hari dan petang, iaitu ketika turun kerja dan balik kerja.

Jejambat di persimpangan jalan menuju ke BDC dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Pengguna jalan raya wajar menarik nafas lega apabila Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng memberitahu projek itu kini dalam pembinaan dan berjalan mengikut jadual dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Pembinaan jejambat itu amat perlu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut, terutama pada waktu puncak.

Purata 60,000 kenderaan melalui jalan itu setiap hari dan jumlah itu terlalu tinggi bagi standard jalan raya di Sarawak.

Bagi mengatasi masalah kesesakan trafik, sebelum ini dua jejambat sudah dibina di Jalan Tun Jugah, iaitu di Simpang Tiga dan persimpangan Taman BDC menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Kelab Taat Suami lancar kempen ‘Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam’

In Agama, Masalah masyarakat on January 27, 2012 at 12:51 am

SELEPAS isu kontroversi buku panduan seks reda, Kelab Taat Suami pada 26 Januari 2011 melancarkan kempen “Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam” sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.

Kempen selama 12 hari itu (bermula hari ini) adalah untuk meraikan kelahiran  Nabi Muhammad pada 5 Februari depan atau 12 Rabiul Awal mengikut kalendar Islam.

Menurut Presiden Kelab Taat Suami Malaysia Fauziah Ariffin, kempen itu diadakan bagi mengajak umat Islam terutamanya pasangan suami isteri untuk mengamalkan kehidupan Rasulullah.

Beliau berkata ramai “umat Islam sudah terlalu jauh dengan Rasulullah.”

“Sudah tentu ikutan (Rasulullah) menjadi panduan dan ia termasuk aspek ibadah keluarga bahkan termasuk dalam kehidupan seks. Tentu bila sebut tentang hal seks suci ramai yang terlupa tentang hal yang terangkum dalam hal suami isteri, sesuatu yang kita lakukan hari-hari.

“Dalam kehidupan biasa ia bukan sesuatu yang kontroversi tapi kita sudah terlalu jauh dengan Rasulullah, jadi kita mahu mengajak umat Islam mendokong melaksanakan kehidupan Islam yang sebenar tambahan kalau kita lihat banyak gejala tidak sihat yang berlaku sekarang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kempen “Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam” di Pusat Perdagangan Pelangi, Damansara.

Jelas Fauziah, sekiranya umat Islam melaksanakan kehidupan dengan berlandasakan prinsip Islam segala gejala homoseksual dapat dielakkan.

“Kalau kita lihat sekarang secara terang-terangan lelaki berkahwin sesama lelaki dan wanita berkahwin sesama wanita,” jawabnya.

Terlebih dahulu dalam ucapan perasmiannya, Fauziah berkata Islam membenarkan hubungan seks dilakukan namun ia mesti “seks suci” antara suami isteri.

“Seks dibenarkan asal ada batasnya, bukan seperti gay yang memaparkan seks yang tidak sepatutnya dan melanggar batas norma, juga tidak melakukan seks bebas yang melanggar perintah Tuhan.

“Kami berasa tanggungjawab untuk mengajak umat Islam melaksanakan kehidupan Islam, suami adalah pemimpin dan isteri adalah pengikut tapi nampaknya umat kita sudah gagal,” katanya.

Sebelum ini Kelab Taat Suami menerbitkan buku panduan seks bertajuk  “Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia.”

Namun Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku panduan seks itu. Buku itu dilaporkan mengulas mengenai seks suami isteri secara terperinci. Buku 115 muka surat yang dikatakan panduan kepada isteri dan pengantin baru untuk melayan suami di ranjang.

(Sumber Malaysian Insider)

SCORE: Tiada istilah “menganggur” di Sarawak.

In ekonomi, Masalah masyarakat, Sarawak, Sosial on January 25, 2012 at 12:18 pm

“Lima tiada kerja bakar diri – Anggota Graduan Menganggur protes kurang pekerjaan di Maghribi”. Itu tajuk berita yang dipaparkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini.

Berita tersebut mengatakan lima penganggur membakar diri di ibu kota Maghribi sebagai sebahagian demonstrasi di negara itu berhubung kekurangan pekerjaan, terutama untuk graduan universiti.

Kata berita itu lagi, tiga daripada mangsa dirawat di hospital kerana melecur teruk. Kejadian itu, yang sebelum ini jarang berlaku menjadi taktik bantahan di Asia Barat dan Afrika Utara sejak seorang penjual sayur di Tunisia membakar diri pada Disember 2010.

Meskipun ekonomi Maghribi mencatat kadar pertumbuhan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini sekitar empat hingga lima peratus, ia masih belum cukup menghasilkan pekerjaan untuk golongan muda yang semakin ramai di pasaran setiap tahun.

Bandingkan situasi itu berlaku di Sarawak. Harap tidak begini dan rasanya tidak akan berlaku kerana perancangan kerajaan begitu rapi dalam membangunkan ekonomi negeri.

Yang dimaksudkan dengan perancangan rapi pembangunan ekonomi Sarawak ialah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak atau dikenali sebagai SCORE.

SCORE yang menjadi pemacu utama ke arah menjadikan Sarawak negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, mampu menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan khususnya untuk anak tempatan.

Ini sekali gus membantu menangani masalah pengangguran selain mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing yang kini banyak diupah bekerja di pelbagai sekotr terutama perladangan.

SAMALAJU ... Kawasan perindustrian SCORE di Bintulu.

Unit Perancang Negeri (SPU) dalam akhbar baru-baru ini dipetik memberitahu, SCORE setakat ini projek pembangunan wilayah yang dilancarkan pada 11 Februari 2008, berjaya menerima pelaburan lebih RM30 bilion, selain menjadi wadah untuk anak tempatan mencari kerja yang bersesuaian dengan kemahiran mereka.

Pelaburan itu berjaya diraih daripada projek mega yang dilaksanakan di kawasan khususnya Samalaju di Bintulu dan Tanjung Manis di Mukah.

Sebahagian besar pelaburan itu membabitkan industri intensif tenaga seperti loji melebur aluminium, silikon polycrystalline, silikon metalik dan projek kerangka aloi.

Dua belas projek mega itu yang berjaya menarik pelaburan berjumlah RM28 bilion dilaksanakan di Taman Perindustrian Samalaju dengan tiga syarikat asing iaitu Tokuyama Corporation dari Jepun, Asia Minerals Ltd dari Hong Kong, OM Holdings Ltd dari Singapura dan sebuah syarikat tempatan, Press Metal Bintulu Sdn Bhd.

Empat syarikat terbabit kini sudah memulakan kerja pembinaan tapak serta membangunkan kilang di kawasan perindustrian berat utama SCORE itu.

SCORE yang terletak di kawasan tengah Sarawak dari Bintulu ke Mukah mampu menyediakan 2.5 juta peluang kerja menjelang 2030.

TANJUNG MANIS ... Kawasan untuk hab halal.

Ia dijangka meningkatkan KDNK Sarawak lima kali ganda dan diunjurkan berkembang daripada RM23 bilion pada 2006 kepada RM118 bilion pada 2030.

Sejajar dengan perancangan ekonomi itu, Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud amat menekankan tentang persediaan kemahiran sumber manusia.

Beliau mahu belia di Sarawak melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk menyokong perkembangan industri di SCORE.

 

Menilai kerajaan yang baik.

In Sarawak, Sosial on January 25, 2012 at 11:02 am

TOPIK ini kedengarannya umpama ilmiah dan dibincang dari sudut akademik oleh pakar-pakar dalam bidang pemerintahan dan politik.

Tetapi saya orang yang bukan tergolong dalam kelompok ahli akademik – lantas saya memilih untuk menilai dari sudut pandangan orang kebanyakan.

Bagaimana kebanyakan orang menilai sesebuah kerajaan? Itu merupakan persoalan yang ingin disingkap dalam artikel ini dari perspektif mata orang kebanyakan.

Saya orang biasa yang puas hati apabila kampung saya ada jalan raya, bekalan air bersih, telefon, bekalan elektrik 24 jam dan kedai-kedai.

Kampung memang tidak ada tempat komersial yang beroperasi di bangunan pencakar langit. Jadi, ia bukan satu pengukur dalam menilai tahap kemajuan atau pembangunan di kawasan luar bandar.

Kampung juga tidak ada kawasan industri berat seperti kilang pembuatan cip elektronik.

SAWIT ... Ladang kelapa sawit pemangkin pembangunan ekonomi.

Sudah semestinya kampung tidak ada restoran francais seperti Starbuck, Kenny Rogers, KFC, McD dan Coffee Bean.

Apa yang menghairankan, ada di kalangan teman saya bercakap umpama mengetahui segalanya tentang bagaimana hendak membangunkan sebuah desa menjadi bandar.

Mereka kata desa mereka kurang itu dan kurang ini, perlu itu perlu ini, dan kerajaan wajar bina itu bina ini.

Bagi saya, pembangunan dan kemajuan tidak bermakna semua kawasan penempatan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sama rata umpama di bandar.

JALAN ... Sistem perhubungan yang baik petunjuk pembangunan.

Dah namanya kampung, memanglah kerajaan bina jalan raya yang kecil, sesuai dengan jumlah kenderaan yang menggunakannya tiap hari. Tetapi ada golongan bijak pandai mengesyorkan agar di kampung mereka dibina jalan lebih besar.

Pembangunan juga tidak sekadar wajar dibincangkan dari perspektif fizikal.

Tidak ada yang lebih penting, bagi saya, seseorang itu sihat. Rakyat yang sihat adalah pemangkin terhadap pembangunan negara. Sumber manusia diperlukan dalam menggerakkan sektor ekonomi dan pentadbiran.

Walau di pedalaman sekalipun kita dapat menikmati kemudahan kesihatan disediakan kerajaan. Dahulu kala, kalau sakit, orang kampung berubat dengan bomoh. Macam-macam teknik digunakan dalam usaha menyembuhkan pesakit.

Hidup aman, jenayah tidak banyak berlaku, meskipun sejak kebelakangan ini bandar Sibu dicemari dengan dua insiden pembunuhan pada awal tahun ini.

Jenayah indeks di bandar raya Kuching dikatakan menurun sebanyak 2.9 peratus – perbandingan antara tahun 2011 dan 2010.

Begitu juga keadaan di seluruh negeri, perlakuan jenayah adalah terkawal.

Pembangunan dan kemajuan tidak wajar menolak faktor perpaduan kaum. Ia merupakan teras yang harus dikekalkan dalam masyarakat majmuk.

Sarawak terkenal dengan etnik atau suku kaum yang pelbagai. Namun begitu, negeri ini juga sering dijadikan contoh oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana keharmonian antara kaum, umpama gagasan 1Malaysia yang ilhamkan beliau.

Tahun Baru Cina umpamanya, orang bukan Cina berkunjung ke rumah terbuka orang Cina. Malahan ada belia Bumiputera yang begitu aktif menari tarian singa atau naga. Itu antara cara untuk memupuk perpaduan.

Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sering berkata tidak ada satu pun kaum di Sarawak yang majoriti. Katanya, semua kaum di Sarawak sama sahaja, masing-masing memiliki peranan dalam membangunkan negeri ini.

Perpaduan kaum di Sarawak wajar dijadikan aset kebanggaan penduduknya dan jangan terpengaruh dengan sikap orang luar yang gagal untuk memahami cara hidup pelbagai kaum.

Siapa kata Sarawak tidak membangun? Bagi saya kemajuan yang dihajatkan kini dalam proses pencapaiannya. Ini memerlukan kesinambungan pemerintahan.

 

Turun papan SPDP, kumpulan berlima masih BN.

In Barisan Nasional, Krisis SPDP, Politik, Sarawak on January 21, 2012 at 7:51 am

SELEPAS ditamatkan keahlian pada hujung minggu lepas, bekas Naib Presiden Kanan SPDP Datuk Peter Nansian Ngusie dan bekas Naib Presiden SPDP Datuk Dr Tiki Lafe hari ini menurunkan papan tanda SPDP di pejabat ADUN masing-masing di Bau, dekat Kuching.

Nansian merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru manakala Tiki ialah Anggota Parlimen Mas Gading. Mereka bertanding dan menang kerusi-kerusi tersebut menggunakan tiket SPDP.

Upacara menurunkan papan tanda pejabat khidmat wakil rakyat yang menggunakan lambang SPDP turut disertai Datuk Sylvester Entri Muran, Paulus Palu Gumbang dan Rosey Yunus.

Sebagai tanda sokongan, kira-kira 1,000 penyokong Nansian dan Tiki juga berada di dua lokasi yang bermula kira-kira pukul 9 pagi.

Tiki telah dimaklumkan oleh parti tidak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Berikutan krisis mereka dengan Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom sejak awal 2010, mereka berdua bersama dua lagi yang lain – dikenali sebagai SPDP 5 – ditamatkan keahlian meskipun mereka sebelum ini mengumumkan keluar daripada parti secara sukarela.

Dua lagi yang lain ditamat keahlian ialah ADUN Bekenu Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang. Rosey merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi SPDP, manakala Paulus bekas Ketua Penerangan SPDP.

Pada 25 November 2011, mereka berempat dilucutkan jawatan parti masing-masing selepas Majlis Tertinggi SPDP bermesyuarat yang dipengerusikan oleh William Mawan.

Pada tarikh tersebut juga, William Mawan mengumumkan Datuk Sylvester Entri Muran dipecat daripada parti. Entri ialah bekas Naib Presiden SPDP dan ADUN Marudi.

Selang beberapa tempoh selepas dipecat daripada parti, Entri bertindak menurunkan papan tanda SPDP di pejabat ADUNnya di Miri.

Nansian dan rakan-rakannya menegaskan mereka masih wakil rakyat Barisan Nasional.

Sambil diiringi kumpulan penyokong yang membawa kain rentang tanda sokongan tanpa belah bahagi terhadap Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Nansian dan rakan-rakan akur dengan apa jua keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional berhubung kerusi mereka pada pilihan raya akan datang.

Bagi menjamin perjuangan mereka tidak terkeluar dari prinsip Barisan Nasional, mereka berlima tetap dengan rancangan menubuhkan Kelab Barisan Nasional Negeri Sarawak.

Itu merupakan landasan terbaik untuk mereka meneruskan khidmat terhadap rakyat di kawasan masing-masing.

Papan tanda SPDP juga akan diturunkan oleh Paulus dan Rosey pada masa yang sesuai.

Potensi pelancongan perubatan di Sarawak

In Pelancongan on January 18, 2012 at 11:55 pm

SAYA pernah melakukan pemeriksaan tahap kesihatan di Pusat Pakar Perubatan Normah (NMSC) pada Disember 2009. Pada ketika itu saya terdengar beberapa orang duduk berhampiran bertutur dalam bahasa Melayu Indonesia.

Dari segi gaya pakaian dan barang kemas, saya mula mengagak mereka ialah orang ada kedudukan dan yang penting ada wang bagi membiayai kos perubatan hingga sanggup datang ke Sarawak bagi mendapatkan khidmat pemeriksaan atau rawatan kesihatan.

Daripada kira-kira lima orang mereka (lelaki dan wanita), cuma dua orang (seorang wanita dan seorang lagi laki-laki) yang akan mendapatkan khidmat perubatan di NMSC yang terletak di Petra Jaya, Kuching, Sarawak. Anggota kumpulan mereka yang lain hanya datang menemani.

Pusat Pakar Perubatan Normah

Dalam benak fikiran saya apakah kemudahan perubatan dan kesihatan di negara mereka (bukan bermaksud merendah-rendahkan tahap perkhidmatan kesihatan negara lain) tidak cukup canggih? Bukan itu sahaja, adakah kepakaran doktor di negara sendiri tidak cukup meyakinkan?

Untuk menyokong tekaan adalah benar, saya ternampak mereka di luar bangunan NMSC memasuki kenderaan bernombor pendaftaran dari Kalimantan Barat, Indonesia. Kenderaan yang digunakan ialah pacuan empat roda dalam kategori mewah. Mungkin mereka yang dalam lingkungan usia 45 tahun hingga 55 tahun itu golongan ahli perniagaan.

Mungkin mereka kerap ke sini kerana mereka kelihatan tidak kekok dengan prosedur di NSMC.

Ini membuatkan saya agak bangga dengan Sarawak atau Kuching khususnya kerana mampu menarik kemasukan orang luar untuk mendapatkan rawatan perubatan. Kita kerap dengar orang berada dari Sarawak berubat di Singapura dan London (sekadar menyebut dua tempat). Nampak gaya kita di Kuching pun disebut-sebut oleh orang dari negara lain sebagai destinasi perubatan mereka.

Hospital Pakar Kuching

Di Kuching kita turut memiliki pusat perubatan yang boleh dibanggakan, selain NSMC, iaitu Pusat Perubatan Timberland di Batu 3, Hospital Pakar Kuching atau Kuching Specialist Hospital di Tabuan, dan Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan.

Pusat Perubatan Timberland

Baru-baru ini Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Dato Sri Wong Soon Koh mengakui perubatan di Sarawak berperanan penting sebagai pemangkin meningkatkan potensi pelancongan kesihatan.

Pakej atau harga untuk mengadakan rawatan yang ditawarkan di pusat perubatan adalah jauh lebih murah berbanding harga kos rawatan di hospital swasta di negara lain.

Beliau memberitahu selain kos, para pelanggan dari luar negara turut melihat kepada faktor penggunaan peralatan dan mesin yang canggih dan terkini digunakan di pusat perubatan di sini.

Justeru, Soon Koh meminta pusat perubatan meningkatkan aktiviti promosi perkhidmatan mereka di negara-negara luar agar ia sejajar dengan hasrat kerajaan menarik kemasukan pelawat ke negeri ini dengan pelbagai cara.

Perkembangan yang memberangsangkan itu kelak akan membantu terhadap pertumbuhan ekonomi negeri.

Tamat keahlian SPDP 5, parti kini tumpu PRU 13.

In Krisis SPDP, Politik, Sarawak on January 15, 2012 at 11:00 pm

Tan Sri William Mawan Ikom.

YA begitulah kesudahannya, kini sah empat ahli yang juga wakil rakyat daripada parti pimpinan Tan Sri William Mawan Ikom itu bukan lagi ahli SPDP.

Mereka ialah ADUN Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie, Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, ADUN Bekenu Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang.

Pada awal bulan Januari 2012, mereka yang terbabit seolah-olah memberi isyarat kepada pucuk pimpinan parti agar menamatkan keahlian dengan mengumumkan mereka keluar parti Majlis Tertinggi SPDP yang bermesyuarat dan dipengerusikan William Mawan di ibu pejabat parti di Jalan Badaruddin, Kuching pada 14 Januari 2012, mencapai kata sepakat menamatkan keahlian mereka yang terbabit.

Sebelum ini, empat orang bekas pemimpin SPDP itu mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan mereka akan menubuhkan Kelab Barisan Nasional Negeri Sarawak apabila keluar parti.

Mereka yang dianggap sebagai kumpulan penentang kepimpinan Mawan digelar sebagai SPDP 5.

Seorang lagi ialah Datuk Sylvester Entri Muran yang dipecat daripada parti pada 25 November 2011.

William Mawan pada sidang media bagi mengumumkan penamatan keahlian mereka yang terbabit berkata dengan selesainya masalah itu, parti akan menumpukan usaha sepenuhnya terhadap persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial Sarawak menegaskan sekali lagi, semua kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak dan kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada SPDP oleh Barisan Nasional tetap milik parti.

Kerusi Parlimen yang dimenangi SPDP pada menerusi PRU 12 pada 8 Mac 2008 ialah Mas Gading (Tiki Lafe), Saratok (Jelaing Mersat), Bintulu (Datuk Seri Tiong King Sing) dan Baram (Datuk Jacob Dungau Sagan).

William Mawan juga sebelum ini memberitahu Tiki tidak akan dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Mas Gading.

Kini William Mawan juga kelihatan mulai menghadiri majlis-majlis anjuran parti di kawasan Bau yang membabitkan kawasan DUN Tasik Biru dan Mas Gading. Ini dipercayai adalah antara usaha untuk mengekalkan sokongan akar umbi terhadap SPDP berikutan krisis dalaman SPDP.

Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada minggu lepas memberitahu masalah dihadapi SPDP diyakini tidak menggugat peluang kemenangan Barisan Nasional di Sarawak pada PRU 13 kelak.

Menurutnya lagi, mereka yang terbabit dalam masalah SPDP masing-masing memiliki semangat Barisan Nasional – semangat yang membolehkan mereka berjuang demi pembangunan rakyat dan negeri.

Lima bekas ahli SPDP yang terbabit, sering menegaskan mereka masih setia dengan Barisan Nasional dan berkhidmat kepada rakyat di bawah pucuk pimpinan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Barisan kepimpinan baru, mampukah SNAP bangkit?

In Politik, Sarawak, SNAP on January 15, 2012 at 10:12 pm

PARTI Kebangsaan Sarawak atau Sarawak National Party (SNAP), parti yang dianggap oleh ramai pemerhati politik sebagai hilang sengat apabila gagal meraih sebarang kerusi pada Pilihan Negeri Sarawak April 2011, kini dikemudi barisan kepimpinan baru.

Barisan baru itu terdiri daripada Edmund Stanley Jugol yang kini menjadi presiden menggantikan Edwin Dundang Bugak menerusi satu pemilihan pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) di Kuching, 14 Januari 2012.

Stanley Jugol - Presiden baru SNAP.

TGA yang diadakan pada Ahad dan di ibu pejabat parti di Jalan Nenas, adalah menggantikan TGA yang sepatutnya diadakan pada 25 September 2011.

Selain Jugol, barisan kepimpinan SNAP merangkumi Kebing Wan (timbalan presiden), Johnny Wong Sie (naib presiden kanan) dan tujuh naib presiden iaitu Frankie Jurem Nyombui (juga dilantik sebagai setiausaha agung), Dayrell Walter Entyrie, Anthony Liman Sujang, Dan Giang, Rolan Teo, Malachie Dennis Ningkan dan Melissa Anne Inddu.

Dua dilantik naib presiden ialah Augustine Liom dan Abang Othman Abang Gom, manakala Datuk

Seri Dennis Chang Foh Onn dilantik sebagai bendahari agung.

SNAP ialah parti yang keahliannya majoriti Iban.

Ia bukan lagi parti komponen Barisan Nasional negeri Sarawak apabila dibatalkan pendaftarannya pada 5 November 2002 oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Satu puak, bertelagah dengan presiden SNAP Datuk Amar James Wong, diketuai Tan Sri (dahulu Datuk) William Mawan Ikom menubuhkan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) empat hari kemudian yang diluluskan pendaftarannya oleh ROS pada 9 November 2002 dan menyertai Barisan Nasional.

SNAP merayu dengan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 September 2006 yang mengekalkan keputusan ROS pada 5 November 2002 membatalkan pendaftaran SNAP.

Dan berjaya mendapat pelepasan dari Mahkamah Rayuan untuk beroperasi seperti biasa dengan menangguhkan penguatkuasaan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu sehingga keputusan mahkamah dibuat berhubung semakan semula mengenai pembatalan pendaftarannya dan sementara prosedur rayuan perundangan berjalan.

Mahkamah Rayuan akhirnya telah memutuskan pada 23 Jun 2010 untuk membatalkan keputusan pembatalan pendaftarannya oleh ROS.

Lantaran itu, SNAP pada pilihan raya negeri Sarawak yang lepas, tidak ketinggalan meletakkan calon-calon di beberapa kerusi. Tetapi mereka hampa apabila tidak menang satu pun kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dalam sidang media selepas TGA pada 14 Januari 2012, Jugol berkata SNAP kini berusaha mengukuhkan parti itu.

Justeru, SNAP setakat ini tidak akan menyertai Barisan Nasional atau pakatan pembangkang.

“Buat masa ini, kami lebih suka SNAP berdiri sendiri. Tidak dinafikan pada satu masa kelak, kita mungkin berada di dalam kerajaan juga,” katanya.