YangSaya Nampak

Utama dan sensasi politik Sarawak 2011.

In Barisan Nasional, Krisis SPDP, Pilihan Raya Umum, Politik, Sarawak, SUPP on December 25, 2011 at 6:24 am

TUMPUAN utama politik Sarawak pada tahun 2011 ialah Pilihan Raya Negeri ke-10 yang boleh dikatakan sebagai memberi debaran cukup hebat kepada pemimpin Barisan Nasional dan pakatan pembangkang.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 diadakan pada 16 April, 2011.
 
Sekali lagi seperti dijangka walaupun banyak tohmahan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Barisan Nasional berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga. Malahan lebih!

Syabas dan tahniah dituju kepada Pehin Sri Abdul Taib kerana terus mendapat kepercayaan majoriti rakyat Bumi Kenyalang untuk terus mengepalai badan eksekutif negeri.

Cuma bezanya kali ini, Barisan Nasional sebagaimana berlaku di Semenanjung Malaysia menerima tentangan sengit khasnya di kawasan pengundi Cina.

Barisan Nasional menang 55 kerusi daripada 71 kerusi yang sebahagian besar disumbang oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). PBB pimpinan Abdul Taib menyapu bersih 35 kerusi yang ditandinginya di kawasan majoriti Melayu/ Melanau dan Dayak.

Di Sarawak, DAP melakar kejayaan terbesar dengan menawan hampir keseluruhan kawasan majoriti pengundi Cina apabila menang di 12 kerusi.

Parti Keadilan Rakyat pula hanya berjaya menawan tiga kerusi iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba’ Kelalan, manakala Parti Islam SeMalaysia sekadar berputih mata. Begitu juga Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), tidak meraih sebarang kerusi.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menunjukkan prestasi semakin buruk. Parti itu mula susut sokongan menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak kesembilan pada tahun 2006.

Ramai yang mendakwa kemerosotan itu tercetus apabila mendapati parti berkenaan gagal melaksanakan peranan menyuarakan masalah orang Cina kepada kerajaan.

Apa pun itu sudah menjadi sejarah. Kini kita sedang menanti bilakah Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan. Cuma kini yang pasti petunjuk-petunjuk semakin ada. Ramai juga yang meneka ia diadakan pada suku pertama tahun 2012.

Sensasi sebenar politik Sarawak tahun 2011 ialah pemecatan Menteri Muda Bekalan Air Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada 25 November 2011. Sebelum dipecat, beliau merupakan Naib Presiden SPDP – parti pimpinan Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom.

Entri merupakan seorang daripada lima wakil rakyat SPDP bergelar SPDP 5 yang dikatakan menentang kepemimpinan Tan Sri William Mawan.

Majlis Tertinggi SPDP juga melucutkan jawatan empat orang wakil rakyat Datuk Peter Nansian Ngusie (bekas Naib Presiden Kanan), Datuk Dr Tiki Lafe (bekas Naib Presiden), Paulus Palu Gumbang (bekas Ketua Penerangan) dan Rosey Yunus (bekas Ahli Majlis Tertinggi).

Dr Tiki turut tidak akan dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusinya di Parlimen Mas Gading (Bau).

Krisis SPDP masih berterusan sehingga kini dan diharapkan ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Tidak kurang sensasi ialah kemelut Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) SUPP pada 11 Disember 2011.

Meskipun menyaksikan peralihan pucuk pimpinan daripada Tan Sri Dr George Chan Hong Nam kepada Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menerusi TDC itu, ia sebenarnya memburukkan lagi kemelut dalaman parti itu sejak 2004.

Ya, Peter Chin boleh dikatakan menang tanpa bertanding apabila Datuk Seri Wong Soon Koh bersama para pengikutnya yang majoriti wakil rakyat Bumiputera memboikot TDC itu.

Sebelum TDC, Peter Chin merupakan Setiausaha Penganjur SUPP manakala Wong Soon Koh ialah Timbalan Setiausaha Agung SUPP. Peter Chin ialah menteri dalam kabinet persekutuan dan Wong Soon Koh berada dalam kabinet negeri Sarawak.

Ramai yakin TDC itu tidak akan berakhir begitu sahaja. Ada lagi babak cerita SUPP kelak.

Kini pun pegawai-pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sedang menyiasat laporan penyelewengan proses pemilihan beberapa cawangan parti.

Dakwaan penyelewengan itu merupakan punca pemulauan oleh Wong Soon Koh.

Sama juga harapan dengan SPDP, kita mendoakan agar SUPP berupaya bangkit daripada kemelut dalaman dan sekali gus memberi tumpuan terhadap kebajikan rakyat. Seterusnya ia mampu membantu parti meraih semula sokongan pengundi Cina di bandar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: