YangSaya Nampak

Sarawak ke arah setinggan sifar.

In Masalah masyarakat, Sarawak, Sosial on December 19, 2011 at 4:51 pm

MESKIPUN masalah kewujudan setinggan sukar dibasmi sepenuhnya, usaha ke arah mencapai matlamat tersebut wajar digandakan agar bandar dan bandar raya di Sarawak tidak tercemar dengan pemandangan tidak elok.

Bukan sahaja menjejaskan pemandangan, juga ia memberi masalah kesihatan akibat kediaman seumpama itu tidak dilengkapi dengan tandas sempurna dan gejala pembuangan sampah haram berleluasa.

Pemerhatian kasar menunjukkan kewujudan setinggan berpunca kerana keluarga terbabit tidak mampu dari segi kewangan untuk menyewa malah membeli rumah di bandar-bandar. Gaji mereka sebagai buruh atau pekerja bawahan tidak memadai untuk membolehkan mereka menikmati hidup dalam rumah sendiri atau sewa.

Boleh juga dikaitkan, puncanya setinggan wujud, apabila sebuah projek pembinaan bangunan dan rumah terbengkalai. Apabila terbengkalai, pekerja yang tinggal di rumah kongsi di kawasan pembinaan berkenaan, akan mencari kerja di kawasan lain yang berhampiran tetapi masih tinggal di rumah kongsi itu.

Apabila seseorang pekerja tapak binaan itu membawa anak-anak dan isteri sekali tinggal di rumah kongsi, mereka akan menyekolahkan anak-anak di sekolah berdekatan. Apabila sudah bersekolah, agak sukar untuk ibu bapa menukarkan sekolah jika berpindah tempat tinggal.

Dengan itu adalah lebih mudah bagi mereka untuk terus menetap di situ, meskipun dalam hati untuk sementara cuma, agar tidak payah menukarkan sekolah anak.

Wujudlah setinggan.

Gambar hiasan: Setinggan mencemar pemandangan.

Mencari formula basmi setinggan.

Kementerian Perumahan Sarawak mahu menjadikan negeri ini sebagai negeri sifar setinggan melalui tiga pendekatan program pembangunan perumahan sejajar dengan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Terdapat kira-kira 10,000 penempatan setinggan di seluruh Sarawak yang kebanyakannya di kawasan bandar utama seperti Miri (kira-kira 4,000), Bintulu (3,000), Kuching (1,800) dan Sibu.

Abang Johari sasar sifar setinggan.

Justeru, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pernah menggariskan tiga pendekatan dalam usaha mencari penyelesaian ialah :-

1) Rumah kekalkan tradisi kampung.

Pendekatan pertama ialah melalui program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang mengutamakan kepada usaha untuk menyusun atur semula kampung-kampung tradisi tanpa menjejaskan budaya kehidupan kampung.

Melalui program RMR, masyarakat kampung terutama yang berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah yang lebih baik serta dapat tinggal dalam persekitaran yang mempunyai frasarana yang lengkap.

Menurut beliau kementerian melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) juga memberi jaminan RMR akan memastikan konsep hidup ataupun budaya kampung akan dikekalkan kerana perpaduan merupakan asas kepada kesejahteraan hidup masyarakat negeri ini.

“Dalam program RMR kita mahu wujudkan persekitaran hidup kampung tradisi yang lebih mesra melalui pendekatan pembesaran kampung yang lebih terancang tanpa merosakkan budaya masyarakat di kawasan terbabit,” katanya.

Di bawah program RMR, tumpuan utama ialah kawasan bandar dengan membaik pulih kampung-kampung sedia ada secara membesarkan lagi kawasan kampung yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Jelas beliau setakat ini program RMR mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk di samping banyak membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang lebih baik.

2) Reka bentuk baru.

Abang Johari berkata kementerian melalui HDC turut merancang untuk meningkatkan lagi jumlah rumah mampu milik di negeri ini selain menampilkan reka bentuk rumah yang lebih menarik, luas dan mesra pengguna pada kadar harga berpatutan.

Konsep rumah mampu milik yang sedia ada perlu diubah agar pembeli dapat tinggal dalam rumah selesa tanpa perlu membuat pengubahsuaian yang akan menelan kos yang tinggi pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu lagi projek perumahan mampu milik yang nampak berbaris-baris panjang serta sempit dengan reka bentuk yang kurang menarik,” katanya.

Tumpuan HDC ialah kepada projek rumah mampu milik setingkat dan dua tingkat yang turut mempunyai kelengkapan frasarana yang lengkap serta mempunyai lebih banyak persekitaran hijau di sekeliling kawasan rumah.

Penekanan juga kepada kemudahan seperti tempat riadah serta ruang untuk mengadakan majlis seperti kenduri ataupun aktiviti penduduk setempat.

Ketika ini HDC mengenal pasti beberapa reka bentuk rumah yang sesuai dengan harga rumah mampu milik dan berharap ia dapat dilaksana dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

3) Pembinaan rumah pangsa di bandar.

Kerajaan turut memberi perhatian kepada projek pembangunan rumah pangsa yang boleh mengatasi masalah kekurangan rumah di kawasan berpenduduk padat seperti kawasan bandar utama di negeri ini.

Abang Johari berkata HDC dan beberapa syarikat swasta telahpun membangunkan beberapa projek rumah pangsa yang semakin mendapat sambutan baik penduduk negeri ini khasnya di kawasan bandar.

“Tumpuan utama projek rumah pangsa ialah untuk mereka yang berpendapatan bawah RM1,500 iaitu melalui konsep sewa sebelum mereka mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar mendorong kepada permintaan yang tinggi bagi rumah di bandar-bandar utama seperti Kuching.

“Kebanyakan penduduk terbabit tidak mempunyai saudara mara di bandar dan tidak mempunyai pekerjaan tetap yang menyukarkan lagi mereka untuk membuat pinjaman perumahan.

“Saya yakin dengan adanya konsep sewa untuk rumah pangsa ini, mereka yang bergaji rendah dan tidak bekerja tetap berpeluang mempunyai tempat tinggal yang lebih baik,” katanya.

Setakat ini rumah pangsa sewa terdapat di Taman Dahlia, Jalan Matang dan flat Batu Gong, Siburan.

  1. Rattling nice pattern and superb subject material, nothing at all else we want😀.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: