YangSaya Nampak

Krisis SPDP, menarik rambut dalam tepung.

In Barisan Nasional, Krisis SPDP, Politik, Sarawak on December 9, 2011 at 3:08 pm

SAYA terbaca perkembangan terkini tentang SPDP di akhbar-akhbar tempatan Sarawak pagi ini (9 November 2011). Kumpulan yang dahulunya bergelar SPDP 5 kini lebih gemar dipanggil G5.

Bagi saya biar apa pun gelaran, mereka berlima wakil rakyat itu tetap sama – mereka masih menentang Presiden Tan Sri William Mawan Ikom.

G5 dianggotai bekas pemimpin SPDP yang terdiri daripada bekas Naib Presiden Kanan Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entri Muran (bekas naib presiden), Datuk Dr Tiki Lafe (bekas naib presiden), Paulus Palu Gumbang (bekas ketua penerangan) dan Rosey Yunus (bekas ahli Majlis Tertinggi).

Didapati menentang parti, mereka dilucutkan jawatan dalam parti seperti diumumkan oleh Presiden Tan Sri William Mawan Ikom pada 25 November 2011. Entri mendapat ‘ganjaran’ berganda dan lebih besar apabila dia dipecat daripada parti.

Semalam (8 Disember 2011), G5 menegaskan pendirian mereka dalam politik – mereka tidak berganjak dengan perjuangan menerusi Barisan Nasional.

Mesej mereka jelas, biar bergelora di peringkat dalaman SPDP, mereka tetap setia dengan Barisan Nasional.

“Kami dipilih oleh rakyat yang menyokong Barisan Nasional, sewajarnya kami meneruskan perjuangan berdasarkan rangka kerja dan etika Barisan Nasional,” kata G5, dipetik menerusi akhbar The Borneo Post edisi 9 Disember 2011.

Menerusi kenyataan itu, saya menyimpulkan bahawa G5 tidak akan berusaha mencari jalan damai dengan Presiden Tan Sri William Mawan Ikom. Atau dengan kata mudah, tiada lagi kompromi.

Saya juga berpendapat Tan Sri William Mawan Ikom lebih gemar berdiam diri sejak pengumuman keputusan berhubung G5 dilakukan kerana atas dasar “enggan menggunakan media sebagai saluran perbincangan”.

Ya, memang benar tidak semua isu dalaman parti wajar didedahkan untuk bacaan umum. Siapa yang suka mendedahkan keburukan sendiri? Kita lebih gemar mengata tentang kelemahan orang lain di depan khalayak.

Tan Sri William Mawan Ikom lebih arif tentang keputusannya apabila memecat Entri dan melucutkan jawatan empat yang lain. Dia juga arif dalam menentukan keputusan seterusnya terhadap G5 yang bakal dilakukan demi mengekalkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Tetapi apabila politik disifatkan ahli akademik politik sebagai “seni serba mungkin”, tidak mustahil apa yang keruh dalam SPDP akan jernih semula. Jika ada usaha dan kemahuan, di situ ada jalan penyelesaian terhadap krisis itu.

Tidak usah sebut tentang penubuhan parti lain, tidak juga perlu membincangkan parti komponen Barisan Nasional yang mana wajar disertai mereka.

Apa yang penting ialah bagaimana hendak meletakkan order SPDP dalam bentuk asal atau hampir-hampir sama seperti sedia kala.

Barisan Nasional atau lebih tepat parti-parti komponen di dalamnya perlu kukuh agar sukar parti-parti pembangkang menyusup masuk dan mengambil hati rakyat.

Barisan Nasional ialah organisasi yang bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri apabila mereka diberi mandat oleh rakyat membentuk kerajaan menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, April 2011.

Fokus kini wajar diberikan terhadap tanggungjawab pembangunan, dan bukan soal siapa betul, siapa salah. Ini bukan masa berpolitik, ini masa menentukan perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan berjalan lancar agar ia mendatangkan manfaat kepada rakyat.

SPDP perlu terus mara dalam menyumbang terhadap kekukuhan Barisan Nasional demi mandat yang diberikan rakyat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: