YangSaya Nampak

Krisis SUPP: Jangan sampai DAP suka hati!

In Barisan Nasional, Politik, SUPP on December 8, 2011 at 3:12 pm

APAKAH ini menampakkan kematangan pemimpin SUPP dalam berpolitik terutama dalam pemilihan jawatan presiden parti pada Ahad ini?

Matangkah kita apabila musuh sedang mengukuhkan kedudukan di luar sana, sedangkan kita sesama kita dalam rumah bertelagah tentang kuasa dan saling dakwa mendakwa “akulah yang paling layak jadi ketua”.

Perebutan kuasa dalam politik memang lumrah, sebab politik ialah kuasa dan sebaliknya kuasa adalah politik. Tetapi biarlah masanya sesuai dan bukannya, dalam kes SUPP, ketika parti memerlukan kebangkitan dalam meraih sokongan pengundi.

Sudahlah teruk prestasi dalam pilihan raya negeri yang diadakan pada April 2011, dan kini lebih teruk bertelagah sesama sendiri. Tidak adakah jalan kompromi untuk menyelesaikan keadaan dan meletakkan parti tersusun semula?

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sim Kheng Hui baru-baru ini memberi kenyataan kepada akhbar bahawa SUPP memerlukan transformasi. Proses itu wajar dimulai dengan pertandingan bagi memilih presiden baru.

Tan Sri Dr George Chan akan mengundur diri dari jawatan presiden berikutan kekalahan teruk parti itu pada April 2011.

Kini Timbalan Setiausaha Agung Dato Sri Wong Soon Koh dan grup saingan menuju jawatan presiden, Setiausaha Kerja Datuk Seri Peter Chin Fah Kui telah mewujudkan dua puak dalam parti komponen BN negeri Sarawak itu.

Mula-mula Bendahari Datuk David Teng mengemukakan hasrat bertanding jawatan nombor satu SUPP itu, tetapi mungkin, setelah melakukan ulangkaji sedikit bahawa akan tewas di tangan Wong Soon Koh, dia membentuk kumpulan bersama Peter Chin yang didakwa berpotensi tinggi dalam mencapai matlamat.

Dan setakat artikel ini ditulis, SUPP kecoh apabila grup Wong Soon Koh enggan menyertai perhimpunan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) yang bermula 8 Disember 2011 dengan perhimpunan Pemuda dan Wanitanya.

Mereka memulaukan (boikot) TDC yang akan menyaksikan kemuncaknya pada Ahad (11 Disember 2011).

Grup yang dianggotai wakil rakyat SUPP, selain Wong Soon Koh, terdiri daripada Datuk Richard Riot Jaem, Datuk Lee Kim Shin, Datuk Tiong Thai King, Datuk Francis Harden Hollis, Dr Jerip Susil, Johnical Rayong Ngipa dan Ranum Mina.

Grup Peter Chin cuma menyaksikan pembabitan pemimpin kanan dalam parti tetapi majoriti tewas dalam pilihan raya. Berikutan penguasaan grup Peter Chin dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), grup Wong  Soon Koh mendakwa wujud penyelewengan dalam proses pengundian bagi memilih barisan kepimpinan di peringkat cawangan pada November 2011.

Lantaran itu beberapa cawangan mengemukakan aduan terhadap salah laku itu dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan tujuan CWC akan mengadakan pengundian semula bagi memperbetulkan keadaan.

Dr Chan yang dipetik menerusi akhbar baru-baru ini berkata, apa yang didakwa sebagai penyelewengan sebenarnya salah faham. Dan ia lumrah dalam pertandingan apabila ada pihak tidak puas hati mengadu dengan pihak lain.

Justeru, tidak ada keperluan untuk CWC mengadakan pemilihan semula di beberapa cawangan yang terbabit.

Grup Wong Soon Koh masih tidak puas hati dan selanjutnya mereka mendapatkan nasihat daripada ROS berhubung dakwaan cawangan-cawangan tersebut. Bagaimanapun setakat ini ROS tidak mengumumkan apa-apa keputusan berhubung aduan itu. Cuma mereka menghantar surat nasihat kepada Sim Kheng Hui sebagai setiausaha agung parti agar menjalankan pemilihan berpandukan perlembagaan parti.

Apabila perasaan tidak puas hati itu meluap-luap, pada Khamis (8 Disember 2011) mengumumkan untuk memboikot TDC itu.

Apa kesudahan? Jika Peter Chin menang pun, tidak semestinya dia mampu melakukan proses pemulihan dalam SUPP dengan sempurna tanpa sokongan grup Wong Soon Koh. Begitu jua Wong Soon Koh jika menang hanya akan menambah sakit hati di kalangan grup Peter Chin. Itukah klimaks drama politik ini?

Bukan itu yang kita ingin saksikan. Kita ingin menyaksikan puak bertelagah dalam SUPP berdamai dengan menghulurkan tangan sebagai tanda untuk mengukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

BN negeri Sarawak wajar mempertahankan kredibilitinya sebagai penyumbang terbesar terhadap kemenangan BN di peringkat Parlimen. Jika SUPP begini rupanya, parti majoriti Cina itu hanya akan terus hisap jari melihat DAP menyapu semua kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum kelak.

Adakah SUPP suka dijadikan bahan lelucon oleh DAP yang kian hari semakin riak bahawa rakyat kian suka akan corak politik dimainkan mereka?

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: