YangSaya Nampak

Archive for December, 2011|Monthly archive page

Asfia, pemangku TYT.

In Politik, Sarawak on December 29, 2011 at 7:05 am

SPEAKER Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar hari ini (29 Disember 2011) mengangkat sumpah jawatan sebagai Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak berkuatkuasa 27 Disember hingga 10 Februari 2012.

Mohamad Asfia memangku jawatan tersebut kerana Yang di-Pertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng mengambil cuti rehat.

Majlis menandatangani surat sumpah dan surat pengisytiharan tersebut disempurnakan dihadapan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang dan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Datuk Rhodzariah Bujang di Dewan Lapau Dewan Undangan Negeri Sarawak.

 

 

Advertisements

Antara banjir, kerajaan dan tuduhan liar.

In Masalah masyarakat, Sarawak, Sosial on December 26, 2011 at 4:07 pm

BARU air naik sedikit ke dalam rumah, sudah ada kedengaran suara sumbang menuding jari kesalahan terhadap kerajaan. Belum lagi ia naik lebih tinggi, sudah pasti pihak terbabit akan mengambil peluang untuk menghentam pihak lain.

Senang dan sungguh mudah kerja mereka. Jika ada sesuatu yang buruk menimpa orang ramai, terus mereka menghala jari telunjuk ke arah kerajaan. Niat sudah pasti adalah untuk meraih manfaat politik semata-mata agar sokongan terhadap mereka kian bertambah.

Kuasa Tuhan.

Yang cuba saya katakan di sini ialah bencana alam umpama banjir adalah kuasa Tuhan, tidak ada sesiapa pun, biar manusia paling gagah, mampu menahan takdir Maha Pencipta.

Duduk di kedai kopi di BDC dan Tabuan Jaya, turut kedengaran rungutan orang ramai tentang musibah banjir. Banjir banyak merugikan harta benda, dan kadang-kala meragut nyawa. Itu yang dibenci mereka apabila terpaksa berhadapan dengan bencana alam umpamanya.

Berbalik soal banjir di Kuching setakat petang Isnin (26 Disember 2011), ia jelas menunjukkan bukan berpunca kerana sistem perparitan dan saliran yang kurang berkesan.

Kawasan banjir menjelang malam pada hari tersebut ialah di tempat berhampiran Sungai Sarawak dan berhampiran di Santubong. Paras air naik apabila air pasang besar berlaku paling tinggi kira-kira enam meter antara jam 5 petang dan 7 malam. Ini ditambah dengan hujan lebat sejak tengah malam 24 Disember 2011.

Nyata ia bukan banjir kilat yang lazimnya berpunca kurang efektif sistem saliran di sesebuah kawasan. Justeru, ia bukan kelemahan manusia.

Kesimpulannya di sini, pihak yang menuding jari untuk mencari kelemahan kerajaan, disyaki memiliki agenda politik dan tidak ikhlas membantu mangsa banjir. Mereka gemar menangguk di air yang keruh.

Dan tidak mustahil turut dijadikan objek kritikan ialah Baraj Sungai Sarawak yang dibina dengan tujuan menyekat kemasukan air laut ke sungai dan lantas mengakibatkan kampung-kampung tepi sungai dilanda air bah lebih teruk.

Baraj Sungai Sarawak.

Beberapa pihak sering menjadikan baraj sebagai bahan utama kritikan terhadap kerajaan kerana menurut mereka pembinaan pintu penghadang air itu sebagai merugikan duit rakyat.

Dengan menuduh demikian, mereka sudah pasti mempunyai agenda politik.

Antara tujuan Baraj Sungai Sarawak dibina ialah untuk mencegah kejadian air bah di kampung-kampung berhampiran sungai.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam satu majlis beberapa tahun yang lepas memberitahu, baraj telah mengurangkan paras air melimpah ke tebing-tebing sungai apabila berlaku kejadian air pasang besar.

Beliau cuba menangkis apa yang dikatakan oleh beberapa pihak bahawa pembinaan baraj telah menyebabkan banjir.

Kerajaan turut meningkatkan keberkesanan fungsi baraj dengan memasang 18 Sistem Komunikasi Kawalan Radioa (RRCS) dilengkapi Sistem Amaran Banjir di lokasi-lokasi strategik sepanjang Sungai Sarawak.

RRCS itu terdapat di Kpg. Pedawan, Kpg. Git, Kpg. Landeh, Kpg. Batu Kitang, Kpg. Siniawan, Buan Bidi, loji rawatan air JKR Bau, Kpg. Grogo, Batu Kawa, Kpg. Paroh, Taman Malihah, Taman Yen Yen, Jambatan Tun Abdul Rahman (Satok), Kpg. Segedup, SRB Chung Hua No.6, Sg. Maong Kanan, jambatan penghubung kedua dan Sg. Bintangor.

Ini membuktikan betapa prihatin kerajaan dalam mengendalikan masalah orang ramai.

Dahulu ketika kecil saya menganggap banjir sebagai situasi yang menyeronokkan kerana dapat bermain air dengan rakan-rakan sebaya – apatah lagi banjir kerap berlaku pada hujung tahun ketika musim cuti sekolah.

Tetapi kini lain pula kisahnya, ada pihak yang mengintai peluang ketika banjir untuk memburuk-burukkan pihak lain.

Kuching banjir, tujuh keluarga dipindahkan.

In Masalah masyarakat, Sarawak, Sosial on December 26, 2011 at 3:41 am

KUCHING: Beberapa kampung di kawasan rendah di Samarahan di sini, dilanda banjir bermula malam tadi berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas yang diburukkan dengan fenomena air pasang besar.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri ketika dihubungi, berkata setakat pagi ini, dua kampung iaitu Kampung Asajaya Hulu dan Kampung Serpan Ulu terjejas dengan bencana itu.

“Menurut laporan daripada pihak Pejabat Daerah Samarahan terdapat kira-kira tujuh keluarga telahpun dipindahkan ke pusat penempatan banjir setakat ini,” katanya. — BERNAMA

Utama dan sensasi politik Sarawak 2011.

In Barisan Nasional, Krisis SPDP, Pilihan Raya Umum, Politik, Sarawak, SUPP on December 25, 2011 at 6:24 am

TUMPUAN utama politik Sarawak pada tahun 2011 ialah Pilihan Raya Negeri ke-10 yang boleh dikatakan sebagai memberi debaran cukup hebat kepada pemimpin Barisan Nasional dan pakatan pembangkang.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 diadakan pada 16 April, 2011.
 
Sekali lagi seperti dijangka walaupun banyak tohmahan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Barisan Nasional berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga. Malahan lebih!

Syabas dan tahniah dituju kepada Pehin Sri Abdul Taib kerana terus mendapat kepercayaan majoriti rakyat Bumi Kenyalang untuk terus mengepalai badan eksekutif negeri.

Cuma bezanya kali ini, Barisan Nasional sebagaimana berlaku di Semenanjung Malaysia menerima tentangan sengit khasnya di kawasan pengundi Cina.

Barisan Nasional menang 55 kerusi daripada 71 kerusi yang sebahagian besar disumbang oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). PBB pimpinan Abdul Taib menyapu bersih 35 kerusi yang ditandinginya di kawasan majoriti Melayu/ Melanau dan Dayak.

Di Sarawak, DAP melakar kejayaan terbesar dengan menawan hampir keseluruhan kawasan majoriti pengundi Cina apabila menang di 12 kerusi.

Parti Keadilan Rakyat pula hanya berjaya menawan tiga kerusi iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba’ Kelalan, manakala Parti Islam SeMalaysia sekadar berputih mata. Begitu juga Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), tidak meraih sebarang kerusi.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menunjukkan prestasi semakin buruk. Parti itu mula susut sokongan menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak kesembilan pada tahun 2006.

Ramai yang mendakwa kemerosotan itu tercetus apabila mendapati parti berkenaan gagal melaksanakan peranan menyuarakan masalah orang Cina kepada kerajaan.

Apa pun itu sudah menjadi sejarah. Kini kita sedang menanti bilakah Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan. Cuma kini yang pasti petunjuk-petunjuk semakin ada. Ramai juga yang meneka ia diadakan pada suku pertama tahun 2012.

Sensasi sebenar politik Sarawak tahun 2011 ialah pemecatan Menteri Muda Bekalan Air Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada 25 November 2011. Sebelum dipecat, beliau merupakan Naib Presiden SPDP – parti pimpinan Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom.

Entri merupakan seorang daripada lima wakil rakyat SPDP bergelar SPDP 5 yang dikatakan menentang kepemimpinan Tan Sri William Mawan.

Majlis Tertinggi SPDP juga melucutkan jawatan empat orang wakil rakyat Datuk Peter Nansian Ngusie (bekas Naib Presiden Kanan), Datuk Dr Tiki Lafe (bekas Naib Presiden), Paulus Palu Gumbang (bekas Ketua Penerangan) dan Rosey Yunus (bekas Ahli Majlis Tertinggi).

Dr Tiki turut tidak akan dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusinya di Parlimen Mas Gading (Bau).

Krisis SPDP masih berterusan sehingga kini dan diharapkan ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Tidak kurang sensasi ialah kemelut Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) SUPP pada 11 Disember 2011.

Meskipun menyaksikan peralihan pucuk pimpinan daripada Tan Sri Dr George Chan Hong Nam kepada Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menerusi TDC itu, ia sebenarnya memburukkan lagi kemelut dalaman parti itu sejak 2004.

Ya, Peter Chin boleh dikatakan menang tanpa bertanding apabila Datuk Seri Wong Soon Koh bersama para pengikutnya yang majoriti wakil rakyat Bumiputera memboikot TDC itu.

Sebelum TDC, Peter Chin merupakan Setiausaha Penganjur SUPP manakala Wong Soon Koh ialah Timbalan Setiausaha Agung SUPP. Peter Chin ialah menteri dalam kabinet persekutuan dan Wong Soon Koh berada dalam kabinet negeri Sarawak.

Ramai yakin TDC itu tidak akan berakhir begitu sahaja. Ada lagi babak cerita SUPP kelak.

Kini pun pegawai-pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sedang menyiasat laporan penyelewengan proses pemilihan beberapa cawangan parti.

Dakwaan penyelewengan itu merupakan punca pemulauan oleh Wong Soon Koh.

Sama juga harapan dengan SPDP, kita mendoakan agar SUPP berupaya bangkit daripada kemelut dalaman dan sekali gus memberi tumpuan terhadap kebajikan rakyat. Seterusnya ia mampu membantu parti meraih semula sokongan pengundi Cina di bandar.

Keputusan PMR Sarawak 2011: Jurang pencapaian luar bandar dan bandar semakin rapat.

In Pendidikan, Sosial on December 22, 2011 at 7:21 am

Keputusan PMR 2011 diumumkan secara rasmi di seluruh negara pada 22 Disember 2011.

Seramai 41,023 orang calon di negeri Sarawak telah mendaftar untuk menduduki PMR 2011. Daripada jumlah itu, 39,067 orang merupakan calon sekolah menengah kebangsaan, sementara 1,813 orang merupakan calon sekolah swasta dan 136 orang adalah calon Maktab Rendah Sains Mara, serta tujuh orang ialah calon persendirian.

PMR Sarawak 2011 menunjukkan Gred Purata Negeri (GPN) calon luar bandar menurun sebanyak 0.1 mata daripada 2.91 kepada 2.81 dan calon bandar sebanyak 0.03 peratus mata daripada 2.91 kepada 2.88.

Ini bermakna jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar semakin rapat.

Diukur daripada peratus calon yang mencapai semua A pula, jurang pencapaian calon luar bandar juga semakin rapat di mana peratus pencapaian calon luar bandar meningkat sebanyak 0.28 peratus manakala calon luar bandar menurun sebanyak 0.07 peratus.

Bagi calon-calon melepasi tahap minimum D, peningkatan sebanyak 5.19 peratus daripada 60.77 peratus (2010) kepada 65.96 (2011) bagi calon luar bandar berbanding hanya 1.31 peratus daripada 72.10 peratus (2010) kepada 73.41 peratus (2011) bagi calon bandar menunjukkan bahawa prestasi calon luar bandar meningkat dengan ketara.

Pencapaian cemerlang (semua A) calon dalam PMR 2011 telah meningkat sebanyak 71 orang (0.14 peratus) iaitu daripada 1,877 orang (4.85 peratus) pada tahun 2010 kepada 1,948 orang (4.99 peratus).

Manakala bilangan calon yang mencapi penguasaan minimum meningkat daripada 25,287 orang (65.36 peratus) pada tahun 2010 kepada 26,946 orang (68.97 peratus) pada tahun 2011, iaitu pertambahan sebanyak 1,659 orang (3.61 peratus).

Pada keseluruhannya, pencapaian calon meningkat apabila diukur daripada nilai GP kerana nilainya menurun sebanyak 0.03 mata iaitu daripada 2.91 pada tahun 2010 kepada 2.88 pada tahun ini.

Perbandingan pencapaian negeri dengan kebangsaan.

Pencapaian penguasaan minimum D dalam semua mata pelajaran yang diambil bagi Sarawak menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan berbanding dengan pencapian di peringkat kebangsaan dalam PMR 2011.

Lapan daripada 15 mata pelajaran yang ditawarkan di negeri Sarawak telah mengatasi atau sama dengan peratus penguasaan minimum D peringkat kebangsaan iaitu Bahasa Melayu sebanyak 0.6 peratus, Bahasa Inggeris sebanyak 11 peratus, Bahasa Cina sebanyak 8.1 peratus, Bahasa Punjabi sebanyak 9.7 peratus, Bahasa Iban dan Matematik sama dengan peringkat kebangsaan, Sains sebanyak 1.1 peratus dan Kemahiran Hidup 1 (Teknologi) sebanyak 0.8 peratus.

Keputusan peringkat kebangsaan.

 

Seramai 34,271 pelajar daripada 441,137 yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, berbanding 30,863 pada 2010.

 

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata ini merupakan peningkatan 0.75 peratus.

 

“Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2011 dalam 17 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam empat tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71 mata,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di sini hari ini.

 

Katanya kementerian itu berterima kasih kepada guru dan pelajar serta semua pihak yang berkenaan atas usaha mereka membantu meningkatkan GPN tahun ini.

 

Abd Ghafar berkata bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula menurun daripada 386 orang pada 2010 kepada 346 tahun ini.

 

Calon yang mendapat minimum D (tidak termasuk semua A) meningkat kepada 272,966 calon (61.88 peratus) berbanding 265,388 calon (60.39 peratus) pada 2010.

 

Abd Ghafar berkata pencapaian calon luar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran juga meningkat kepada 6,474 calon (4.28 peratus) berbanding 5,825 calon (3.81 peratus) pada tahun lalu, iaitu peningkatan 0.46 peratus.

 

Begitu juga dengan pencapaian pelajar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran terus meningkat 0.86 peratus, daripada 24,084 pelajar (8.86 peratus) pada 2010 kepada 26,189 pelajar(9.72 peratus) tahun ini.

 

Calon yang mendapat semua E menunjukkan trend penurunan -0.01 peratus bagi kedua-dua kategori iaitu daripada 249 calon (2010) kepada 216 calon (2011) bagi calon bandar dan daripada 132 calon (2010) kepada 121 calon 2011) bagi calon luar bandar.

 

“Nilai GPN calon bandar menurun sebanyak 0.04 mata berbanding calon luar bandar sebanyak 0.03 mata. Namun pada keseluruhannya, pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar,” katanya.

 

 

 

Sarawak ke arah setinggan sifar.

In Masalah masyarakat, Sarawak, Sosial on December 19, 2011 at 4:51 pm

MESKIPUN masalah kewujudan setinggan sukar dibasmi sepenuhnya, usaha ke arah mencapai matlamat tersebut wajar digandakan agar bandar dan bandar raya di Sarawak tidak tercemar dengan pemandangan tidak elok.

Bukan sahaja menjejaskan pemandangan, juga ia memberi masalah kesihatan akibat kediaman seumpama itu tidak dilengkapi dengan tandas sempurna dan gejala pembuangan sampah haram berleluasa.

Pemerhatian kasar menunjukkan kewujudan setinggan berpunca kerana keluarga terbabit tidak mampu dari segi kewangan untuk menyewa malah membeli rumah di bandar-bandar. Gaji mereka sebagai buruh atau pekerja bawahan tidak memadai untuk membolehkan mereka menikmati hidup dalam rumah sendiri atau sewa.

Boleh juga dikaitkan, puncanya setinggan wujud, apabila sebuah projek pembinaan bangunan dan rumah terbengkalai. Apabila terbengkalai, pekerja yang tinggal di rumah kongsi di kawasan pembinaan berkenaan, akan mencari kerja di kawasan lain yang berhampiran tetapi masih tinggal di rumah kongsi itu.

Apabila seseorang pekerja tapak binaan itu membawa anak-anak dan isteri sekali tinggal di rumah kongsi, mereka akan menyekolahkan anak-anak di sekolah berdekatan. Apabila sudah bersekolah, agak sukar untuk ibu bapa menukarkan sekolah jika berpindah tempat tinggal.

Dengan itu adalah lebih mudah bagi mereka untuk terus menetap di situ, meskipun dalam hati untuk sementara cuma, agar tidak payah menukarkan sekolah anak.

Wujudlah setinggan.

Gambar hiasan: Setinggan mencemar pemandangan.

Mencari formula basmi setinggan.

Kementerian Perumahan Sarawak mahu menjadikan negeri ini sebagai negeri sifar setinggan melalui tiga pendekatan program pembangunan perumahan sejajar dengan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Terdapat kira-kira 10,000 penempatan setinggan di seluruh Sarawak yang kebanyakannya di kawasan bandar utama seperti Miri (kira-kira 4,000), Bintulu (3,000), Kuching (1,800) dan Sibu.

Abang Johari sasar sifar setinggan.

Justeru, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pernah menggariskan tiga pendekatan dalam usaha mencari penyelesaian ialah :-

1) Rumah kekalkan tradisi kampung.

Pendekatan pertama ialah melalui program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang mengutamakan kepada usaha untuk menyusun atur semula kampung-kampung tradisi tanpa menjejaskan budaya kehidupan kampung.

Melalui program RMR, masyarakat kampung terutama yang berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah yang lebih baik serta dapat tinggal dalam persekitaran yang mempunyai frasarana yang lengkap.

Menurut beliau kementerian melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) juga memberi jaminan RMR akan memastikan konsep hidup ataupun budaya kampung akan dikekalkan kerana perpaduan merupakan asas kepada kesejahteraan hidup masyarakat negeri ini.

“Dalam program RMR kita mahu wujudkan persekitaran hidup kampung tradisi yang lebih mesra melalui pendekatan pembesaran kampung yang lebih terancang tanpa merosakkan budaya masyarakat di kawasan terbabit,” katanya.

Di bawah program RMR, tumpuan utama ialah kawasan bandar dengan membaik pulih kampung-kampung sedia ada secara membesarkan lagi kawasan kampung yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Jelas beliau setakat ini program RMR mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk di samping banyak membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang lebih baik.

2) Reka bentuk baru.

Abang Johari berkata kementerian melalui HDC turut merancang untuk meningkatkan lagi jumlah rumah mampu milik di negeri ini selain menampilkan reka bentuk rumah yang lebih menarik, luas dan mesra pengguna pada kadar harga berpatutan.

Konsep rumah mampu milik yang sedia ada perlu diubah agar pembeli dapat tinggal dalam rumah selesa tanpa perlu membuat pengubahsuaian yang akan menelan kos yang tinggi pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu lagi projek perumahan mampu milik yang nampak berbaris-baris panjang serta sempit dengan reka bentuk yang kurang menarik,” katanya.

Tumpuan HDC ialah kepada projek rumah mampu milik setingkat dan dua tingkat yang turut mempunyai kelengkapan frasarana yang lengkap serta mempunyai lebih banyak persekitaran hijau di sekeliling kawasan rumah.

Penekanan juga kepada kemudahan seperti tempat riadah serta ruang untuk mengadakan majlis seperti kenduri ataupun aktiviti penduduk setempat.

Ketika ini HDC mengenal pasti beberapa reka bentuk rumah yang sesuai dengan harga rumah mampu milik dan berharap ia dapat dilaksana dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

3) Pembinaan rumah pangsa di bandar.

Kerajaan turut memberi perhatian kepada projek pembangunan rumah pangsa yang boleh mengatasi masalah kekurangan rumah di kawasan berpenduduk padat seperti kawasan bandar utama di negeri ini.

Abang Johari berkata HDC dan beberapa syarikat swasta telahpun membangunkan beberapa projek rumah pangsa yang semakin mendapat sambutan baik penduduk negeri ini khasnya di kawasan bandar.

“Tumpuan utama projek rumah pangsa ialah untuk mereka yang berpendapatan bawah RM1,500 iaitu melalui konsep sewa sebelum mereka mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar mendorong kepada permintaan yang tinggi bagi rumah di bandar-bandar utama seperti Kuching.

“Kebanyakan penduduk terbabit tidak mempunyai saudara mara di bandar dan tidak mempunyai pekerjaan tetap yang menyukarkan lagi mereka untuk membuat pinjaman perumahan.

“Saya yakin dengan adanya konsep sewa untuk rumah pangsa ini, mereka yang bergaji rendah dan tidak bekerja tetap berpeluang mempunyai tempat tinggal yang lebih baik,” katanya.

Setakat ini rumah pangsa sewa terdapat di Taman Dahlia, Jalan Matang dan flat Batu Gong, Siburan.

Apabila polis dan tentera turut dipolitikkan!

In Politik, Sarawak on December 17, 2011 at 12:00 am

WONG Ho Leng mungkin kini boleh mendabik dada dengan keupayaannya memenangi dua kerusi – Parlimen Sibu dan Dewan Undangan Negeri Bukit Assek.

Pengerusi DAP Sarawak itu barangkali megah kerana DAP semakin mendapat tempat di kalangan orang Cina di bandar-bandar.

Tetapi jangan sampai melangkau sempadan dalam menutur kata-kata yang boleh mengguris hati dan perasaan orang lain.

Terbaru kanciltakcerdik terdengar Wong Ho Leng menentang amalan undi pos yang memberikan peluang kepada anggota polis dan tentera mengundi di Sarawak dan Sabah.

Menurutnya polis dan tentera dari Semenanjung Malaysia sepatutnya tidak boleh mengundi di dua negeri ini atas alasan “wakil rakyat di sini biarlah dipilih oleh orang di sini”.

Sempit sungguh pemikiran Wong Ho Leng jika benar dia berpendapat demikian.

Sebenarnya, berdasarkan perbuatan sedemikian menunjukkan DAP takut dengan bayang-bayang sendiri. Takut apabila undi pos mungkin mampu membawa kemenangan kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya.

Apabila dia tewas, dia akan hilang kuasa yang digilai oleh pembangkang. 

 

BN cari calon boleh menang demi kesinambungan pemerintahan.

In Barisan Nasional, Pilihan Raya Umum, Politik, Sarawak on December 15, 2011 at 2:45 pm

TERBACA satu ‘posting’ rakan Facebook yang mengatakan Barisan Nasional kini lebih memberi tumpuan terhadap pencarian calon boleh menang untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Mereka, dikatakan lagi, kurang memberi penekanan terhadap perjuangan demi rakyat.

Lantas ia mengajak saya berfikir mengapa begitu keadaannya.

Itu pendapat rakan Facebook saya, tetapi saya mempunyai tanggapan yang lain. Dua perkara itu mempunyai kaitan dan berkesinambungan.

Barisan Nasional perlu mencari calon boleh menang agar dapat mengekalkan mereka memegang takhta pemerintahan negara. Apabila mereka sudah mendapat mandat diberikan rakyat menerusi proses pilihan raya yang banyak diperkatakan akan diadakan pada Mac 2012, baharulah mereka dapat membentuk kerajaan.

Dan setelah mereka berjaya membentuk kerajaan apabila menewaskan parti-parti pembangkang, baharulah Barisan Nasional dapat melaksanakan peranan melakukan kerja-kerja demi manfaat rakyat keseluruhan.

Di Sarawak, masih banyak yang perlu diperjuangkan dan dilakukan oleh Barisan Nasional. Banyak projek-projek mega dirancang, sedang menanti untuk dilaksanakan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, Sarawak menyumbang 30 daripada 31 kerusi Parlimen. Bagaimanapun kini ia tinggal 29 apabila kerusi Parlimen Sibu dimenangi DAP Wong Ho Leng menerusi Pilihan Raya Kecil pada Mei 2010. Kerusi Parlimen Bandar Kuching dimenangi DAP Chong Chieng Jen pada 2008.

Sungguhpun demikian, peranan Barisan Nasional Sarawak dalam membentuk kerajaan persekutuan amat besar, begitu juga Sabah. Sebab itu dua negeri itu diberi jolokan sebagai deposit Barisan Nasional.

Justeru Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini memberi jaminan Sarawak tidak akan terlepas dari pandangan kerajaan persekutuan dari aspek pembangunan.

Syabas jika demikian. Sesungguhnya Sarawak merupakan negeri yang besar dan keadaan geografi yang banyak sungai dan bergunung-ganang, justeru ia memakan masa dan peruntukan kewangan yang banyak untuk membangunkannya sama seperti Semenanjung Malaysia.

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, seorang ketua menteri yang berpandangan jauh dalam pembangunan, telah merancang sesuatu yang besar untuk Sarawak – Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak atau lebih dikenali dengan SCORE.

Ia akan membawa perubahan besar terhadap ekonomi Sarawak dan paling mendapat kesan pembangunan fizikal ialah kawasan tengah negeri Sarawak iaitu bahagian Bintulu dan Mukah.

Dalam keseronokan mencongak kemenangan, Barisan Nasional juga tidak wajar terlampau dibuai kejayaan engekalkan majoriti lebih dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Pilihan Raya Negeri, April 2011.

Barisan Nasional perlu sedar bahawa Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat  Bersatu Sarawak (SUPP) kini berhadapan musuh di kalangan mereka sendiri. Ini bermakna mereka kini berdepan dua musuh – di kalangan rakan-rakan dalam parti, dan parti pembangkang.

Tidak usah saya mengulas panjang lebar tentang SPDP dan SUPP kerana dua isu ini mendapat liputan meluas di dada akhbar terutama The Borneo Post dan The Star pada ketika ini (November dan Disember 2011).

SUPP diperuntukkan Barisan Nasional dengan sembilan kerusi Parlimen dengan dua daripadanya Bandar Kuching dan Sibu ditakluki parti pembangkang. Kerusi yang dimenangi mereka ialah Parlimen Serian, Stampin, Lanang, Sarikei dan Miri.

Manakala SPDP menguasai kesemua empat kerusi yang diperuntukkan. Kerusi tersebut ialah Mas Gading, Saratok, Bintulu dan Baram.

Mengekalkan apa yang dimiliki sekarang, mungkin matlamat paling tinggi dan sesuai untuk disasarkan Barisan Nasional berdasarkan situasi sekarang.

SUPP dijangka akan hilang lebih banyak kerusi berdasarkan prestasi semakin buruk mereka pada Pilihan Raya Negeri ke-10.

Konflik dalaman yang berlaku sejak 2004 menjejaskan parti itu sehingga menyebabkan prestasi buruk pada Pilihan Raya Negeri 2006 dan reputasinya semakin jatuh pada pilihan raya April lepas.

Berbanding 2006 yang menyaksikan SUPP kehilangan enam kerusi, pilihan raya negeri April lepas melihat SUPP bukan sahaja kehilangan 13 daripada 19 kerusi yang ditandingi malah bekas Presiden SUPP merangkap Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan sendiri gagal mempertahankan kerusinya.

SPDP pula kini dibelenggu dengan isu pemecatan bekas Naib Presiden Datuk Sylvester Entri Muran dan melucutkan jawatan parti terhadap empat lagi wakil rakyat.

Tetapi pemimpin Barisan Nasional wajar menarik nafas lega apabila mereka terbabit telah menyatakan kesetiaan terhadap perjuangan Barisan Nasional atau dalam kata lain akan berjuang membantu Barisan Nasional mengekalkan kemenangan yang diraih pada Pilihan Raya Umum 2008.

Pejabat SUPP terbakar, muncul banyak andaian.

In Sarawak, Sosial, SUPP on December 13, 2011 at 8:45 am

SELANG dua hari selepas selesai persidangan perwakilan ke-22 Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), ibu pejabatnya di Jalan Central di Kuching terbakar.

Bahagian yang terbakar ialah bilik mesyuarat yang terletak di aras bawah bangunan dalam insiden terjadi kira-kira pada pukul 3 pagi, 13 Disember 2011. Kebakaran berjaya dipadam kira-kira pada pukul 5 pagi.

Bekas setiausaha agung SUPP, Datuk Sim Kheng Hui percaya kejadian itu bukan berlaku secara kebetulan.

Polis masih menyiasat insiden berkenaan.

Ramai pihak mula mengeluarkan teori sendiri dan rambang yang mengatakan ia dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Polis masih melakukan siasatan, mereka sudah muncul dengan analisis. Itulah yang dinamakan budaya orang kita yang gemar serkap jarang. Manalah tahu memang ia terjadi secara kebetulan disebabkan litar pintas.

Menangkah Peter Chin sedangkan SUPP kini berpecah?

In Barisan Nasional, Politik, Sarawak, SUPP on December 12, 2011 at 5:35 am

APABILA Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin diumumkan sebagai Presiden SUPP pada persidangan perwakilan 11 Disember 2011, dia senyum lebar.

Sesiapa pun tidak mampu mengerti apakah makna senyuman itu – adakah benar-benar gembira kerana berpeluang mengendali parti Cina itu, atau senyum memujuk hati yang gundah gulana memikirkan cabaran bakal ditempuhi.

“Kebimbangan (besar) saya selepas menjadi Presiden ialah bagaimana hendak menyatukan semula parti terutama membawa ‘masuk’ mereka yang memboikot TDC,” jelasnya pada sidang akhbar sejurus dipilih menjawat jawatan yang dikosongkan Tan Sri Dr George Chan, 11 Disember 2011.

Dalam pengertian sebenar, ‘menang’ membawa pengertian yang lebih luas. Peter Chin sebenarnya tidak memenuhi kriteria atau pengertian sebenar ‘menang’.

Menangkah dia jika ada kumpulan yang juga berpengaruh dalam parti yang sama menentang kerana tidak puas hati dengan proses pemilihan barisan kepimpinan parti di peringkat cawangan?

Wong Soon Koh vs Peter Chin

Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh protes dan boikot persidangan perwakilan ke-22 parti yang tertua di Sarawak – tetapi kian kurang kredibiliti di mata kaum Cina!

Lantas SUPP kini – malah sekurang-kurangnya sebulan lebih sebelum TDC – telah berpecah dua puak. Satu puak memihak Peter Chin, puak satu lagi Soon Koh.

Begitu juga jika Soon Koh menang, adakah dia menang dalam erti kata sebenar apabila Peter Chin tidak mengiktiraf kemenangan dan disusuli dengan tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan parti.

Kesan perpecahan berikutan perebutan kuasa dalam sesebuah organisasi politik bukan sekadar membabitkan ketua puak, malahan ia membabitkan perpecahan di kalangan pengikut masing-masing.

Disebutkan lagi kesan, pengundi atau rakyat yang dalam golongan ‘atas pagar’ kurang yakin dan hormat terhadap sesebuah parti. Lantas mereka akan memilih menyokong pembangkang kerana muak dengan pertelingkahan yang ditonjolkan oleh puak bertelagah dalam parti.

Jika ini terjadi, siapa rugi? Sudah pasti SUPP dan Barisan Nasional yang akan hilang kerusi atau gagal merampas kerusi daripada pembangkang.

Penghujungnya, rakyat akan menerima kesan kerana usaha melaksanakan pembangunan terbantut dek kawasan-kawasan terbabit dikuasai parti pembangkang.

Lazimnya, pembangkang sekadar bijak berkata-kata dalam mengkritik kerajaan, bukan menjalankan pembangunan seperti diperjuangkan Barisan Nasional.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan rakyat, seelok-eloknya SUPP mengambil ikhtibar dari perpecahan parti-parti politik seperti PBDS dan hampir-hampir SNAP, dibubarkan kerana gagal menyelesaikan krisis.

Bukan sahaja menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, tetapi biarlah parti-parti komponen Barisan Nasional bersatu padu demi pembangunan Sarawak.

Lagi banyak kerja yang perlu diselesaikan untuk menjadikan Bumi Kenyalang sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi, seperti diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Memetik kata-kata Datuk Seri Najib ketika merasmikan persidangan perwakilan SUPP pada 10 Disember 2011 di Hotel Pullman, Kuching “musuh sebenar ialah pembangkang, bukan sesama ahli dalam parti”.

Pesanan itu ringkas tetapi membawa pengertian mendalam terutama terhadap parti yang kini sedang berhadapan krisis.

Moga SUPP kembali relevan dalam arena politik Sarawak dan bukan digantikan dengan kebangkitan DAP.

p/s Juga baca laporan Borneo Post Online menerusi link di bawah

http://www.theborneopost.com/2011/12/12/riot-bumiputera-pertama-dilantik-sebagai-timbalan-presiden-supp/

http://www.theborneopost.com/2011/12/12/peter-chin-presiden-supp/

http://www.theborneopost.com/2011/12/12/kembali-bersatu-perkukuh-supp/