YangSaya Nampak

Peter Chin pertahan tidak ada rakan sepasukan.

In Politik, SUPP on November 4, 2011 at 4:22 pm

TATKALA Datuk Seri Peter Chin ingin dilihat sebagai individu yang tidak berpuak-puak, pesaingnya dalam merebut jawatan Presiden SUPP, Datuk Seri Wong Soon Koh tidak menyembunyikan siapakah rakan sepasukannya menjelang pemilihan parti menerusi Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) pada Disember 2011.

Mungkin Peter Chin ingin dilihat sebagai pemimpin yang mementingkan perpaduan dalam parti, justeru dia sengaja memberi kenyataan bahawa beliau tidak memiliki rakan sepasukan. Sebaliknya dia lebih gemar dilihat sebagai ketua kepada satu pasukan yang mendukung sebuah ideologi.

Adakah itu satu strategi agar Peter Chin dapat mempertahankan jawatan itu agar terus dimiliki dari mereka yang berasal dari Miri berikutan pengunduran Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan? Jika benar ia strategi, apakah Peter Chin akan menang dengan cara demikian.

Majlis pelancaran buku Pelan Pembaharuan SUPP oleh Peter Chin dan rakan-rakannya pada 2 November 2011 membuktikan dia memperoleh sokongan dari pemimpin-pemimpin SUPP dari Miri dan Kuching. Antaranya ialah,Setiausaha Agung Datuk Sim Kheng Hui, Ketua Pemuda Shih Hua Tong, Ketua SUPP Kota Sentosa Datuk Alfred Yap, Ketua SUPP Kuching Datuk Lily Yong, dan Bendahari Datuk David Teng.

Wujud dakwaan mengatakan Pelan Pembaharuan SUPP itu dicedok dari keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang lepas-lepas. Tidak ada apa yang baharu dalam pelan tersebut, cuma kitar semula.

Berikut merupakan laporan akhbar di Borneo Post Online.

4 November 2011

Rancangan transformasinya didakwa sebagai bahan ‘kitar semula’ pelan pembaharuan CWC pada 2008.

KUCHING: Rancangan Transformasi SUPP yang dilancarkan kumpulan Datuk Seri Peter Chin didakwa sebagai bahan ‘kitar semula’ daripada pelan pembaharuan parti yang dilakukan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada 2008.

Ketua SUPP Bengoh Dr Jerip Susil yang bersama dalam kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh berkata tidak ada agenda baru yang ditawarkan oleh Chin dan rakan-rakanya.

“Misalnya syor untuk meminda perlembagaan parti mengenai perkara had memegang jawatan dalam parti, ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat CWC dan semua kita bersetuju,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Chin, setiausaha kerja dan Wong, timbalan setiausaha agung, dijangka akan bertembung dalam perebutan jawatan presiden SUPP berikutan Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan memutuskan mengosongkannya susulan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Negeri pada 16 April lepas.

Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) parti tertua dalam komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak itu dijadualkan diadakan pada Disember depan dengan membabitkan kira-kira 600 perwakilan.

Dr Jerip yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam berkata lagi syor-syor dalam Rancangan Transformasi SUPP tersebut turut memperlihatkan kumpulan Chin gagal memahami makna sebenar perubahan.

Transformasi menurut beliau harus membabitkan pertukaran pucuk pimpinan daripada yang lama kepada kumpulan baru. Malah perubahan cuba dibawa Chin tidak relevan dengan akar umbi, justeru ia tidak menyeluruh.

Sambil kecewa dengan sikap Chin yang sebelum ini mengambil keputusan untuk tidak aktif dalam politik sebagai permulaan pelan persaraan, Dr Jerip menyifatkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu sebagai tidak relevan dengan makna sebenar transformasi.

“Peter Chin dan orang yang bersama dengannya merupakan kumpulan yang enggan melepaskan jawatan dan tidak mahu melihat pelantikan orang muda,” katanya.

Pada majlis pelancaran buku Rancangan Transformasi SUPP di ibu pejabat parti kelmarin, Peter Chin disertai oleh para pemimpin antaranya Bendahari Datuk David Teng, Setiausaha Agung Datuk Sim Kheng Hui, Ketua Pemuda Sih Hua Tong, Ketua SUPP Kuching Datuk Lily Yong dan Ketua SUPP Kota Sentosa Datuk Alfred Yap.

Buku tersebut menampilkan tujuh agenda, terdiri daripada keutamaan terhadap kepentingan parti, pindaan perlembagaan parti, bercakap tanpa bimbang dan takut, melatih barisan pemimpin baru, membasmi amalan tidak sihat, mengukuhkan kedudukan kewangan parti dan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Selain Dr Jerip, Wong disokong oleh Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, ADUN Opar Ranum Mina, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis dan ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: