YangSaya Nampak

Wajarkah Sarawak bercuti sempena Deepavali?

In Sosial on October 25, 2011 at 4:29 pm

DEEPAVALI bukan hari kelepasan am kepada warga Malaysia di Sarawak, tidak seperti di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Faktor yang jelas ialah penganut Hindu di Sarawak tidak ramai.

Tidak perlu tengok statistik rasmi pun sudah diketahui dari bilangan mereka berketurunan India ketika berada di khalayak ramai, seperti pasar dan kompleks beli-belah.

Begitu juga halnya dengan Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan yang masing-masing cuma diraikan secara rasmi di Sarawak dan Sabah, bukannya di Semenanjung Malaysia.

Walaupun bilangan penganut Hindu di Bumi Kenyalang tidak ramai berbanding kaum-kaum lain, mereka tetap bebas meraikannya dan diberi keutamaan untuk bercuti, sama ada bertugas di sektor awam mahupun swasta.

Benih-benih keharmonian yang telah disemai wajar dikekalkan dengan mengunjungi rakan-rakan yang beragama Hindu serta menghulurkan salam Deepavali kepada mereka.

Benih-benih keharmonian ini disuburkan lagi dengan sikap positif masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak yang bukan sahaja sentiasa menghormati malah turut sama memeriahkan perayaan kaum-kaum lain.

Pada April 2011, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam pernah menyatakan beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri Sarawak mengenai kemungkinan menjadikan perayaan Deepavali sebagai cuti umum di negeri ini.

Malahan Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom pada November 2010 berkata beliau akan mencadangkan supaya sambutan Hari Deepavali turut diberikan cuti umum di Sarawak.

Beliau memberi alasan ini: “Kebanyakan syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur bercuti pada hari tersebut, dan secara tidak langsung, pejabat cawangan yang berada di Kuching turut menghadapi kesukaran untuk meneruskan kerja mereka pada hari itu.”

Mawan juga berkata walaupun jumlah kaum India di Sarawak hanya sekitar 5,000 orang, namun atas semangat 1Malaysia cadangan itu wajar dipertimbangkan.

Tidak ada cuti umum kerana sudah terlalu banyak cuti umum di Sarawak.

“Holiday is bad for economy”.

Selain Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baru Cina, Sarawak mempunyai cuti umum yang tidak diraikan di Semenanjung Malaysia seperti Gawai Dayak, Good Friday dan Esther.

Apa yang menghairankan ada nada-nada sumbang datang daripada orang luar Sarawak yang mencerca kerajaan negeri kerana tidak menjadikan Deepavali sebagai cuti umum.

Mungkin mereka tidak mengenali Sarawak dan apa sengaja suka-suka ingin menganaktirikan penganut Hindu di Bumi Kenyalang.

Kepada penganut Hindu di Sarawak, selamat meraikan Hari Deepavali. Semoga hubungan antara kaum di Sarawak utuh sampai bila-bila.

Leave a comment