YangSaya Nampak

SPDP dan SUPP diambang perpecahan?

In Politik on October 17, 2011 at 4:24 pm

DUA parti komponen BN Sarawak ini menjadi tumpuan pemerhati politik tempatan pada masa ini.

SUPP dan SPDP masing-masing merupakan parti-parti yang tewas banyak kerusi di tangan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, 16 April 2011, berbanding PBB dan PRS.

Menjadi tumpuan kerana mereka ada cerita hangat pada masa ini.

SPDP mendapat perhatian apabila lima wakil rakyat atau dikenali SPDP 5 kini terang-terang menyatakan ketidakpercayaan mereka terhadap Presiden Tan Sri William Mawan Ikom. SPDP 5 dianggotai Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entri Muran, Datuk Dr Tiki Lafe, Rosey Yunus dan Paulus Palu Ngumbang.

SUPP pula menyaksikan persaingan awal dalam usaha merebut jawatan presiden menjelang perhimpunan perwakilan pada Disember 2011. Semalam Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mengesahkan bakal bertanding merebut jawatan yang bakal dikosongkan Tan Sr Dr George Chan. Peter Chin akan bertemu Dato Sri Wong Soon Koh.

Perkembangan politik Sarawak pada masa ini menjadi menarik kembali apabila hal dalaman dua parti ini menghiasi dada akhbar harian di Bumi Kenyalang.

Persamaan hal dalaman dihadapi dua parti itu sekarang ialah ia dikhuatiri bakal membawa perpecahan lebih teruk dan menutup peluang untuk menyatupadukan puak-puak di dalamnya.

Apatah lagi konflik Mawan vs SPDP 5 kini kian menyerlah apabila masing-masing mula mempamerkan kumpulan penyokong dari segenap penjuru negeri. Mula ingin menunjukkan kekuatan kumpulan.

Wajar juga dinyatakan di sini apabila Mawan kelihatan ‘cool’ ketika berhadapan konflik dengan SPDP 5.

Menteri Pembangunan Sosial itu tidak melenting dan berbalas-balas kenyataan menerusi akhbar. Mungkin dia yakin mengeruhkan keadaan dengan memberi kenyataan balas di akhbar akan hanya memburukkan keadaan. Tiada penyelesaian menerusi akhbar.

SPDP 5 yang mempunyai Nansian sebagai jurucakap lebih gemar membuka pekung di dada. Adakah boleh disimpulkan tindakan mereka mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan wujud rasa tidak percaya terhadap Mawan berpunca kerana tidak ada saluran untuk meluahkannya dalam parti?

Benarkah SPDP 5, bertindak memulaukan kepemimpinan Mawan, kerana tidak mengekalkan status quo barisan pimpinan parti yang dijanjikannya sebelum perhimpunan perwakilan pada 2009, termasuk menggantikan Sylvester Entri dengan Nelson Balang Rining sebagai Setiausaha Agung? Atau SPDP 5 mengetahui sesuatu yang sukar didedahkan kepada umum kerana ia sesuatu yang rumit?

SUPP, sebuah parti politik tertua di Sarawak, sejak Pilihan Raya Negeri Sarawak kesembilan pada 2006 terumbang-ambing dalam mencari haluan agar dapat memulihkan semula sokongan rakyat terutama di kalangan pengundi Cina.

Sejak itu, acapkali para pemimpin atasan SUPP melaungkan gerakan memperbaharui parti. Pembaharuan itu pula tidak semestinya membabitkan proses menukar pemimpin senior dengan pemimpin junior secara total.

Pembaharuan dimaksudkan mereka ialah mengubah cara pemikiran agar parti mempunyai corak perjuangan  yang sejajar dengan perjuangan zaman.

Akibatnya, mereka hampir tersungkur sepenuhnya pada Pilihan Raya Negeri ke-10 setelah menyaksikan ramai calon mereka tewas di tangan DAP. George Chan turut menerima nasib malang apabila ditumpaskan pendatang baru politik di DUN Piasau.

Justeru, bekas Timbalan Ketua Menteri itu enggan mempertahankan jawatannya menerusi pemilihan parti pada perhimpunan perwakilan Disember 2011 kelak. Susulannya, kini wujud persaingan antara puak-puak dalam parti bagi merebut jawatan presiden.

Sebelum ini ia hanya membabitkan Datuk David Teng dan Wong Soon Koh. Kini nama Peter Chin telah muncul dan ura-ura tersebut nyata sahih apabila Peter Chin mengakuinya.

Bagaimanakah dua parti komponen BN ini mengakhiri situasi masing-masing, ia satu perkembangan menarik untuk diikuti. Meskipun dua parti ini merupakan pemegang kerusi paling sedikit dalam BN Sarawak, para pemimpinnya masih menduduki jawatan dalam kabinet Sarawak. Maknanya, mereka masih merupakan pembuat polisi pembangunan.

Oleh itu wajar juga bagi mereka memberi tumpuan terhadap tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dan mengelakkan berpolitik sepanjang masa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: