YangSaya Nampak

SPDP 5 hilang kepercayaan terhadap William Mawan

In Politik on October 12, 2011 at 5:27 pm

 

TUDING menuding kian ketara dalam krisis Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang membabitkan Presiden Tan Sri William Mawan Ikom dan kumpulan lima wakil rakyat atau lebih dikenali sebagai “SPDP 5”.

Pada permulaan krisis dua tahun lalu tidak lama lepas pemilihan parti, dua pihak terbabit lebih gemar mengambil pendekatan “kurang bercakap dengan media” apabila disoal wartawan mengenai isu tersebut.

Tetapi pada 12 Oktober 2011, SPDP 5 mengadakan sidang media bagi menyatakan terus terang mereka telah hilang kepercayaan terhadap William Mawan sebagai peneraju utama parti kedua termuda dalam komponen BN Sarawak. Ia seolah-olah memecah kesunyian.

Sebahagian daripada anggota SPDP 5

Dahulu SPDP 5 gemar membiarkan para pemerhati muncul dengan andaian mereka menentang kepimpinan William Mawan. Tetapi kini Datuk Peter Nansian, Datuk Sylvester Entri, YB Rosey Yunus, YB Paulus Ngumbang dan Datuk Dr Tiki Lafe (tidak hadir sidang media) enggan berselindung.

Nansian, Naib Presiden Kanan SPDP, yang bertindak sebagai jurucakap bagi SPDP 5 membayangkan adalah sukar untuk mencari jalan penyelesaian apabila William Mawan tidak peka dengan punca perbalahan.

Dalam sidang media itu, SPDP 5 mengedarkan kenyataan akhbar bertajuk “SPDP 5 hilang kepercayaan terhadap Presiden Parti”. Tajuk itu jelas tetapi hala tuju SPDP 5 masih samar. Mereka yang terbabit dikatakan enggan mengulas apabila ditanya adakah mereka meminta Mawan meletak jawatan atau SPDP 5 mahu keluar parti.

Berikut ialah kenyataan akhbar dimaksudkan yang diterjemah dan diubahsuai demi kesesuaian bahasa Malaysia.

[Hari ini merupakan antara saat sedih dan sukar dalam kehidupan kami apabila mencapai keputusan untuk menyatakan kami telah hilang kepercayaan terhadap Presiden SPDP yang kini jelas kelihatan tidak berupaya menyelesaikan konflik dalam parti secara aman bagi mengekalkan perpaduan dan kestabilan parti dan melindungi kerusi-kerusi BN yang diwakili parti agar kerajaan BN terus kuat demi kepentingan rakyat.

Jika Presiden benar-benar serius dalam menyelesaikan konflik dalam Parti, Jawatankuasa Perdamaian atau Penyatuan harus dibentuk berbanding Jawatankuasa Disiplin yang bertujuan mengenakan tindakan terhadap kami, yang mana dirasakan amat tidak adil dan dilakukan untuk membuang kami dari Parti terutama dari beberapa pandangan berikut:-

1) Ketika kami menghulurkan tangan untuk menyelesaikan konflik dalam tempoh dua tahun lalu dengan dia sekurang-kurangnya tiga kali secara rasmi dalam bentuk kumpulan dan beberapa kali menerusi pertemuan tidak rasmi, dan setuju terhadap beberapa perkara tentang bagaimana untuk berdamai dan bekerjasama demi mengekalkan stabiliti dan menjadikan parti lebih kukuh, adakah dia melaksanakannya? Atau adakah ia bercanggah apabila dia muncul dengan kenyataan-kenyataan kontroversi yang menimbulkan kurang selesa dan prasangka dalam parti serta parti-parti komponen BN?

2) Ketika kami meminta dia mentadbir parti berlandaskan prinsip, konsisten, adil dan jujur demi mengekalkan perpaduan dan kestabilan, kami dilabel sebagai “Rebels 5” dan “Group of 5”, justeru siapakah yang memulakan keretakan dan perpecahan dalam parti?

3) Ketika kami sentiasa menyokong dia dan memberitahu dia yang kami mahu dia menjadi pemimpin kami yang kuat, siapa yang dia dengar dalam membuat kenyataan tidak konsisten dan tidak baik terhadap kami dan YB-YB yang lain baru-baru ini? Ketika pada awal penubuhan SPDP apabila Presiden bekerjasama baik dengan kami, parti amat bersatu-padu dan stabil, tetapi apabila sekarang tidak lagi, apa berlaku terhadap parti, kita hilang dua kerusi BN.

4) Ketika kami setuju untuk mengekalkan barisan kepimpinan selepas pemilihan parti, dia tidak mengotakan janji seperti termaktub dalam kenyataan bertandatangan. Dia menukar beberapa jawatan lantikan termasuk Setiausaha Agung. Jika ia merupakan satu tindakan yang betul, apa yang terjadi dengan Setiausaha Agung sekarang? Tidak dicalonkan semula dan ditukar dengan calon tewas pada Pilihan Raya Negeri lalu! Dan kekalahan Timbalan Presiden pada Pilihan Raya Negeri lalu, adakah ia kerana lalai atau sudah lumrah? Jika dia mengekalkan barisan kepimpinan dan menukar berpandukan kesepakatan, adakah wujud masalah dalam parti seperti sekarang? Jadi siapa yang menjadi punca permasalahan, Presiden atau “Group of 5”?

5) Ketika kita sering mahu menjalinkan kerjasama baik dengan parti-parti komponen BN lain kami dilabel sebagai calon parti komponen BN lain dan pemimpin parti BN yang lain dituduh cuba masuk campur urusan dalaman parti. Ketika kita mahu parti memberi tumpuan terhadap kawasan sendiri, parti terlalu cemburu di kawasan parti-parti komponen BN lain yang menjurus terhadap sangsi dan ketidakselesaan di kalangan pemimpin parti komponen BN lain seperti di kawasan Mambong, Mukah, Machan dan Kanowit. Tetapi banyak kawasan di bawah parti termasuk di bawah kami tidak diberi perhatian sangat oleh parti sejak pemilihan parti 2010.

6) Kumpulan kami berikrar memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Barisan Nasional di peringkat persekutuan, Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pengerusi BN Malaysia dan terhadap Ketua Menteri YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang disayangi, Pengerusi Barisan Nasional di Sarawak. Kami akan menghulurkan khidmat kepada rakyat di kawasan kami di bawah nama Barisan Nasional. Kami menang pada Pilihan Raya Negeri lepas dengan majoriti besar di bawah lambang Barisan Nasional dan kami akan terus memberi khidmat di bawah Barisan Nasional di kawasan kami dan Sarawak keseluruhannya. Kami akan menempuhi saat suka dan duka bersama Barisan Nasional di bawah kebijaksanaan kepimpinan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak. Kami akan lebih bersatu-padu dalam Barisan Nasional. Masalah dalaman parti yang kompleks dan komprehensif hanya difahami oleh ahli-ahli dalam parti SPDP.

7) Kami tidak mempunyai masalah peribadi terhadap Presiden dan sesiapa sahaja dalam parti tetapi sekadar tidak setuju dengan pengurusan parti yang dikhuatiri melemahkan BN dan keupayaan kami dalam memberi khidmat kepada rakyat dengan baik yang mana bagi kami adalah perkara paling utama perlu dijaga sepanjang masa dan meletakkannya melebihi kepentingan peribadi kami.]

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: