YangSaya Nampak

Getah dan usaha basmi kemiskinan di Bumi Kenyalang

In ekonomi, Politik, Sosial on October 11, 2011 at 4:45 pm

CIRI kejayaan sesebuah kerajaan dalam mendukung amanah rakyat yang diberi menerusi pilihan raya dapat dinilai dari aspek (antaranya) penurunan kadar kemiskinan di kalangan rakyat.

Jika itu petunjuknya, Sarawak yang kini ditadbir Barisan Nasional (BN) boleh dikatakan berjaya dalam usaha tersebut. Pada mula-mula mencapai kemerdekaan, 1963, ramai penduduk Sarawak hidup dibelenggu kemiskinan.

Menurut Bank Dunia, pada 1976, kira-kira 56.6 peratus dari populasi Sarawak masih berada di bawah garis kemiskinan mengikut standard ditetapkan Bank Dunia.

Pada 2009, bagaimanapun, kadar tersebut menurun kepada 5.3 peratus – satu kejayaan besar kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menjadi artikek pengubah landskap ekonomi Bumi Kenyalang.

Jika diteliti, ia merupakan satu lambang terhadap usaha cekal Abdul Taib mempelbagaikan sumber ekonomi Sarawak – sebuah negeri terbesar di Malaysia dan memiliki kawasan luar bandar yang masih luas untuk dibangunkan.

Antara penyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi Sarawak yang semakin menyerlah ialah kelapa sawit. Kerajaan negeri serius dalam membantu Bumiputera untuk membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menjadi estet kelapa sawit menerusi konsep usaha sama antara pemilik tanah dan syarikat perladangan.

Industri utama Sarawak selain minyak sawit ialah minyak dan gas, dan kayu dan produk hilirannya.

Justeru, dalam mempelbagaikan sumber ekonomi negeri, dan sejajar dengan hasrat untuk membangunkan penduduk di luar bandar, kerajaan negeri turut membangunkan industri getah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Alfred Jabu NUmpang baru-baru ini berkata getah bakal menjadi ejen utama dalam membasmi kemiskinan di luar bandar. Kerajaan negeri menyasarkan 30 peratus daripada populasi penduduk luar bandar, terlibat dalam industri getah.

Permintaan pasaran dunia terhadap getah memberi keyakinan kepada kerajaan negeri untuk menubuhkan lebih banyak loji pemprosesan seperti kilang Guangken Rubber Sdn Bhd di Debak, Betong.

“Ini telah membantu menstabilkan harga getah di pasaran dalam negeri. Tanpa orang tengah, pekebun kecil boleh menjual terus kepada kilang,” ujarnya dipetik menerusi The Borneo Post.

Sarawak menyasarkan 250,000 hektar tanaman getah baru menjelang 2020 yang membabitkan kawasan Sri Aman, Sarikei, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

Usaha untuk meningkatkan keupayaan penghasilan susu getah turut disokong agensi kerajaan persekutuan.

Misalnya, penubuhan Pusat Ranting Tunas Getah Malaysia (MRBC) yang terletak di Stesen Penyelidikan Lembaga Getah Malaysia (LGM) Similajau, Bintulu.

Antara objektif penubuhan MRBC ialah pengesyoran dan penggunaan klon lateks dan balak, mengeluarkan banyak bahan tanaman getah dan memastikan para pekebun kecil mendapat klon-klon berkualiti bagi meningkatkan pendapatan.

MRBC yang dibina atas keluasan 1,180 hektar dikatakan berperanan sebagai pemangkin pembangunan penanaman getah di Sarawak.

Sarawak mengeksport 26,700 tan getah pada 2009, jatuh berbanding 41,300 tan pada tahun sebelumnya.

Dari segi pendapatan negara, industri getah menyumbang RM33 bilion terhadap perolehan kewangan negara pada tahun lalu. Ia merupakan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding RM25 bilion pada 2009 selaras dengan kenaikan harga komoditi itu di pasaran global.

Peningkatan itu juga didorong berikutan pertambahan jumlah pengeluaran getah asli negara yang meningkat 13 peratus pada 2010 berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2010 sejumlah 970,000 tan getah asli dikeluarkan berbanding 857,000 tan sepanjang 2009.

Harapan kita ialah matlamat untuk menjadikan ekonomi Sarawak makmur dan sifar kemiskinan dapat dicapai. Kejayaan itu sudah pasti bakal disertai sokongan dan keyakinan rakyat terhadap BN yang telah sekian lama memerintah Bumi Kenyalang.

Dan satu cara untuk mencapai sasaran tersebut ialah pembabitan penduduk di luar bandar dalam industri getah yang dikatakan mempunyai prospek cerah di pasaran antarabangsa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: