YangSaya Nampak

Archive for October, 2011|Monthly archive page

Michael Lias disingkir dari SNAP

In Politik, Sarawak, SNAP on October 31, 2011 at 4:43 pm

NAMPAK gaya Michael Lias kini terpaksa menguburkan hasrat untuk bertanding merebut jawatan nombor satu SNAP apabila disingkir dari parti tersebut menerusi satu keputusan majoriti mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada Sabtu yang lalu.

Michael Lias

Dia disingkir kerana didapati melanggar perlembagaan parti yang tidak membenarkan ahlinya memiliki dua atau lebih keahlian dalam satu-satu masa.

Pada Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) SNAP pada September 2011, dia ingin bertanding menentang Setiausaha Agung SNAP Stanley Jugol berikutan hasrat Presidennya, Edwin Dundang tidak mempertahankan jawatan.

Pada saat-saat akhir pemilihan ditunda berikutan wujud dakwaan mengatakan Michael merupakan ahli Parti Progresif Penduduk (PPP). Bagaimanapun ia disangkal Michael dengan mengatakan dia telah keluar dari PPP sebelum mengambil keputusan bertanding.

September lepas SNAP hanya menyaksikan mesyuarat pergerakan Pemuda dan Wanita tanpa membabitkan pemilihan badan induk parti.

Rentetan itu CWC meminta Michael memberi alasan munasabah mengapa dia tidak boleh dipecat dari parti menerusi surat tunjuk sebab. Tetapi akhirnya harapan tinggi hendak menjadi Presiden SNAP berkecai di peringkat awal-awal lagi – belum pun masuk gelanggang perlawanan.

Adakah ini juga bermakna Stanley akan menduduki kerusi Presiden tanpa bertanding?

Michael yang dipetik menerusi Free Malaysia Today (portal berita) berkata tindakan CWC itu tidak sah memandangkan dia telah mengemukakan laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). ROS menurutnya dalam siasatan, dan justeru apa-apa jua tindakan CWC adalah tidak sah.

CWC pada Sabtu lepas juga memutuskan pemilihan akan diadakan pada 18 Januari 2012 di Kuching.

Parti Kebangsaan Sarawak

SNAP ‘hidup’ semula apabila Mahkamah Rayuan pada tahun lepas mengenepikan keputusan ROS yang membubarkan parti tersebut.

SNAP merupakan anggota BN pada satu ketika dahulu. Berikutan keputusan ROS itu, kedudukan SNAP dalam BN digantikan dengan SPDP – sebuah parti yang berhadapan masalah kepimpinan sekarang.

Parti itu dikatakan mempunyai pengaruh kuat di kalangan Dayak. Tetapi ia ternyata meleset apabila tewas semua di 26 kawasan Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 16 April 2011.

Berikutan prestasi tidak memberangsangkan itu, Edwin menawarkan diri untuk berundur dari jawatan Presiden.

SNAP merupakan parti pembangkang di Sarawak. SNAP kini dikatakan mengambil pendirian berkecuali – tidak memihak BN, tidak juga bersekongkol dengan PKR, DAP dan PAS.

Sejurus Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 April lepas, DAP mengemukakan syor kepada SNAP untuk bergabung. Penasihat DAP Lim Kit Siang dipetik berkata SNAP masih mempunyai pengaruh di kalangan  pengundi Dayak.

Dia melihat ia sebagai satu peluang terbaik untuk meneroka potensi sokongan pengundi luar bandar, terutama Dayak terhadap DAP. Bagaimanapun syor itu boleh disifatkan gagal apabila kini tidak kedengaran apa-apa perkhabaran tentang ia.

Advertisements

Sumber manusia pemangkin kejayaan SCORE.

In ekonomi on October 27, 2011 at 12:44 am

SATU kerugian jika peluang pekerjaan yang bakal banyak ditawarkan dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh belia tempatan, paling kurang dari kalangan penduduk di negara ini.

Lebih membimbangkan jika pelabur-pelabur asing membatalkan hasrat untuk menanam modal di Sarawak berikutan kesukaran mendapatkan tenaga kerja sepadan dengan kehendak industri mereka. Itu memang menyedihkan kerana kerajaan telah berusaha dan berupaya menarik kemasukan pelabur tetapi terbantut dek masalah sumber manusia.

Kajian terhadap keperluan sumber tenaga mahir untuk SCORE oleh Unimas dijangka diketahui penghujung tahun ini. Kajian itu meliputi permintaan dan keperluan terhadap 10 industri yang dirancang dalam SCORE.

Datuk Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak pernah berkata, hasil kajian akan digunakan sebagai penanda aras untuk meneliti semula kekurangan terhadap permintaan dan bekalan tenaga mahir.

Menurutnya, berdasarkan itu syor dapat dikemukakan kepada institut latihan dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menambah pengambilan atau mewujudkan kursus yang diperlukan.

SCORE memerlukan kira-kira 1.6 juta pekerja mahir dalam sektor pembalakan, pelancongan, industri minyak, akuakultur, penternakan, keluli, kejuruteraan marin dan kaca.

SCORE yang dilancarkan pada 2008 turut dilaporkan dijangka berhadapan dengan masalah kekurangan hampir 100,000 tenaga kerja dalam pelbagai kategori untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Untuk lima tahun akan datang, SCORE dijangka berhadapan dengan tenaga kerja. Untuk tempoh lima tahun seterusnya iaitu 2016 hingga 2020, SCORE dijangka berhadapan kekurangan 33,187 tenaga kerja.

Bagi tempoh 2021 hingga 2025, kekurangan dijangka melibatkan seramai 15,811 tenaga kerja manakala bagi 2026 hingga 2030, jumlahnya dijangka meningkat sehingga 30,127 orang.

Kerajaan sentiasa mencari jalan untuk memastikan kekosongan pekerjaan terutama kategori mahir di wilayah SCORE diisi oleh anak-anak tempatan sebelum membuka peluang sama kepada orang luar.

Tidak dinafikan jumlah penduduk Sarawak tidak mampu menampung keperluan sumber manusia yang ramai di SCORE. Justeru, peluang pekerjaan juga akan ditawarkan kepada penduduk dari Semenanjung Malaysia atau luar negara.

Wajarkah Sarawak bercuti sempena Deepavali?

In Sosial on October 25, 2011 at 4:29 pm

DEEPAVALI bukan hari kelepasan am kepada warga Malaysia di Sarawak, tidak seperti di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Faktor yang jelas ialah penganut Hindu di Sarawak tidak ramai.

Tidak perlu tengok statistik rasmi pun sudah diketahui dari bilangan mereka berketurunan India ketika berada di khalayak ramai, seperti pasar dan kompleks beli-belah.

Begitu juga halnya dengan Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan yang masing-masing cuma diraikan secara rasmi di Sarawak dan Sabah, bukannya di Semenanjung Malaysia.

Walaupun bilangan penganut Hindu di Bumi Kenyalang tidak ramai berbanding kaum-kaum lain, mereka tetap bebas meraikannya dan diberi keutamaan untuk bercuti, sama ada bertugas di sektor awam mahupun swasta.

Benih-benih keharmonian yang telah disemai wajar dikekalkan dengan mengunjungi rakan-rakan yang beragama Hindu serta menghulurkan salam Deepavali kepada mereka.

Benih-benih keharmonian ini disuburkan lagi dengan sikap positif masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak yang bukan sahaja sentiasa menghormati malah turut sama memeriahkan perayaan kaum-kaum lain.

Pada April 2011, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam pernah menyatakan beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri Sarawak mengenai kemungkinan menjadikan perayaan Deepavali sebagai cuti umum di negeri ini.

Malahan Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom pada November 2010 berkata beliau akan mencadangkan supaya sambutan Hari Deepavali turut diberikan cuti umum di Sarawak.

Beliau memberi alasan ini: “Kebanyakan syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur bercuti pada hari tersebut, dan secara tidak langsung, pejabat cawangan yang berada di Kuching turut menghadapi kesukaran untuk meneruskan kerja mereka pada hari itu.”

Mawan juga berkata walaupun jumlah kaum India di Sarawak hanya sekitar 5,000 orang, namun atas semangat 1Malaysia cadangan itu wajar dipertimbangkan.

Tidak ada cuti umum kerana sudah terlalu banyak cuti umum di Sarawak.

“Holiday is bad for economy”.

Selain Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baru Cina, Sarawak mempunyai cuti umum yang tidak diraikan di Semenanjung Malaysia seperti Gawai Dayak, Good Friday dan Esther.

Apa yang menghairankan ada nada-nada sumbang datang daripada orang luar Sarawak yang mencerca kerajaan negeri kerana tidak menjadikan Deepavali sebagai cuti umum.

Mungkin mereka tidak mengenali Sarawak dan apa sengaja suka-suka ingin menganaktirikan penganut Hindu di Bumi Kenyalang.

Kepada penganut Hindu di Sarawak, selamat meraikan Hari Deepavali. Semoga hubungan antara kaum di Sarawak utuh sampai bila-bila.

Buku kamasutra versi Kelab Isteri Taat?

In Sosial on October 25, 2011 at 12:50 pm

SELEPAS menggemparkan Malaysia dengan kenyataan yang sensasi mengatakan isteri wajar melayan suami seperti pelacur kelas atasan, kini Kelab Isteri Taat dikatakan telah menerbitkan buku tentang seks dari perspektif Islam.

Buku ‘Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia’ masih diteliti oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sama ada diharamkan penerbitannya atau diberi lampu hijau agar dapat dibaca umum.

Buku jadi kontroversi Kelab Isteri Taat

Dalam buku tersebut, penulisnya Haatijah Aam mendakwa seorang lelaki boleh membuat hubungan seks secara spiritual dengan semua isterinya serentak.

Hatijah dipetik sebagai berkata apabila seorang lelaki mencapai tahap kerohanian tertinggi maka dia boleh menjelma dalam pelbagai bentuk dan melakukan hubungan seks dengan semua isterinya walau di mana sahaja mereka berada.

Kumpulan berkenaan dilaporkan akan tetap melancarkan buku kontroversi itu walaupun menerima protes daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita.

Difahamkan buku berkenaan akan dilancarkan diperingkat global termasuk Singapura, Indonesia, Australia, Mesir, Syria, Jordan, Britain dan Perancis.

Namun kumpulan berkenaan dikatakan tidak berminat untuk memasarkan buku tersebut di Malaysia, bagaimanapun buku berkenaan telah pun didapati berada di negara ini melalui ahli kumpulan Kelab Isteri Taat di sini.

Kelab Isteri Taat pada bulan Ogos 2011 melancarkan cawangannya di Sarawak. Justeru, tidak mustahil buku itu kini, meskipun belum diharamkan, sudah berada di negeri ini dan sekurang-kurangnya dimiliki oleh ahli-ahlinya di Bumi Kenyalang.

Kulit belakang

Cegah sebelum parah. Mungkin itu pendekatan yang diambil oleh pihak berkuasa Islam di Sarawak. Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman menasihatkan kaum hawa beragama Islam tidak mempercayai kandungan isi buku terbabit.

Menurutnya intipati buku berkenaan tidak menggambarkan ajaran sebenar Islam, sebaliknya hanya diilhamkan oleh kumpulan kecil. Dan perbuatan itu dikhuatiri mencemarkan imej Islam sebagai agama suci.

Laporan mengatakan bahawa buku tersebut menganjurkan para suami berhubungan seks serentak dengan semua para isterinya.

Buku tersebut menerangkan bahawa Allah menganugerahkan kelebihan istimewa kepada kaum lelaki untuk mengadakan hubungan jenis serentak dengan semua para isteri mereka.

Dengar khabarnya susah untuk mendapatkan buku tersebut sekarang ini. Sudah tentu ia laris di pasaran dibeli oleh semua golongan terutama muda mudi.

Buku itu mendapat liputan meluas di seluruh dunia yang menceduk berita daripada AFP.

Antara mereka yang lantang membantah buku tersebut seperti biasa adalah kumpulan Sister in Islam yang menganggap Kelab Isteri Taat sengaja mahu mendapatkan publisiti murahan.

Menyentuh mengenai hubungan seks secara berkumpulan atau ‘Group Sex’ ini, ada kedengaran cerita para pengamal poligami di negara kita yang menjadikan tidur sekali satu katil dengan para isterinya sebagai perkara biasa.

Kelab Isteri Taat ditubuhkan dengan tujuan membentuk isteri supaya lebih taat kepada suaminya, sekali gus memainkan peranan mengelakkan penceraian dan keganasan rumahtangga.

Bagaimanapun, ia dikecam hebat oleh kebanyakan pihak di negara ini. Antara kecaman dilemparkan ialah ia menyebarkan ajaran yang mementingkan nafsu semata-mata untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Ada pihak mengatakan penubuhan kelab yang kononnya untuk mengajar wanita menjadi setia dan menjalankan tanggungjawab terhadap suami adalah usaha sia-sia serta tidak sejajar dengan tuntutan Islam.

Islam menuntut suami menghormati isteri dan bukannya menjadikan isteri objek seks dalam rumah tangga.

Adakah dengan hanya pandai melayan suami di atas katil menjadikan rumah tangga bahagia dan adakah hanya isteri saja yang mesti pandai melayan suami, bagaimana pula dengan peranan suami di atas katil.

Itukah salam damai dari Mawan untuk SPDP 5?

In Politik on October 24, 2011 at 4:37 pm

SEWAJARNYA anggota SPDP 5 merenung kembali perjuangan mereka dalam BN yang menuntut para pemimpin bersatu padu dan berbincang. Dari situlah mereka mungkin akan sedar bahawa mereka hampir tersasar dari landasan perjuangan.

Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom pada 24 Oktober 2011 membayangkan kesediaannya untuk berdamai dan sekali gus mengelakkan konflik dalaman parti tersebut daripada berlarutan dan semakin teruk, lantas membawa kepada pembubaran parti.

Di sebalik konflik, Mawan cuba ‘memujuk’ Datuk Peter Nansian (DUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri Muran (DUN Marudi), Datuk Dr Tiki Lafe (Parlimen Mas Gading), Rosey Yunus (DUN Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (DUN Batu Danau) dengan menaruh keyakinan terhadap mereka.

Salam damai itu seharusnya diberi renungan mendalam oleh SPDP 5. Demi kepentingan parti dan demi perjuangan BN yang membela rakyat. Jika konflik berterusan, dikhuatiri tanggungjawab utama mereka berkhidmat kepada rakyat akan terjejas.

Situasi ini jika berlaku akan menggugat sokongan rakyat terhadap BN. Apatah lagi Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan pada bila-bila masa. Sudah pasti sokongan yang merudum bakal membawa kekalahan BN.

Pada hari-hari berikutnya, kita suka mendengar salam damai itu disambut dengan baik oleh SPDP 5.

Berikut ialah laporan Bernama.

MIRI, 24 Okt – Walaupun lima wakil rakyat SPDP mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan presiden Tan Sri William Mawan Ikom, namun beliau tetap menaruh keyakinan terhadap mereka.

Beliau berkata Datuk Peter Nansian (DUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri Muran (DUN Marudi), Datuk Dr Tiki Lafe (Parlimen Mas Gading), Rosey Yunus (DUN Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (DUN Batu Danau) adalah antara pemimpin yang beliau rasakan boleh menggantikan beliau menerajui parti pada masa depan.

“Saya berkeyakinan penuh terhadap mereka, mempunyai banyak harapan pada diri mereka, yang boleh menggantikan saya pada masa akan datang. Lagipun, saya yang menaikkan mereka.

“Saya tidak mengatakan mereka tidak baik. Saya tidak menyatakan mereka salah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sesi pemimpin bertemu dengan rakyat di Rumah Panjang Henry Gomes di Ulu Teru, Baram, kira-kira lapan jam perjalanan dari sini, Ahad malam.

Nansian yang juga merupakan Naib Presiden Kanan SPDP bersama dengan Naib Presiden Entri, Dr Tiki,  Rosey dan Ketua Penerangan Paulus, bertelingkah dengan Mawan berikutan keengganan mereka menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi parti sejak dua tahun lepas.

Kumpulan berkenaan yang digelar SPDP Five mendakwa Mawan gagal mengotakan janjinya untuk mengekalkan status quo dalam kepimpinan parti apabila menggantikan Entri dengan bekas ADUN Ba’Kelalan Nelson Balang Rining sebagai Setiausaha Agung.

Ini telah menyebabkan Entri dan empat yang lain keluar dari mesyuarat Majlis Tertinggi. Sejak itu mereka tidak pernah menghadiri mesyuarat tersebut.

Berhubung surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadap Entri bulan lepas, Mawan berkata ia hanyalah sebahagian daripada proses siasatan yang dilaksanakan oleh jawatankuasa disiplin parti dan tidak harus dianggap sebagai satu hukuman.

“Malah sehingga kini pintu saya masih terbuka tetapi pada masa yang sama anda tidak boleh bertolak ansur dengan mekanisme parti. Kami mempunyai sistem. Saya tidak boleh (sewenang-wenangnya) ketepikan ini (peraturan dan undang-undang parti) begitu sahaja,” katanya.

*** Juga baca …

Keratan akhbar The Borneo Post bertarikh 25 Okt 2011

Pelan pemulihan parti penentu kemenangan calon Presiden SUPP

In Politik on October 23, 2011 at 5:17 pm

DISEMBER ini kita bakal menyaksikan pemilihan Presiden baru SUPP menerusi perhimpunan agung perwakilan parti tersebut yang kini telah mengesahkan jawatan nombor satu parti politik tertua di Sarawak itu bakal direbut Timbalan Setiausaha Agung Datuk Seri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerja Datuk Seri Peter Chin.

Wong Soon Koh

Apakah faktor-faktor yang dijadikan asas para perwakilan SUPP dalam menentukan siapakah presiden bagi menggantikan Tan Sri Dr George Chan yang telah memilih untuk bersara dari politik selepas tewas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April 2011?

Adakah Soon Koh dan Peter Chin bakal dihakimi berdasarkan kebijaksanaan atau sekadar pengaruh? Soon Koh merupakan menteri kanan merangkap Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti dalam kabinet negeri Sarawak, manakala Peter Chin, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kabinet persekutuan.

Peter Chin

Dalam usaha meraih keyakinan para perwakilan, dua calon ini wajar mengemukakan pelan terbaik yang bakal membawa ke arah kebangkitan semula parti yang majoritinya mempunyai ahli-ahli kaum Cina. SUPP yang merupakan sebuah parti komponen BN mula mengalami kemerosotan sokongan di kawasan bandar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak kesembilan 2006.

Situasi semakin teruk pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada April 2011 apabila tewas di 13 kerusi berbanding 19 kerusi yang ditandingi, termasuk kekalahan Dr George Chan di kawasannya Piasau, Miri. DAP mula menarik perhatian pengundi Cina apabila dikatakan SUPP gagal mengetengahkan permasalahan dan suara mereka ke perhatian kerajaan.

Sokongan yang susut juga dikatakan setelah SUPP mempunyai polisi yang kurang menarik perhatian golongan muda kaum Cina, sama ada untuk mengundi calon-calon pilihan raya dari SUPP atau menjadi ahli SUPP.

Perubahan corak pengundian di kalangan kaum Cina juga didakwa (meskipun tidak ada statistik) terjadi apabila orang muda kaum Cina memanfaatkan sepenuhnya peluang mengundi. Golongan ini lebih terdedah dengan media alternatif yang dikatakan mempengaruhi pemikiran dalam membuat keputusan ketika memangkah kertas undi.

Justeru, para perwakilan wajar menjadikan pelan pembaharuan parti sebagai penentu calon pilihan memandangkan SUPP satu-satunya wakil kaum Cina dalam BN di peringkat negeri Sarawak. Jika pucuk pimpinan masih lemah dan tidak berupaya menarik minat golongan muda, tidak mustahil ia akan terus menempuh era kegelapan.’

Seramai 600 orang perwakilan akan menghadiri perhimpunan tiga tahun sekali parti mulai 8 hingga 11 Disember yang dijangka akan mengubah hala tuju parti.

Peter Chin yang juga Ahli Parlimen Miri baru-baru ini mengadakan sidang media bagi mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan Presiden dengan mendakwa memperoleh sokongan dari 33 cawangan SUPP. Parti mempunyai 43 cawangan.

Setakat ini, Peter Chin tidak mengemukakan pelan tindakannya untuk membawa pembaharuan SUPP melainkan sekadar melaung-laungkan pengaruhnya yang datang dari 33 cawangan.

Sumber dalam parti berkata kebanyakan ahli dari Kuching mahu Peter Chin menjadi calon presiden kerana beliau dianggap lebih inklusif dan berkecuali dan ini jelas terbukti semasa sesi talkimat kepada perwakilan parti di Kuching sebelum Chin mengumumkan hasrat bertanding jawatan presiden Ahad lalu.

Hasrat beliau membuatkan Soon Koh tersentak kerana sebelum ini Peter Chin menyatakan hasrat ingin bersara dan sekali gus tidak akan bertanding merebut jawatan tertinggi parti. Pada awalnya, jawatan tersebut dijangka mempertemukan Soon Koh dan Bendahari Datuk David Teng.

Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan dan Pengerusi SUPP Sibu pula mengumumkan keinginan bertanding pada 9 Oktober 2011. Beliau mendakwa mendapat ilham untuk bertanding selepas mendapat sokongan cawangan-cawangan di utara, selatan dan tengah Sarawak.

“Kita mesti menyusun semula terutamanya di peringkat dalaman. Kita semua hendaklah berpegang kuat kepada semangat Sa’Ati (Satu Hati). Kita mesti terus mendekati rakyat dan berkhidmat dengan ikhlas demi mendapatkan semula keyakinan dan sokongan mereka,” katanya.
 
Datuk Lee Kim Shin, ADUN Piasau dari Miri, merupakan rakan sepasukan Soon Koh dalam pemilihan parti pada kali ini. Soon Koh turut mendapat sokongan ADUN Opar Ranum Mina, ADUN Engkilili Johnical Rayong, ADUN Bengoh Dr Jerip Susil dan ADUN Sri Aman Datuk Francis Harden Hollis.

SPDP dan SUPP diambang perpecahan?

In Politik on October 17, 2011 at 4:24 pm

DUA parti komponen BN Sarawak ini menjadi tumpuan pemerhati politik tempatan pada masa ini.

SUPP dan SPDP masing-masing merupakan parti-parti yang tewas banyak kerusi di tangan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, 16 April 2011, berbanding PBB dan PRS.

Menjadi tumpuan kerana mereka ada cerita hangat pada masa ini.

SPDP mendapat perhatian apabila lima wakil rakyat atau dikenali SPDP 5 kini terang-terang menyatakan ketidakpercayaan mereka terhadap Presiden Tan Sri William Mawan Ikom. SPDP 5 dianggotai Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entri Muran, Datuk Dr Tiki Lafe, Rosey Yunus dan Paulus Palu Ngumbang.

SUPP pula menyaksikan persaingan awal dalam usaha merebut jawatan presiden menjelang perhimpunan perwakilan pada Disember 2011. Semalam Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mengesahkan bakal bertanding merebut jawatan yang bakal dikosongkan Tan Sr Dr George Chan. Peter Chin akan bertemu Dato Sri Wong Soon Koh.

Perkembangan politik Sarawak pada masa ini menjadi menarik kembali apabila hal dalaman dua parti ini menghiasi dada akhbar harian di Bumi Kenyalang.

Persamaan hal dalaman dihadapi dua parti itu sekarang ialah ia dikhuatiri bakal membawa perpecahan lebih teruk dan menutup peluang untuk menyatupadukan puak-puak di dalamnya.

Apatah lagi konflik Mawan vs SPDP 5 kini kian menyerlah apabila masing-masing mula mempamerkan kumpulan penyokong dari segenap penjuru negeri. Mula ingin menunjukkan kekuatan kumpulan.

Wajar juga dinyatakan di sini apabila Mawan kelihatan ‘cool’ ketika berhadapan konflik dengan SPDP 5.

Menteri Pembangunan Sosial itu tidak melenting dan berbalas-balas kenyataan menerusi akhbar. Mungkin dia yakin mengeruhkan keadaan dengan memberi kenyataan balas di akhbar akan hanya memburukkan keadaan. Tiada penyelesaian menerusi akhbar.

SPDP 5 yang mempunyai Nansian sebagai jurucakap lebih gemar membuka pekung di dada. Adakah boleh disimpulkan tindakan mereka mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan wujud rasa tidak percaya terhadap Mawan berpunca kerana tidak ada saluran untuk meluahkannya dalam parti?

Benarkah SPDP 5, bertindak memulaukan kepemimpinan Mawan, kerana tidak mengekalkan status quo barisan pimpinan parti yang dijanjikannya sebelum perhimpunan perwakilan pada 2009, termasuk menggantikan Sylvester Entri dengan Nelson Balang Rining sebagai Setiausaha Agung? Atau SPDP 5 mengetahui sesuatu yang sukar didedahkan kepada umum kerana ia sesuatu yang rumit?

SUPP, sebuah parti politik tertua di Sarawak, sejak Pilihan Raya Negeri Sarawak kesembilan pada 2006 terumbang-ambing dalam mencari haluan agar dapat memulihkan semula sokongan rakyat terutama di kalangan pengundi Cina.

Sejak itu, acapkali para pemimpin atasan SUPP melaungkan gerakan memperbaharui parti. Pembaharuan itu pula tidak semestinya membabitkan proses menukar pemimpin senior dengan pemimpin junior secara total.

Pembaharuan dimaksudkan mereka ialah mengubah cara pemikiran agar parti mempunyai corak perjuangan  yang sejajar dengan perjuangan zaman.

Akibatnya, mereka hampir tersungkur sepenuhnya pada Pilihan Raya Negeri ke-10 setelah menyaksikan ramai calon mereka tewas di tangan DAP. George Chan turut menerima nasib malang apabila ditumpaskan pendatang baru politik di DUN Piasau.

Justeru, bekas Timbalan Ketua Menteri itu enggan mempertahankan jawatannya menerusi pemilihan parti pada perhimpunan perwakilan Disember 2011 kelak. Susulannya, kini wujud persaingan antara puak-puak dalam parti bagi merebut jawatan presiden.

Sebelum ini ia hanya membabitkan Datuk David Teng dan Wong Soon Koh. Kini nama Peter Chin telah muncul dan ura-ura tersebut nyata sahih apabila Peter Chin mengakuinya.

Bagaimanakah dua parti komponen BN ini mengakhiri situasi masing-masing, ia satu perkembangan menarik untuk diikuti. Meskipun dua parti ini merupakan pemegang kerusi paling sedikit dalam BN Sarawak, para pemimpinnya masih menduduki jawatan dalam kabinet Sarawak. Maknanya, mereka masih merupakan pembuat polisi pembangunan.

Oleh itu wajar juga bagi mereka memberi tumpuan terhadap tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dan mengelakkan berpolitik sepanjang masa.

Mawan tiada bicara, cuma wakil ada suara.

In ekonomi, Patriotisme, Politik on October 13, 2011 at 5:02 pm

SEORANG teman yang bertugas sebagai wartawan di sebuah akhbar merungut kerana berhadapan kesukaran untuk membuat berita susulan berikutan SPDP Berlima (SPDP 5) mengeluarkan kenyataan tidak percaya terhadap Presiden Tan Sri William Mawan Ikom pada 12 Oktober 2011.

Dia mendakwa Mawan tidak menjawab panggilan telefon dan membalas pesanan menerusi telefon bersel. Lantas dia menyimpulkan, apabila menteri tersebut tidak memberi sebarang tindak balas, dia memang tidak akan memberi kenyataan media bagi mengelakkan konflik berlarutan dan dipaparkan menerusi akhbar.

Wartawan tersebut, ketika dihubungi, berkata jika Mawan menjawab telefon, soalan-soalan bakal diajukan ialah “apakah tindakan yang bakal diambil terhadap lima wakil rakyat terbabit?”; “adakah SPDP akan mengadakan pemilihan parti semula bagi menentukan tahap sokongan akar umbi terhadap dia?”; dan, sanggup atau tidak Mawan membuang mereka terbabit dari parti?”.

Tetapi malang sungguh malang apabila sehingga hampir senja, Mawan enggan memberi respon terhadap panggilan telefon dan pesanan ringkas telefon bersel.

Kesimpulan saya, “tidak wajar untuk mempersalahkan Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial kerana dia berhak untuk tidak menjawab”.

Bukankah ada pepatah Inggeris mengatakan “Silence is golden”. Dan sebanyak manakah ’emas’ bakal dihasilkan Mawan apabila dia mengambil keputusan untuk terus membisu.

Ada pihak mengatakan Mawan merupakan pemimpin yang tegas dalam keputusannya. Berdasarkan itu, dia dipercayai tidak akan menarik balik penubuhan Jawatankuasa Disiplin yang ditubuhkan bertujuan mencari jalan penyelesaian terhadap konflik kira-kira dua tahun itu.

Jika Mawan enggan bersuara, tumpuan seharusnya pula diberikan kepada para penyokongnya di peringkat akar umbi, terutama di kawasan wilayah tengah Sarawak. Sepuluh bahagian SPDP di kawasan terbabit menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Mawan.

Mereka respon terhadap kenyataan SPDP 5, terdiri daripada YB Datuk Peter Nansian, YB Datuk Sylvester Entri, YB Paulus Ngumbang, YB Rosey Yunus dan YB Datuk Dr Tiki Lafe (tidak hadir pada sidang media), yang hilang kepercayaan terhadap Mawan.

Sepuluh pengerusi yang menyatakan sokongan ialah dari SPDP Bahagian Ngemah, Machan, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Nangka, Tamin, Meluan dan Pakan.

Mereka berkata Mawan sudah cukup bersabar, sedia mendengar dan tenang dalam berhadapan konflik membabitkan SPDP 5.

“Mereka berlima sepatutnya dipertanggungjawabkan. Mereka telah membuka pekung di dada, mempersendakan dan menyifatkan presiden sebagai tidak bagus,” kata kumpulan terbabit.

Selepas diam seketika, mungkin ingin memberi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011, Nansian dan rakan-rakannya pada 12 Oktober mengadakan sidang media dan seolah-olah ingin mengakui mereka berada di pihak yang benar.

SPDP 5 merupakan gelaran kepada lima wakil rakyat daripada SPDP yang kini dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin SPDP berikutan tidak hadir mesyuarat Majlis Tertinggi beberapa kali.

Mereka didakwa mula menyuarakan bantahan terhadap kepimpinan Mawan sejak hujung 2009, sejurus selepas mesyuarat perhimpunan perwakilan parti.

Kumpulan itu juga pernah mengusahakan agar penggabungan antara SPDP dan PRS disegerakan pada awal 2010. Bagaimanapun usaha kumpulan itu disifatkan gagal.

SPDP 5 hilang kepercayaan terhadap William Mawan

In Politik on October 12, 2011 at 5:27 pm

 

TUDING menuding kian ketara dalam krisis Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang membabitkan Presiden Tan Sri William Mawan Ikom dan kumpulan lima wakil rakyat atau lebih dikenali sebagai “SPDP 5”.

Pada permulaan krisis dua tahun lalu tidak lama lepas pemilihan parti, dua pihak terbabit lebih gemar mengambil pendekatan “kurang bercakap dengan media” apabila disoal wartawan mengenai isu tersebut.

Tetapi pada 12 Oktober 2011, SPDP 5 mengadakan sidang media bagi menyatakan terus terang mereka telah hilang kepercayaan terhadap William Mawan sebagai peneraju utama parti kedua termuda dalam komponen BN Sarawak. Ia seolah-olah memecah kesunyian.

Sebahagian daripada anggota SPDP 5

Dahulu SPDP 5 gemar membiarkan para pemerhati muncul dengan andaian mereka menentang kepimpinan William Mawan. Tetapi kini Datuk Peter Nansian, Datuk Sylvester Entri, YB Rosey Yunus, YB Paulus Ngumbang dan Datuk Dr Tiki Lafe (tidak hadir sidang media) enggan berselindung.

Nansian, Naib Presiden Kanan SPDP, yang bertindak sebagai jurucakap bagi SPDP 5 membayangkan adalah sukar untuk mencari jalan penyelesaian apabila William Mawan tidak peka dengan punca perbalahan.

Dalam sidang media itu, SPDP 5 mengedarkan kenyataan akhbar bertajuk “SPDP 5 hilang kepercayaan terhadap Presiden Parti”. Tajuk itu jelas tetapi hala tuju SPDP 5 masih samar. Mereka yang terbabit dikatakan enggan mengulas apabila ditanya adakah mereka meminta Mawan meletak jawatan atau SPDP 5 mahu keluar parti.

Berikut ialah kenyataan akhbar dimaksudkan yang diterjemah dan diubahsuai demi kesesuaian bahasa Malaysia.

[Hari ini merupakan antara saat sedih dan sukar dalam kehidupan kami apabila mencapai keputusan untuk menyatakan kami telah hilang kepercayaan terhadap Presiden SPDP yang kini jelas kelihatan tidak berupaya menyelesaikan konflik dalam parti secara aman bagi mengekalkan perpaduan dan kestabilan parti dan melindungi kerusi-kerusi BN yang diwakili parti agar kerajaan BN terus kuat demi kepentingan rakyat.

Jika Presiden benar-benar serius dalam menyelesaikan konflik dalam Parti, Jawatankuasa Perdamaian atau Penyatuan harus dibentuk berbanding Jawatankuasa Disiplin yang bertujuan mengenakan tindakan terhadap kami, yang mana dirasakan amat tidak adil dan dilakukan untuk membuang kami dari Parti terutama dari beberapa pandangan berikut:-

1) Ketika kami menghulurkan tangan untuk menyelesaikan konflik dalam tempoh dua tahun lalu dengan dia sekurang-kurangnya tiga kali secara rasmi dalam bentuk kumpulan dan beberapa kali menerusi pertemuan tidak rasmi, dan setuju terhadap beberapa perkara tentang bagaimana untuk berdamai dan bekerjasama demi mengekalkan stabiliti dan menjadikan parti lebih kukuh, adakah dia melaksanakannya? Atau adakah ia bercanggah apabila dia muncul dengan kenyataan-kenyataan kontroversi yang menimbulkan kurang selesa dan prasangka dalam parti serta parti-parti komponen BN?

2) Ketika kami meminta dia mentadbir parti berlandaskan prinsip, konsisten, adil dan jujur demi mengekalkan perpaduan dan kestabilan, kami dilabel sebagai “Rebels 5” dan “Group of 5”, justeru siapakah yang memulakan keretakan dan perpecahan dalam parti?

3) Ketika kami sentiasa menyokong dia dan memberitahu dia yang kami mahu dia menjadi pemimpin kami yang kuat, siapa yang dia dengar dalam membuat kenyataan tidak konsisten dan tidak baik terhadap kami dan YB-YB yang lain baru-baru ini? Ketika pada awal penubuhan SPDP apabila Presiden bekerjasama baik dengan kami, parti amat bersatu-padu dan stabil, tetapi apabila sekarang tidak lagi, apa berlaku terhadap parti, kita hilang dua kerusi BN.

4) Ketika kami setuju untuk mengekalkan barisan kepimpinan selepas pemilihan parti, dia tidak mengotakan janji seperti termaktub dalam kenyataan bertandatangan. Dia menukar beberapa jawatan lantikan termasuk Setiausaha Agung. Jika ia merupakan satu tindakan yang betul, apa yang terjadi dengan Setiausaha Agung sekarang? Tidak dicalonkan semula dan ditukar dengan calon tewas pada Pilihan Raya Negeri lalu! Dan kekalahan Timbalan Presiden pada Pilihan Raya Negeri lalu, adakah ia kerana lalai atau sudah lumrah? Jika dia mengekalkan barisan kepimpinan dan menukar berpandukan kesepakatan, adakah wujud masalah dalam parti seperti sekarang? Jadi siapa yang menjadi punca permasalahan, Presiden atau “Group of 5”?

5) Ketika kita sering mahu menjalinkan kerjasama baik dengan parti-parti komponen BN lain kami dilabel sebagai calon parti komponen BN lain dan pemimpin parti BN yang lain dituduh cuba masuk campur urusan dalaman parti. Ketika kita mahu parti memberi tumpuan terhadap kawasan sendiri, parti terlalu cemburu di kawasan parti-parti komponen BN lain yang menjurus terhadap sangsi dan ketidakselesaan di kalangan pemimpin parti komponen BN lain seperti di kawasan Mambong, Mukah, Machan dan Kanowit. Tetapi banyak kawasan di bawah parti termasuk di bawah kami tidak diberi perhatian sangat oleh parti sejak pemilihan parti 2010.

6) Kumpulan kami berikrar memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Barisan Nasional di peringkat persekutuan, Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pengerusi BN Malaysia dan terhadap Ketua Menteri YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang disayangi, Pengerusi Barisan Nasional di Sarawak. Kami akan menghulurkan khidmat kepada rakyat di kawasan kami di bawah nama Barisan Nasional. Kami menang pada Pilihan Raya Negeri lepas dengan majoriti besar di bawah lambang Barisan Nasional dan kami akan terus memberi khidmat di bawah Barisan Nasional di kawasan kami dan Sarawak keseluruhannya. Kami akan menempuhi saat suka dan duka bersama Barisan Nasional di bawah kebijaksanaan kepimpinan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak. Kami akan lebih bersatu-padu dalam Barisan Nasional. Masalah dalaman parti yang kompleks dan komprehensif hanya difahami oleh ahli-ahli dalam parti SPDP.

7) Kami tidak mempunyai masalah peribadi terhadap Presiden dan sesiapa sahaja dalam parti tetapi sekadar tidak setuju dengan pengurusan parti yang dikhuatiri melemahkan BN dan keupayaan kami dalam memberi khidmat kepada rakyat dengan baik yang mana bagi kami adalah perkara paling utama perlu dijaga sepanjang masa dan meletakkannya melebihi kepentingan peribadi kami.]

 

Getah dan usaha basmi kemiskinan di Bumi Kenyalang

In ekonomi, Politik, Sosial on October 11, 2011 at 4:45 pm

CIRI kejayaan sesebuah kerajaan dalam mendukung amanah rakyat yang diberi menerusi pilihan raya dapat dinilai dari aspek (antaranya) penurunan kadar kemiskinan di kalangan rakyat.

Jika itu petunjuknya, Sarawak yang kini ditadbir Barisan Nasional (BN) boleh dikatakan berjaya dalam usaha tersebut. Pada mula-mula mencapai kemerdekaan, 1963, ramai penduduk Sarawak hidup dibelenggu kemiskinan.

Menurut Bank Dunia, pada 1976, kira-kira 56.6 peratus dari populasi Sarawak masih berada di bawah garis kemiskinan mengikut standard ditetapkan Bank Dunia.

Pada 2009, bagaimanapun, kadar tersebut menurun kepada 5.3 peratus – satu kejayaan besar kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menjadi artikek pengubah landskap ekonomi Bumi Kenyalang.

Jika diteliti, ia merupakan satu lambang terhadap usaha cekal Abdul Taib mempelbagaikan sumber ekonomi Sarawak – sebuah negeri terbesar di Malaysia dan memiliki kawasan luar bandar yang masih luas untuk dibangunkan.

Antara penyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi Sarawak yang semakin menyerlah ialah kelapa sawit. Kerajaan negeri serius dalam membantu Bumiputera untuk membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menjadi estet kelapa sawit menerusi konsep usaha sama antara pemilik tanah dan syarikat perladangan.

Industri utama Sarawak selain minyak sawit ialah minyak dan gas, dan kayu dan produk hilirannya.

Justeru, dalam mempelbagaikan sumber ekonomi negeri, dan sejajar dengan hasrat untuk membangunkan penduduk di luar bandar, kerajaan negeri turut membangunkan industri getah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Alfred Jabu NUmpang baru-baru ini berkata getah bakal menjadi ejen utama dalam membasmi kemiskinan di luar bandar. Kerajaan negeri menyasarkan 30 peratus daripada populasi penduduk luar bandar, terlibat dalam industri getah.

Permintaan pasaran dunia terhadap getah memberi keyakinan kepada kerajaan negeri untuk menubuhkan lebih banyak loji pemprosesan seperti kilang Guangken Rubber Sdn Bhd di Debak, Betong.

“Ini telah membantu menstabilkan harga getah di pasaran dalam negeri. Tanpa orang tengah, pekebun kecil boleh menjual terus kepada kilang,” ujarnya dipetik menerusi The Borneo Post.

Sarawak menyasarkan 250,000 hektar tanaman getah baru menjelang 2020 yang membabitkan kawasan Sri Aman, Sarikei, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

Usaha untuk meningkatkan keupayaan penghasilan susu getah turut disokong agensi kerajaan persekutuan.

Misalnya, penubuhan Pusat Ranting Tunas Getah Malaysia (MRBC) yang terletak di Stesen Penyelidikan Lembaga Getah Malaysia (LGM) Similajau, Bintulu.

Antara objektif penubuhan MRBC ialah pengesyoran dan penggunaan klon lateks dan balak, mengeluarkan banyak bahan tanaman getah dan memastikan para pekebun kecil mendapat klon-klon berkualiti bagi meningkatkan pendapatan.

MRBC yang dibina atas keluasan 1,180 hektar dikatakan berperanan sebagai pemangkin pembangunan penanaman getah di Sarawak.

Sarawak mengeksport 26,700 tan getah pada 2009, jatuh berbanding 41,300 tan pada tahun sebelumnya.

Dari segi pendapatan negara, industri getah menyumbang RM33 bilion terhadap perolehan kewangan negara pada tahun lalu. Ia merupakan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding RM25 bilion pada 2009 selaras dengan kenaikan harga komoditi itu di pasaran global.

Peningkatan itu juga didorong berikutan pertambahan jumlah pengeluaran getah asli negara yang meningkat 13 peratus pada 2010 berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2010 sejumlah 970,000 tan getah asli dikeluarkan berbanding 857,000 tan sepanjang 2009.

Harapan kita ialah matlamat untuk menjadikan ekonomi Sarawak makmur dan sifar kemiskinan dapat dicapai. Kejayaan itu sudah pasti bakal disertai sokongan dan keyakinan rakyat terhadap BN yang telah sekian lama memerintah Bumi Kenyalang.

Dan satu cara untuk mencapai sasaran tersebut ialah pembabitan penduduk di luar bandar dalam industri getah yang dikatakan mempunyai prospek cerah di pasaran antarabangsa.