YangSaya Nampak

Semua salah teka (Timb. Ketua Menteri)

In Politik on September 30, 2011 at 2:15 am

Seronok sedikit pagi Khamis lepas apabila hampir semua akhbar meletakkan berita pengumuman kabinet negeri Sarawak yang baru di muka depan. Sekurang-kurangnya ada juga perkara hendak diulas dan dibincang di kedai kopi.

Inilah saat yang dinantikan oleh pemerhati politik kedai kopi di Sarawak. Mereka hendak tengok sama ada ramalan atau desas-desus yang didengar selama ini betul atau tidak. Ya, tidak semua betul seperti diramal.

Ramai yang berminat dan tertunggu-tunggu dengan penuh rasa teruja untuk mengetahui siapakah Timbalan Ketua Menteri yang baru selepas Tan Sri Dr George Chan yang tewas di DUN Piasau pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, 16 April lepas.

Ada yang meneka Dato Sri Wong Soon Koh, ada juga menyebut nama Tan Sri Dr James Masing. Masing-masing dari SUPP dan PRS.

Soon Koh dikaitkan namanya atas dasar dia merupakan wakil rakyat paling senior dari SUPP dalam kabinet sekarang. James Masing kerana dia ialah Presiden PRS, sebuah parti yang kedua terbanyak memiliki kerusi DUN dalam BN di belakang PBB selepas pilihan raya lalu.

Akhbar The Star keluaran 29 September 2011 dipetik berkata Soon Koh sedih berikutan SUPP tidak diberi jawatan tersebut meskipun beliau maklum lantikan dalam kabinet ialah kuasa budibicara Ketua Menteri.

Timbalan Setiausaha Agung SUPP merangkap ADUN Bawang Assan itu sebenarnya bukan sedih beliau tidak menjadi Timbalan Ketua Menteri. Sebenarnya beliau sedih kerana kaum Cina hilang jawatan kedua tertinggi dalam cabang eksekutif. Sejak turun temurun, jawatan Timbalan Ketua Menteri I diwarisi SUPP.

Ini pula petikan akhbar Utusan Borneo bertarikh 30 September 2011.

[Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan percaya jawatan Timbalan Ketua Menteri I akan menjadi milik parti itu semula.

Dr Chan yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri berkata tidak ada makna SUPP dan kaum Cina sedih berikutan mereka ‘kehilangan’ jawatan berkenaan dalam kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kelmarin.

“Keputusan itu merupakan budi bicara Ketua Menteri. Sudah tentu tidak semua pihak puas hati, jika ini berlaku sudah pasti kita sekarang berada di syuarga,” katanya.

Dr Chan yang tewas dalam mempertahankan kerusi DUN Piasau menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April lepas berkata lagi, tanpa jawatan itu wakil rakyat dan pemimpin SUPP masih boleh berkhidmat untuk rakyat.

Katanya, keikhlasan dan kesungguhan berkhidmat menyelesaikan masalah rakyat adalah lebih mustahak berbanding menduduki apa jua jawatan dalam kabinet.

Menurut beliau, SUPP perlu bangkit dan memulihkan semula sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap parti.

“Tidak semestinya jika ada jawatan (Timbalan Ketua Menteri) ia akan memberi lebih kesan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“SUPP perlu lebih kuat, tidak boleh tewas dengan pembangkang dalam mencari penyelesaian dengan kerajaan,” katanya.]

Yang Saya Nampak berpendapat SUPP tidak wajar mengenang kembali kisah lama. Mereka perlu memikirkan mengapa sokongan orang Cina semakin berkurangan. Tidak semua masalah ini berpunca dari dalaman SUPP.

Ini ialah lumrah masyarakat yang bergerak ke arah kemajuan. Apabila sesebuah masyarakat mula mencapai tahap kemajuan, tahap pemikiran mereka turut berubah.

Dahulu mungkin orang Cina sekadar menerima apa yang diberi, tetapi sekarang mereka mula meminta dan mengkritik. Mungkin kritikan itu ada baiknya dalam memperbetulkan kepincangan.

Tetapi jika semua benda hendak dikritik dan dipolitikkan, ia akan menjejaskan proses pembangunan. Jika kerajaan asyik diganggu dalam melaksanakan amanah rakyat, sampai bila agaknya pembangunan dapat dilaksanakan.

Sementara itu, James Masing dikaitkan dengan jawatan Timbalan Ketua Menteri berikutan beliau menerajui PRS yang memiliki kerusi kedua terbanyak selepas PBB.

Sejurus keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, ada pihak yang mengatakan Masing akan naik pangkat menjadi Timbalan Ketua Menteri berdasarkan kedudukan ketika itu.

Semua pihak bebas meneka dan memberi hujah bagi menyokong pendapat mereka, tetapi yang pasti pelantikan dalam kabinet negeri adalah terletak di tangan Ketua Menteri. Beliau mempunyai kuasa sepenuhnya dalam menentukan barisan pentadbiran negeri.

Ada yang menganggap pengumuman Abdul Taib itu sebagai antiklimaks apabila apa yang diteka mereka tidak menjadi. Ketua Menteri mengekalkan Tan Sri Alfred Jabu Numpang sebagai timbalannya. Tidak ada timbalan satu atau dua dalam kabinet kali ini. Cuma yang ada, Masing, Soon Koh dan Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dilantik sebagai Menteri Kanan.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: