YangSaya Nampak

Kabinet Sarawak dirombak.

In Politik on September 27, 2011 at 3:19 pm

Rombakan kabinet negeri Sarawak dijangka diumumkan Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Rabu, 28 September 2011, iaitu kira-kira lima bulan lebih Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas menang Pilihan Raya Negeri ke-10 pada 16 April.

Sumber mengatakan Abdul Taib akan mengadakan sidang media khas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, Kuching, kira-kira pada jam 3 petang selepas pada minggu lalu beliau memberitahu media rombakan kabinet akan diumumkan dalam minggu ini.

Ramai pemerhati politik tertunggu-tunggu apakah bentuk kabinet yang akan diumumkan ketua menteri. Adakah ia membabitkan banyak rombakan meskipun beberapa kali Abdul Taib sebelum ini menafikan wujud perubahan drastik? Siapa anggota baru?

Abdul Taib merupakan Ketua Menteri yang berpandangan jauh, dan segala perancangannya dilakukan dengan teliti agar ia selari dengan perancangan pembangunan ekonomi yang dirangkanya.

Beliau pada minggu lepas turut memberitahu rombakan itu akan menyaksikan perbezaan pendekatan dalam melaksanakan pembangunan.

Apakah bentuk keanggotaan dan struktur kabinet, itu masih menjadi rahsia ketua menteri.

Kabinet sekarang dianggotai 10 menteri dan 12 menteri muda. Kebanyakan anggota ialah sama dengan kabinet sebelum ini susulan Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 16 April 2011.

Bagaimanapun, jawatan timbalan ketua menteri satu kosong berikutan Presiden SUPP Datuk Patinggi Dr George Chan tewas kerusi DUN Piasau pada pilihan raya tersebut.

Susulan itu, wujud khabar angin mengatakan sama ada Timbalan Setiausaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh atau Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing mungkin dilantik menggantikan Dr Chan.

Soon Koh kini merupakan Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam. Masing pula Menteri Kemajuan Tanah.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri selama ini dipegang oleh SUPP, tetapi susulan prestasi pilihan raya negeri yang jatuh merudum kebelakangan ini memungkinkan ia beralih tangan kepada PRS.

Beberapa orang pemimpin SUPP tidak setuju agar SUPP terus diberi kepercayaan memegang jawatan kedua tertinggi kedudukannya dalam kabinet negeri Sarawak.

Akhbar The Star baru-baru ini dipetik berkata Soon Koh merupakan calon yang digemari Abdul Taib jika SUPP kekal memegang jawatan tersebut. Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan dan ADUN Senadin Lee Kim Shin merupakan dua wakil rakyat SUPP yang menang dalam pilihan raya April lepas di kawasan majoriti pengundi Cina.

Selepas pilihan raya berkenaan, juga terdapat enam kekosongan jawatan menteri muda susulan kekalahan tiga bekas menteri muda, dan juga berikutan tiga orang tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi masing-masing.

Tidak berapa lama selepas pilihan raya, Abdul Taib melakukan perubahan sedikit terhadap kabinetnya dengan mengumumkan beliau mengambilalih portfolio Pembangunan Perindustrian, manakala Datuk Amar Abang Johari Tun Openg diberi portfolio Pelancongan dan Warisan. Dua portfolio itu sebelum ini dipegang oleh Dr Chan.

Kabinet itu turut menyaksikan Tan Sri Adenan Satem dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas khas pada Julai. Beliau sebelum ini bertindak sebagai Penasihat di Pejabat Ketua Menteri.

BN negeri Sarawak dibentuk oleh empat parti komponen, yakni PBB, SUPP, SPDP dan PRS.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: