YangSaya Nampak

Pembangunan Sarawak dari persepektif sejarah.

In ekonomi, Sosial on September 26, 2011 at 5:15 am

Dalam menikmati kemajuan yang dikecapi Sarawak pada masa ini, tidak wajar jika generasi masa kini terus tidak menoleh ke belakang sejarah terutama proses-proses pembangunan.

Pengetahuan sejarah amat mustahak dalam menyemai perasaan cintakan tanah air sendiri. Harus diketahui bahawa Sarawak tidak berada dalam kedudukan sebegini pada zaman lampau tanpa wujud usaha melonjakkan taraf sosial dan ekonomi.

Sesuai dengan itu, Jabatan Muzium Sarawak mengadakan Pameran Sarawak di dalam muzium yang bertemakan “Sarawak yang indah dan maju” mulai 19 Julai 2011 hingga 31 Disember 2011.

Pameran sejarah dan kemajuan Sarawak

Satu pameran yang wajar dilihat oleh generasi masa kini. Pameran yang dipersembahkan dalam bentuk gambar dan potret disertai nota-nota ringkas, diadakan di Tingkat Bawah, Dewan Tun Abdul Razak.

Ia menceritakan tentang pembangunan dikecapi setiap 11 bahagian di Bumi Kenyalang. Setiap bahagian memiliki kisah tersendiri. Setiap bahagian ada jolokan tersendiri. 

Misalnya, Bahagian Bintulu diberi gelaran “Dari Kampung Nelayan ke Industriopolis”. Tidak dapat dinafikan, dahulu Bintulu merupakan sebuah penempatan kecil sekumpulan nelayan, tetapi kini ia bertukar wajah – hasil perancangan rapi kerajaan yang bijak menguruskan sumber semulajadi seperti gas asli dan balak.

Bintulu merupakan sebahagian dari Brunei sehingga tahun 1861, apabila Sultan Brunei menyerahkan kesemua tanah dan kawasan sungai dari Sungei Oya hingga Tanjung Kidurong kepada pentadbiran Brooke. Pada ketika itu, Bintulu merupakan sebuah kampung nelayan kaum Melanau.

Antara fakta sejarah Sarawak

Perubahan besar Bintulu bermula pada 1963 dengan penemuan gas asli dan minyak mentah di kawasan luar pesisir Bintulu yang menjadi pemangkin pembangunan dan pelaburan pesat.

Pada 1978, Lembaga Kemajuan Bintulu ditubuhkan oleh kerajaan negeri untuk tujuan pembangunan infrastruktur dan memantau pelaburan.

Bandar Bintulu berkembang maju dengan peningkatan penduduknya. Banci pada 1970 mencatatkan jumlah penduduknya 5,000 orang dan pada 1977, jumlahnya meningkat kepada 14,000 orang. Pada 1980, jumlah itu bertambah kepada 28,000 orang.

Ia cukup menggambarkan Bintulu membangun dengan pesat dan keperluan kerja di kawasan perindustrian itu menyebabkan pertambahan bilangan populasi saban tahun. Ia menggambarkan kemajuan yang sedang ditempa Sarawak.

Tidak cukup dengan gas asli, kini kerajaan negeri merancang untuk membangunkan wilayah tengah Sarawak, termasuk Bintulu, sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi menerusi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Kawasan Simalajau di Bintulu akan membangun sebagai pusat perindustrian berat melebur aluminium.

Di bahagian utara Bumi Kenyalang, Bahagian Miri turut dipamerkan dalam ruangan Dewan Tun Abdul Razak. Miri, dalam pameran itu diberi jolokan “Dari Bandar Minyak ke Bandar Raya Peranginan”. Miri merupakan bandar raya kedua di Sarawak selepas Bandar Raya Kuching. Ia pesat membangun dengan kehadiran pelawat dari negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, Bahagian Kapit diberi jolokan “Semalam Adalah Pedoman, Esok Adalah Realiti”. Kata-kata itu menjelaskan bahawa Kapit yang dahulunya satu kawasan terkenal di kalangan para pekerja kayu balak, kini tidak ketinggalan dari arus pembangunan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebelum ini pernah menyatakan rancangan untuk membangunkan kawasan Kapit sebagai ekopelancongan. Satu pelan yang cukup rapi dalam memajukan ekonomi negeri secara menyeluruh dengan mengeksploitasi keindahan alam semulajadi di bahagian tersebut.

Tidak lengkap jika tidak menyentuh pembangunan Sarawak jika tidak mengaitkannya dengan bahagian Mukah. Bahagian yang kini nampak ‘angkat’ dari aspek fizikal.

Bangunan kedai sudah banyak, kawasan perumahan telah ada, dan macam-macam lagi yang dahulunya tidak ada kini ada.

Mukah merupakan lembah Melanau yang terkenal dengan industri sagu – diusahakan sejak turun-temurun. Tidak dinafikan, bijak pandai Melanau pada masa ini berakar umbi dari bahagian Mukah. Dalam pameran ini, Mukah diberi jolokan “Dari taman rumbia ke kota bestari”.

Bahagian Mukah ditubuh ekoran pembentukan semula beberapa sempadan pentadbiran bahagian pada Mac 2002. Mukah dan Dalat sebelumnya merupakan daerah dalam bahagian Sibu, manakal Daro dan Matu merupakan daerah dalam bahagian Sarikei. Kini daerah-daerah itu disatukan menjadi bahagian Mukah.

Tanjung Manis di Mukah dijangka berkembang sebagai pusat penghasilan makanan halal atau dikenali sebagai hab halal. Ia kini menerima kemasukan pelaburan asing dalam bidang akuakultur yang menggunakan teknologi tinggi.

Justeru, pameran yang menyentuh sejarah dan kemajuan Sarawak wajar dilihat dari aspek pembangunan modal insan. Modal insan yang bakal menyumbang terhadap pembangunan negeri pada masa depan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: