YangSaya Nampak

Taman Orkid, lambang kehijauan dan kesejahteraan Kuching.

In Sosial on September 25, 2011 at 9:07 am

KETUA Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis ramah tamah Aidilfitri Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) baru-baru ini meminta agar pihak berkuasa tempatan itu meningkatkan peranan dalam menjadikan Kuching sebagai sebuah bandar raya yang hidup.

Setelah berbagai anugerah diterima DBKU, Abdul Taib mahu usaha ke arah menjadikan Kuching sebagai bandar raya selesa untuk didiami digandakan dengan menggunakan pelbagai pendekatan.

Pendekatan itu merangkumi aspek hubungan kemanusiaan yang memerlukan penglibatan orang ramai dalam menjadikan ia sebuah bandar raya maju tetapi pada masa sama tidak hilang amalan hidup berjiran.

Semangat kejiranan yang tinggi secara tidak langsung mampu meletakkan Kuching sebagai sebuah kawasan selamat didiami tanpa wujud aktiviti jenayah melampau.

Menjadikan bandar raya sejahtera dan mempunyai roh seperti kata Ketua Menteri, Kuching juga memerlukan sentuhan alam semulajadi. Kehijauan alam sekitar di tengah kesibukan masyarakat kota mengejar sesuap nasi dan kemewahan hidup dirasakan amat wajar.

Usaha kerajaan menerusi DBKU ke arah menghijaukan suasana kota harus diberi penilaian tinggi. Kesedaran awal kerajaan dalam mengimbangi antara kemajuan dan alam sekitar wajar diberi pujian.

Antara usaha kerajaan mengekalkan suasana hijau dalam kota ialah Taman Orkid DBKU.

Taman Orkid DBKU terletak di tapak seluas lebih enam hektar di Jalan Astana, Petra Jaya dijangka menjadi daya tarikan baru kepada pelancong yang berminat dalam bidang hortikultur dan botanikal. Ia dibina pada November 2007 dengan menelan kos RM8.97 juta.

Taman Orkid ini juga mempamerkan secara dekat kepelbagaian jenis dan warna tanaman orkid daripada jenis hibrid dan spesies epiphytic serta terrestrial yang ditanam di kawasan terbuka dan teduhan menyerupai habitat semulajadi.

Difahamkan, keseluruhan taman ini memiliki koleksi sebanyak 40,000 tanaman orkid dan pada masa yang sama ia menyediakan pengalaman rekreasi dan pendidikan di samping menikmati keindahan persekitaran bangunan baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta Astana Negeri. 

Taman Orkid DBKU ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 5 Mac 2010.

Antara tarikan utama Taman Orkid berkenaan adalah Orkid Borneo yang terkenal dengan kecantikan bunganya dan berpotensi dijadikan tanaman hortikultur. 

Orkid Borneo yang terdapat di taman ini adalah seperti Lady, Slipper (Paphiophyllum Stonei dan P. Lowii), Coelogyne Pandurata, Bulbophyllum Beccarii, Vanda Dearei dan Phallaenopsis Violacea.

Taman ini dibuka untuk kunjungan umum setiap hari Selasa hingga Ahad termasuk cuti umum (kalau tidak salah masa lawatan bermula dari jam 9.00 pagi – 6.00 petang) dan ditutup pada hari Isnin. 

Menurut bekas Datuk Bandar DBKU, Mohamad Atei Abang Medaan, pembukaan Taman Orkid itu secara tidak langsung akan menggalakkan minat pelajar untuk mendalami bidang berkaitan dengan flora yang banyak di negeri ini.

Selain itu, katanya, taman ini akan menjadi tempat rujukan kepada penggemar-penggemar orkid dari negeri ini mengenai 65 jenis bunga yang terdapat di situ.

Mohamad Atei memberitahu, Taman Orkid merupakan sebahagian daripada rangkaian tiga segi istimewa di tengah-tengah bandar raya selain daripada Bangunan Dewan Undangan Negeri dan Istana Negeri.

Bukan setakat Taman Orkid sahaja, Bandar Raya Kuching turut dibangunkan dengan pelbagai taman rekreasi. Antaranya Taman Budaya, Taman Sahabat dan banyak lagi.

Ia dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan yang mempunyai komitmen tinggi dalam mendukung aspirasi kerajaan menjadikan Kuching sebagai bandar raya sejahtera.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: