YangSaya Nampak

Unimas, universiti dan pembangunan negara.

In Pendidikan on September 19, 2011 at 9:57 am

Agak lama juga sudah tidak masuk ke kampus tetap Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang terletak di Kota Samarahan, sebuah kawasan yang kini pesat membangun berikutan penubuhan universiti berkenaan pada Disember 1992.

Dahulu, sehingga awal tahun 2000, Unimas cuma beroperasi di kampus sementara yang dibina banyak menggunakan bahan binaan kayu, umpama pusat peranginan. Pada ketika itu tidak susah untuk mencari kedudukan sesebuah bangunan atau tempat. Kampus sementara itu kecil sahaja saiznya.

Kini pemandangan indah kampus tetap Unimas seolah-olah menggamit perasaan ingin melanjutkan pelajaran. Jarak antara satu fakulti dan kolej kediaman agak jauh. Tetapi kampus tetap yang memiliki bangunan dan kemudahan serba baru itu menjanjikan kenikmatan untuk menelaah pelajaran.

Pemandangan udara kampus tetap Unimas di Kota Samarahan

Perkembangan Unimas bukan dirasai oleh para pelajarnya sahaja, malahan ia boleh dilihat dari perspektif pembinaan kawasan-kawasan perumahan dan komersial yang semakin banyak di sekitarnya.

Memang wajar jika Kota Samarahan digelar sebagai Kota Ilmu. Ia juga menempatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sarawak dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Samarahan.

Kelahiran UNIMAS adalah hasil perjuangan pemimpin dan cendekiawan tempatan yang mahu melihat sejarah pendidikan negeri ini tercatat dengan kewujudan sebuah universiti.

Pelaburan yang menelan belanja tinggi oleh kerajaan dalam pendidikan tinggi wajar dimanfaatkan oleh belia negara. Peluang diberi untuk menimba ilmu pengetahuan berguna bagi membantu negara bergerak maju jangan dipersiakan.

Memandangkan perbelanjaan yang begitu besar yang diperuntukkan kepada pendidikan tinggi, soal yang sering ditimbulkan ialah kenapakah kerajaan sanggup membelanjakan wang yang begitu banyak yang memberi manfaat secara langsung hanya kepada sebilangan yang kecil sahaja daripada rakyat negara ini? Apakah penting Kerajaan membelanjakan begitu besar, khususnya bagi pendidikan tinggi mereka ini?

Untuk mencapai objektif-objektif pembangunan negara universiti wajar bekerjasama dengan kerajaan dan kerajaan perlu bersedia menerima sebarang ‘idea’ dan hasil penyelidikan yang dapat membawa keuntungan kepada negara dan rakyat.

Yang penting ialah ahli-ahli akademik perlu lebih peka kepada isu-isu pembangunan, isu-isi yang relevan dengan keadaan sosial, ekonomi dan politik negara.

Kita tidak wajar bermegah dengan kewujudan universiti yang memiliki kampus berharga jutaan ringgit. Universiti tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat dan ekonomi. Sebaliknya universiti mesti mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat dan industri. Universiti harus terlibat dalam proses pembangunan. Ia harus mendekati industri.

Sebagai contoh yang dilakukan sekarang ialah Unimas dan beberapa institusi pengajian tinggi lain berperanan menjadi pusat melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk kegunaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Tetapi ia tidak memadai setakat dengan SCORE. Universiti wajar menjadi penggerak aktiviti industri kerana fungsinya bukan semata-mata melahirkan pekerja sektor awam.

Sehubungan ini, universiti hendaklah memberi tumpuan kepada usaha-usaha mendekatkan dirinya dengan industri. Para akademik harus menukar sikap supaya berusahasama dengan industri. Ini mungkin memerlukan penukaran norma-norma lazim mengenai hubungan universiti-industri.

Universiti tidak seharusnya menanti agar industri datang kepadanya, tetapi sebaliknya, universiti patut menjadi lebih agresif memasarkan perkhidmatannya kepada industri melalui perancangan dan pemasaran strategik.

Malah bukan sahaja mencari pasaran dengan industri tetapi juga dengan masyarakat dan kerajaan. Universiti harus ke depan menyampaikan pandangan dan hasil kajian kepada kerajaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: