YangSaya Nampak

Kereta, pasar raya dan SCORE, lambang kemakmuran Sarawak.

In ekonomi on September 12, 2011 at 4:31 pm

KETUA Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam satu ucapannya sekitar awal tahun 2000 menyatakan betapa ekonomi Sarawak kian berkembang dan lantas taraf hidup rakyat turut meningkat berikutannya.

Beliau mengaitkan kenaikan taraf hidup rakyat dengan pertambahan jumlah kereta di atas jalan raya. Boleh dikatakan setiap rumah ada kereta atau paling tidak ada motosikal.

Tidak perlu untuk tinggi ilmu ekonomi jika ingin mengukur tahap kemakmuran ekonomi dan kenaikan taraf hidup penduduk di sesebuah kawasan. Memadai dengan memerhatikan gaya hidup pada masa kini dan bandingkan dengan masa lampau.

Jalan sesak sebab banyak kereta. Itu dinamakan kesan positif hasil pembangunan dikecapi susulan usaha gigih pemerintah. Kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak mensia-siakan mandat diberikan rakyat menerusi pilihan raya.

Banyak pasar raya dibuka saban tahun. Ia petanda keyakinan pelabur menanam modal kerana kedudukan ekonomi penduduk memadai untuk menyokong jualan barangan dan perkhidmatan ditawarkan mereka.

Di Kuching misalnya, gaya hidup moden semakin dirasai apabila bandar raya itu memiliki pusat beli belah The Spring, Boulevard dan yang terbaru Pasar Raya The Giant.

The Giant ketika ia dibuka pada 25 Ogos 2011, ia diserbu oleh ribuan pelanggan. Jika tidak silap keadaan itu berlarutan selama dua minggu. Tempat letak kereta penuh dan jalan menuju ke kawasan berkenaan sesak.

Apatah lagi pembukaannya jatuh ketika umat Islam melakukan persiapan menyambut 1 Syawal.

Ramai yang enggan melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan harian yang didakwa murah sempena pembukaannya.

Sesuai dengan Kuching sebagai sebuah bandar raya dan ibu negeri Sarawak, ia memerlukan lebih banyak pasar raya bagi memenuhi permintaan penduduk. Pengurusan The Giant sedar potensi Kuching sebagai lokasi mengembangkan perniagaan memandangkan kuasa beli masih kukuh di Sarawak.

Itu cara mudah untuk menilai kepesatan pembangunan ekonomi.

Sarawak berpotensi besar untuk menyumbang kepada transformasi pendapatan tinggi Malaysia kerana ia negeri kedua terkaya daripada segi pendapatan per kapita dan ketiga terbesar dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Dengan kurnian kekayaan sumber asli yang luas dalam tanah, perhutanan, pelancongan serta sumber tenaga diperbaharui dan tidak boleh diperbaharui, Sarawak berada dalam kedudukan baik untuk menerajui pertumbuhan mapan dan seimbang di semua sektor, khususnya pertanian, perlombongan, pembuatan dan perkhidmatan.

Pada 2009, Sarawak adalah negeri ketiga dalam KDNK pada 9.9 peratus selepas Selangor (23.3 peratus) dan Kuala Lumpur (15.6 peratus). Saiz KDNK Sarawak juga lebih tinggi dari Johor (9.7 peratus), Pulau Pinang (8.5 peratus) dan Kelantan (1.9 peratus).

Daripada segi pendapatan per kapita, Sarawak menjadi negeri kedua terkaya iaitu RM30,318 selepas Kuala Lumpur (RM51,197). Bumi Kenyalang juga mendahului Pulau Pinang (RM29,569) dan Selangor (RM27,609).

Berdasarkan angka itu, ia jelas menunjukkan bahawa Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan kisah kejayaan transformasi Malaysia dan yang demikian, kerajaan telah memberi tumpuan dan berusaha gigih membangunkan negeri itu.

Bagi memastikan Sarawak bergerak seiring dengan wawasan negara ke arah Wawasan 2020, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilaksanakan sebagai satu projek berimpak tinggi.

Sebagai satu daripada wilayah pembangunan yang dilaksanakan di seluruh negara, SCORE merupakan satu koridor pembangunan di wilayah tengah Sarawak, yang dilancarkan pada 11 Feb 2008. Koridor ini bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak serta mempertingkatkan kualiti dan taraf kehidupan rakyat Sarawak.

SCORE menggambarkan akan kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 daripada segi per kapita KDNK, peluang pekerjaan dan pertumbuhan KDNK.

SCORE yang akan direalisasikan sepenuhnya pada 2030, ia dijangka dapat mempertingkatkan KDNK negeri itu lima kali ganda dan diunjurkan berkembang daripada RM23 bilion pada 2006 kepada RM118 bilion pada 2030.

Sebagai tambahan, pendapatan per kapita KDNK akan meningkat daripada RM23,193 kepada RM84,077 manakala bilangan peluang pekerjaan bertambah daripada 900,000 kepada 2.5 juta bagi tempoh sama.

Selain pertumbuhan ekonomi, Sarawak akan menyaksikan pembangunan pesat dalam infrastruktur seperti jalan raya dan prasarana awam, tambahan pula pelaksanaan SCORE akan menarik pelaburan ke Bumi Kenyalang selepas menerima jaminan pelaburan RM13 bilion.

Semua usaha yang dilaksanakan bukan hanya membawa kemakmuran kepada Sarawak, tetapi juga pada masa sama generasi muda akan mempunyai peluang pendidikan berkualiti tinggi.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: