YangSaya Nampak

Masih adakah ‘Rosli Dhoby’ dalam jiwa anak-anak muda Sarawak?

In Patriotisme on September 11, 2011 at 1:25 pm

Saya sebagai orang Sarawak tidak gemar membaca terlalu banyak kisah Timbalan Presiden PAS Mat Sabu dan Allahyarham Mat Indera yang digembar-gemburkan media tempatan di Bumi Kenyalang. Tetapi sejak beberapa hari lepas, itulah hakikatnya.

Bukan anti sejarah Malaya, tetapi sekadar ingin membaca kisah perjuangan menuntut kemerdekaan oleh orang Sarawak di dada akhbar-akhbar tempatan Bumi Kenyalang.

Tetapi saya berasa sedikit kecewa apabila masih sedikit cerita mengenai penentang penjajah dipapar oleh media massa.

Lagipun kisah tentang Mat Sabu dan Mat Indera-Bukit Kepong itu tidak begitu relevan dengan Sarawak. Buat apa akhbar-akhbar tempatan hendak heboh-hebohkan isu tersebut melampau-lampau. Saya tahu, wartawan-wartawan akhbar tempatan akan menjawab ia adalah isu dan “kami wajar menulis berita follow-up”.

Persoalannya di sini ialah, sepanjang bulan pembentukan Persekutuan Malaysia ini, sukarnya saya hendak mencari rencana akhbar yang memaparkan kisah perjuangan orang Sarawak.

Penulis-penulis tempatan wajar berfikir jika tidak ditulis semula kisah perjuangan mereka pada masa lampau, siapa lagi yang hendak berbuat demikian? Tunggu para sarjana Barat atau dari luar negara? Tidak semua buku yang ditulis mereka tepat.

Lagipun, saluran media massa seperti akhbar-akhbar tempatan menjadi pilihan para generasi muda sebagai bahan bacaan. Berlandaskan itu pengamal media harus memikirkan apakah cukup usaha mereka sekadar menulis berita-berita harian tanpa menghasilkan karya-karya pendek untuk tatapan generasi muda dengan tujuan ia segar di minda anak muda.

Kisah perjuangan Allahyarham Rosli Bin Dhoby, pejuang anti penjajah keturunan Melanau di Sibu, tidak kurang menarik untuk dipaparkan.

Saya cuba mencari artikel yang memaparkan kisah Allahyarham dalam arkib media di Internet. Keputusannya hampa. Cuma ada dua tiga kerat yang memaparkannya.

Perjuangan masa lampau wajar diangkat martabatnya apabila Persekutuan Malaysia kini mencecah usia 48 tahun agar tidak lenyap begitu sahaja dibenak minda anak-anak muda.

Artikel-artikel pejuang anti penjajah diharap mampu menyemarakkan semangat patriotik di kalangan golongan ini apabila ia turut berselang dengan usaha kerajaan menerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang sepanjang Ogos dan September.

Siapa Rosli Dhoby?

ROSLI DHOBY

Rosli Dhoby ialah anak muda Melanau kelahiran Kampung Pulo, Sibu pada 1932. Dia menikam perut gabenor penjajah Sarawak Duncan George Stewart, gabenor kedua British.

Rosli melakukan tikaman ke arah perut gabenor itu dengan badik sekitar jam 9.30 pagi, 3 Disember 1949 ketika kunjungannya ke Sibu.

Duncan Stewart dihantar ke Singapura untuk menerima rawatan, tetapi meninggal dunia tujuh hari kemudian. Rosli, seorang anggota Rukun 13 dalam Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) bagi menentang penjajah British.

Rukun 13, yang ditubuhkan untuk membunuh Duncan Stewart, terdiri daripada anak muda yang berani dan sanggup menggadaikan nyawa demi kemerdekaan tanah air. Gabenor itu adalah dalam rangka lawatan ke seluruh bahagian jajahannya di Sarawak.

Usia Rosli ketika menghunuskan badik ke perut pemimpin penjajah itu baru 17 tahun, tetapi semangat juang menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua begitu membara di dadanya.

Akhirnya, guru itu didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British kedua Sarawak. Perbicaraan ke atas Rosli dan rakannya Morshidi dilakukan di Mahkamah Tinggi Sibu mulai pertengahan Januari hingga awal Februari 1950.

Mereka didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati, namun dibenarkan mengemukakan rayuan di mahkamah lebih tinggi di Kuching. Selang tiga hari selepas rayuan gagal, mereka pun menjalani hukuman gantung.

Kubur Rosli bersama-sama Morshidi Sidek, Awang Rambli Amit, dan Bujang Suntong, yang turut didapati bersalah membunuh gabenor penjajah, dipindahkan dari Kuching ke Sibu pada 26 Mac 1996. Upacara penuh adat istiadat itu sebagai bukti pengiktirafan kerajaan Sarawak terhadap perjuangan dan pengorbanan mereka.

Keranda mereka diterbangkan menggunakan pesawat Nuri diselimuti bendera negeri bagi memenuhi salah satu wasiat Rosli kepada keluarga sebelum ke tali gantung.

Kini, kubur pejuang Sarawak boleh dilawati di pekarangan Masjid An-Nur, Sibu. Al- fatihah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: