YangSaya Nampak

Archive for September, 2011|Monthly archive page

Hasidah miliki ciri YB berjiwa rakyat

In Politik on September 30, 2011 at 5:08 pm

Disebalik berita-berita berkaitan kabinet Sarawak baru, terselit satu cerita yang amat menarik perhatian Yang Saya Nampak ketika membelek-belek akhbar Utusan Borneo hari ini, 30 September 2011. Cerita-cerita lain bagi Yang Saya Nampak boleh dikategorikan sebagai ‘biasa’.

Berita-berita lain sekadar memuatkan susulan yang menyentuh kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam menyusun struktur kabinet dan keanggotaannya. Itu memang diakui.

Cerita ini ialah tentang ADUN Samariang YB Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Cerita mengenai Hasidah cuma disedari apabila terpampang gambar muka (mugshot) beliau pada halaman 4 akhbar terbabit dengan tajuk “Sharifah Hasidah tidak kecewa”.

Akhbar itu dipetik Hasidah tidak kecewa walaupun tidak dilantik sebagai menteri muda dalam barisan kabinet negeri yang baru. Entah mengapa kenyataan itu muncul, Yang Saya Nampak agak sukar untuk meneka.

Mungkin orang fikir beliau aktif menghadiri majlis selepas pilihan raya negeri yang baru lepas kerana ingin mengidamkan jawatan dalam kabinet. Hasidah tidak begitu orangnya, beliau ikhlas berkhidmat demi rakyat.

“Tidak (kecewa), sebaliknya ia merupakan satu peluang kepada saya untuk memfokus sepenuhnya kepada kawasan saya. Saya percaya Ketia Menteri ada sebab untuk melantik orang yang dipilihnya,” katanya dipetik dalam Utusan Borneo.

Itulah semangat wanita atau wakil rakyat dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang wajar dicontohi kerana memberi tumpuaan sepenuhnya terhadap kebajikan dan masalah penduduk di kawasannya. Jika sikap begini ada dalam sanubari setiap kita, pasti nasib rakyat akan terbela.

Ada di kalangan pengulas politik kedai kopi berbual tentang keaktifan Hasidah menghadiri majlis sejak kebelakangan ini. Yang Saya Nampak pernah terserempak Hasidah ketika beliau berkempen pada Pilihan Raya Negeri 16 April 2011. Beliau kelihatan mesra dan dilayan baik oleh penduduk dalam kawasannya. Sebab itu beliau layak menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Samariang.

Tetapi jika Hasidah dilantik sebagai Menteri Muda sudah pasti beliau mempunyai komitmen dan semangat tinggi untuk melaksanakan tugas pejabatnya dan tugas kawasan.

Bagaimanapun lantikan sebagai menteri merupakan kuasa Ketua Menteri dan semua pihak perlu akur dengan percaturannya.

Hasidah merupakan seorang peguam dan memiliki darah ahli politik yang diwarisi dari ibunya Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi. Sebelum ini Mordiah ialah ADUN Samariang. Darah yang mengalir itu membolehkannya menghayati apakah perjuangan sebenar di sebalik politik. Perjuangan yang bermatlamat membangunkan rakyat menerusi Barisan Nasional.

Advertisements

Semua salah teka (Timb. Ketua Menteri)

In Politik on September 30, 2011 at 2:15 am

Seronok sedikit pagi Khamis lepas apabila hampir semua akhbar meletakkan berita pengumuman kabinet negeri Sarawak yang baru di muka depan. Sekurang-kurangnya ada juga perkara hendak diulas dan dibincang di kedai kopi.

Inilah saat yang dinantikan oleh pemerhati politik kedai kopi di Sarawak. Mereka hendak tengok sama ada ramalan atau desas-desus yang didengar selama ini betul atau tidak. Ya, tidak semua betul seperti diramal.

Ramai yang berminat dan tertunggu-tunggu dengan penuh rasa teruja untuk mengetahui siapakah Timbalan Ketua Menteri yang baru selepas Tan Sri Dr George Chan yang tewas di DUN Piasau pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, 16 April lepas.

Ada yang meneka Dato Sri Wong Soon Koh, ada juga menyebut nama Tan Sri Dr James Masing. Masing-masing dari SUPP dan PRS.

Soon Koh dikaitkan namanya atas dasar dia merupakan wakil rakyat paling senior dari SUPP dalam kabinet sekarang. James Masing kerana dia ialah Presiden PRS, sebuah parti yang kedua terbanyak memiliki kerusi DUN dalam BN di belakang PBB selepas pilihan raya lalu.

Akhbar The Star keluaran 29 September 2011 dipetik berkata Soon Koh sedih berikutan SUPP tidak diberi jawatan tersebut meskipun beliau maklum lantikan dalam kabinet ialah kuasa budibicara Ketua Menteri.

Timbalan Setiausaha Agung SUPP merangkap ADUN Bawang Assan itu sebenarnya bukan sedih beliau tidak menjadi Timbalan Ketua Menteri. Sebenarnya beliau sedih kerana kaum Cina hilang jawatan kedua tertinggi dalam cabang eksekutif. Sejak turun temurun, jawatan Timbalan Ketua Menteri I diwarisi SUPP.

Ini pula petikan akhbar Utusan Borneo bertarikh 30 September 2011.

[Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan percaya jawatan Timbalan Ketua Menteri I akan menjadi milik parti itu semula.

Dr Chan yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri berkata tidak ada makna SUPP dan kaum Cina sedih berikutan mereka ‘kehilangan’ jawatan berkenaan dalam kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kelmarin.

“Keputusan itu merupakan budi bicara Ketua Menteri. Sudah tentu tidak semua pihak puas hati, jika ini berlaku sudah pasti kita sekarang berada di syuarga,” katanya.

Dr Chan yang tewas dalam mempertahankan kerusi DUN Piasau menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April lepas berkata lagi, tanpa jawatan itu wakil rakyat dan pemimpin SUPP masih boleh berkhidmat untuk rakyat.

Katanya, keikhlasan dan kesungguhan berkhidmat menyelesaikan masalah rakyat adalah lebih mustahak berbanding menduduki apa jua jawatan dalam kabinet.

Menurut beliau, SUPP perlu bangkit dan memulihkan semula sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap parti.

“Tidak semestinya jika ada jawatan (Timbalan Ketua Menteri) ia akan memberi lebih kesan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“SUPP perlu lebih kuat, tidak boleh tewas dengan pembangkang dalam mencari penyelesaian dengan kerajaan,” katanya.]

Yang Saya Nampak berpendapat SUPP tidak wajar mengenang kembali kisah lama. Mereka perlu memikirkan mengapa sokongan orang Cina semakin berkurangan. Tidak semua masalah ini berpunca dari dalaman SUPP.

Ini ialah lumrah masyarakat yang bergerak ke arah kemajuan. Apabila sesebuah masyarakat mula mencapai tahap kemajuan, tahap pemikiran mereka turut berubah.

Dahulu mungkin orang Cina sekadar menerima apa yang diberi, tetapi sekarang mereka mula meminta dan mengkritik. Mungkin kritikan itu ada baiknya dalam memperbetulkan kepincangan.

Tetapi jika semua benda hendak dikritik dan dipolitikkan, ia akan menjejaskan proses pembangunan. Jika kerajaan asyik diganggu dalam melaksanakan amanah rakyat, sampai bila agaknya pembangunan dapat dilaksanakan.

Sementara itu, James Masing dikaitkan dengan jawatan Timbalan Ketua Menteri berikutan beliau menerajui PRS yang memiliki kerusi kedua terbanyak selepas PBB.

Sejurus keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, ada pihak yang mengatakan Masing akan naik pangkat menjadi Timbalan Ketua Menteri berdasarkan kedudukan ketika itu.

Semua pihak bebas meneka dan memberi hujah bagi menyokong pendapat mereka, tetapi yang pasti pelantikan dalam kabinet negeri adalah terletak di tangan Ketua Menteri. Beliau mempunyai kuasa sepenuhnya dalam menentukan barisan pentadbiran negeri.

Ada yang menganggap pengumuman Abdul Taib itu sebagai antiklimaks apabila apa yang diteka mereka tidak menjadi. Ketua Menteri mengekalkan Tan Sri Alfred Jabu Numpang sebagai timbalannya. Tidak ada timbalan satu atau dua dalam kabinet kali ini. Cuma yang ada, Masing, Soon Koh dan Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dilantik sebagai Menteri Kanan.

 

Senarai penuh anggota kabinet negeri Sarawak

In Politik on September 28, 2011 at 9:33 am

Carta menunjukkan kabinet negeri Sarawak yang baru.

*** Klik pada imej untuk gambarajah lebih jelas dan besar.

Tujuh muka baru dilantik

KUCHING 28 Sept. – Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan hanya satu sahaja jawatan timbalan Ketua Menteri diwujudkan dalam rombakan Kabinet baru Sarawak pada sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini, petang ini.

Beliau berkata, dalam rombakan tersebut, sebuah kementerian baru diwujudkan iaitu Kementerian Kebajikan, Wanita dan Hal Ehwal Prasekolah yang akan diterajui oleh Datin Fatimah Abdullah yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri.

Menurutnya, tiada rombakan membabitkan jawatan menteri penuh, namun tiga dilantik sebagai menteri kanan iaitu Tan Sri James Jemut Masing; Datuk Seri Wong Soon Koh serta Tan Sri William Mawan Ikom.

‘‘Dalam rombakan kali ini juga menyaksikan tujuh muka baru dilantik sebagai Menteri Muda bagi mengisi kekosongan enam jawatan tersebut selepas keputusan pilihan raya negeri yang lalu.

‘‘Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Julaihi Narawi; ADUN Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah; ADUN Bukit Saban, Robert Lawson Chuat Vincent Entering; ADUN Belawai, Len Talif Salleh; ADUN Bengoh, Jerip Susil; ADUN Belaga, Liwan Lagang serta ADUN Bekenu, Rosey Yunus,” katanya di sini.

Abdul Taib berkata, rombakan kali ini lebih menjurus kepada memantapkan jentera kerajaan dalam menggunakan pendekatan baru dalam melaksanakan polisi serta dasar-dasar kerajaan.

Ditanya mengenai ketiadaan satu lagi jawatan Timbalan Ketua Menteri, Abdul Taib memberitahu, perkara tersebut tidak menjadi masalah memandangkan timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang merupakan seorang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri dan banyak membantu beliau.

Dalam pada itu, lima kementerian akan diubah nama kepada Kementerian Pembangunan Sosial; Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat; Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar; Kementerian Perumahan serta Kementerian Pelancongan.’

‘‘Selain yang disebut itu, nama kementerian lain dikekalkan dan jumlah kesemuanya adalah sebanyak 13 kementerian,” katanya. – Sumber Utusan Malaysia.

 

 

Kabinet Sarawak dirombak.

In Politik on September 27, 2011 at 3:19 pm

Rombakan kabinet negeri Sarawak dijangka diumumkan Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Rabu, 28 September 2011, iaitu kira-kira lima bulan lebih Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas menang Pilihan Raya Negeri ke-10 pada 16 April.

Sumber mengatakan Abdul Taib akan mengadakan sidang media khas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, Kuching, kira-kira pada jam 3 petang selepas pada minggu lalu beliau memberitahu media rombakan kabinet akan diumumkan dalam minggu ini.

Ramai pemerhati politik tertunggu-tunggu apakah bentuk kabinet yang akan diumumkan ketua menteri. Adakah ia membabitkan banyak rombakan meskipun beberapa kali Abdul Taib sebelum ini menafikan wujud perubahan drastik? Siapa anggota baru?

Abdul Taib merupakan Ketua Menteri yang berpandangan jauh, dan segala perancangannya dilakukan dengan teliti agar ia selari dengan perancangan pembangunan ekonomi yang dirangkanya.

Beliau pada minggu lepas turut memberitahu rombakan itu akan menyaksikan perbezaan pendekatan dalam melaksanakan pembangunan.

Apakah bentuk keanggotaan dan struktur kabinet, itu masih menjadi rahsia ketua menteri.

Kabinet sekarang dianggotai 10 menteri dan 12 menteri muda. Kebanyakan anggota ialah sama dengan kabinet sebelum ini susulan Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 16 April 2011.

Bagaimanapun, jawatan timbalan ketua menteri satu kosong berikutan Presiden SUPP Datuk Patinggi Dr George Chan tewas kerusi DUN Piasau pada pilihan raya tersebut.

Susulan itu, wujud khabar angin mengatakan sama ada Timbalan Setiausaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh atau Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing mungkin dilantik menggantikan Dr Chan.

Soon Koh kini merupakan Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam. Masing pula Menteri Kemajuan Tanah.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri selama ini dipegang oleh SUPP, tetapi susulan prestasi pilihan raya negeri yang jatuh merudum kebelakangan ini memungkinkan ia beralih tangan kepada PRS.

Beberapa orang pemimpin SUPP tidak setuju agar SUPP terus diberi kepercayaan memegang jawatan kedua tertinggi kedudukannya dalam kabinet negeri Sarawak.

Akhbar The Star baru-baru ini dipetik berkata Soon Koh merupakan calon yang digemari Abdul Taib jika SUPP kekal memegang jawatan tersebut. Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan dan ADUN Senadin Lee Kim Shin merupakan dua wakil rakyat SUPP yang menang dalam pilihan raya April lepas di kawasan majoriti pengundi Cina.

Selepas pilihan raya berkenaan, juga terdapat enam kekosongan jawatan menteri muda susulan kekalahan tiga bekas menteri muda, dan juga berikutan tiga orang tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi masing-masing.

Tidak berapa lama selepas pilihan raya, Abdul Taib melakukan perubahan sedikit terhadap kabinetnya dengan mengumumkan beliau mengambilalih portfolio Pembangunan Perindustrian, manakala Datuk Amar Abang Johari Tun Openg diberi portfolio Pelancongan dan Warisan. Dua portfolio itu sebelum ini dipegang oleh Dr Chan.

Kabinet itu turut menyaksikan Tan Sri Adenan Satem dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas khas pada Julai. Beliau sebelum ini bertindak sebagai Penasihat di Pejabat Ketua Menteri.

BN negeri Sarawak dibentuk oleh empat parti komponen, yakni PBB, SUPP, SPDP dan PRS.

Pembangunan Sarawak dari persepektif sejarah.

In ekonomi, Sosial on September 26, 2011 at 5:15 am

Dalam menikmati kemajuan yang dikecapi Sarawak pada masa ini, tidak wajar jika generasi masa kini terus tidak menoleh ke belakang sejarah terutama proses-proses pembangunan.

Pengetahuan sejarah amat mustahak dalam menyemai perasaan cintakan tanah air sendiri. Harus diketahui bahawa Sarawak tidak berada dalam kedudukan sebegini pada zaman lampau tanpa wujud usaha melonjakkan taraf sosial dan ekonomi.

Sesuai dengan itu, Jabatan Muzium Sarawak mengadakan Pameran Sarawak di dalam muzium yang bertemakan “Sarawak yang indah dan maju” mulai 19 Julai 2011 hingga 31 Disember 2011.

Pameran sejarah dan kemajuan Sarawak

Satu pameran yang wajar dilihat oleh generasi masa kini. Pameran yang dipersembahkan dalam bentuk gambar dan potret disertai nota-nota ringkas, diadakan di Tingkat Bawah, Dewan Tun Abdul Razak.

Ia menceritakan tentang pembangunan dikecapi setiap 11 bahagian di Bumi Kenyalang. Setiap bahagian memiliki kisah tersendiri. Setiap bahagian ada jolokan tersendiri. 

Misalnya, Bahagian Bintulu diberi gelaran “Dari Kampung Nelayan ke Industriopolis”. Tidak dapat dinafikan, dahulu Bintulu merupakan sebuah penempatan kecil sekumpulan nelayan, tetapi kini ia bertukar wajah – hasil perancangan rapi kerajaan yang bijak menguruskan sumber semulajadi seperti gas asli dan balak.

Bintulu merupakan sebahagian dari Brunei sehingga tahun 1861, apabila Sultan Brunei menyerahkan kesemua tanah dan kawasan sungai dari Sungei Oya hingga Tanjung Kidurong kepada pentadbiran Brooke. Pada ketika itu, Bintulu merupakan sebuah kampung nelayan kaum Melanau.

Antara fakta sejarah Sarawak

Perubahan besar Bintulu bermula pada 1963 dengan penemuan gas asli dan minyak mentah di kawasan luar pesisir Bintulu yang menjadi pemangkin pembangunan dan pelaburan pesat.

Pada 1978, Lembaga Kemajuan Bintulu ditubuhkan oleh kerajaan negeri untuk tujuan pembangunan infrastruktur dan memantau pelaburan.

Bandar Bintulu berkembang maju dengan peningkatan penduduknya. Banci pada 1970 mencatatkan jumlah penduduknya 5,000 orang dan pada 1977, jumlahnya meningkat kepada 14,000 orang. Pada 1980, jumlah itu bertambah kepada 28,000 orang.

Ia cukup menggambarkan Bintulu membangun dengan pesat dan keperluan kerja di kawasan perindustrian itu menyebabkan pertambahan bilangan populasi saban tahun. Ia menggambarkan kemajuan yang sedang ditempa Sarawak.

Tidak cukup dengan gas asli, kini kerajaan negeri merancang untuk membangunkan wilayah tengah Sarawak, termasuk Bintulu, sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi menerusi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Kawasan Simalajau di Bintulu akan membangun sebagai pusat perindustrian berat melebur aluminium.

Di bahagian utara Bumi Kenyalang, Bahagian Miri turut dipamerkan dalam ruangan Dewan Tun Abdul Razak. Miri, dalam pameran itu diberi jolokan “Dari Bandar Minyak ke Bandar Raya Peranginan”. Miri merupakan bandar raya kedua di Sarawak selepas Bandar Raya Kuching. Ia pesat membangun dengan kehadiran pelawat dari negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, Bahagian Kapit diberi jolokan “Semalam Adalah Pedoman, Esok Adalah Realiti”. Kata-kata itu menjelaskan bahawa Kapit yang dahulunya satu kawasan terkenal di kalangan para pekerja kayu balak, kini tidak ketinggalan dari arus pembangunan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebelum ini pernah menyatakan rancangan untuk membangunkan kawasan Kapit sebagai ekopelancongan. Satu pelan yang cukup rapi dalam memajukan ekonomi negeri secara menyeluruh dengan mengeksploitasi keindahan alam semulajadi di bahagian tersebut.

Tidak lengkap jika tidak menyentuh pembangunan Sarawak jika tidak mengaitkannya dengan bahagian Mukah. Bahagian yang kini nampak ‘angkat’ dari aspek fizikal.

Bangunan kedai sudah banyak, kawasan perumahan telah ada, dan macam-macam lagi yang dahulunya tidak ada kini ada.

Mukah merupakan lembah Melanau yang terkenal dengan industri sagu – diusahakan sejak turun-temurun. Tidak dinafikan, bijak pandai Melanau pada masa ini berakar umbi dari bahagian Mukah. Dalam pameran ini, Mukah diberi jolokan “Dari taman rumbia ke kota bestari”.

Bahagian Mukah ditubuh ekoran pembentukan semula beberapa sempadan pentadbiran bahagian pada Mac 2002. Mukah dan Dalat sebelumnya merupakan daerah dalam bahagian Sibu, manakal Daro dan Matu merupakan daerah dalam bahagian Sarikei. Kini daerah-daerah itu disatukan menjadi bahagian Mukah.

Tanjung Manis di Mukah dijangka berkembang sebagai pusat penghasilan makanan halal atau dikenali sebagai hab halal. Ia kini menerima kemasukan pelaburan asing dalam bidang akuakultur yang menggunakan teknologi tinggi.

Justeru, pameran yang menyentuh sejarah dan kemajuan Sarawak wajar dilihat dari aspek pembangunan modal insan. Modal insan yang bakal menyumbang terhadap pembangunan negeri pada masa depan.

Taman Orkid, lambang kehijauan dan kesejahteraan Kuching.

In Sosial on September 25, 2011 at 9:07 am

KETUA Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis ramah tamah Aidilfitri Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) baru-baru ini meminta agar pihak berkuasa tempatan itu meningkatkan peranan dalam menjadikan Kuching sebagai sebuah bandar raya yang hidup.

Setelah berbagai anugerah diterima DBKU, Abdul Taib mahu usaha ke arah menjadikan Kuching sebagai bandar raya selesa untuk didiami digandakan dengan menggunakan pelbagai pendekatan.

Pendekatan itu merangkumi aspek hubungan kemanusiaan yang memerlukan penglibatan orang ramai dalam menjadikan ia sebuah bandar raya maju tetapi pada masa sama tidak hilang amalan hidup berjiran.

Semangat kejiranan yang tinggi secara tidak langsung mampu meletakkan Kuching sebagai sebuah kawasan selamat didiami tanpa wujud aktiviti jenayah melampau.

Menjadikan bandar raya sejahtera dan mempunyai roh seperti kata Ketua Menteri, Kuching juga memerlukan sentuhan alam semulajadi. Kehijauan alam sekitar di tengah kesibukan masyarakat kota mengejar sesuap nasi dan kemewahan hidup dirasakan amat wajar.

Usaha kerajaan menerusi DBKU ke arah menghijaukan suasana kota harus diberi penilaian tinggi. Kesedaran awal kerajaan dalam mengimbangi antara kemajuan dan alam sekitar wajar diberi pujian.

Antara usaha kerajaan mengekalkan suasana hijau dalam kota ialah Taman Orkid DBKU.

Taman Orkid DBKU terletak di tapak seluas lebih enam hektar di Jalan Astana, Petra Jaya dijangka menjadi daya tarikan baru kepada pelancong yang berminat dalam bidang hortikultur dan botanikal. Ia dibina pada November 2007 dengan menelan kos RM8.97 juta.

Taman Orkid ini juga mempamerkan secara dekat kepelbagaian jenis dan warna tanaman orkid daripada jenis hibrid dan spesies epiphytic serta terrestrial yang ditanam di kawasan terbuka dan teduhan menyerupai habitat semulajadi.

Difahamkan, keseluruhan taman ini memiliki koleksi sebanyak 40,000 tanaman orkid dan pada masa yang sama ia menyediakan pengalaman rekreasi dan pendidikan di samping menikmati keindahan persekitaran bangunan baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta Astana Negeri. 

Taman Orkid DBKU ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 5 Mac 2010.

Antara tarikan utama Taman Orkid berkenaan adalah Orkid Borneo yang terkenal dengan kecantikan bunganya dan berpotensi dijadikan tanaman hortikultur. 

Orkid Borneo yang terdapat di taman ini adalah seperti Lady, Slipper (Paphiophyllum Stonei dan P. Lowii), Coelogyne Pandurata, Bulbophyllum Beccarii, Vanda Dearei dan Phallaenopsis Violacea.

Taman ini dibuka untuk kunjungan umum setiap hari Selasa hingga Ahad termasuk cuti umum (kalau tidak salah masa lawatan bermula dari jam 9.00 pagi – 6.00 petang) dan ditutup pada hari Isnin. 

Menurut bekas Datuk Bandar DBKU, Mohamad Atei Abang Medaan, pembukaan Taman Orkid itu secara tidak langsung akan menggalakkan minat pelajar untuk mendalami bidang berkaitan dengan flora yang banyak di negeri ini.

Selain itu, katanya, taman ini akan menjadi tempat rujukan kepada penggemar-penggemar orkid dari negeri ini mengenai 65 jenis bunga yang terdapat di situ.

Mohamad Atei memberitahu, Taman Orkid merupakan sebahagian daripada rangkaian tiga segi istimewa di tengah-tengah bandar raya selain daripada Bangunan Dewan Undangan Negeri dan Istana Negeri.

Bukan setakat Taman Orkid sahaja, Bandar Raya Kuching turut dibangunkan dengan pelbagai taman rekreasi. Antaranya Taman Budaya, Taman Sahabat dan banyak lagi.

Ia dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan yang mempunyai komitmen tinggi dalam mendukung aspirasi kerajaan menjadikan Kuching sebagai bandar raya sejahtera.

 

Kek Lapis Sarawak: Produk IKS mampu luas pasaran antarabangsa.

In ekonomi, Sosial on September 22, 2011 at 2:00 pm

Menjelang Hari Raya Aidilfitri 2011 pada 30 Ogos, satu produk industri desa Sarawak iaitu Kek Lapis Sarawak terpaksa akur dengan penurunan permintaan berikutan dikaitkan dengan penggunaan produk tenusu mentega Golden Churn yang disahkan tidak halal.

Lazimnya tempahan kek lapis meningkat berkali ganda menjelang musim Hari Raya Aidilfitri. Tempahan bukan sekadar dari pasaran tempatan tetapi juga daripada Semenanjung Malaysia.

Kek Lapis Sarawak

Sejak zaman berzaman kek lapis memang sinonim dengan nama Sarawak. Tidak lengkap lawatan ke Sarawak terutama ke Kuching jika tidak membawa balik kek lapis sebagai buah tangan. Kek lapis Sarawak juga merupakan antara cara tidak langsung mempromosikan Bumi Kenyalang di kalangan para pelancong.

Rasanya yang lembut dan berkrim serta manis membuatkan orang ramai ingin menikmatinya berkali-kali. Itulah produk kebanggaan orang Sarawak.

Kebanyakan perusahaan membuat kek lapis dilakukan oleh kaum ibu. Dan satu sumber pihak pemberi pinjaman wang perniagaan memberitahu kebanyakan mereka merupakan ibu tunggal. Mereka mempunyai kemahiran membuat kek lapis, dan ia dimanfaatkan untuk menyara kehidupan keluarga.

Permintaan yang tinggi terhadap kek lapis dibuktikan apabila jualannya membabitkan 10 pengusaha kek lapis di negeri ini mencecah RM5.5 juta pada tahun 2008.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah menjelaskan kek lapis Sarawak bukan sahaja berjaya menembusi pasaran Semenanjung malah juga pasaran
Brunei dan Indonesia.

Bahagian Kuching mempunyai jumlah terbesar pengusaha kek lapis Sarawak dan sangat berjaya sehingga sembilan pengusaha meraih pendapatan lumayan.

Banyak kedai-kedai membuat dan menjual kek lapis dapat diperolehi dengan mudah di bandar raya Kuching. Antaranya ialah Kek Lapis Dayang Salhah, Kek Lapis Rabiah Amit dan Kek Lapis Dwanie.

Pada tahun 2009, Fatimah memberitahu 27 produk daripada 22 pengusaha kek lapis dari
Sarawak telahpun dianugerahkan jenama Sarawak Best yang setaraf dengan standard
Agro Best yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
Malaysia.

Dengan adanya penganugerahan itu, Kek Lapis Sarawak dapat mengekalkan keunikan daripada segi identiti Sarawak selain mempunyai Amalan Kebersihan yang Baik (GHP).

Setakat ini terdapat 120 jenis kek lapis yang dijual pada harga sekitar RM70 hingga RM150 untuk setiap tiga kilogram terdiri daripada pelbagai bentuk, corak dan rasa.
   
Bagi meluaskan pasaran, pengusaha kek lapis diharapkan mengambil berat aspek pembungkusan. Ia merupakan satu strategi pemasaran selain tidak menghasilkan kek yang terlalu manis dan banyak menggunakan pewarna.

Malahan semua pengusaha kek lapis harus peka terhadap citarasa dan permintaan pelanggan dari luar negara sebagai usaha meluaskan pasaran antarabangsa.

Justeru, tidak mustahil jika kek lapis Sarawak yang telah mencipta nama di seluruh negara dan negara-negara jiran, dapat dipasarkan ke Eropah dan Timur Tengah.

Para pengusaha harus mempelbagaikan corak kek lapis dan sedia menghadapi cabaran agar ia sentiasa berdaya saing, maju dan menjadi pilihan utama sekiranya terdapat persaing dari negara-negara jiran.

Mengapa mereka keluar PKR?

In Politik on September 19, 2011 at 2:52 pm

Mengapa dahulu, sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jimmy Donald, Jonas Reong, Munan Laja, Matthew American dan Dr John Brian Anthony, tidak fikir panjang?

Mengapa baru sekarang mereka ingin memikirkan semula penyertaan dalam parti pembangkang? Ia adalah alasan yang terlalu rapuh untuk dipercayai.

Mereka merupakan pemimpin-pemimpin kanan PKR yang mengumumkan keluar parti pada 17 September 2011 atau pada Sabtu lepas menerusi satu sidang media di Kuching.

Jimmy ialah Ketua PKR Bahagian Sri Aman, Jonas (Ketua PKR Bahagian Serian), Munan (Ketua PKR Kapit), Matthew (pemimpin kanan PKR Bahagian Serian) dan Dr JOhn (calon PKR pada pilihan raya negeri Sarawak 2011).

Apa yang menyebabkan mereka ini membuat pusingan ‘U’ dalam karier politik? Jimmy merupakan bekas Ahli Parlimen Sri Aman ketika masih berada dalam Barisan Nasional (BN).

Terjejaskah persiapan PKR atau pakatan pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum seterusnya? Tidak dinafikan mereka mempunyai pengaruh tersendiri di kawasan masing-masing, dan ini sedikit-sebanyak membantu PKR meraih sokongan rakyat.

Jika berada di tempat mereka yang terbabit, saya akan berterus terang dalam sidang media tersebut apakah punca keluar parti. Katakan sahaja “kami keluar parti sebab PKR tidak seperti dijangka. PKR tidak mampu menyaingi BN”.

PKR cuma hebat dalam berkata-kata. Apakah itu benar? Tanya Jimmy dan rakan-rakannya.

Mungkin mereka yang berkenaan sudah menyaksikan sendiri sokongan majoriti rakyat tetap memihak kepada BN bukannya PKR seperti diterjemah menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada April 2011.

PKR cuma menang tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 49 kerusi yang ditandinginya. Adakah sokongan itu mampu ditingkatkan pada Pilihan Raya Umum kelak? Masih samar, dan ia dibuktikan menerusi ketidakyakinan Jimmy dan rakan-rakannya terhadap keupayaan PKR.

Orang ramai sewajarnya bijak menilai tindakan mereka yang berkenaan. Mereka mungkin sudah muak dengan perjuangan PKR meskipun belum lagi lama menyertainya.

Adakah mereka akan menyertai BN?

Juga terdapat ura-ura mengatakan mereka terbabit dalam penubuhan parti baru yang bakal ditubuhkan. Bagaimanapun spekulasi itu ditepis oleh Jimmy yang mendakwa tindakan keluar parti mereka disokong oleh para penyokong. Parti baru itu dikatakan mesra BN.

Pengumuman keluar parti oleh Jimmy berselang sehari dengan mesyuarat pengagihan kerusi Parlimen di kalangan parti-parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

Sebanyak 31 kerusi Parlimen di Sarawak akan dipertandingkan para PRU yang kini dikatakan bakal diadakan bila-bila masa antara hujung tahun ini dan awal tahun depan.

Pada PRU 2008, pembangkang cuma menang di Parlimen Bandar Kuching. Kemudian pada 2010, DAP turut memenangi kerusi Parlimen Sibu menerusi Pilihan Raya Kecil berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau.

Agihan kerusi di kalangan pakatan pembangkang akan diketahui Oktober ini dan setakat ini mereka sekadar menyatakan akan bertanding di semua 31 kerusi.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011, tidak mustahil bagi BN untuk mengekalkan kemenangan di majoriti kerusi.

Cuma yang membimbangkan ialah kerusi-kerusi majoriti Cina di bandar berikutan rekod buruk SUPP pada pilihan raya lepas. DAP kelihatan unggul dan menyerlah dikalangan majoriti pengundi Cina di bandar.

Unimas, universiti dan pembangunan negara.

In Pendidikan on September 19, 2011 at 9:57 am

Agak lama juga sudah tidak masuk ke kampus tetap Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang terletak di Kota Samarahan, sebuah kawasan yang kini pesat membangun berikutan penubuhan universiti berkenaan pada Disember 1992.

Dahulu, sehingga awal tahun 2000, Unimas cuma beroperasi di kampus sementara yang dibina banyak menggunakan bahan binaan kayu, umpama pusat peranginan. Pada ketika itu tidak susah untuk mencari kedudukan sesebuah bangunan atau tempat. Kampus sementara itu kecil sahaja saiznya.

Kini pemandangan indah kampus tetap Unimas seolah-olah menggamit perasaan ingin melanjutkan pelajaran. Jarak antara satu fakulti dan kolej kediaman agak jauh. Tetapi kampus tetap yang memiliki bangunan dan kemudahan serba baru itu menjanjikan kenikmatan untuk menelaah pelajaran.

Pemandangan udara kampus tetap Unimas di Kota Samarahan

Perkembangan Unimas bukan dirasai oleh para pelajarnya sahaja, malahan ia boleh dilihat dari perspektif pembinaan kawasan-kawasan perumahan dan komersial yang semakin banyak di sekitarnya.

Memang wajar jika Kota Samarahan digelar sebagai Kota Ilmu. Ia juga menempatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sarawak dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Samarahan.

Kelahiran UNIMAS adalah hasil perjuangan pemimpin dan cendekiawan tempatan yang mahu melihat sejarah pendidikan negeri ini tercatat dengan kewujudan sebuah universiti.

Pelaburan yang menelan belanja tinggi oleh kerajaan dalam pendidikan tinggi wajar dimanfaatkan oleh belia negara. Peluang diberi untuk menimba ilmu pengetahuan berguna bagi membantu negara bergerak maju jangan dipersiakan.

Memandangkan perbelanjaan yang begitu besar yang diperuntukkan kepada pendidikan tinggi, soal yang sering ditimbulkan ialah kenapakah kerajaan sanggup membelanjakan wang yang begitu banyak yang memberi manfaat secara langsung hanya kepada sebilangan yang kecil sahaja daripada rakyat negara ini? Apakah penting Kerajaan membelanjakan begitu besar, khususnya bagi pendidikan tinggi mereka ini?

Untuk mencapai objektif-objektif pembangunan negara universiti wajar bekerjasama dengan kerajaan dan kerajaan perlu bersedia menerima sebarang ‘idea’ dan hasil penyelidikan yang dapat membawa keuntungan kepada negara dan rakyat.

Yang penting ialah ahli-ahli akademik perlu lebih peka kepada isu-isu pembangunan, isu-isi yang relevan dengan keadaan sosial, ekonomi dan politik negara.

Kita tidak wajar bermegah dengan kewujudan universiti yang memiliki kampus berharga jutaan ringgit. Universiti tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat dan ekonomi. Sebaliknya universiti mesti mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat dan industri. Universiti harus terlibat dalam proses pembangunan. Ia harus mendekati industri.

Sebagai contoh yang dilakukan sekarang ialah Unimas dan beberapa institusi pengajian tinggi lain berperanan menjadi pusat melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk kegunaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Tetapi ia tidak memadai setakat dengan SCORE. Universiti wajar menjadi penggerak aktiviti industri kerana fungsinya bukan semata-mata melahirkan pekerja sektor awam.

Sehubungan ini, universiti hendaklah memberi tumpuan kepada usaha-usaha mendekatkan dirinya dengan industri. Para akademik harus menukar sikap supaya berusahasama dengan industri. Ini mungkin memerlukan penukaran norma-norma lazim mengenai hubungan universiti-industri.

Universiti tidak seharusnya menanti agar industri datang kepadanya, tetapi sebaliknya, universiti patut menjadi lebih agresif memasarkan perkhidmatannya kepada industri melalui perancangan dan pemasaran strategik.

Malah bukan sahaja mencari pasaran dengan industri tetapi juga dengan masyarakat dan kerajaan. Universiti harus ke depan menyampaikan pandangan dan hasil kajian kepada kerajaan.

Kereta, pasar raya dan SCORE, lambang kemakmuran Sarawak.

In ekonomi on September 12, 2011 at 4:31 pm

KETUA Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam satu ucapannya sekitar awal tahun 2000 menyatakan betapa ekonomi Sarawak kian berkembang dan lantas taraf hidup rakyat turut meningkat berikutannya.

Beliau mengaitkan kenaikan taraf hidup rakyat dengan pertambahan jumlah kereta di atas jalan raya. Boleh dikatakan setiap rumah ada kereta atau paling tidak ada motosikal.

Tidak perlu untuk tinggi ilmu ekonomi jika ingin mengukur tahap kemakmuran ekonomi dan kenaikan taraf hidup penduduk di sesebuah kawasan. Memadai dengan memerhatikan gaya hidup pada masa kini dan bandingkan dengan masa lampau.

Jalan sesak sebab banyak kereta. Itu dinamakan kesan positif hasil pembangunan dikecapi susulan usaha gigih pemerintah. Kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak mensia-siakan mandat diberikan rakyat menerusi pilihan raya.

Banyak pasar raya dibuka saban tahun. Ia petanda keyakinan pelabur menanam modal kerana kedudukan ekonomi penduduk memadai untuk menyokong jualan barangan dan perkhidmatan ditawarkan mereka.

Di Kuching misalnya, gaya hidup moden semakin dirasai apabila bandar raya itu memiliki pusat beli belah The Spring, Boulevard dan yang terbaru Pasar Raya The Giant.

The Giant ketika ia dibuka pada 25 Ogos 2011, ia diserbu oleh ribuan pelanggan. Jika tidak silap keadaan itu berlarutan selama dua minggu. Tempat letak kereta penuh dan jalan menuju ke kawasan berkenaan sesak.

Apatah lagi pembukaannya jatuh ketika umat Islam melakukan persiapan menyambut 1 Syawal.

Ramai yang enggan melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan harian yang didakwa murah sempena pembukaannya.

Sesuai dengan Kuching sebagai sebuah bandar raya dan ibu negeri Sarawak, ia memerlukan lebih banyak pasar raya bagi memenuhi permintaan penduduk. Pengurusan The Giant sedar potensi Kuching sebagai lokasi mengembangkan perniagaan memandangkan kuasa beli masih kukuh di Sarawak.

Itu cara mudah untuk menilai kepesatan pembangunan ekonomi.

Sarawak berpotensi besar untuk menyumbang kepada transformasi pendapatan tinggi Malaysia kerana ia negeri kedua terkaya daripada segi pendapatan per kapita dan ketiga terbesar dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Dengan kurnian kekayaan sumber asli yang luas dalam tanah, perhutanan, pelancongan serta sumber tenaga diperbaharui dan tidak boleh diperbaharui, Sarawak berada dalam kedudukan baik untuk menerajui pertumbuhan mapan dan seimbang di semua sektor, khususnya pertanian, perlombongan, pembuatan dan perkhidmatan.

Pada 2009, Sarawak adalah negeri ketiga dalam KDNK pada 9.9 peratus selepas Selangor (23.3 peratus) dan Kuala Lumpur (15.6 peratus). Saiz KDNK Sarawak juga lebih tinggi dari Johor (9.7 peratus), Pulau Pinang (8.5 peratus) dan Kelantan (1.9 peratus).

Daripada segi pendapatan per kapita, Sarawak menjadi negeri kedua terkaya iaitu RM30,318 selepas Kuala Lumpur (RM51,197). Bumi Kenyalang juga mendahului Pulau Pinang (RM29,569) dan Selangor (RM27,609).

Berdasarkan angka itu, ia jelas menunjukkan bahawa Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan kisah kejayaan transformasi Malaysia dan yang demikian, kerajaan telah memberi tumpuan dan berusaha gigih membangunkan negeri itu.

Bagi memastikan Sarawak bergerak seiring dengan wawasan negara ke arah Wawasan 2020, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilaksanakan sebagai satu projek berimpak tinggi.

Sebagai satu daripada wilayah pembangunan yang dilaksanakan di seluruh negara, SCORE merupakan satu koridor pembangunan di wilayah tengah Sarawak, yang dilancarkan pada 11 Feb 2008. Koridor ini bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak serta mempertingkatkan kualiti dan taraf kehidupan rakyat Sarawak.

SCORE menggambarkan akan kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 daripada segi per kapita KDNK, peluang pekerjaan dan pertumbuhan KDNK.

SCORE yang akan direalisasikan sepenuhnya pada 2030, ia dijangka dapat mempertingkatkan KDNK negeri itu lima kali ganda dan diunjurkan berkembang daripada RM23 bilion pada 2006 kepada RM118 bilion pada 2030.

Sebagai tambahan, pendapatan per kapita KDNK akan meningkat daripada RM23,193 kepada RM84,077 manakala bilangan peluang pekerjaan bertambah daripada 900,000 kepada 2.5 juta bagi tempoh sama.

Selain pertumbuhan ekonomi, Sarawak akan menyaksikan pembangunan pesat dalam infrastruktur seperti jalan raya dan prasarana awam, tambahan pula pelaksanaan SCORE akan menarik pelaburan ke Bumi Kenyalang selepas menerima jaminan pelaburan RM13 bilion.

Semua usaha yang dilaksanakan bukan hanya membawa kemakmuran kepada Sarawak, tetapi juga pada masa sama generasi muda akan mempunyai peluang pendidikan berkualiti tinggi.