YangSaya Nampak

Gua Niah, khazanah pelancongan Sarawak.

In Pelancongan on August 28, 2011 at 5:36 pm

Perjalanan kira-kira 30 minit dari pejabat Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke Gua Niah tidak terasa meletihkan kerana dirimbuni pokok-pokok yang rendang.

Perjalanan selama itu juga seolah-olah memberikan kepuasan terhadap penghuni kota yang dahaga kesejukan alam semulajadi.

Setelah berjalan kira-kira 20 minit dengan meniti titian papan kayu dan PVC, para pengunjung ke Taman Negara Niah yang terletak 120 kilometer dari Miri, akan dapat menyaksikan keindahan bukit batu kapur.

Di Sarawak, kejadian alam batu kapur cuma dapat disaksikan di Gua Angin, Bau, Kuching, Gua Mulu, Miri, dan pastinya Gua Niah, Miri.

Bagi manusia yang mencintai keagungan Maha Pencipta, sudah pasti dia memuji-muji kebesaran-Nya. Keindahan Gua NIah, tiada tolok banding jika dibezakan dengan ciptaan tangan manusia.

Berlandaskan keindahan cuba digambarkan itu, maka wajar gua berkenaan menjadi produk pelancongan unggul di Sarawak.

Keindahan ciptaan Tuhan itu digabungkan dengan tamadun manusia prasejarah – melambangkan kewujudan penempatan tertua manusia di Sarawak. Gua Niah pernah didiami oleh manusia zaman batu lebih 40,000 tahun lalu.

Gua-gua itu mula diteroka pada 1957 oleh kurator Muzium Sarawak yang dikenali sebagai Tom Harrison. Harrison mengendalikan ekspedisi arkeologi untuk mengkaji peninggalan sejarah manusia zaman itu.

Di kawasan gua itulah artifak zaman batu dan rangka manusia moden tertua di Asia Tenggara ditemui. Penemuan itu menandakan wujudnya satu peradaban manusia dan menjadikan taman itu sebagai satu pusat arkeologi terpenting di dunia.

Terdapat tiga gua utama di Taman Negara Niah iaitu Gua Pedagang, Gua Besar dan Gua Lukisan.

Gua Pedagang mengambil sempena kawasan gua itu yang dijadikan oleh pedagang tempatan untuk berjual-beli sarang burung walit yang dipungut di sekitar gua-gua yang terdapat di Taman Negara Niah.

Pelawat yang ke gua itu masih dapat melihat bekas tapak atau rangka seperti tiang pondok dan kedai tempat pemungut dan penjual sarang burung walit yang dibina lebih lima dekad lalu.

Walaupun kegiatan memungut sarang burung walit tidak serancak seperti pada tahun 50-an hingga lewat 70-an, pelawat yang masuk ke gua itu pada hari ini dapat melihat kegiatan memungut sarang burung walit oleh pemungut-pemungut tempatan.

Lebih mengagumkan ialah pelancong dapat melihat bagaimana pemungut-pemungut itu dengan lampu suluh yang diikat di kepala.

Mereka akan memanjat tiang-tiang kayu atau buluh yang disambung dan digantung di siling gua yang tingginya menyamai tujuh atau lapan tingkat bangunan untuk mencari sarang burung walit.

Pemungut-pemungut itu sanggup bertarung nyawa seperti Spiderman kerana nilai harga sarang burung walit yang belum diproses itu mencecah sekitar RM3,000 hingga RM7,500 sekilogram.

Selain tarikan Gua Pedagang, pelancong juga berpeluang melawat Gua lukisan. Terdapat lebih 100 lakaran atau lukisan neolitik dari zaman batu di beberapa bahagian dinding Gua Lukisan.

Lukisan itu terdapat dalam pelbagai saiz dan ukuran serta mempunyai rupa bentuk manusia, perahu, dan lakaran abstrak dan geometri. Ia dipercayai dilukis dengan menggunakan pewarna merah yang diperoleh daripada tumbuhan.

Sementara itu, di Gua Besar terdapat pembentukan lapisan batu-batan gua seperti stalagmit dan stalaktit serta kesan kerja-kerja arkeologi.

Dalam mengangkat Gua Niah sebagai produk unggul pelancongan Sarawak, kerajaan kini berusaha menjadikannya sebagai Tapak Warisan Dunia yang akan diiktiraf Unesco.

Moga usaha itu berjaya yang seterusnya bakal mengorak langkah baru dalam mempromosikan Gua Niah di persada industri pelancongan antarabangsa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: