YangSaya Nampak

Archive for August, 2011|Monthly archive page

SUPP diambang kegelapan.

In Politik on August 31, 2011 at 3:43 pm

Hakikatnya, apabila membincangkan politik di Sarawak, seakan-akan tidak lengkap jika tidak memperkatakan tentang pretasi dan potensi SUPP yang kini semakin suram.

SUPP, sebuah parti komponen BN yang mewakili kaum Cina dalam kerajaan negeri Sarawak, kini dikatakan dalam ambang kemalapan – meskipun beberapa pemimpin SUPP malu mengakui realiti ketika berdepan pengamal media.

Macam-macam usaha untuk mengatasi kemungkinan masa depan SUPP yang gelap. Disember 2011, parti tersebut akan mengadakan Perhimpunan Perwakilan Tri-tahunan (TDC). Ia dikatakan akan membawa SUPP ke era baru apabila ramai beberapa pemimpin lama akan meletak jawatan.

Adakah SUPP hilang semakin banyak sokongan hanya kerana Tan Sri Dr George Chan, presidennya, sudah tua? Jawapannya, tidak! Apa yang sebenar tersemat dalam sanubari para pengundi Cina di bandar, cuma mereka tahu.

SUPP wajar mencari formula terbaik bagi mengekang kemerosotan sokongan. Kemerosotan prestasi SUPP semakin dirasai pada Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak 2006 yang menyaksikan mereka tewas di enam kerusi berbanding 19 kerusi dipertandingkan. Selepas itu, Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, parti tersebut juga kecundang di tangan DAP yang dikatakan kian mekar berkembang ideologi politiknya di kalangan kaum Cina.

Adakah pengundi Cina sekadar suka dengan pemimpin DAP yang petah membantah dan mengkritik apa jua program dan polisi diperkenalkan BN?

Hari ini, Rabu bersamaan 31 Ogos 2011, Bernama melaporkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud SUPP perlu tahu apa yang dikehendaki orang Cina.

Malahan beliau menolak dakwaan beberapa pihak yang mengatakan BN Negeri Sarawak akan menubuhkan satu parti politik baru bagi menggantikan SUPP, dengan harapan ia bakal memperbaiki tahap sokongan orang Cina.

Penganalisis politik Sarawak Dr Jeniri Amir pernah mempersoalkan adakah SUPP dapat dipulihkan dalam waktu terdekat? SUPP yang sakit tenat tidak boleh sekadar diberi pil panadol. Lebih sesuai jika parti tertua Sarawak itu dibedah dan darah yang mengalir di dalam tubuhnya disuntik dengan darah baharu.

Dalam keadaan sekarang, memang tidak mudah bagi para pemimpin SUPP untuk memulihkan parti yang pernah mendapat sokongan padu daripada masyarakat Cina. SUPP kalah teruk dalam pilihan raya April 2011.

Berdasarkan prestasi dalam pilihan raya 16 April 2011, bagai tidak ada sinar di hujung terowong untuk SUPP. Dijangka SUPP akan kalah di enam kerusi bandar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Hakikatnya, dalam keadaan sekarang, terlalu sukar untuk parti itu meyakinkan masyarakat Cina bahawa ia merupakan wadah terbaik untuk menyalurkan masalah dan aspirasi mereka.

Jeniri percaya SUPP perlu menukar pemimpin yang tidak lagi relevan atau sudah tidak lagi diterima oleh pengundi. SUPP juga perlu mendapatkan suntikan idea daripada pelbagai peringkat masyarakat Cina, termasuk NGO-nya bagi memastikan dasar dan tindakannya serasi dengan kehendak rakyat. Usaha sebegini sebenarnya tidak memadai.

Hakikatnya, SUPP pada masa ini berdepan dengan mentaliti para pengundi generasi akan datang – generasi negara maju.

Pada masa ini, SUPP banyak tewas di kawasan bandar – kawasan yang mempunyai lengkap kemudahan, hampir menyamai negara maju.

Mentaliti pengundi di kalangan penduduk bandar adalah amat berbeza dengan mentaliti pengundi di luar bandar yang sekadar berpuashati dengan ‘asal ada makan’. Dalam minda mereka, terutama pengundi yang sudah lanjut usia, kerajaan adalah ejen pembangunan, manakala pembangkang cuba memusnahkan usaha kerajaan.

Tetapi memang benar, pembangkang umpama DAP sekadar bijak memanupulasi keadaan dan media. Mereka seolah-olah bekerja demi rakyat, sebenarnya yang buat kerja ialah parti pemerintah BN.

Bagaimanapun, masa depan SUPP terletak sepenuhnya di tangan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini kelak.

Wajar diingat SUPP mempunyai peranan dan sumbangan besar dalam pembangunan negeri Sarawak. SUPP bukan parti yang bakal mati tanpa sumbangan terhadap negara.

Advertisements

Gua Niah, khazanah pelancongan Sarawak.

In Pelancongan on August 28, 2011 at 5:36 pm

Perjalanan kira-kira 30 minit dari pejabat Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke Gua Niah tidak terasa meletihkan kerana dirimbuni pokok-pokok yang rendang.

Perjalanan selama itu juga seolah-olah memberikan kepuasan terhadap penghuni kota yang dahaga kesejukan alam semulajadi.

Setelah berjalan kira-kira 20 minit dengan meniti titian papan kayu dan PVC, para pengunjung ke Taman Negara Niah yang terletak 120 kilometer dari Miri, akan dapat menyaksikan keindahan bukit batu kapur.

Di Sarawak, kejadian alam batu kapur cuma dapat disaksikan di Gua Angin, Bau, Kuching, Gua Mulu, Miri, dan pastinya Gua Niah, Miri.

Bagi manusia yang mencintai keagungan Maha Pencipta, sudah pasti dia memuji-muji kebesaran-Nya. Keindahan Gua NIah, tiada tolok banding jika dibezakan dengan ciptaan tangan manusia.

Berlandaskan keindahan cuba digambarkan itu, maka wajar gua berkenaan menjadi produk pelancongan unggul di Sarawak.

Keindahan ciptaan Tuhan itu digabungkan dengan tamadun manusia prasejarah – melambangkan kewujudan penempatan tertua manusia di Sarawak. Gua Niah pernah didiami oleh manusia zaman batu lebih 40,000 tahun lalu.

Gua-gua itu mula diteroka pada 1957 oleh kurator Muzium Sarawak yang dikenali sebagai Tom Harrison. Harrison mengendalikan ekspedisi arkeologi untuk mengkaji peninggalan sejarah manusia zaman itu.

Di kawasan gua itulah artifak zaman batu dan rangka manusia moden tertua di Asia Tenggara ditemui. Penemuan itu menandakan wujudnya satu peradaban manusia dan menjadikan taman itu sebagai satu pusat arkeologi terpenting di dunia.

Terdapat tiga gua utama di Taman Negara Niah iaitu Gua Pedagang, Gua Besar dan Gua Lukisan.

Gua Pedagang mengambil sempena kawasan gua itu yang dijadikan oleh pedagang tempatan untuk berjual-beli sarang burung walit yang dipungut di sekitar gua-gua yang terdapat di Taman Negara Niah.

Pelawat yang ke gua itu masih dapat melihat bekas tapak atau rangka seperti tiang pondok dan kedai tempat pemungut dan penjual sarang burung walit yang dibina lebih lima dekad lalu.

Walaupun kegiatan memungut sarang burung walit tidak serancak seperti pada tahun 50-an hingga lewat 70-an, pelawat yang masuk ke gua itu pada hari ini dapat melihat kegiatan memungut sarang burung walit oleh pemungut-pemungut tempatan.

Lebih mengagumkan ialah pelancong dapat melihat bagaimana pemungut-pemungut itu dengan lampu suluh yang diikat di kepala.

Mereka akan memanjat tiang-tiang kayu atau buluh yang disambung dan digantung di siling gua yang tingginya menyamai tujuh atau lapan tingkat bangunan untuk mencari sarang burung walit.

Pemungut-pemungut itu sanggup bertarung nyawa seperti Spiderman kerana nilai harga sarang burung walit yang belum diproses itu mencecah sekitar RM3,000 hingga RM7,500 sekilogram.

Selain tarikan Gua Pedagang, pelancong juga berpeluang melawat Gua lukisan. Terdapat lebih 100 lakaran atau lukisan neolitik dari zaman batu di beberapa bahagian dinding Gua Lukisan.

Lukisan itu terdapat dalam pelbagai saiz dan ukuran serta mempunyai rupa bentuk manusia, perahu, dan lakaran abstrak dan geometri. Ia dipercayai dilukis dengan menggunakan pewarna merah yang diperoleh daripada tumbuhan.

Sementara itu, di Gua Besar terdapat pembentukan lapisan batu-batan gua seperti stalagmit dan stalaktit serta kesan kerja-kerja arkeologi.

Dalam mengangkat Gua Niah sebagai produk unggul pelancongan Sarawak, kerajaan kini berusaha menjadikannya sebagai Tapak Warisan Dunia yang akan diiktiraf Unesco.

Moga usaha itu berjaya yang seterusnya bakal mengorak langkah baru dalam mempromosikan Gua Niah di persada industri pelancongan antarabangsa.

MBKS menang anugerah, pelancongan kurang peruntukan.

In Pelancongan on August 27, 2011 at 4:22 pm

 Adakah kerana produk pelancongan Sarawak, terutama alam sekitar, kurang menarik berbanding Sabah menyebabkan peruntukan Bumi Kenyalang menerusi Rancangan Malaysia ke-10 lebih rendah berbanding Negeri Di Bawah Bayu?

Bukan soal iri hati, tetapi Sarawak yang masih banyak perlu dibangunkan dalam usaha memajukan sektor pelancongan negeri sewajarnya menerima peruntukan besar.

CEO Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Datuk Rashid Khan meluahkan rasa tidak puas hati terharap peruntukan kerajaan pusat dalam satu majlis berbuka puasa di Kuching, baru-baru ini.

Beliau dilaporkan oleh akhbar sebagai berkata, peruntukan yang diberikan kepada STB dalam menjalankan kerja pemasaran dan promosi

Malah, peruntukan RM30 juta bagi tempoh lima tahun jauh lebih kecil berbanding beberapa Rancangan Malaysia sebelum ini. Di bawah RMK-9, RMK-8 dan RMK-7 peruntukan adalah kira-kira RM45 juta.

Jika pelancongan merupakan satu sektor ekonomi yang banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan ekonomi, kerajaan tidak sepatutnya mengurangkan peruntukan.

Aktiviti mempromosi produk-produk pelancongan memerlukan kira-kira RM8 juta setahun. Ini bermakna STB kekurangan RM2 juta setahun.

Sektor pelancongan di Sarawak mampu merangsang pertumbuhan ekonomi ke tahap lebih tinggi.

Dari perspektif umum, Bumi Kenyalang menawarkan panorama bentuk mukabumi yang indah serta kemesraan 23 kumpulan etnik.  

Sebagai negeri terbesar di Malaysia dengan keluasan 124,450 km persegi, Sarawak mempunyai banyak kawasan menarik yang belum diterokai dan berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Ironinya, di sebalik kekurangan peruntukan, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menempa nama di persada antarabangsa apabila menang Anugerah Bandar Raya Pelancongan baru-baru ini.

MBKS berjaya merangkul anugerah terbabit pada Forum Pembangunan Saintifik Bandar-Bandar Raya Dunia Kedua dan Sidang Kemuncak Datuk-Datuk Bandar Pertama mengenai Pengurangan Risiko Bencana.

Program yang bertemakan ‘Tumpuan kepada Kerjasama dan Pembangunan Mapan antara Bandar-Bandar Raya, Membina Bandar-Bandar Raya Yang Dapat Dihuni bagi Manusia’ itu diadakan di Chengdu, China dari 11 hingga 13 Ogos lepas.

Forum merupakan anjuran bersama Strategi Antarabangsa bagi Pengurangan Bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNISDR), Perikatan Pembangunan Saintifik Bandar-Bandar Raya Dunia (WCSDA) dan Sister Cities International (SCI).

Hampir 200 peserta dari lebih 30 buah negara menghadiri forum tersebut termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada, Afrika Selatan, China, Costa Rica, Ireland, Sri Lanka, Bangladesh, Lubnan, Malaysia, Pakistan, Jamaica, Palestin, Filipina, Poland, Senegal, Uganda, Vietnam dan lain-lain.

Sistem Penilaian Pembangunan Saintifik Bandar-Bandar Raya Dunia di forum itu menyampaikan tiga anugerah iaitu Anugerah Bandar Raya Pelancongan, Anugerah Bandar Raya Ekologi dan Anugerah Bandar Raya Kebudayaan.

Bersama MBKS, Anugerah Bandar Raya Pelancongan turut diberikan kepada Xining, Qinghai, China.

Anugerah Bandar Raya Ekologi disampaikan kepada Saldanha Bay, Cape Town, Afrika Selatan serta Dali, Yunnan, China dan Anugerah Bandar Raya Kebudayaan pula diterima oleh Cincinnati, Ohio, AS serta Luoyang, Henan, China.

Justeru, anugerah yang dimenangi oleh MBKS itu wajar dijadikan kayu ukur dalam menyalurkan lebih banyak peruntukan dalam usaha membangunkan dan mempromosikan pelbagai produk pelancongan Bumi Kenyalang.

Selain kepelbagaian etnik dan alam semula jadi, produk utama pelancongan Sarawak ialah  Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).

Ia merupakan acara ikonik di Sarawak memandangkan mampu menjana pendapatan kira-kira belasan juta ringgit.

Tahun 2010, RWMF menyumbang RM13 juta kepada industri pelancongan tempatan. Ia merupakan acara muzik yang telah menarik kehadiran ramai pelancong dari negara lain.

The return of gengster balak!

In Sosial on August 23, 2011 at 3:59 pm

*** Dengan tambahan keratan akhbar The Borneo Post mengenai berita susulan di bahagian akhir artikel ini.

Dalam filem KL Gangster, para penonton dipaparkan dengan kisah hidup para penjenayah yang seolah-olah bermaharajalela di bandar. Mereka menyara hidup dengan meminta wang perlindungan dari golongan peniaga.

Filem itu mengisahkan seorang gengster bernama Malik yang terjebak semula ke dalam kancah jenayah meskipun berazam untuk insaf selepas dibebaskan dari hukuman penjara selama lima tahun.

Tetapi penulisan ini tidak ada kena mengena dengan ulasan filem arahan anak Datuk Yusof Haslam, Syamsul Yusof yang berjaya mengutip jutaan ringgit.

INDUSTRI PERKAYUAN: Penyumbang kemakmuran ekonomi Sarawak.

The Borneo Post bertarikh 23 Ogos 2011 mendedahkan ketakutan para penduduk di Bakun terhadap aktiviti pembalakan haram yang didakwa dilindungi samseng.

Cuba berimiginasi tentang dua keadaan berbeza – dalam filem KL Gangster dan situasi sebenar kehidupan samseng dalam hutan belantara. Di bandar yang ada ramai polis pun orang masih berani melakukan aktiviti jenayah, ini pula di pedalaman!

Justeru, dakwaan ini ada mungkin kebenarannya. Mungkin gengster-gengster di pedalaman lebih bermaharajalela berbanding di bandar.

Dari segi pendapatan, sudah pasti mereka lebih mewah dari segi wang ringgit kerana tidak ada hiburan di pedalaman, sekali gus mereka menyimpan wang.

Berdasarkan berita yang dipaparkan dalam The Borneo Post, ada tiga persoalan yang terbenak di fikiran.

Pertama, mengapa selepas 10 bulan berlaku kegiatan curi balak pemimpin masyarakat di situ, Pemanca Umek Jeno, Pemanca Tony Kulleh dan Pemanca Ajang Sirek mendedahkan kepada umum?

Kedua, mengapa polis tidak dimaklumkan (laporan polis) berbanding mendedahkannya kepada akhbar?

Ketiga, apakah sistem pemantauan di Sarawak belum memadai bagi mengekang kegiatan pembalakan haram dan gengster?

24 Ogos 2011, mungkin ada berita susulan atau komen pihak berkuasa dan menteri bertanggungjawab mengenai dakwaan penduduk kampung berhubung kegiatan pembalakan haram dan gengster.

Mengimbau kembali cerita-cerita mengenai pembabitan gengster dalam industri huluan pembalakan di Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Sarawak pada 15 April 2009, tidak menolak kemungkinan kebenaran dakwaan tersebut.

Bernama melaporkan Awang Tengah sebagai berkata walaupun belum ada bukti kukuh yang mengaitkan penglibatan golongan itu namun kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku di Sarawak.

“Mungkin…(gengster terlibat). Saya tidak menolak kemungkinan itu. Kita perlu mengesan dan menangani masalah ini dengan serius,” katanya Awang Tengah.

Pada 2007, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak mengakui aktiviti pembalakan haram di Sarawak melibatkan kumpulan gengster yang berpengaruh untuk melindungi operasi mencuri balak khasnya di kawasan lindungan seperti taman negara.

Sehubungan itu, pada tahun yang sama, Polis Sarawak melancarkan “Ops Cantas Kenyalang” bagi menyekat kegiatan gengster, termasuk mereka yang terlibat dalam pembalakan haram di negeri ini.

Bagi menangani kegiatan pembalakan haram yang kini masih terkawal, Awang Tengah berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) akan dilengkapkan dengan teknologi canggih serta terkini untuk membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengawal aktiviti pembalakan haram di negeri ini.

Pada 2010, Sarawak mencatat RM7.2 bilion nilai eksport balak dan produk kayu.

Tahun ini, Sarawak yakin hasil eksport produk perkayuan mampu mencecah RM7.4 bilion jika pasaran kekal stabil pada suku ketiga dan keempat.

Nilai eksport produk perkayuan untuk tempoh enam bulan tahun 2011 berjumlah RM3.71 bilion berbanding RM3.67 bilion tempoh yang sama tahun lepas.

Pencapaian itu disumbang oleh permintaan yang stabil dari lima pasaran tradisional utama iaitu Jepun, India, Taiwan, Korea dan China.

Justeru, berdasarkan fakta ekonomi itu Sarawak wajar menjaga kredibiliti sumber perkayuannya di mata negara-negara pengimport.

Sumber eksport perkayuan harus bebas dari kegiatan pembalakan haram, lebih-lebih lagi didalangi oleh kegiatan gengsterisme.

 

Keratan The Borneo Post 24 Ogos 2011

 

 

Lupakan politik, mari patriotik.

In Patriotisme on August 20, 2011 at 7:21 am

Hampir setiap hari parti-parti pembangkang – DAP atau PKR – mengadakan sidang media. Tujuan sama, mengkritik kerajaan, tetapi lagu berbeza-beza pada setiap kali.

Dalam kita rakyat Malaysia cuba menyahut seruan agar meningkatkan tahap patriotisme dalam diri pada Ogos dan September ini, DAP dan PKR pula yang sibuk asyik berpolitik.

Dalam sidang media atau mana-mana majlis yang diadakan mereka, langsung tidak wujud unsur-unsur menggalakkan rakyat atau penyokong mereka mengibarkan Jalur Gemilang tanda cinta terhadap negara.

Politik tetap politik tetapi tidak salah jika ia diabaikan seketika dan bersama berganding bahu dengan kerajaan untuk menyeru rakyat mengibarkan Jalur Gemilang.

Sedar atau tidak mereka bahawa negara tempat mereka berpolitik sekarang wujud disebabkan semangat cintakan kemerdekaan dan kebebasan yang tinggi di kalangan pejuang sebelum ini.

Cukuplah dulu berpolitik. Walaupun para pemimpin DAP atau PKR pasti tidak akan mengakui bahawa setiap sidang media atau majlis mereka amat berkait dengan politik, hakikat adalah sebaliknya.

Mereka mengadakan sidang media untuk memberitahu ‘dunia’ mereka menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih dengan mengetengahkan masalah rakyat.

Meskipun kadang-kadang masalah diadukan itu menemui jalan penyelesaian selepas disiarkan di akhbar, tetapi ia sebenarnya tidak ubah seperti “sambil menyelam sambil minum air” atau “menangguk di air yang keruh”.

DAP atau PKR yang beroleh ‘markah’ di mata rakyat kerana dikatakan prihatin dalam menyelesaikan masalah sedangkan pihak sebenar yang berbuat demikian ialah kerajaan.

Kisah politik pembangkang terutama DAP tidak berkesudahan kerana mereka sekarang sibuk menilai kemampuan untuk menang pilihan raya umum kelak, biarpun masih samar-samar bila ia akan diadakan.

Di bulan kemerdekaan ini langsung mereka tidak pernah menyebut tentang kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang, semangat patriotisme di kalangan generasi muda dan mengimbas kembali jasa para perajurit.

Adakah sikap demikian boleh dikaitkan dengan keikhlasan dalam politik demi memajukan negara dan membela rakyat?

DAP dan pembangkang yang lain perlu lebih peka terhadap situasi semasa dan tidak sekadar mendukung ideologi politik mereka sepanjang masa tanpa memikirkan isu patriotisme.

Mungkin mereka akan melawan hujah ini dengan mengatakan semangat patriotisme bukan sekadar dipamerkan menerusi mengibar Jalur Gemilang atau dengan kata-kata.

Dalam konteks menyahut seruan mengibarkan Jalur Gemilang, ia tidak diukur menerusi kerohanian, tetapi lebih kepada sokongan fizikal iaitu mengibarkan bendera di kereta atau rumah.

Sebabnya, semangat patriotisme dengan mengibar Jalur Gemilang mampu membangkitkan semangat serupa di kalangan generasi muda yang mungkin ada telah alpa tentang perjuangan generasi pejuang kemerdekaan dan keamanan.

Mudah-mudahan dengan kibaran Jalur Gemilang di segenap tempat akan menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan generasi baru.

Lagikan pak penambang di Sungai Sarawak di Kuching mampu mengibarkan Jalur Gemilang, inikan pula pemimpin politik pembangkang yang boleh dikatakan mampu membeli Jalur Gemilang dan seterusnya, mungkin, dapat diagihkan di kalangan orang ramai.

Pembangkang congak menang, PRU menjelang

In Pilihan Raya Umum on August 17, 2011 at 2:43 pm

Siapa yang paling gembira apabila sudah ada kedengaran khabar angin mengatakan pilihan raya umum (PRU) bakal diadakan paling lewat awal tahun depan? Jawapannya parti-parti pembangkang.

Mengapa? Sebabnya, mereka tidak ada kerja lain melainkan berpolitik untuk menguji tahap sokongan rakyat yang sering diragui kerana mereka tidak memiliki pencapaian (pembangunan) boleh dipersembahkan.

Apa yang ada cuma kritikan demi kritikan terhadap usaha kerajaan BN. Tetapi, hakikatnya itu ialah kerja pembangkang memang membantah sahaja.

Siapa kata kerja sebagai pembangkang payah? Panggil wartawan untuk sidang media atau melawat mana-mana tempat yang bermasalah, kemudian cakap apa sahaja asalkan pandai menyalahkan kerajaan dan bergambar menunjuk, misalnya, parit tersumbat.

Kemudian esok hari, muka ada keluar akhbar – itu makna ada buat kerja di mata rakyat. Percayalah, strategi sebegini telah menjadikan DAP, terutama di bandar semakin popular.

Apa sebab? Mereka adalah pelakon handalan, bijak berpura-pura. Konon berjuang demi rakyat, sedangkan matlamat ialah isi poket sendiri. Mereka memperoleh gaji dengan mengkritik dan meletakkan kesalahan di bahu kerajaan semata-mata.

Di Sarawak, dua parti politik pembangkang yang aktif ialah DAP dan PKR. DAP diketuai Wong Ho Leng yang merupakan Ahli Parlimen Sibu dan ADUN Bukit Assek, manakala Baru Bian, ADUN Ba’Kelalan merupakan ketua PKR.

Aktif maksudnya di sini ialah kerap mengadakan sidang media dan muncul di akhbar meskipun ia langsung tidak mempunyai nilai berita bagi mereka yang benar-benar mendukung semangat kewartawanan.

Keaktifan itu membolehkan DAP, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, merampas sehingga lima kerusi Parlimen di Sarawak di dalam PRU nanti.
Hampir pasti, DAP boleh merampas kerusi Parlimen Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri dengan majoriti besar dan mudah tetapi mampu merampas Parlimen Bintulu dengan majoriti kecil. Bagi Parlimen Stampin, pembangkang menang besar di DUN Batu Kawah dan Kota Sentosa melalui DAP dan DUN Batu Lintang melalui PKR.

Di Parlimen Sarikei, kedua-dua kerusi DUNnya iaitu Repok dan Maradong dimiliki melalui DAP manakala di Parlimen Lanang, DAP menguasai kedua-dua DUN Bukit Assek dan menang tipis di DUN Dudong. Lonjakan penguasaan di Lanang adalah disebabkan populariti penyandangnya, Wong Ho Leng yang memperolehi majoriti melebihi 8,000 undi di DUN Bukit Assek.

Di Parlimen Miri pula, satu kerusi DUN iaitu Piasau yang menyaksikan kekalahan Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan kepada calon muda DAP Ling Sie Kiong. Dua DUN lagi, Pujut dan Senadin masing-masing dimenangi oleh DAP dan BN. Di DUN Senadin, PKR hanya kalah tipis 58 undi kepada calon BN.

Sementara itu, kedudukan ‘kelabu’ bagi DAP untuk menang mampu dicapai di Parlimen Bintulu meskipun dua daripada tiga DUN dimenangi oleh BN di Jepak dan Kemena. DAP berjaya mengekalkan kerusi DUN Kidurong dengan menambah majoriti sehingga 7,000 undi jika dibandingkan dengan majoriti sebanyak 1,664 pada PRN 2006.

Yang menarik di Bintulu ialah, DUN Jepak adalah penempatan Melayu/ Melanau dan DUN Kemena lebih ke pedalaman dihuni oleh pengundi Bumiputera bukan Islam. Jumlah pengundi berdaftar di Jepak dan Kemena jika dicampurkan adalah menyamai jumlah pengundi berdaftar di Kidurong sendiri yang kebanyakannya kaum Cina yang tinggal di bandar Bintulu sendiri.

Sementara itu, PKR boleh tambah empat kerusi Parlimen. Denngan meningkatkan penguasaan mereka di tiga kerusi DUN dan pertambahan undi di banyak kerusi DUN yang mempunyai komposisi pengundi Cina dan di kawasan bandar juga membolehkan mereka memberi cabaran kepada BN Sarawak dalam PRU akan datang.

Tentangan yang boleh dikatakan boleh mencabar BN ialah di Parlimen Saratok di mana salah satu DUNnya dimenangi oleh PKR di DUN Krian dan satu lagi DUN Kelaka yang dimenangi oleh BN.

Namun begitu, keadaan nampak lebih mudah di Parlimen Selangau dengan pengundi berjumlah hampir 22,000 orang yang menempatkan DUN Tamin dan Kakus.

Meskipun PKR tewas di kedua-dua kerusi itu yang dimenangi oleh PRS yang penduduknya bermajoriti bumiputera bukan Islam, fakta menarik ialah kemampuan PKR mengurangkan majoriti BN di kedua-dua DUN tersebut jika dicampur dari 5,229 undi pada PRN 2006 kepada hanya 1,894 undi pada kali ini.

Lagi menarik ialah ketika PRU 2008, Parlimen Selangau ini dimenangi BN tanpa bertanding melalui calonnya Joseph Entulu Belaun. Melihat situasi ini, PKR berkemampuan bertanding di sini di dalam PRU 13 nanti.

Tetapi itu sekadar perkiraan atas kertas. Hakikatnya, BN mempunyai banyak kelebihan berbanding parti pembangkang. Pembangunan dan pencapaian ekonomi yang diusahakan BN sejak zaman merdeka lagi agak sukar untuk dinafikan pembangkang.

Pilihan raya bebas, jawatankuasa untuk kemaskini – TPM

In Politik on August 16, 2011 at 2:19 pm

(kesinambungan artikel Najib bukan tunduk tuntutan Bersih)

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melahirkan pendirian yang sama dengan berkata pilihan raya negara ini bebas dan adil tetapi pembentukan jawatankuasa tersebut akan membantu mengemaskan sistem pilihan raya sedia ada.

Pelbagai pihak termasuk Pakatan Rakyat menyambut baik perkembangan ini. Bagaimanapun Pakatan Rakyat meletakkan tujuh syarat bagi memastikan jawatankuasa itu benar-benar berkesan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen BN dari Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, satu usul perlu dibentangkan di Parlimen untuk membentuk  jawatankausa pilihan khas yang dimaksudkan.

“Kedua-dua Whip BN dan Pakatan Rakyat akan mencalonkan wakil mereka,” kata beliau menerusi Twitter.

Pemimpin Kelab Penyokong-penyokong Kerjaaan BN (BBCBN) ini menambah, perbincangan jawatankuasa pilihan khas itu akan direkodkan dan akan menjadi sebahagian daripada penyata persidangan Parlimen atau rekod awam yang rasmi.

“Prosiding-prosiding jawatankuasa pilihan khas dijalankan mengikut peraturan mesyuarat Parlimen dan memiliki imuniti, seperti dalam Dewan Rakyat,” tambah beliau.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah membentuk jawatankuasa pilihan khas bagi membincangkan soal sistem pilihan raya tidak perlu terlalu tergesa-gesa memandangkan Parlimen akan bersidang mulai awal Oktober ini.

Selain itu kata beliau, sudah tiada masa untuk mengadakan sidang khas Parlimen, sebagaimana diminta oleh Pakatan Rakyat, sebelum sambutan Aidilfitri kali ini.

“Tinggal lagi dua minggu lagi sebelum Aidilfitri, kita tiada masa,” kata beliau.

Najib bukan tunduk tuntutan Bersih

In Politik on August 15, 2011 at 1:54 pm

Kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen bagi menilai sistem pilihan raya bukan bermakna tunduk akibat tuntutan Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lepas.

Ia sebenarnya membuktikan proses pilihan raya di negara ini, sebelum ini, tidak mempunyai kepincangan atau penyelewengan.

Kepincangan dan penyewengan sekadar igauan ngeri sesetengah pihak yang takut bayang-bayang sendiri, atau dengan kata lain tidak mampu mengekalkan malah meningkatkan prestasi pada pilihan raya umum akan datang.

Apa yang kerajaan hendak bimbang untuk menyetujui penubuhan jawatankuasa itu sedangkan ia turut dianggotai wakil parti-parti politik pembangkang.

“Saya bersama Kabinet saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri atau kerajaan tanpa sokongan rakyat (menerusi pengundian yang betul,” kata Najib.

Minggu lalu Pakatan Rakyat memberi tempoh tujuh hari agar Najib memanggil satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu berkaitan.

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan 9 Julai lalu dengan meletakkan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya.

“Jawatankuasa pemilih Parlimen akan dibentuk dalam waktu terdekat dan ia akan terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang,” kata Najib.

“Jawatankuasa ini akan membincangkan kesemua persoalan dan isu mengenai pembaharuan agar kata sepakat bersama dapat dicapai,” katanya.

Riadah basikal jangan sampai undang padah

In Masalah masyarakat on August 14, 2011 at 4:01 pm

Sekarang kita lihat terutama di bandar raya Kuching semakin ramai warganya memilih untuk bersenam dengan berbasikal. Ya, kesedaran untuk hidup lebih sihat memang wajar dialu-alukan.

Tetapi adakah wajar jika aktiviti sukan ini dilakukan atas jalan raya yang sibuk dengan lalulintas. Malahan, lebih berbahaya jika ia dilakukan secara berkumpulan dan tidak membentuk satu barisan. Ini menyebabkan pemandu kenderaan sukar untuk memotong, dan lebih teruk lagi mungkin mengundang kemalangan.

Kecenderungan penggemar aktiviti berbasikal memilih waktu malam juga harus dihindarkan. Tidak memasang lampu dan tidak memakai baju pemantul cahaya, boleh menyebabkan pemandu kenderaan tidak nampak kewujudan mereka atas jalan raya. Itu juga faktor kemalangan yang boleh dielakkan.