YangSaya Nampak

Posts Tagged ‘Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB)’

Bekalan elektrik antara agenda utama.

In Masalah masyarakat, Sarawak on February 25, 2012 at 11:18 pm

EMPANGAN Bakun dan Empangan Murum di pedalaman bahagian utara Sarawak dibina agar menyalurkan tenaga elektrik yang kompetitif sebagai tunjang utama menarik kemasukan pelaburan asing di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Dan usaha itu kini menampakkan hasil apabila berbilion ringgit nilai pelaburan dalam pelbagai jurusan industri telah dijanjikan di kawasan SCORE oleh syarikat-syarikat asing.

Itu menunjukkan kepentingan elektrik dalam pelbagai aspek di zaman moden. Tengok tv perlu ada elektrik, komputer pun begitu, apatah lagi industri-industri berat yang menggerakkan mesin dan jentera untuk operasi.

EMPANGAN BAKUN ... Bekal tenaga untuk industri dan domestik.

Orang duduk di rumah panjang dan kampung-kampung pun memerlukan bekalan tenaga elektrik 24 jam dan bukannya bergantung dengan generator.
 
Justeru, usaha membekalkan tenaga elektrik di Sarawak tidak pernah berhenti. Sebab kawasan yang luas dan penempatan berselerak, ia merupakan faktor lewat menerima bekalan elektrik 24 jam.

Sebanyak 95 peratus daripada 2.5 juta rakyat Sarawak dijangka menerima bekalan elektrik menjelang penghujung tahun ini hingga awal tahun depan.
 
Pada masa ini kira-kira 70 peratus daripada populasi di Sarawak sudah menerima kemudahan itu menerusi beberapa kaedah termasuk penggunaan bekalan elektrik alternatif menerusi sistem solar dan hidro mini.

Menteri Kemudahan Awan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dipetik menerusi akhbar baru-baru ini memberitahu, Sarawak diperuntukkan RM1.7 bilion dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk melaksanakan projek penyediaan kemudahan bekalan elektrik. Sehingga kini sebanyak RM1.2 bilion sudah diterima.

Ia adalah untuk meluaskan liputan bekalan elektrik menerusi program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Dalam menjayakan sasaran 95 peratus itu, BELB wajar mendapat kerjasama daripada semua penduduk kampung agar projek yang dirancang tidak tergendala.

Sarawak mempunyai kira-kira 6,000 buah kampung dan ia menjadi cabaran dalam aspek pelaksanaan pembangunan memandangkan setiap penempatan berselerak dan tidak semua projek itu dapat dilaksanakan dalam tempoh sama.

Menurut laman sesawang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, program BELB dilaksanakan bertujuan untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik ke rumah-rumah di kampung-kampung tradisional di luar kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara termasuklah rumah-rumah panjang di kawasan pedalaman negeri Sabah dan Sarawak.

Program BELB dilaksanakan melalui 2 kaedah: pertama melalui kaedah sambungan talian grid dari punca-punca bekalan Pihak Berkuasa Elektrik Negeri (PBEN) iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi Semenanjung Malaysia, Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) bagi negeri Sabah dan Sarawak Electricity Supply Corporation (SESCo) bagi negeri Sarawak.

Bagi kawasan-kawasan pedalaman yang tidak kesampaian serta tidak ekonomik untuk disambung menggunakan talian grid akan diberi bekalan elektrik menggunakan kaedah alternatif seperti solar, set generator, solar hibrid dan sebagainya.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.