YangSaya Nampak

Archive for the ‘Pelancongan’ Category

Yuran masuk taman negara di Sarawak naik 1 Mei.

In Pelancongan, Sarawak on February 22, 2012 at 11:25 pm

TAMAN Negara di Sarawak seperti Taman Negara Niah yang merangkumi Gua Niah dan Taman Negara Mulu (Gua Mulu) terus menjadi tumpuan pelancong saban tahun sejajar dengan promosi industri tersebut menjurus terhadap konsep ekopelancongan.

Keindahan semula jadi yang terdiri daripada flora dan fauna mempunyai nilai tersendiri, sekali gus menarik perhatian pelancong.

Gua Niah - penempatan awal manusia di Sarawak.

Pada tahun 2011, Tamana Negara Bako dan rizab semulajadi di Semenggoh menerima lebih 10,000 pengunjung dengan pengunjung ke tapak warisan dunia Mulu turut menunjukkan peningkatan.

Bagi menarik lebih ramai pelancong ke taman-taman negara di Sarawak, kadar bayaran masuk ke kawasan terbabit dinaikkan mulai 1 Mei 2012.

Tapak Warisan Dunia - Gua Mulu di Miri.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan dipaparkan menerusi akhbar-akhbar pada 22 Feb 2012, memberitahu kadar baru itu bakal menyaksikan pengunjung dibahagikan kepada pelancong tempatan dan dari negara luar dengan bayaran yang ditetapkan adalah antara RM5 hingga RM30.

Bagaimanapun kadar istimewa tetap diberikan kepada warga emas serta kanak-kanak yang hanya perlu membayar antara RM2 hingga RM15 manakala pengunjung di bawah umur enam tahun tidak dikenakan sebarang bayaran.

Bayaran itu disifatkan oleh SFC sebagai berpatutan dan menarik.

Laporan dalam Borneo Post Online :-

Sarawak national parks, nature reserves charge new rates, beginning May 1 *latest!

Posted on February 21, 2012, Tuesday

KUCHING: Effective May 1, all national parks and nature reserves in Sarawak will implement new rates for entrance fees, park guiding fees and other charges.

The move was part of efforts to develop better products, services and facilities for the tourism sector, Sarawak Forestry chief executive officer/managing director Ali Yusop said today.

He said the corporation aimed to broaden the scope and functions of the national parks and nature reserve through an additional source of revenue, better facilities, services and manpower, in accordance with the new rates.

In a statement here today, he said the Sarawak Forestry was responsible in managing all national parks and nature reserves in the state, overseeing operational matters which were handled by wildlife experts, park guides, veterinarians and conservators, alike.

Ali, who is also Director of Forests and Controller of National Parks and Nature Reserves, said the new charges included entrance fees for the foreigners, locals, senior citizens and the disabled categories for World Heritage Site, national parks, Semenggoh Nature Reserve and other nature reserves, besides park guiding fees for leisure and adventure trekking and commercial filming and photography.

He said, the national parks and nature reserves had shown positive outcomes, in terms of visitation, industry and stakeholder interest, as well as worldwide recognition and support in the past year.

“Sarawak’s conservation efforts have successfully reached the world, via the national parks and nature reserves,” he said, adding that national parks and nature reserves, such as Bako and Semenggoh, had received more than 10,000 visitors last year.

He was confident that travel and tourism operators, as active agents in representing the beauty and wealth of Sarawak’s biodiversity, would be able to promote better quality in services and care for both local and foreign visitors.

For further information on the new rates, the public can contact the Visitors Information Centre at 082 248088 or visit Sarawak Forestry’s website at www.sarawakforestry.com. – Bernama

MASwings memangkin pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi Sarawak.

In ekonomi, Pelancongan, Sarawak on February 12, 2012 at 3:46 pm

KEPUTUSAN MASwings mengadakan penerbangan di sektor Kuching-Pontianak adalah langkah tepat untuk mencapai hasrat membangunkan ekonomi dua hala Malaysia-Indonesia selain memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang.

Penerbangan itu merupakan antara usaha merancakkan kerjasama dalam bidang perniagaan dan pelancongan dalam Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Penerbangan tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri di Pontianak, Kalimantan Barat pada Sabtu, 11 Februari 2012.

Sektor Kuching-Pontianak adalah laluan berpotensi untuk dibangunkan berikutan peningkatan jumlah penumpang yang berulang-alik di kedua-dua wilayah.

 

MASwings memulakan operasi dalam BIMP-EAGA.

 

Difahamkan, dalam sektor pelancongan kesihatan, sebahagian besar pesakit yang mendapat rawatan di pusat perubatan swasta di Kuching adalah dari Kalimantan Barat dan mereka memerlukan lebih banyak penerbangan untuk memudahkan mereka berulang-alik.

Begitu juga warga Sarawak yang sering ke Pontianak untuk mengunjungi saudara mara di situ.

MASwings mula beroperasi ke laluan tersebut pada 6 Februari 2012.

Selain tujuh penerbangan seminggu di sektor Kuching-Pontianak, MASWings turut mengadakan penerbangan dari Kota Kinabalu-Bandar Seri Begawan (dua kali setiap hari), Kuching-Bandar Seri Begawan (tiga kali seminggu) dan Tawau-Tarakan.

Justeru, BIMP-EAGA bakal menjadi wilayah pembangunan yang lebih kukuh hasil peningkatan hubungan udara. Rantau ini semakin menyerlah sebagai wilayah ekonomi yang berpotensi berbanding kedudukannya semasa BIMP-EAGA diwujudkan kira-kira 18 tahun yang lepas.

BIMP-EAGA merupakan platform terbaik bagi mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala antara negara-negara jiran, termasuk merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan anggota di rantau kecil ini.

MASwings merupakan syarikat penerbangan pertama menghubungkan pintu-pintu masuk BIMP-EAGA dengan penerbangan ulung ke Brunei dan Indonesia.

Penerbangan itu bukan sahaja memberi manfaat dari segi pelancongan, tetapi melibatkan bidang lain seperti perdagangan dan pelaburan.

Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata menerusi MASwings kerjasama antara Malaysia dan Brunei dapat dieratkan melalui pendekatan ‘berkongsi apa yang ada’ antara kedua-dua negara.

Kerjasama antara MASwings, Sabah dan Sarawak di pihak Malaysia, Brunei serta penggiat-penggiat industri lain dapat mewujudkan hubungan antara satu sama lain, kemudian kita jana hubungan ekonomi melalui perniagaan, modal semula jadi dan sumber-sumber yang akan memanfaatkan kedua-dua negara.

Beliau berkata penerbangan itu akan memberi impak positif kepada pelbagai industri lain termasuk penyelidikan sumber asli selain meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Sabah, Sarawak dan Brunei.

Kampung Budaya Sarawak masih jadi tarikan pelancong.

In Pelancongan, Sarawak on February 9, 2012 at 11:46 pm

Rumah etnik Bidayuh di Kampung Budaya Sarawak.

RUMAH Melanau sengaja dibina tinggi untuk melengahkan serangan musuh, rumah panjang Iban dihiasi dengan tengkorak manusia melambangkan keperwiraan kaum tersebut pada dahulu kala, manakala rumah Bidayuh bentuknya bulat.

 

Itu sedikit gambar tentang Kampung Budaya Sarawak yang menggambarkan keadaan sebenar kebudayaan Bumi Kenyalang. Ada banyak lagi rumah-rumah etnik di Sarawak terdapat di kawasan tersebut.

Terletak kira-kira 40 kilometer dari Bandar Raya Kuching dan mengambil masa lebih kurang setengah jam perjalanan menggunakan kereta, Kampung Budaya Sarawak merupakan lokasi percutian terbaik untuk seisi keluarga.

Kampung Budaya Sarawak yang dibuka secara rasmi pada tahun 1990 dan dibangunkan di atas tanah seluas 14 ekar mampu memberikan pengalaman terindah kepada pengunjung yang mahu merasai sendiri gaya hidup sebenar kaum-kaum di Sarawak.
 
Berlatar belakangkan hutan hujan tropika yang masih elok terpelihara serta Gunung Santubong menyerupai manusia terbaring mendongak, Kampung Budaya Sarawak akan terus dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa.

Rumah Tinggi Melanau dibina dengan helah.

Populariti Kampung tersebut juga meningkat di mata pelancong asing kerana ia merupakan tapak Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) – acara tahunan yang banyak menyumbang terhadap pendapatan sektor pelancongan di Sarawak.

Kampung Budaya Sarawak yang telah menerima pelbagai anugerah dari dalam luar negara itu akan terus menjadi daya tarikan utama buat para pelancong yang mahu berkunjung ke Sarawak.

Pendek kata ia ibarat sebuah ‘muzium hidup’ yang penuh warna warni kehidupan pelbagai etnik di Sarawak.

Berdasarkan popularitinya yang masih utuh di kalangan pelancong asing dan tempatan, Kampung Budaya Sarawak dijangka mampu menarik 200,000 pelawat pada tahun 2012.

Unjuran itu adalah berdasarkan kerja-kerja menaik taraf bernilai RM5 juta siap.

Pada tahun 2011, seramai 140,000 orang pelawat berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak.

Angka itu tidak termasuk pengunjung yang datang semasa Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia atau acara-acara lain.

Potensi pelancongan perubatan di Sarawak

In Pelancongan on January 18, 2012 at 11:55 pm

SAYA pernah melakukan pemeriksaan tahap kesihatan di Pusat Pakar Perubatan Normah (NMSC) pada Disember 2009. Pada ketika itu saya terdengar beberapa orang duduk berhampiran bertutur dalam bahasa Melayu Indonesia.

Dari segi gaya pakaian dan barang kemas, saya mula mengagak mereka ialah orang ada kedudukan dan yang penting ada wang bagi membiayai kos perubatan hingga sanggup datang ke Sarawak bagi mendapatkan khidmat pemeriksaan atau rawatan kesihatan.

Daripada kira-kira lima orang mereka (lelaki dan wanita), cuma dua orang (seorang wanita dan seorang lagi laki-laki) yang akan mendapatkan khidmat perubatan di NMSC yang terletak di Petra Jaya, Kuching, Sarawak. Anggota kumpulan mereka yang lain hanya datang menemani.

Pusat Pakar Perubatan Normah

Dalam benak fikiran saya apakah kemudahan perubatan dan kesihatan di negara mereka (bukan bermaksud merendah-rendahkan tahap perkhidmatan kesihatan negara lain) tidak cukup canggih? Bukan itu sahaja, adakah kepakaran doktor di negara sendiri tidak cukup meyakinkan?

Untuk menyokong tekaan adalah benar, saya ternampak mereka di luar bangunan NMSC memasuki kenderaan bernombor pendaftaran dari Kalimantan Barat, Indonesia. Kenderaan yang digunakan ialah pacuan empat roda dalam kategori mewah. Mungkin mereka yang dalam lingkungan usia 45 tahun hingga 55 tahun itu golongan ahli perniagaan.

Mungkin mereka kerap ke sini kerana mereka kelihatan tidak kekok dengan prosedur di NSMC.

Ini membuatkan saya agak bangga dengan Sarawak atau Kuching khususnya kerana mampu menarik kemasukan orang luar untuk mendapatkan rawatan perubatan. Kita kerap dengar orang berada dari Sarawak berubat di Singapura dan London (sekadar menyebut dua tempat). Nampak gaya kita di Kuching pun disebut-sebut oleh orang dari negara lain sebagai destinasi perubatan mereka.

Hospital Pakar Kuching

Di Kuching kita turut memiliki pusat perubatan yang boleh dibanggakan, selain NSMC, iaitu Pusat Perubatan Timberland di Batu 3, Hospital Pakar Kuching atau Kuching Specialist Hospital di Tabuan, dan Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan.

Pusat Perubatan Timberland

Baru-baru ini Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Dato Sri Wong Soon Koh mengakui perubatan di Sarawak berperanan penting sebagai pemangkin meningkatkan potensi pelancongan kesihatan.

Pakej atau harga untuk mengadakan rawatan yang ditawarkan di pusat perubatan adalah jauh lebih murah berbanding harga kos rawatan di hospital swasta di negara lain.

Beliau memberitahu selain kos, para pelanggan dari luar negara turut melihat kepada faktor penggunaan peralatan dan mesin yang canggih dan terkini digunakan di pusat perubatan di sini.

Justeru, Soon Koh meminta pusat perubatan meningkatkan aktiviti promosi perkhidmatan mereka di negara-negara luar agar ia sejajar dengan hasrat kerajaan menarik kemasukan pelawat ke negeri ini dengan pelbagai cara.

Perkembangan yang memberangsangkan itu kelak akan membantu terhadap pertumbuhan ekonomi negeri.

Apabila tukang urut bercakap tentang pelancongan.

In Pelancongan, Sarawak on January 9, 2012 at 8:36 am

SAYA bukan pelanggan pertama dia untuk hari tersebut – mungkin saya yang kesembilan atau kelapan (saya suka angka sembilan dan lapan).

Dia mula mengurut bahagian belakang badan dalam posisi saya meniarap dan bertanyakan saya tentang soalan yang rimas untuk dijawab – dia tanya saya orang mana dan kerap atau tidak berurut?

Saya jarang menjawab dengan khusus dan tepat bila ditanyakan oleh orang baru dikenali. Segera saya menukar topik perbualan. Saya bertanya dengan dia sudah berapa lama pusat urut tersebut beroperasi? Mengapa di pusat bandar raya? Ramai atau tidak orang datang berurut di kawasan pusat bandar raya seperti itu?

Ini Bandar Raya Kuching, pusat pentadbiran negeri Sarawak.

Maksud saya, tidak elok jika pusat bandar raya dipenuhi dengan pusat urut – kerana lazimnya premis sedemikian dipandang serong oleh umum. Premis demikian majoriti pekerjanya ialah perempuan dari China, Filipina dan Indonesia – tidak ketinggalan juga wanita tempatan!

“Pusat urut menawarkan perkhidmatan seks dan bersembunyi di sebalik papan tanda pusat urutan kaki atau pusat refleksologi” – itu yang secara automatik berlegar dalam minda kebanyakan kita apabila terlihat premis sebegitu.

Wanita yang mengurut saya, dari raut wajahnya mungkin dalam lingkungan 45 tahun ke atas – tidak muda dari itu.

Dia menjawab soalan-soalan saya. Katanya, kebanyakan pusat urut berada dalam lingkungan pusat bandar menggunakan khidmat tukang urut yang benar-benar boleh melakukan kerja tersebut dan bukan sekadar memperagakan bentuk tubuh dan raut muka untuk menarik pelanggan.

Justeru, apabila pelancong yang benar-benar ingin melepaskan letih setelah seharian berjalan-jalan, mereka tidak hampa dengan khidmat diberikan.

Menurut tukang urut berkenaan, pekerja dari China, Filipina dan Indonesia, ramai di kalangan mereka tidak tahu langsung kemahiran mengurut. Apa yang mereka buat ialah sekadar picit sana, picit sini dan selepas itu menawarkan khidmat seks.

Lantaran itu, pusat urut di kawasan bandar raya ini banyak menggunakan khidmat tukang urut profesional. Alasannya, tidak mendatangkan cemar terhadap imej Kuching di kalangan pelancong asing atau dengan kata lain tidak dilabelkan sebagai bandar raya pelacuran.

Sarawak ingin membangunkan industri pelancongan dengan memasarkan produk berteraskan alam semulajadi, kebudayaan dan aktiviti lasak. Justeru, unsur-unsur seks di rumah urut wajar diketepikan.

Pada tahun ini, kerajaan menyasarkan ketibaan 3.6 juta pelancong berbanding 3.2 juta pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan dalam laporan akhbar baru-baru ini berkata setakat Oktober 2011, majoriti pelancong yang datang ke sini adalah dari negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia, China, India, Australia dan dari Semenanjung.

Menurutnya: “Ini merupakan petanda baik dalam meningkatkan pasaran produk tradisi di sini memandangkan sekarang kita sedang berhadapan dengan kedudukan ekonomi yang agak lembap”.

Beliau berharap agar syarikat-syarikat penerbangan utama seperti MAS dan AirAsia terus menyediakan penerbangan ke Sarawak agar sasaran tersebut berupaya dicapai.

Rashid juga memberitahu pertumbuhan dalam sektor pelancongan telah meningkat sebanyak 16 peratus tahun lepas berbanding 2010.

Gua Niah, khazanah pelancongan Sarawak.

In Pelancongan on August 28, 2011 at 5:36 pm

Perjalanan kira-kira 30 minit dari pejabat Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke Gua Niah tidak terasa meletihkan kerana dirimbuni pokok-pokok yang rendang.

Perjalanan selama itu juga seolah-olah memberikan kepuasan terhadap penghuni kota yang dahaga kesejukan alam semulajadi.

Setelah berjalan kira-kira 20 minit dengan meniti titian papan kayu dan PVC, para pengunjung ke Taman Negara Niah yang terletak 120 kilometer dari Miri, akan dapat menyaksikan keindahan bukit batu kapur.

Di Sarawak, kejadian alam batu kapur cuma dapat disaksikan di Gua Angin, Bau, Kuching, Gua Mulu, Miri, dan pastinya Gua Niah, Miri.

Bagi manusia yang mencintai keagungan Maha Pencipta, sudah pasti dia memuji-muji kebesaran-Nya. Keindahan Gua NIah, tiada tolok banding jika dibezakan dengan ciptaan tangan manusia.

Berlandaskan keindahan cuba digambarkan itu, maka wajar gua berkenaan menjadi produk pelancongan unggul di Sarawak.

Keindahan ciptaan Tuhan itu digabungkan dengan tamadun manusia prasejarah – melambangkan kewujudan penempatan tertua manusia di Sarawak. Gua Niah pernah didiami oleh manusia zaman batu lebih 40,000 tahun lalu.

Gua-gua itu mula diteroka pada 1957 oleh kurator Muzium Sarawak yang dikenali sebagai Tom Harrison. Harrison mengendalikan ekspedisi arkeologi untuk mengkaji peninggalan sejarah manusia zaman itu.

Di kawasan gua itulah artifak zaman batu dan rangka manusia moden tertua di Asia Tenggara ditemui. Penemuan itu menandakan wujudnya satu peradaban manusia dan menjadikan taman itu sebagai satu pusat arkeologi terpenting di dunia.

Terdapat tiga gua utama di Taman Negara Niah iaitu Gua Pedagang, Gua Besar dan Gua Lukisan.

Gua Pedagang mengambil sempena kawasan gua itu yang dijadikan oleh pedagang tempatan untuk berjual-beli sarang burung walit yang dipungut di sekitar gua-gua yang terdapat di Taman Negara Niah.

Pelawat yang ke gua itu masih dapat melihat bekas tapak atau rangka seperti tiang pondok dan kedai tempat pemungut dan penjual sarang burung walit yang dibina lebih lima dekad lalu.

Walaupun kegiatan memungut sarang burung walit tidak serancak seperti pada tahun 50-an hingga lewat 70-an, pelawat yang masuk ke gua itu pada hari ini dapat melihat kegiatan memungut sarang burung walit oleh pemungut-pemungut tempatan.

Lebih mengagumkan ialah pelancong dapat melihat bagaimana pemungut-pemungut itu dengan lampu suluh yang diikat di kepala.

Mereka akan memanjat tiang-tiang kayu atau buluh yang disambung dan digantung di siling gua yang tingginya menyamai tujuh atau lapan tingkat bangunan untuk mencari sarang burung walit.

Pemungut-pemungut itu sanggup bertarung nyawa seperti Spiderman kerana nilai harga sarang burung walit yang belum diproses itu mencecah sekitar RM3,000 hingga RM7,500 sekilogram.

Selain tarikan Gua Pedagang, pelancong juga berpeluang melawat Gua lukisan. Terdapat lebih 100 lakaran atau lukisan neolitik dari zaman batu di beberapa bahagian dinding Gua Lukisan.

Lukisan itu terdapat dalam pelbagai saiz dan ukuran serta mempunyai rupa bentuk manusia, perahu, dan lakaran abstrak dan geometri. Ia dipercayai dilukis dengan menggunakan pewarna merah yang diperoleh daripada tumbuhan.

Sementara itu, di Gua Besar terdapat pembentukan lapisan batu-batan gua seperti stalagmit dan stalaktit serta kesan kerja-kerja arkeologi.

Dalam mengangkat Gua Niah sebagai produk unggul pelancongan Sarawak, kerajaan kini berusaha menjadikannya sebagai Tapak Warisan Dunia yang akan diiktiraf Unesco.

Moga usaha itu berjaya yang seterusnya bakal mengorak langkah baru dalam mempromosikan Gua Niah di persada industri pelancongan antarabangsa.

MBKS menang anugerah, pelancongan kurang peruntukan.

In Pelancongan on August 27, 2011 at 4:22 pm

 Adakah kerana produk pelancongan Sarawak, terutama alam sekitar, kurang menarik berbanding Sabah menyebabkan peruntukan Bumi Kenyalang menerusi Rancangan Malaysia ke-10 lebih rendah berbanding Negeri Di Bawah Bayu?

Bukan soal iri hati, tetapi Sarawak yang masih banyak perlu dibangunkan dalam usaha memajukan sektor pelancongan negeri sewajarnya menerima peruntukan besar.

CEO Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Datuk Rashid Khan meluahkan rasa tidak puas hati terharap peruntukan kerajaan pusat dalam satu majlis berbuka puasa di Kuching, baru-baru ini.

Beliau dilaporkan oleh akhbar sebagai berkata, peruntukan yang diberikan kepada STB dalam menjalankan kerja pemasaran dan promosi

Malah, peruntukan RM30 juta bagi tempoh lima tahun jauh lebih kecil berbanding beberapa Rancangan Malaysia sebelum ini. Di bawah RMK-9, RMK-8 dan RMK-7 peruntukan adalah kira-kira RM45 juta.

Jika pelancongan merupakan satu sektor ekonomi yang banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan ekonomi, kerajaan tidak sepatutnya mengurangkan peruntukan.

Aktiviti mempromosi produk-produk pelancongan memerlukan kira-kira RM8 juta setahun. Ini bermakna STB kekurangan RM2 juta setahun.

Sektor pelancongan di Sarawak mampu merangsang pertumbuhan ekonomi ke tahap lebih tinggi.

Dari perspektif umum, Bumi Kenyalang menawarkan panorama bentuk mukabumi yang indah serta kemesraan 23 kumpulan etnik.  

Sebagai negeri terbesar di Malaysia dengan keluasan 124,450 km persegi, Sarawak mempunyai banyak kawasan menarik yang belum diterokai dan berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Ironinya, di sebalik kekurangan peruntukan, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menempa nama di persada antarabangsa apabila menang Anugerah Bandar Raya Pelancongan baru-baru ini.

MBKS berjaya merangkul anugerah terbabit pada Forum Pembangunan Saintifik Bandar-Bandar Raya Dunia Kedua dan Sidang Kemuncak Datuk-Datuk Bandar Pertama mengenai Pengurangan Risiko Bencana.

Program yang bertemakan ‘Tumpuan kepada Kerjasama dan Pembangunan Mapan antara Bandar-Bandar Raya, Membina Bandar-Bandar Raya Yang Dapat Dihuni bagi Manusia’ itu diadakan di Chengdu, China dari 11 hingga 13 Ogos lepas.

Forum merupakan anjuran bersama Strategi Antarabangsa bagi Pengurangan Bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNISDR), Perikatan Pembangunan Saintifik Bandar-Bandar Raya Dunia (WCSDA) dan Sister Cities International (SCI).

Hampir 200 peserta dari lebih 30 buah negara menghadiri forum tersebut termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada, Afrika Selatan, China, Costa Rica, Ireland, Sri Lanka, Bangladesh, Lubnan, Malaysia, Pakistan, Jamaica, Palestin, Filipina, Poland, Senegal, Uganda, Vietnam dan lain-lain.

Sistem Penilaian Pembangunan Saintifik Bandar-Bandar Raya Dunia di forum itu menyampaikan tiga anugerah iaitu Anugerah Bandar Raya Pelancongan, Anugerah Bandar Raya Ekologi dan Anugerah Bandar Raya Kebudayaan.

Bersama MBKS, Anugerah Bandar Raya Pelancongan turut diberikan kepada Xining, Qinghai, China.

Anugerah Bandar Raya Ekologi disampaikan kepada Saldanha Bay, Cape Town, Afrika Selatan serta Dali, Yunnan, China dan Anugerah Bandar Raya Kebudayaan pula diterima oleh Cincinnati, Ohio, AS serta Luoyang, Henan, China.

Justeru, anugerah yang dimenangi oleh MBKS itu wajar dijadikan kayu ukur dalam menyalurkan lebih banyak peruntukan dalam usaha membangunkan dan mempromosikan pelbagai produk pelancongan Bumi Kenyalang.

Selain kepelbagaian etnik dan alam semula jadi, produk utama pelancongan Sarawak ialah  Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).

Ia merupakan acara ikonik di Sarawak memandangkan mampu menjana pendapatan kira-kira belasan juta ringgit.

Tahun 2010, RWMF menyumbang RM13 juta kepada industri pelancongan tempatan. Ia merupakan acara muzik yang telah menarik kehadiran ramai pelancong dari negara lain.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.